Share

BAB 5

SEAWAL jam lapan pagi Dato Edmond sudah meminta Noah menemaninya bersua seseorang yang mahu dijadikan pembantu peribadi buat Erbach Arsalan. Seingat Noah, Dato Arsalan terlalu sibuk dengan kerjanya dan dia menganggap lelaki separuh abad itu sukar mencuri masa untuk mencari pekerja yang baru. Ternya dia silap. Dato Edmond melakukan misi mencari dengan kadar yang segera. Pasti dia benar-benar mahu mencari seseorang yang sesuai untuk bersama Erbach Arsalan.

Agak-agaknya pembantu yang bagaimana akan mengisi kekosongan sebagai PA si jejaka? Ah, Noah pula yang nervous bila memikirkannya.

“Kamu okey ke Noah? Saya nampak kamu ni macam tak boleh duduk tenang aje dalam kereta saya?” Dato Edmond memandang sekilas wajah Noah sebelum menjunam Kembali pandangan ke arah akhbar yang di baca.

“Saya berdebar pula bila dato ajak saya berjumpa PA yang baru. Rasa macam cepat sangatlah pula dato dah jumpa pengganti,” balas Noah jujur. Dia senyum menampakkan gigi putih yang tersusun rapi itu.

“Saya nak yang terbaik untuk anak saya dan saya kalau boleh nak cari seseorang yang mampu mengawal aktiviti harian dia.” Noah hanya mengangguk dan melukis senyuman.

Ya, setiap ibu bapa memang mahukan yang terbaik untuk anak mereka dan Dato Edmond juga tidak terkecuali.

DATO EDMOND melangkah ke pondok pengawal keselamatan untuk mencari gadis yang telah diperhatikan seminggu yang lepas. Beliau tertarik dengan setiap perwatakan yang telah diceritakan kepadanya. Beliau yakin dengan setiap penceritaan yang telah disampaikan.

Pagi ini, Noah mengikut jejak Dato Edmond menuju ke sekolah.

“Dato kata nak bawa saya berjumpa dengan calon pembantu peribadi Erba. Tapi kenapa sekarang dato bawa saya pergi sekolah pula. Dato nak suruh saya yang dah tua bangka ni masuk sekolah semula ke dato? Saya dah ada sijillah dato. Walaupun cukup-cukup makan je tapi saya masih ada sijil.” Dato Edmond tersengih segaris mendengar bicara Noah yang melucukan hati.

Noah sudah menggaru sisi kepala kerana masih tidak faham tujuan dia dan Dato Edmond datang ke mari.

Ke situ pula yang difikirkannya.

“Saya nak cari pembantu baru untuk anak sayalah.” Sambil Dato Edmond bercerita sambil mereka berjalan.

Pegun Noah memandang keadaan sekeliling.

Pembantu Erbach yang nak dicari tu budak sekolahkah? Haih, tak mungkin …

“Assalamualaikum.” Setibanya Dato Edmond dan Noah di pondok keselamatan, Esra Elvina terus menuju keluar dari pondok pengawal mahu bersua mereka berdua.

“Ya, cari siapa?” Saat Esra Elvina memerhatikan wajah tua berkulit putih gebu itu, ingatan dia tertumpu kepada masa lampau. Dia tersentak sendiri. Berkocak laju jantungnya.

Lirikan mata Esra Elvina agak mendung kerana fikirannya mula menerewang ke lain. Elvina pandang tanpa berkelip walaupun riak wajahnya masih kosong.

Tangan Elvina tiba-tiba menggeletar seolah-olah sedang melihat Sang Algojo di depannya. Tidak pernah Elvina merasa seram sejuk begini. Dia hanya terkaku.

“Saya cari awak. Saya nak melamar awak,” bicara Dato Edmond selamba diiringi pakej senyuman manis dihadiahkan kepada si gadis. Terpusing laju kepala Noah dibuatnya bila mendengar bicara dato bagaikan hilang akal.

Mak aiiii...

Buang tabiat ke dato ni nak melamar pengawal keselamatan?

Kalau ya pun nak melamar anak orang, kenapa tergesa-gesa sangat? Lagipun kenapa muda sangat calon isteri yang dia nak pilih buat isteri? Sebaya anak dia aje agaknya. Kalau dengan aku, sesuailah juga daripada nak digandingkan dengan dia yang dah kerepot tu.

Sempat hati Noah berbisik keliru.

“Maafkan saya. Saya tak ada masa untuk mendengar gurauan ataupun lamaran. Sekali lagi saya bertanya, apa tujuan datang ke sini.”

Laju saja jawapan dan disusuli soalan yang baru saja Esra Elvina lafazkan. Si gadis tidak mahu menatap wajah itu lama-lama kerana jiwanya tidak kuat.

