Share

AMM BHG 1: Bab 7

TAPAK perkhemahan sementara itu dikemas oleh mereka. Segala sampah dikambus ke dalam tanah, tidak mahu tapak peninggalan mereka di situ tercemar. keindahan hutan perlu dijaga. Mereka sudah bersiap-siap untuk beredar dari situ. Mereka bercadang untuk ke kawasan sumber air yang dikatakan oleh Jack semalam.

   "Kau orang semua tak nak ubah fikiran?" soal Ari tiba-tiba.

   "Apa maksud kau?" soal Jack.

   "Maksud aku, kita boleh pergi ke arah sana. manalah tahu ada perkampungan ke, boleh minta tolong orang yang ada dekat situ. Tak perlulah kita ke kawasan air tu, lagipun tempat tu jauh." Ari cuba meyakinkan mereka.

   "Tempat perkampungan? Mana ada perkampungan dekat hutan macam ni. Kau ni biar betul! Merepaklah!" bentak Sam.

   "Lagi satu, mana kau tahu kawasan air yang aku jumpa tu jauh? kau pernah ke sana ke?" soal Jack inginkan kepastian.

   "Tak," balas Ari.

   "Sudahlah, jom gerak!" teriak Sam lalu mendahului mereka.

   "Kau orang, nanti sekejap!" teriak Haliene. Serta-merta pergerakan mereka terhenti. Riak wajah cemas kelihatan jelas di wajah Haliene. Segera mereka semua berlari ke arahnnya.

   "Kenapa?" soal Sam.

   "Monika," kata Haliene yang sedang memangku leher Monika. Wajahnya kelihatansangat pucat. Keringat membasahi segenap wajahnya, suhu tubuhnya pula terasa amat panas. Jaket hitam yang menutupi tubuh itu segera ditanggalkan.

   "Panasnya badan dia," kata Haliene setelah menyentuh dahi dan leher Monika dengan belakang tangannya.

   "Monika..." Sam menampar dengan lembut sisi wajah Monika. Dia bersuara lagi setelah mendapat respon dari anak mata Monika. "Monika, kau boleh bangun tak? Aku angkat kau bangun." Sam memberi semangat kepada Monika. Namun tubuh yang tidak bermaya itu tidak dapat menampung dirinya sendiri.

   "Air," minta Haliene. Jack memberi botol air kepada Haliene. Air diratakan di kepala Monika agar suhu badannya menurun, wajah itu turut dibasahkan wajah agar kembali segar. Kemudian disuakan air itu ke mulut Monika lalu air itu ditelan dengan perlahan.

   "Kita kena bergerak sekarang, cuaca macam tak berapa nak memberi kerjasama." Jack bersuara setelah melihat langit yang dilitupi awan menjadi kelabu.

   Sam memapah Monika manakala Haliene pula memapah lengan sebelah kirinya. "Baiklah, kita bergerak sekarang," arah Haliene.

   Jack mengetuai misi tersebut. Ari berjaga-jaga di bahagian belakang. Sam, Haliene, Monika dan Aviva berada di tengah-tengah. Lama juga mereka berjalan di dalam hutan itu.

   "Kau orang, berhenti sekejap!" Haliene berhenti berjalan, nafasnya laju. Penat yang teramat sangat. "Kita berehat sekejap."

   Sam dah Haliene meletakkan Monika dengan perlahan. Mereka duduk bersandar di sebatang pokok, melepaskan lelah dengan meminum air. Tapak tangan Sam menyentuh dahi Monika. "Bagus, dah berkurang sikit panas," katanya.

   Haliene memanjatkan rasa syukur. Dia memeluk Monika dari tepi, tapak tangannya berada di belakang kepala Monika lalu didakap dengan kuat. "Kau akan okey, aku tahu kau kuat," katanya perlahan. Haliene dan Monika sudah lama bersahabat, mereka juga bersama-sama berjuang di dalam industri muzik dan bernaung di bawah label yang sama. Dia sudah menganggap Monika seperti adik perempuannya, tak mungkinlah dia akan tinggalkan Monika di situ.

