Share

BAB 7

NOAH menggaru sisi kepala setelah tiba di kawasan pondok pengawal. Entah mengapa dia merasa gementar mahu bersua si gadis. Tangan kanan lantas menyentuh dada sendiri.

Mak ai… Dah kenapa jantung aku berdegup laju sangat ni?” Dia sendiri terkejut dengan dirinya. Jantung berkocak laju seolah-olah mahu melamar seorang gadis.

Hari ini dia bertekad mahu bersua Esra Elvina secara persendirian. Dia mahu bertanya lebih lanjut tentang persetujuan si gadis yang pantas memberi jawapan setuju kepada Dato Edmond beberapa hari lepas.

Setelah menghentikan langkah tepat di hadapan pondok, dia mula memberi salam. Tidak lama kemudian, Esra Elvina keluar dari pondok pengawal untuk memerhatikan Noah yang sudah berdiri teguh.

“Ya kenapa?” Esra Elvina kenal gerangan yang berdiri depannya. Tanpa berkira-kira, dia bertanya tujuan Noah bersua dengannya.

“Saya datang sini sebab nak tanya awak beberapa soalan.” Noah menguntum senyuman walaupun dia tahu yang senyuman manisnya tidak akan dibalas.

“Soalan apa yang kau nak tanyakan? Kalau tak penting, aku tak akan jawab,” tegas Esra Elvina yang sudah bertanya senada. Si jejaka sudah mengecilkan biji mata bila mendengar ulas bibir itu seolah-olah tidak mahu melayan kehadirannya dengan baik.

“Sebab soalan pentinglah saya datang ke sini. Kalau tak penting, saya tak akan buang masa nak datang sini menghadap robot macam awak ni.” Dia merengus seraya mengherotkan bibir ke tepi. Noah menghembus nafas berat sebelum meluncur bicara yang selanjutnya.

“Okey, tanya.” Esra Elvina memberi keizinan untuk bertanya.

“Awak yakin ke nak jadi pembantu Erbach Arsalan? Awak tiba-tiba setuju dengan pelawaan dato sebab awak ni peminat Erbach ke?” Persoalan dari Noah membuatkan Esra Elvina senyap sebentar. Lama dia merenung wajah Noah yang sudah menimbulkan pelbagai persoalan melalui riak wajahnya.

“Aku tak minat lelaki muka gay macam dia. Kalau aku setuju dengan sesuatu perkara, itu hak aku. Jadi kau tak perlu tahu,” tutur Esra Elvina selamba. Bundar mata Noah mendengar kejujuran dari si dia. Tak tahu nak gelak ke tidak bila mendengar jawapan itu.

Kalau aku gelak, nanti kena marahlah pula.

Uih, tak baiknya dia cakap macam tu.

“Erbach tu seorang lelaki yang kasar dan dia tak kiralah awak perempuan atau lelaki, kalau dia nak uji mental dan fizikal awak dia akan tetap uji sampai awak berhenti.” Noah memberitahu lebih lanjut tentang sikap artis jagaannya. Dia berkata begitu kerana mahu memberi peringatan kepada Esra Elvina sebelum melangkah masuk ke dalam dunia Erbach Arsalan.

Banyak hal yang akan si gadis tempuhi jika dia sudah menjejakkan kaki di villa itu.

“Kalau aku dah bekerja dengan dia, aku tak akan berhenti dengan mudah.” Dia menjawab sambil kedua-dua belah tangannya dimasuk ke dalam poket. Diteliti wajah Noah yang masih tertancap merenungnya.

“Awak jangan cakap besar. Saya kenal artis bawahan saya tu. Dia …” belum sempat menghabiskan ayat, Elvina sudah mencantas kata-katanya.

“Aku tak cakap besar. Engkau datang sini semata-mata nak halang aku dari bekerja dengan Dato Edmond ke?” akhir katanya diselitkan dengan persoalan. Noah mengangguk tanpa berkira-kira.

“Saya cuma risaukan awak. Kalau terjadi apa-apa dekat awak lepas jadi pembantu dia, saya yang rasa serba salah,” ujar Noah seolah-olah mengambil berat tentang kehidupan gadis di masa akan datang. Kini, mata Noah tidak beralih dari memandang Esra Elvina walaupun wajah si gadis masih kosong tanpa senyuman.

“Kita tak pernah kenal. Tak perlu risaukan aku dan aku tak perlu simpati dari kau.” Terletus tawa Noah bila Esra Elvina kata begitu.

Aduh, siapa pula yang nak ambil berat pasal dia? Hati Noah menafi.

“Saya tak cakap pun yang saya ni bersimpati dengan awak, saya cuma cakap yang saya akan serba salah je kalau ada apa-apa perkara berlaku dekat awak.”

Esra Elvina merenung tanpa sebarang balasan.

