Share

CALL MY NAME! (BAHASA MALAYSIA)
CALL MY NAME! (BAHASA MALAYSIA)
Author: Rabetkha

BAB 1

“BERHENTI! Razlan Ishak.”

ASP Jimmy melaung kuat. Matanya masih melingas ke kiri dan ke kanan. Dia mahu memastikan lorong kecil itu benar-benar kawasan mati. Dia tidak mahu penjenayah tak guna seperti Razlan Ishak terlepas lagi. Sudah banyak nyawa yang hilang kerana lelaki itu. Sudah banyak kerjanya terganggu kerana ketangkasan Razlan Ishak.

“Engkau tak akan dapat tangkap aku.” Dalam sekelip mata, lelaki itu memanjat ke arah tong sampah besar yang berada di sebelah kanan lorong. ASP Jimmy terus tersenyum senget.

“Engkau nak lari ke mana lagi? Engkau dah sampai ke penghujung lorong,” jelas ASP Jimmy meneruskan langkah ke hadapan. Inspektor Mastura yang baru tiba di kawasan tersebut sudah menghalakan muncung pistol ke arah lelaki itu. Razlan Ishak mati akal untuk mencari jalan keluar. Dia masih terpinga-pinga sendiri. Sekali-sekala Razlan Ishak menekan punat pistol, tapi sayangnya pistol di tangan sudah kehabisan peluru. Makin lama ASP Jimmy semakin hampir. Sepantas kilat, lelaki itu berlari tangkas menendang Razlan Ishak. 

Kemudian, ASP Jimmy segera memusingkan tubuh pihak lawan. Razlan Ishak tidak sempat berbuat apa-apa. Pipi kanan sudah melekat ke atas jalan tar. Kedua belah tangannya pula di bawa ke belakang, lantas tangannya digari.

“Kurang ajar punya polis! Lepaskan aku.” Razlan Ishak meronta kesakitan. Dia mahu dilepaskan.

“Kau tak akan terlepas lagi. Dah bertahun kau larikan diri. Sekarang ini pihak polis tak akan biarkan engkau terlepas lagi, Razlan Ishak!” tegas ASP Jimmy. Dia menarik nafas lega kerana akhirnya pembunuh bersiri sudah berada dalam genggaman pihak polis.

“Aku tak bunuh sesiapa! Aku kena fitnah,” teriak Razlan Ishak mahu membela diri. Semakin kuat tubuhnya di tolak ke hadapan agar berjalan lebih pantas.

Kena fitnah konon! Dia ingat pihak polis nak percaya?

Terlalu banyak bukti kukuh yang mampu sabitkan Razlan Ishak atas kesalahan merogol dan membunuh.

“Kita cerita dekat balai eh? Dekat sana kau menangis air mata darah pun orang tak akan percaya yang engkau tu mangsa Fitnah!” bicaranya bercampur tawa. Lucu rasanya bila seorang penjenayah buruan polis menyatakan yang dirinya telah difitnah.

“Lepaslah bodoh!” Razlan masih lagi melawan walaupun dia sudah digari kemas.

“Bawa dia ke balai!” arah ASP Jimmy. Sarjan Munir mengangguk laju. Pantas dia mengambil alih tugas ASP Jimmy untuk mengheret Razlan Ishak masuk ke dalam kereta.

“TUAN memang suka buat kerja seorang diri, kan? Sepatutnya saya yang ditugaskan untuk menangkap Razlan Ishak dan bukannya tuan. Bukan ke itu perancangan awal kita? Kenapa tuan sibuk ubah perancangan. Tuan nak tunjuk hebat ke?”

Baru saja masuk ke dalam perut kereta, suara Inspektor Mastura sudah memecahkan suasana dingin. Pantas ASP Jimmy mengerling ke arah mata Inspektor Mastura.

“Bertindak mengikut arahan. Kalau Tuan Jimmy dah arahkan supaya Puan Mastura hanya menjadi backup untuk kes ini, maknanya orang bawahan tak boleh nak pertikaikan arahan dari pihak atasan. Faham?” ASP Jimmy senyum kecil. Jelas kelat.

“Tuan Jimmy tak boleh ubah pelan kita di saat akhir. Tuan sedar tak yang tindakan tuan tadi, mampu menggagalkan misi kita!” suara Mastura melaung kuat. Dia tidak bersetuju dengan tindakan ASP Jimmy. Selalu sangat tukar perancangan saat misi sedang di jalankan.

Pentingkan diri!

