Share

BAB 6

ASP Jimmy mengintai bahagian dalam gudang sambil dia berselindung di sebalik guni yang tersusun tinggi di bahagian pintu gudang tersebut. Lelaki itu terpaksa memanjat papan-papan yang tersusun tinggi agar pandangan matanya mampu melihat suasana dari arah dalam. Inspektor Mastura yang berada di bahagian bawah bersama beberapa anggota yang lain hanya duduk menunggu. Menanti maklumat dan arahan dari orang atasan mereka. ASP Jimmy berhati-hati meneliti segenap ruang.

Tidak mahu penjenayah perasan akan kehadiran mereka yang mahu membuat serbuan. Tidak mahu rancangan mereka kali ini gagal. Sudah beberapa kali mereka gagal menumpas sindiket dadah.

“Sampai bila kita nak duduk di sini? Kita perlu masuk ke dalam segera sebelum mereka dapat hidu gerak-geri kita.”

Inspektor Mastura bersuara nada bisik dari bawah. Kepala mendongak agar lebih fokus memerhatikan AP Jimmy yang sibuk mengintai-ngintai tanpa suara. Dia membiarkan persoalan Inspektor Mastura seperti angin lalu.

Setelah beberapa minit mengenal pasti kawasan tersebut dari arah luar, ASP Jimmy terus melompat ke bawah dan memerhatikan rakan sepasukannya setelah berdiri semula.

“Kawasan gudang ni dah kosong.” Keras dia memberi jawapan. Wajahnya jelas hampa.

Mereka gagal lagi!

Sungguh, dia hairan kerana sentiasa gagal menjalankan misi menumpas kegiatan haram. Seolah-olah ada manusia yang menjadi mata-mata penjenayah bebas itu untuk lari sebelum mereka menggeledah kegiatan tersebut.

“Saya tak nampak seorang pun manusia dari arah dalam. Jadi kita perlu berpatah balik. Saya rasa kawasan ni dah tiada sesiapa. Mungkin mereka dapat mengagak yang pihak polis akan membuat serbuan ke markas mereka,” jelas ASP Jimmy lebih terperinci.

“Tuan nak saya masuk ke dalam ke tuan? Kalau nak, biar saya pun panjat guni yang bertimbun ni. Biar saya dulu yang masuk ke dalam.”

ASP Jimmy hanya menggeleng laju sambil matanya memandang Inspektor Keith.

Dia tidak mahu sesiapa melebihi kawasan luar gudang.

“Kita masuk ke dalam dan geledah kawasan gudang ni.” Inspektor Mastura memberi arahan tanpa menghiraukan ASP Jimmy. Semua mata terus terhala ke arahnya.

Masing-masing Pelik bila ada suara lain sibuk mahu mengarah selain ASP Jimmy.

Ahli pasukan bawahan ASP Jimmy hanya akan mendengar arahan dari lelaki itu. Inspektor Mastura tiada hak untuk membuat sebarang keputusan.

“Bertindak mengikut arahan. Kalau saya kata masuk ke dalam maknanya kita perlu masuk ke dalam. Kalau saya kata tidak, maknanya kita tak perlu geledah kawasan dalam gudang ni.” ASP Jimmy mendengus geram. Tunak matanya menatap Inspektor Mastura. Pandangannya bagai mahu menelan.

“Tapi kenapa tuan? Kalau kita tak masuk ke dalam mesti kita tak tahu maklumat yang seterusnya,” ujarnya hairan. Inspektor Mastura menapak beberapa langkah lebih dekat dengan lelaki itu.

Suka sangat tunjuk pandai!

“Keith, dah berapa tahun awak dalam pasukan ni?” soal ASP Jimmy tiba-tiba. Pandangan mata beralih menatap wajah Inspektor Keith yang merupakan anggota paling muda di dalam pasukan mereka.

“Baru setahun tuan.” Inspektor Keith menjawab nada meleret.

“Hurm, tapi awak masuk lebih awal dari Inspektor Mastura. Tolong beritahu manusia bijak pandai ni, kenapa saya tak mahu arahkan kamu semua untuk masuk ke dalam. Saya rasa awak dah biasa kut dengan misi yang berkaitan dengan markas penjenayah yang tersembunyi dekat kawasan hutan macam ini.”

ASP Jimmy bersuara sinis sambil tubuhnya sudah berpusing untuk berpatah balik ke arah kereta. Malas sungguh dia mahu melayan perangai Inspektor Mastura yang sering menjadi pemberontak.