Kali ini, mata mereka kian bertatapan sehinggakan Noah sendiri terpaku memandang renungan kosong itu. Walaupun kosong, kornea matanya membuatkan Noah terpaku.

Setelah beberapa detik berlalu, Esra Elvina memusing tubuh untuk masuk ke dalam pondok pengawal. Sudah tiada hal yang ingin dibincangkan. Segera dia menutup pintu pondok kerana tidak mahu diganggu.

“Eeh, dia main tutup pintu pula. Punya feeling pandang biji mata dia, boleh pula dia pergi. Aku baru nak feeling drama melayu.” Dia menggetus perlahan. Ucapan itu hanya dia yang mendengarnya.

Sungguh, Noah tergumam setiap kali melihat si gadis mempamerkan tingkah yang janggal.

“Pergi balik, tak ada apa lagi yang perlu dibincangkan.” Keras suara Esra Elvina mengarah si jejaka untuk pulang dan tidak menganggu kerjanya.

“Saya tak mahu awak bekerja dekat situ bukan sebab saya dengki ataupun saya nak tutup periuk nasi awak. Tapi percayalah, saya jumpa awak hari ni sebab saya nak awak berfikir baik-baik sebelum awak masuk dalam dunia kami. Bekerja di Villa Edmond bukan semudah yang awak sangka.” Walaupun Esra Elvina sudah menghalaunya, Noah tetap mahu menjelaskan rasa yang berbuku di hatinya.

“Balik,” sergah Esra Elvina semakin kasar. Terjongket sedikit bahu Noah bila dijerkah sekasar itu. Kali ini, dia akur dan berlalu pergi.

NOAH duduk sendirian di dalam perut kereta. Dia menyandar tubuh sambil mata dipejam serapatnya. Dia menarik nafas sedalamnya bila minda terlayar ke masa lalu. Terlalu banyak hal yang dia fikirkan sehingga kepalanya terasa bagai nak meletop.

Apa yang harus dia lakukan jika si gadis berkeras mahu bekerja bersama Dato Edmond?

“Kau ada aura dan aku yakin yang Erbach boleh jatuh cinta dengan kau. Kenapa dato sibuk nak ambil perempuan tu bekerja?” dia tertanya sendiri.

Sejak beberapa hari lepas lagi Noah tidak dapat mengemukakan jawapan dari persoalan yang membelenggu mindanya. Noah tidak yakin jika Erbach Arsalan tidak terjatuh hati dengan insan secantik gadis itu. Dia terbayang masa hadapan jika anak majikannya benar-benar jatuh hati dengan si gadis biasa.

Mungkinkah pisang akan berbuah dua kali seandainya Erbach Arsalan juga memautkan perasaan kasih terhadap insan yang berbeza darjatnya?

Ah, hati disapa perasaan keliru.

ESRA Elvina duduk di atas kerusi yang tersedia di luar kawasan pondok pengawal. Dia memikirkan setiap butir ayat yang disampaikan oleh Noah. Dia hairan bila lelaki itu seperti mahu menghalangnya dari bekerja di Villa Edmond.

Entah mengapa dia merasakan yang lelaki itu jujur dengan kata-katanya. Sang jejaka seolah-olah berkata begitu kerana tidak mahu dia menghadapi kesulitan suatu hari nanti.

“Aku perlu bekerja dengan Dato Edmond. Walau apapun yang terjadi, aku tetap perlu kerja dekat situ. Aku dah lama cari keluarga tu. Aku tak akan lepaskan peluang,” bicaranya sendiri sambil ekor matanya sudah menengadah memandang kaki langit. Tangan sudah mengepal penumbuk.

“Hai akak yang cantik, kenapa cakap sorang-sorang tu?” Satu tangan yang menepuk bahunya dari belakang mematikan lamunannya. Esra Elvina segera memusing sekilap tubuhnya untuk memerhatikan wajah yang menyapanya.

Setelah mengerling sekilas, dia pusing semula wajah memandang langit yang kian membiru. Esra Elvina hanya mengerling tanpa bersuara.

Syida memandangnya dengan riak wajah yang kecewa. Susah betul nak bercakap dengan dia ni. Selalu sangat beri bahasa isyarat je. Nak beramah mesra pun payah.

Tanpa berkata apa-apa lagi, Syida hanya berdiam diri dan duduk menunggu sahaja.

‘Kalau dia tak mahu berbual, aku tak payah sibuk nak tegur dia lain kali.’ Hatinya sudah mendecit.

“Macam mana artis kesayangan kau? Dia okey ke tidak?” suara Elvina menjerkah masuk ke dalam telinga Syida. Terus tertoleh kepala dia memandang Elvina. Membujur bibir kerana

“Akak garang ni ajak aku borak ke?” tubuhnya dibawa bersandar di kerusi dengan mata yang tidak lepas dari memandang segenap inci wajah Esra Elvina.