“Kami ada tujuan.” Dato Edmond dan Noah membalas serentak. Aik, macam merancang pula.

“Baiklah, tujuan apa yang encik berdua inginkan? Nak jumpa pihak sekolah ke? Kalau nak jumpa saya boleh bawakan.” Dia berdiri tegak dan stastik. Hanya bibir yang bergerak-gerak.

Noah yang merenung wajah itu sedikit tergumam.

Dia tak sangka, ada juga manusia spesis gadis depannya. Dia cakap laju macam robot. Langsung tak ada harakat tak ada noktah. Penanda wacana pun tak ada agaknya.

Noah terasa sedikit lucu mendengar dan melihat setiap gaya penyampaian dari gadis muda yang masih berdiri tegak tanpa goyang walaupun sedikit. Rasa nak terburai tawa dibuatnya. Dia ingatkan mereka sedang menyanyikan lagu kebangsaan ke sampai nak kena berdiri tegak?

“Betul. Saya nak melamar cik untuk menjadi pembantu peribadi anak saya, Boleh?” tanpa berfikir lama Esra Elvina terus mengangguk laju sambil mata masih fokus memerhatikan Dato Edmond yang menyimpul senyuman manis.

Dato Edmond dan Noah saling berpandangan apabila anggukan laju itu dilakukan tanpa ada sebarang bantahan dan persoalan. 

Uish, cepatnya buat keputusan? Sepantas kilat...

“Dato, dia perempuan. Saya takut dia tak tahan nanti,” bisik Noah kurang berkeyakinan.

Dato Edmond hanya memandang ke depan tanpa menghiraukan apa yang diperkatakan oleh Noah.

“Baik. saya setuju dengan cadangan yang diberikan. Saya perlu menjadi pembantu anak tuan yang mana satu? Anak Lelaki atau anak perempuan?” soal Elvina masih lagi berdiri tegak bagaikan patung cendana. Mulut bergerak tapi sibuk berdiri tegak langsung tidak bergerak ke kanan dan ke kiri. Macam nak berkawad kaki pun ada.

Dia ni duduk kem Askar ke waktu kecil-kecil dulu? Tak pun dia ni bekas Askar Wataniah kut? Desus Noah lagi.

“Eh, kamu tahu siapa anak saya?” Dato Edmond sedikit musykil.

“Saya tanya jadi sila jawab sahaja.” Si gadis bertanya laju. Dia mahu jawapan yang sebenar dan dia tidak mahu mendengar perkataan lain selain memberi jawapan.

Uish, ketegasan yang beginilah yang dia mahu. Hati Noah berbisik lagi. Sempat dia menilai si gadis.

Dato Edmond pula sudah berkerut dahi bila diajukan soalan begitu. Sudah tentu dia mahu mencari pembantu peribadi buat anaknya Erbach Arsalan.

Anak perempuannya sudah berkahwin dengan jejaka pilihannya. Semenjak berkahwin dengan lelaki kampung yang tidak sama taraf dengan mereka, hubungan Ernida Arsalan bersama Dato Edmond semakin renggang. Lelaki separuh abad itu juga sudah menganggap Ernida sudah tidak wujud di muka bumi ini.

“Saya nak cari pembantu untuk anak lelaki saya. Nama dia Erbach Arsalan. Dia seorang selebriti dan saya perlukan awak untuk menjaga dia,” balas Dato Edmond lagi.

Esra Elvina jeda seketika tatkala nama itu disebut. Nama itu mengingatkannya tentang keratan majalah yang telah dikoyakkan tempoh hari.

“Baik, apa tujuan tuan minta saya jadi pembantu peribadi anak tuan?” Esra Elvina menyoal lagi. Nada suaranya kali ini lebih serius berbanding tadi.

Mak ai... Dia cakap macam robotlah dato. Mulut je bergerak badan tegak je. Dia tak sakit belakang ke?” Selamba Noah kutuk depan muka.

Mata Esra Elvina laju memandang wajah Noah. Si Noah sibuk sengih macam kambing. Dia tak rasa takut memandang riak wajah si gadis, sebaliknya dia tersenyum nakal sambil bibir sempat diherotkan ke tepi.

Tak pernah dia lihat insan seperti gadis di hadapannya. Muka cantik tapi bengis riaknya.

“Bila saya bercakap, awak perlu dengar sahaja. Jangan mencelah setiap apa yang saya sampaikan,” ujar Esra Elvina tegas walaupun ringkas. Noah hanya mengangguk.

Dia masih terpegun dan terfikir-fikir bahawa makhluk yang berdiri depan dia robot atau manusia?