“Markas rahsia ni selalunya ada perangkap. Kita tak tahu yang mereka ada simpan bom tersembunyi ataupun tidak. Kalau kita terjah masuk ke dalam tanpa mengambil langkah berhati-hati, kita sendiri yang akan masuk ke dalam perangkap musuh.” Inspektor Keith memberi penerangan. Mata hazelnya kelihatan bercahaya di bawah cahaya lampu gudang itu.

“Pernah berlaku satu kes, beberapa orang anggota kita meninggal dunia dan ada yang cedera parah kerana bom tersembunyi.” Koperal Raju pula menerangkan peristiwa yang pernah berlaku.

“Kalau setiap misi kita perlu fikirkan hal macam itu, kita yang susah nanti. Anggota polis macam kita ni memang perlu menanggung risiko untuk hadap apa saja yang akan berlaku. Kalau rasa takut, tak perlu jadi anggota polis.” Inspektor Mastura membentak geram. Mata dijuling ke atas tanda protes.

“Puan masuklah ke dalam. Saya nak tengok juga tindakan bijak puan ni membuahkan hasil ke tidak. Agak-agaknya puan boleh jumpa penjenayah tak dekat dalam tu kalau dari luar pun kita dah kenal pasti yang penjenayah dah melarikan diri,” ucap Sarjan Munir pula.

Mendengar suara itu menengking, jantung Inspektor Mastura seolah-olah berhenti.

Ah, Sarjan Munir sentiasa menentangnya kerana lelaki itu.

“Kalau dah Tuan Jimmy tak kasi masuk, maknanya saya tak perlu masuk.” Inspektor Mastura agak gemuruh bila Sarjan Munir bersuara. Dia halakan pandangan ke tempat lain.

“Puan masuk ajelah kalau rasa rasa arahan dari Tuan Jimmy tu menyusahkan. Puan masuk ke dalam seorang diri dan biar kami tunggu dalam kereta. Sekurang-kurangnya, kalau ada bom sesat yang meletop dekat dalam gudang, puan aje yang akan mati.”

Masing-masing tergelak mendengar perlian Sarjan Munir. Kata-kata lelaki itu sentiasa menyentak jiwa.

Butir bicara yang terlantun dari bibirnya bagai peluru yang menembak secara tersembunyi. Memedihkan hingga menusuk ke jantung.

“KALAU awak rasa yang awak tu masih belum pakar lagi dalam membanteras penjenayah, awak janganlah berlagak pandai ya Inspektor Mastura?”

Inspektor Mastura terngadah tatkala suara ASP Jimmy berdengung di cuping telinga. Segera dia pusingkan tubuh agar dapat menatap wajah lelaki yang berada di tempat duduk belakang.

“Apa masalah tuan ni? Misi kita gagal tau petang ni. Jadi jangan tambahkan kekecewaan saya dengan perlian bodoh.” Geli anak telinga ASP Jimmy bila mendengar hamburan marah itu.

“Kita masih belum gagal lagi. Kalau nak jadi anggota polis yang berjaya, kita semua perlu berkerja dengan teliti dan profesional untuk handle kes ini.” Inspektor Keith mencelah.

“Dengar tu Puan Mastura. Jangan anggap kita ni gagal selagi kita belum jumpa bukti. Usaha tangga kejayaan. Untuk capai matlamat, kita tak boleh mudah mengalah.” seloroh Sarjan Munir yang sudah mengherot bibir ke tepi.

“Kita ni tak boleh ikut emosi dalam menjalankan misi. Kita tak boleh putus asa bila kita rasa diri kita ini gagal. Sebagai anggota polis, kita perlu gunakan akal untuk menyelesaikan satu kes jenayah,” tutur ASP Jimmy lebih tegas.

Sungguh, dia berharap agar Inspektor Mastura lebih mengerti dengan tindakannya dalam melalukan sesuatu.

“Tuan Jimmy nak kata saya ni tak berakal ke? Tuan nak kata saya ni tak profesional ke?”

Inspektor Mastura melenting geram. Lelaki itu menjongket bahu sebelum membalas persoalan dari si bunga.

“Dari pandangan mata saya sebagai ASP Jimmy yang berwibawa ni, saya rasa Puan Mastura tak layak teruskan misi bersama kami di unit ni. Sebab unit kami ni memerlukan orang yang berkerja gunakan akal bukannya emosi.”

ASP Jimmy meluahkan segala rasa yang berbuku di hati.

Tidak mahu berselindung lagi. Penat!

      “MASTURA … sekejap.”

Inspektor Keith berlari anak menghampiri Inspektor Mastura yang baru bangkit dari mejanya untuk pulang ke rumah. Mendengar namanya dipanggil, Inspektor Mastura menghela nafas berat. Emosinya terganggu sejak pulang dari markas jenayah, petang tadi.

“Apa benda kau ni? Aku penatlah. Malas nak bercakap dengan orang!”