“Misi kita tak gagalkan? Jadi, kenapa awak nak marahkan saya?” riak wajah ASP Jimmy sangat menyakitkan hati. Inspektor Mastura menggenggam penumbuk. Geram!

“Tuan memang tak reti beri kerjasama! Tuan pentingkan diri. Tuan saja nak buat kerja seorang diri sebab tuan nak dapat nama, kan? Tuan memang lebih pentingkan pujian dari pentingkan keselamatan rakan sepasukan. Kenapalah dekat dalam dunia ini, masih wujud manusia macam tuan.”

Terbuntang biji mata ASP Jimmy bila Inspektor Mastura selamba sinis dia begitu. Lancang dia berkata-kata.  Tergeleng ASP Jimmy bila gadis di hadapannya selamba menuduh dia begitu rupa. Pandangan mata ASP Jimmy sudah berdesis dengan satu pandangan yang sangat tajam.

“Misi kita untuk tumpaskan penjenayah tak pernah gagal bila kita ditugaskan untuk menjadi rakan sepasukan. Tapi awak tetap nak cari salah saya dalam memberi arahan. Kenapa ya? Awak rasa insecure dengan saya ke?”

ASP Jimmy lagi menyambung seraya bibir mengherot senyum senget.

Inspektor Mastura tersentak. Dahinya mula berkerut seribu.

Cis... Berlagak!

“Kalau berjaya tumpaskan penjenayah tapi Tuan Jimmy seorang saja yang dipandang oleh pihak atasan, lebih baik tuan buat kerja seorang diri. Tak payah sibuk nak mengharapkan kami.”

Inspektor Mastura mendengus kasar. Matanya sudah dijuling ke atas.

“Saya sebenarnya masih tak faham dengan situasi kita sekarang ini. Kenapa dalam banyak-banyak anggota, Inspektor Mastura juga diarahkan untuk menjadi rakan sepasukan saya dalam misi jenayah malam ini. Orang seperti awak memang tak layak berada dalam pasukan saya. Kenapalah awak ditakdirkan untuk berpindah unit tahun lepas. Kalau awak stay dekat IPD Subang Jaya, mesti hidup saya ni aman tanpa gangguan. Unit ini tak perlukan manusia keras kepala macam awak,” ucapnya sedingin salju.

Ekor mata ASP Jimmy melirik sepasang mata milik Inspektor Mastura. Tajam dan garang.

“Kenapa Tuan Jimmy kata macam itu?” Tertanya-tanya sendiri.

“Saya rasa ini dah banyak kali kita bekerjasama menjalankan misi. Dan setiap kali itu jugalah awak selalu mempertikaikan kemahiran saya dalam mengatur strategi. Kalau awak tak puas hati dengan cara saya berkerja, apa kata awak boleh buat aduan dekat pihak atasan tentang diri saya. Kalau boleh, ajak Sarjan Munir dan Koperal Raju untuk buat aduan tentang sikap selfish saya ni!”

Buat kesekian kalinya ASP Jimmy senyum. Jelas senyuman itu sangat sinis. Hati Inspektor Mastura mula disuntik rasa tidak enak. Dia yakin yang ASP Jimmy sengaja kata begitu kerana ingin menambahkan bara dihatinya.

MACAM mana aku nak beritahu motif, kalau aku memang tak bunuh anak orang tua tu!”

Razlan Ishak berteriak seperti orang gila. Inspektor Mastura yang berada di hadapan mata terus diludah. Terkejut ASP Jimmy yang berdiri di bahagian kanan Razlan Ishak.

“Engkau masih lagi nak sembunyikan kejahatan engkau, kan? Semua orang dah tahulah engkau suspek utama dalam kes rogol dan bunuh anak Raja Azree. Baik engkau mengaku saja sebelum aku sumbat pistol aku dalam mulut kau!” tegas ASP Jimmy kasar. Tangannya sudah menyilang dada.

“Bukan aku yang bunuh. Lepaskan aku!” masih lagi menbentak.

Tubuhnya terbangun dari duduk. Dia menggoncang tubuh sehinggakan kerusinya terjatuh. Razlan Ishak mahu menyerbu ke arah Inspektor Mastura, akan tetapi langkahnya terbatas bila tangannya yang masih bergari di kaki meja mematikan pergerakan.

“Jangan nak melawan. Duduk!” segera Sarjan Munir mencengkam bahu Razlan Ishak agar duduk semula. Sukarnya mahu mengawal lelaki itu. Keras kepala!