   "Kita dah boleh bergerak ke?" soal Jack.

   "Sekejap Jack, sikit lagi," jawab Haliene. Setelah memberi Monika air, mereka berdua kembali memapahnya. "Aviva, kau okey?" tanya Haliene dengan rasa bertanggungjawab. Aviva membalasnya dengan anggukan.

   "Ari?" soal Haliene kepada Ari pula. Ari membalasnya dengan mengangkat tanda bagus. "Baiklah, jom bergerak!"

GURUH  serta kilat sabung-menyabung di langit. Angin kuat telah menyukarkan perjalanan mereka. "Jack!" kedengaran teriakan dari Haliene. Dia memberikan Monika kepada Aviva untuk menggantikan sementara tempatnya. Dia segera berlari mendapatkan Jack yang sudah jauh di hadapan.

   "Jack! Kau yakin ke ini tempatnya? Aku rasa sudah lebih dari tiga kali kita lalu di tempat yang sama," kata Haliene.

   "Aku pasti dekat sinilah tempatnya. Aku ada tanda laluan tu, takkanlah ada orang lain hilangkan tanda yang aku dah buat tu?" kata Jack bersungguh-sungguh.

   "Begini, kita cari tempat berlindung dulu. Angin kuat macam ni tak berapa selamat." Haliene memberi cadangan.

   Aviva ternampak lambaian tangan Haliene, memberi isyarat agar mereka segera ke situ. Langkah mereka semakin perlahan apabila angin kuat tiba-tiba menghentam tubuh mereka. Cahaya kilat memancar terang. Kemudian, terdengar letupan kuat menyambar sebatang pokok yang berhampiran. Pokok yang tumbang itu hampir-hampir mengenai mereka. Laluan yang kecil itu memaksa mereka untuk lebih berhati-hati agar tidak tersilap langkah kerana di kiri dan kanan mereka merupakan tanah curam menuju ke bawah. Jika tergelincir akan menjunamkan mereka jauh ke dalam mana, tidak tahu.

   "Kau orang, dekat sini!" teriak Ari setelah terjumpa satu spot baik punya untuk mereka berteduh. Sebatang pokok yang sangat besar berdiri tegap. Akar kayu yang sangat besar terbuka sedikit menjadikan ruang untuk ke dalam batang pokok itu muat untuk mereka masuk. Hujan lebat turun membasahi segenap hutan, angin pula menderu tanpa henti membawa hujan.

   "Kau orang dulu!" teriak Sam yang sedang mendakap erat tubuh Monika. Tapak tangan yang berada di belakang kepala Monika dirapatkan ke tubuhnya agar tidak terkulai. Sam menghulurkan tubuh Monika perlahan-lahan masuk ke dalam pokok tersebut dan disambut oleh Haliene dan Aviva.

   Ternyata ruang di dalam batang pokok itu tersangatlah luas. Mereka bersandar di sekelilling dinding kayu menjadikan mereka berada di dalam bulatan. Namun, Ari duduk agak jauh dan setentang dengan mereka. Bunyi hujan kedengaran kedap dari dalam pokok itu, terasa hangat berbanding di luar tadi. Mereka diam membisu, melayani perasaan masing-masing. Lagipun penat tadi masih terasa.

   Jack mengeluarkan glow stick dari poket seluarnya agar kawasan yang gelap itu terdapat sedikit cahaya. Batang cahaya itu dipatahkan lalu dicampakkan di tengah-tengah.

   "Dari mana kau dapat glow stick tu?" soal Sam.

   "Dari dalam poket seluar aku," jawab Jack. Anak matanya terpandang Sam yang memang tidak berpuas hati dengan jawapannya tadi. "Okey, okey... aku jumpa glow stick ni semasa kita jumpa Monika dekat bawah pokok besar tu."

   Sam mengangguk perlahan tetapi di dalam kepalanya ligat memikirkan kawasan tersebut. Tidak mungkinlah dalam keadaan Monika yang cedera parah itu boleh berjalan sendiri sampai ke situ? Mungkinkah ada seseorang yang membantunya? Soal hatinya.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status