‘Aku syak dia ni robot manusia macam dalam drama I am Not Robot tu.’ Tak habis-habis lagi dia membebel dalam hati.

Keliru dia antara dua.

“Anak saya tu degil,” keluh Dato Edmond perlahan. Dia menghembus nafas berat sebelum meneruskan bicaranya. Noah di sebelah hanya tersenyum-senyum memikirkan suatu perkara.

“Degil yang macam mana tu? Boleh terangkan kepada saya?” Gaya Esra Elvina bersoal jawab seolah-olah mereka sedang menjawab peperiksaan secara lisan. Melihat riak wajah si gadis yang masih serius, Noah panjang akal untuk menduga sikapnya.

“Biar saya yang terangkan kepada awak tentang anak Dato Edmond.” Dia berjalan beberapa langkah agar tubuhnya dan Esra Elvina semakin menghampiri.

“Baik, terangkan,” balasnya mendatar.

“Insan bernama Erbach Arsalan merupakan seorang manusia yang degil, menjengkelkan dan paling penting dia suka lakukan perkara pelik-pelik bila dia nak menguji tahap kesabaran dan ketabahan seorang pembantu peribadi. Sejujurnya kami di sini kerana mahu mencari pembantu yang tahan maki dan cekalkan hati. Kami juga mencari pembantu yang tegas dan tidak ikut semua arahan pelik dari dia. Lebih-lebih lagi arahan yang membawa Erbach Arsalan kepada kemaksiatan ya tuan-tuan dan puan-puan sekalian.”

Dato Edmond terpelangah mendengar setiap butir bicara yang terluncur keluar dari ulas bibir Noah. Tawanya terletus halus.

Aik, kedengaran pelik intonasi suaranya. Segera matanya bertatapan dengan lelaki itu. Batang leher yang tidak gatal digaru-garu berulang-kali. Aneh mendengar cara Noah berkata-kata. Dia baca buku ataupun bercakap?

‘Mesti dia saja nak perli perempuan ni.’ Dato Edmond dapat menghidu sikap Noah yang sengaja mahu menyakat orang lain. Dah mula dah perangai sengal dia ni.

“Baik. Minggu depan saya akan mula bekerja. Berikan saya alamat rumah, tepat jam tujuh pagi saya akan berada di sana.” Keras saja suara Esra Elvina. Mukanya masih beriak dingin walaupun Noah sudah tunjuk gaya aneh depannya. Langsung tidak tercuit hati, Hanya Dato Edmond yang tertawa tadi,

Itu saja jawapan dia? Tak ada common sense nak berfikir dulu ke sebelum buat keputusan?

“Kalau boleh saya nak suruh awak tinggal dekat rumah saya. Jangan risau dekat rumah tu ada saya dan para pekerja saya.” Sekali lagi Esra Elvina mengangguk.

Pergh, mudahnya. Angguk-angguk geleng-geleng je dia ni.

DATO yakin ke nak suruh perempuan tu jagakan Erba? Saya tengok dia tu macam robot bergerak je. Kalau dia buat salah confirm kena maki dengan anak dato. Sumpah, saya tak yakin langsung dengan dia.” 

Dato Edmond mengangguk dalam senyuman. Dia benar-benar yakin dengan keputusan yang telah dibuat. Dia yakin dia tidak tersalah pilih.

“Saya yakin dia mampu kerja lama dengan anak saya.” Penuh berkeyakinan jawapannya. Noah tersenyum tipis sekadar mahu menyedapkan hati dan fikiran. Walhal, Fikiran dia masih lagi sukar untuk yakin bahawa perempuan yang baru saja mereka jumpa tadi mampu menjadi pekerja kepada Erbach Arsalan.

“Kalau Erbach buli dia macam mana? Kalau dia ikut aje arahan Erbach ke kelab malam macam mana? Kalau Erba…” belum sempat menghabiskan bicara, Dato Edmond mencelah terlebih dahulu.

“Berapa banyak kalau awak nak sebut ni? Jangan menilai dulu boleh tak?” getus Dato Edmond. Terbentang luas kerutan pada dahi.

“Saya risau kalau Erbach buli robot macam dia tu. Silap-silap lagi teruk dia kena buli. Gaya dia bercakap pun macam telan kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.” Dato Edmond terus memandang sekilas riak wajah Noah sebelum memandang semula ke depan.

“Dia yang akan buli Erba. Perempuan tu bukan biasa-biasa. Dia luar biasa.” Awie yang memandu kereta bersuara. Dia turut yakin dengan keputusan majikannya.

