Share

Penerbangan Cinta Kau & Aku (Bahasa Malaysia)
Penerbangan Cinta Kau & Aku (Bahasa Malaysia)
Author: HeyL AryaN

PROLOG

"CABIN crew be seated for landing."

Tali pinggang keledar dipasang seraya menyandarkan tubuhnya. Penerbangan dari Taipei, Taiwan ke Kuala Lumpur yang memakan masa empat jam dan sepuluh minit itu terasa seperti sekejap sahaja oleh kerana keterujaan hatinya untuk bertemu ahli keluarga tercinta. 

One hundred...

Fifty...

Fourty...

Thirty...

Twenty...

Ten... 

Retarded...

Sebaik sahaja gear pendaratan menjamah lantai landasan, pesawat Boeing B737-8FZ bernombor pendaftaran 9M-JVH itu meluncur laju di atas landasan dan mula bergerak perlahan. Pembantu juruterbang yang juga selaku sahabat baiknya, Nasrul Effendy mengerlingnya sambil tersengih. 

"Hey, kau ni dah kenapa pandang aku macam tu? Tersengih-sengih... dah macam kerang busuk aku tengok?" Aryan Syah mengerling ke arah pembantunya yang merangkap sahabat baiknya itu. 

"Berseri-seri wajah kapten hari ni..."

"Mestilah... Kau nak tahu tak, inilah pesawat Red Skylines pertama yang aku kendalikan tahun lepas, tau? Dan jugak dalam cabin pesawat ini jugalah aku kenal dengan bini aku, Ezma... Juliet Victor Hotel," ujar Aryan Syah sambil tersenyum mengenang semula saat-saat perkenalannya dengan isteri kesayangannya, Ezma Umaira. 

"Weh... biar betul? Oh ya! Jangan pulak kau lupa... First flight kau dengan Red Skylines ni pun bersama dengan jejaka kacak di sebelah kau ni," sahut Nasrul Effendy sambil menayangkan barisan giginya yang putih di hadapan Aryan Syah.

"Yelah tu... kacaklah sangat, kau ni kalau satu hari tak angkat bakul memang tak sah!"

"Alah... kau ni macamlah tak kenal dengan aku. Lagipun kalau bukan kita sendiri yang puji diri sendiri, siapa lagi? Nak harapkan kau... kau tak pernah puji rupa paras aku pun," bebel Nasrul Effendy seraya memuncungkan bibirnya membuatkan Aryan Syah pecah tawa di dalam kokpit pesawat itu. 

"Dah... jom kita keluar. Aku dah tak sabar nak jumpa isteri dan anak aku ni. Tiga hari tak jumpa diorang... rasa macam tiga tahun, tahu tak?!" ujar Aryan Syah seraya bangun dari kerusi kokpit dan meluru keluar dari perut pesawat itu. 

Penerbangan OX409 dari Taipei, Taiwan yang mengambil masa selama empat jam sepuluh minit itu terasa sekejap disebabkan keterujaannya untuk bertemu dengan ahli keluarga. 

Langkah diatur dan beg bagasi ditarik. Tiba sahaja di Balai ketibaan, matanya terus melilau mencari figura papanya yang sudah berjanji untuk menjemputnya hari ini. "Mana pulak papa ni?" 

Figura lelaki pertengahan usia berbaju kemeja putih dan coat hitam yang berdiri di sudut tepi tersenyum sambil merenung ke arahnya. Cepat-cepat Aryan Syah menghampiri papa kandungnya itu. "Papa, dah lama tunggu ke?"

"Baru aje sampai. Ni cucu kesayangan papa jugak ikut sekali," ujar Dato' Hareez sambil menundukkan kepalanya ke arah stroller di hadapan. Terpacul figura cucunya, Farish Amsyar yang baru sahaja berusia dua bulan. 

Aryan Syah segera meraih tubuh si kecil itu seraya memberikan satu ciuman lembut di pipi gebu anaknya itu. Dia kembali menoleh ke arah papanya. "Ni kalau Farish ikut sekali ni, pasti Ezma dan Airish pun ikut sekali... mana mereka, papa?"

"Assalammualaikum abang, macam mana flight? Cuaca okey?" Tiba-tiba sahaja satu suara lembut menampar gegendang telinganya di saat Aryan Syah leka mengendong anak kesayangannya itu. Suara ni macam kenal aje. Sepantas kilat dia menoleh ke arah datangnya suara lembut yang menyapa. 