Inspektor Mastura mengeluh. Tidak mahu berinteraksi dengan sesiapa. Lebih-lebih lagi Inspektor Keith yang banyak kerenahnya.

Relaks. Aku nak minta tolong kau sekejap sebelum balik.”

Inspektor Mastura mengecilkan biji mata. Dia sudah mengagak. Bila tiada orang lain di pejabat, lelaki itu sering meminta bantuannya untuk menyiapkan laporan untuk diberikan kepada orang atasan.

“Engkau dah beria-ia perli aku dekat dalam kereta tadi, sekarang sibuk nak minta tolong aku.” Inspektor Keith tergamam. Huh, Inspektor Mastura seorang yang bertunjangkan emosi.

“Aduhai, kau ni berdendamlah. Yang berlalu biar berlalu, jangan simpan dalam hati.” Mata bundar terkebil-kebil.

“Aku sibuklah. Minta tolong orang lain boleh?”

Inspektor Mastura tiada masa mahu melayan sikap culas Inspektor Keith dalam melakukan pekerjaan. Tidak rajin mencari dan mengkaji. Lelaki itu lebih suka bertanya dan mendapatkan maklumat dari orang lain dengan mudah. Langsung tidak berusaha keras.

“Alahai, kejaplah. Tolonglah aku pasal kes pembunuhan dekat Cheras tiga minggu lepas. Engkaukan lebih berpengalaman dalam kes-kes macam ini. Engkau tolonglah kasi aku input.”

Inspektor Keith mencebik bibir. Dia tayang wajah comel di depan Inspektor Mastura. Masih meminta simpati agat dibantu.

“Input apa pula ni?” Inspektor Mastura bercekak pinggang. Wajahnya semakin bengis.

“Input pasal kes tulah. Engkau ada dekat tempat kejadian, jadi lebih mudah aku nak handle kes ni. Pihak atasan dah banyak tanya dah ni, otak aku jadi serabut. Aku masih tak dapat nak kenal pasti …” belum sempat dia menoktahkan ngomelan, Inspektor Mastura terlebih dahulu mencelah.

“Panjang lagi ke kau nak membebel ni? Kau tanya orang lain boleh tak?” suaranya sedikit keras. Rimas.

“Engkau ajelah yang aku selesa. Kalau nak tanya orang atasan, aku segan. Kena cakap formal pula tu. Lagipun aku sibuk nak kena buat report untuk dua kes dalam bulan ni. Kalau kau bantu aku dalam kes ini, mesti kerja aku lebih …”

“Dah habis cakap dah? Kalau dah, aku nak balik dulu.”

Inspektor Mastura tidak berminat mahu mendengar penjelasan dari lelaki itu. Otaknya penat. Dia perlukan rehat secukupnya untuk menghadapi hari esok.

“Tolonglah aku.” Bibir memuncung ke depan. Hujung mata Inspektor Mastura hanya menjeling kepada Inspektor Keith.

“Kalau kau rasa kau sibuk, aku ni lagi sibuklah! Aku ni tak ada masa nak bagi input dekat orang lain kalau kerja aku pun tak selesai. Jangan ganggu aku boleh?” Inspektor Mastura menengking. Si jejaka terkejut dengan jerkahan itu.

“Kau ni dah kenapa nak marah-marah? Minta tolong je. Kalau tak boleh tolong hari ni, besok pun boleh.” Berkerut panjang kening Inspektor Keith. Wajahnya yang tadi tersenyum sengih berubah geram.

“Minta tolong orang atasan kesayangan kau. Tak payah minta tolong aku!” hujung matanya menjeling tajam.

Hak eleh, perangai budak-budak dia ni. Beremosi sebab kena marahlah tu.” Perhatiannya lebih fokus menatap bibir Inspektor Mastura. Dia perasankan bibir itu sedang diketap serapatnya.

“Aku ni tahan tangan ni dari tampar Tuan Jimmy tau? Jangan sampai tamparan aku ni terlepas dekat muka kau!” getusnya. Tangan sudah mengepal penumbuk.

“Berlagak! Nanti kalau aku dah dapat input pasal Razlan Ishak yang berkait dengan kes Manaf Jidin tu, aku tak mahu kasitau kau.”

Inspektor Keith pusingkan tubuh. Dia mengatur langkah untuk pergi. Baru saja mahu melangkah, tiba-tiba ….

“Eh, kejap. Manaf Jidin? Siapa tu?”

Inspektor Mastura menahan langkahnya untuk meneruskan perjalanan. Inspektor Keith mengherot senyuman. Dia sudah dapat meneka bahawa Inspektor Mastura akan terkejut mendengar nama tersebut.

Bye!

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status