“Saya tahu dato yakin dengan perempuan tu sebab dia serius, tapi hati saya ni kuat merasakan dia tak layak.” Masih lagi Noah dengan pendapatnya yang tersendiri.

“Dia layak dan saya yakin hanya dia sahaja akan bertahan dengan kerenah anak saya tu,” tegas Dato Edmond lagi.

“Tak mungkinlah. Dia tu macam patung je, apa yang kita cakap pun dia setuju. Kalau semua benda dia setuju macam mana dia nak halang si Erbach dari keluar malam berfoya-foya dato?” Noah masih lagi mahu membidas. Dia tetap dengan pemikirannya yang menganggap Esra Elvina tidak layak.

“Ini Edmond Arsalan dan saya tahu apa yang saya buat tu betul,” tegas suara Dato Edmond berbicara.

“Baiklah kalau dato rasa itu terbaik saya ikutkan saja.” Noah sudah tidak mampu untuk berkata apa-apa lagi. Kalau itu lah yang diperkatakan oleh dato Edmond dia akur saja.

Tunggu dan lihat saja.

MASUK saja ke dalam Villa Edmond, Noah mengatur langkah untuk menenangkan diri di bahagian kolam renang. Dia mahu mencuba untuk menerima hakikat bahawa pembantu peribadi Erbach Arsalan seorang wanita muda yang gayanya seperti robot.

Dia menarik nafas sedalam-dalamnya lantas mata dipejam buat seketika. Entah mengapa hati Noah berdebar-debar setelah mendapat tahu siapakah yang akan mengisi kekosongan jawatan itu. Saat dia memandang wajah si gadis di sekolah tadi, Noah dapat merasakan sesuatu yang aneh dalam diri si gadis. Kemampuannya untuk mengendalikan Erbach juga kelihatan terhad.

“Aku tak yakin langsung dengan perempuan tu. Kalau lelaki pun tak tahan dengan Erbach, macam mana perempuan nak bertahan dengan sikap Erbach tu? Cuba bayangkan kalau Erbach simbah air kopi dekat baju dia? Ya Allah, kasihannya dia.”

Noah sudah mengomel sendiri. Banyak perkara yang difikirkan sehingga minda tidak mampu melenyapkan wajah si gadis robot.

"Kasihannya kalau perempuan cantik macam dia kena buli." Noah memuncung sedepa.

“Kau membebel apa tu bro?” Satu tangan menepuk tubuhnya dari belakang. Segera Noah memusing tubuh. Figura Awie dipandang jelas.

“Aku tak setujulah kalau perempuan tu…,” keluhan terlepas keluar dari bibir. Noah membuang pandangan memandan ke kaki langit. Dia memerhatikan cahaya Mentari yang mula mrnyinar terang.

“Dato tak akan buat sesuatu kalau dia tak yakin. Kau kena percaya dengan keyakinan Dato Edmond yang tak pernah mengecewakan.”

Awie menguntum senyum sekadar mahu memberi aura positif kepada rakan sekerjanya di Villa Edmond.

“Siapa kata yang keyakinan dato tak pernah mengecewakan?”

Kepala sudah dipusingkan memandang wajah Awie yang sedari tadi merenung ke wajahnya yang keruh. Mendengar persoalan menduga terbit dari ulas bibir Noah, automatik bibir Awie membentuk huruf ‘O’.

“Dato pernah buat keputusan yang mengecewakan untuk anak sulung dia, aku tak mahu dia buat keputusan yang mengecewakan pula untuk Erbach.” Noah tersenyum sinis. Dia tersenyum tawa memandang Awie.

Bro, engkau tak boleh samakan hal Erbach dengan Ernida.”

Awie mengingatkan. Dia tidak mahu situasi ini disamakan dengan situasi Ernida yang sudah menghilang sejak beberapa tahun yang lepas.

“Dia cari pembantu perempuan untuk anak dia seolah-olah dia yang nak menjerumus anak dia ke arah kerosakan. Perempuan dan lelaki tak boleh berdua-duaan sampai ke tengah malam.” Awie berjeda sekejap setelah mendengar jawapan balas dari Noah. Sesekali, liur yang tersekat di bahagian kerongkong ditelan kesat.

Be professional bro. Kau dah banyak pengalaman, sepatutnya kau lebih faham.” Awie tayang wajah menggerutu bila dia terpaksa memahamkan Noah akan keputusan Dato Edmond.

“Sebab aku terlebih fahamlah aku tak mahu perempuan tu jadi pembantu Erbach. Makin banyak perempuan hadir dalam hidup Erbach, makin susah hidup dia nanti,” getus Noah lagi.

Dia yakin … Awie tidak akan faham maksud tersirat yang ingin disampaikan.

Ah, lupakan sajalah.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status