Susuk tubuh yang sangat dirindui, walaupun cuma berjauhan selama tiga hari. Ezma Umaira mengenakan blaus berwarna biru muda berserta kepala dilitupi shawl berwarna cream memberikan senyuman yang cukup mendamaikan hatinya. 

"Alhamdulillah, abang dah selamat sampai. Cuaca? Hmm... Awak dah sedia maklum, kan? Sekarang ni ribut tropika sedang membadai di ruang udara laut cina selatan tu... Jadi, sepanjang flight terasa seperti sedang driving di tengah jalan yang berlubang-lubanglah," jawab Aryan Syah panjang lebar sambil tersenyum. Wajah manis isteri direnungnya lama. "Ni dah kenapa tiba-tiba aje datang jemput abang? Dah tak sabarlah tu... Baru aje tiga hari abang tinggalkan."

Berkerut dahi Ezma Umaira sebaik sahaja mendengar kata-kata suaminya itu. Sepantas kilat satu cubitan dilepaskan tepat ke arah pinggang kanan Aryan Syah. 

"Aduh! Apa ni, main cubit pulak dia!"

"Abang lupalah tu... hari ini hari apa?"

"Hari ni? Hari ini hari khamislah sayang... malam nanti pulak malam jumaat... tak sabarlah tu..." Selamba saja Aryan Syah berkata membuatkan Ezma Umaira memuncungkan bibirnya. Aryan Syah perasan akan perubahan wajah isterinya itu. Merajuklah tu! Macamlah tak tahu. Perempuan, sikit-sikit nak merajuk. 

"Hai... orang tu, takkanlah tak ingat hari ni hari apa?" tiba-tiba saja Airish Syafiqa, adiknya mencelah. "Kalau tak ingat hari, sekurang-kurangnya ingatlah tarikh hari ni..."

"Alah... abang ingatlah hari ni... 28 Februari 2019, hari ni jugak genap setahun usia perkahwinan abang dengan Ezma." Tersengih-sengih Aryan Syah berkata. Hari bahagia, mestilah ingat. 

Sedang Aryan Syah dan ahli keluarganya itu bersedia untuk masuk ke dalam perut kereta, tanpa disedari seseorang telah menghampiri Aryan Syah. Dia mencapai bahu kirinya. Cepat-cepat dia menoleh ke arah kiri. 

Bukk!! 

Satu tumbukan dilepaskan tepat ke arah hidung mancung jejaka kacukan melayu dan arab itu. Sepantas kilat Aryan Syah jatuh terbaring di atas lantai simen kawasan parking itu. Uniform juruterbang berwarna putih yang disarung bertukar warna. Sepantas kilat juga dia menekup bahagian hidungnya yang kini sudahpun ada titisan cecair merah pekat mengalir keluar. 

"Aryan!" Dato' Hareez yang baru sahaja melabuhkan punggungnya di dalam perut kereta toyota vellfire berwarna hitam itu cepat-cepat menapak keluar mendapatkan anak sulungnya itu. 

"Itu tumbukan pertama dari aku untuk jantan tak guna macam kau! Kau musnahkan hidup adik aku, lepas tu kau tak nak bertanggungjawab!" Melantun tinggi laungan suara lelaki yang tidak dikenali itu. 

Ezma Umaira yang baru sahaja mengatur langkah untuk mendapatkan suaminya itu terpempan, bagaikan hendak terputus urat jantungnya sebaik kata-kata dari lelaki yang tidak dikenali itu tadi menampar telinganya. Berderau darahnya ketika ini, namun dia keliru. 

Beberapa saat selepas itu, lelaki misteri yang datang tidak diundang itu tadi berlalu pergi meninggalkan Aryan Syah dan keluarganya yang masih terpinga-pinga dan terkejut dengan apa yang baru sahaja berlaku. 

"Nanti! Tunggu dulu!" Airish Syafiqa tiba-tiba bersuara memanggil jejaka itu. Dia menapak keluar sambil menghadiahkan cerlungan maut ke arah lelaki misteri itu. "Sebelum kau pergi, tolong jelaskan apa yang berlaku?"

"Adriana Sofea..." Itu sahaja yang diluahkan oleh lelaki itu seraya berlalu pergi. 

Semua manusia yang berada di situ terlopong. 

Adriana Sofea? Siapa tu?

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status