“Aku tanya lagi sekali, siapa yang terlibat dalam kes ini selain engkau. Aku nak tahu apa motif engkau buat semua ni.” Tangan ASP Jimmy mula mencengkam leher Razlan Ishak. Saja dia gunakan kekerasan. Dia mahu persoalannya segera di jawab.

“Tuan... Jangan kasar sangat,” bisik Inspektor Mastura. Dia tidak mahu ASP Jimmy menggunakan kekerasan untuk mendapatkan maklumat. Itu bukan etika kerja mereka. Semerta, hujung mata ASP Jimmy hanya menjeling. Dia tidak perlukan nasihat sesiapa saat ini.

Aku tahu kerja aku! Aku tahu apa yang aku buat.

“Engkau bijak dalam merogol dan membunuh orang. Tapi engkau tak bijak untuk tahu di mana CCTV berada. Gambar-gambar ni memang jelas membuktikan engkau terlibat dalam kes pembunuhan anak Raja Azree.”

ASP Jimmy melemparkan beberapa keping gambar ke atas meja lantas tangannya laju menolak kepala Razlan Ishak agar memandang kepingan gambar tersebut dengan jarak lebih dekat.

“Engkau juga terlibat dalam kes pembunuhan anak Dato Junid, kan? Jadi aku nak engkau beritahu pihak polis tentang motif pembunuhan yang telah engkau jalankan!” Giliran Inspektor Mastura pula menunjukkan beberapa bukti kepada Razlan Ishak.

“Macam mana engkau tahu yang lelaki dalam gambar ini memang aku? Engkau tak rasa ke lelaki dalam gambar ini pelanduk dua serupa yang menyerupai wajah aku ke? Dalam erti kata lain, kembar.” Lelaki itu ketawa mengilai. Saja dia mahu menguji kerja anggota polis. Saja dia mahu menduga.

“Jangan uji kesabaran aku! Aku tak ada masa nak layan engkau. Jadi tolong jawab segala persoalan aku dengan jujur!” tegas ASP Jimmy lagi. Nada suaranya semakin lama semakin keras sama seperti pandangan matanya yang sudah menikam ke dalam mata Razlan Ishak.

“Aku nak keluar. Jangan buang masa aku untuk jawab soalan bodoh macam ini.” Razlan Ishak masih melawan. Dada ASP Jimmy sudah berombak kencang.

“Aku ni dah lama tak tembak orang. Kalau kau rasa engkau nak jadi arwah, engkau tak payahlah jawab soalan aku ni. Biar engkau mati je dekat tangan aku!”

ASP Jimmy mengherot senyuman janggal. Kemudian tangannya segera mengeluarkan senjata dari dalam poket. Masing-masing terkejut bila ASP Jimmy menghalakan muncung pistol tepat pada bahagian kepala si penjenayah.

"Jangan bunuh aku.” Raut muka Razlan Ishak berubah. Wajahnya pucat bagaikan tiada darah.

“Kalau kau rasa tak mahu kena bunuh dengan ASP Jimmy, lebih baik kau cerita hal yang sebenar.” Makin kuat tangannya menekan pistol di bahagian kepala Razlan Ishak. Tingkahnya membuatkan lelaki itu tidak mampu bernafas dengan tenang.

“Tuan ... Kita tak boleh buat macam ini tuan. Ini bukan etika kita.”

Sempat Inspektor Mastura berbisik. Makin Mastura menegur, makin kuat dia melekatkan pistol itu di bahagian tepi kepala Razlan Ishak. ASP Jimmy sekali lagi mengabaikan kata-kata gadis itu.

“Beri tahu segala-galanya sebelum otak kau bersepai.” Kini, jerkahannya lebih kuat berbanding tadi.

“Kau polis, kau tak akan berani buat macam itu,” getus Razlan Ishak. Bibir diketap.

“Kalau aku terpaksa, aku sanggup je buat. Aku tak kisah masuk penjara sebab bunuh orang macam kau, janji aku puas.”  

Suara ASP Jimmy semakin rapat menyinggah ke cuping telinga Razlan. Anggota polis yang berdiri di sisi mereka hanya terdiam kaku. Tidak berani untuk menegur tindakan ASP Jimmy yang semakin menggila.

“Jangan bunuh aku. Baaa baik aku akan cerita apa yang aku tahu.” Akhirnya, Razlan Ishak mengalah. Kata-kata dari ASP Jimmy menggerunkan seluruh jiwa. Polis di depannya menakutkan, tidak boleh di buat main. ASP Jimmy yang mendengar jawapan yang memuaskan hatinya, terus mengherot senyum.

Takut mati rupanya!

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status