“Dia okey je kak masih maco.” Janggal saja dia membalas kerana dia tak tahu nak balas apa. Diri sendiri rasa kekok mahu berbual bersama makguard cantik. 

Siapa yang tidak berasa kekok kan bila manusia yang tak banyak cakap tiba-tiba menyoal. Dia menyoal benda yang remeh-temeh pula tu.

“Kau nak jumpa dia tak? Nama dia Erbach Arsalan, kan?”

Esra Elvina menyoal tidak beriak. Wajah Syida berkerut seribu. Dia ingat lagi nama Erbach Arsalan? tak sangka pula.

Kenapa tiba dia-dia tanya ni? Semakin musykil. Tidak semena-mena dia menggaru kepala sambil mata sedikit pun tidak berkelip merenung ke arah Elvina.

“Aku tanya ni kenapa kau berdiam?” Kali ini nada suara Esra Elvina lebih tegas berbanding tadi.

“Mestilah naaa...nak.” Tergagap -gagap Syida menjawab. Kosa katanya tidak lancar.

“Nanti aku bawa kau jumpa dia tapi dengan satu syarat. Kau perlu ikut syarat aku.” Wajah Syida mengoyak senyum tetapi diiringi riak wajah hairan di wajahnya.

Dia kenal Erbach Arsalan? Atau dia saja mahu memberi harapan palsu? Ah, keliru.

“Akak kenal dia ke?”

Esra Elvina hanya memandang ke depan tanpa menunjukkan sebarang reaksi. Persoalan itu dibiarkan seperti angin lalu. Masih lagi duduk menegak seperti patung jakel.

“Aku nak kau ubah perangai lepas tu belajar rajin-rajin sampai berjaya.  Baru aku bawa kau jumpa dia. Faham?” Syida merapati Esra Elvina lantas anak matanya memerhatikan riak wajah yang bagaikan tiada emosi itu dengan pandangan yang hairan.

Boleh ke aku percaya cakap makguard ni? Kalau dia cakap dia akan buat, kan?

Keliru hati Syida saat pelbagai soalan mula menerjah masuk ke dalam pelusuk mindanya.

“Akak kenal dia ke?” dia menyoal lagi. Soalan tadi pun tidak berjawab, ini kan pula soalan yang kedua.

“Ikut saja syarat aku lepastu kau akan dapat jumpa dia.” Seperti biasa, Esra Elvina melepaskan dialog dengan satu nafas.

“Akak ni saya tanya tak jawab pula.” Dijuihkan bibirnya sedepa. Hampa rasanya bila si dia tidak menjawab segala persoalan yang sudah pun berlegar di mindanya.

“Kalau aku tanya kau jawab saja. Aku tak ajak berbual pun. Okey, aku nak masuk dalam. Ingat, kalau kau ubah sikap kau aku akan bawa kau berjumpa dia. Paling penting jangan beritahu sesiapa tentang hal ini.” Setiap apa yang disampaikan oleh Esra Elvina membuatkan Syida terlopong sendiri.

“Betul ke kalau saya ubah perangai saya, akak nak bawa saya jumpa dia? Tapi bila akak boleh bawa saya jumpa dia?” 

Syida terus berdiri laju dan melangkah ke arah dalam pondok untuk bertanya lagi. Dia masih tidak berpuas hati.

Mata syida masih terpancang memandang makguard cantik walaupun dia sudah pun duduk di atas kerusi sambil memandang buku laporan.

“Ya, tapi aku nak kau ubahkan niat berubah kerana Allah. Jumpa waktu bila tu ikut perubahan yang akan kau lakukan,” jawapan tegas dan padat dari Elvina membuatkan hati Syida terasa sedikit tersentak.

Glurp...

Tadi suruh berubah baru dapat jumpa mamat tu? Sekarang suruh mengubah niat pula? Mana satu yang betul ni?

Haih, peninglah.

“Saya tak fahamlah kak.”

“Ikut saja cakap aku. Dah jangan ganggu aku.” Laju saja pintu pondok di tutup agar dia sudah tidak melihat kelibat syida yang berada di bahagian luar pintu.

“ABANG pergi mana ni bang? Sejak beberapa harini abang asyik menghilang je?”

Baru saja mahu menuju ke arah dapur untuk meneguk segelas air, Erbach Arsalan yang sibuk memetik gitar di ruang tamu sudah bertanya hairan. Kepala didongakkan agar bebas memandang Noah yang berdiri sambil menyilang tangan ke dada.

“Aku ada urusan yang nak diuruskan. Sebab tulah aku tak ada,” jawab Noah bernada malas. Mindanya masih hampa memikirkan hal gadis yang tidak mahu mendengar nasihatnya tadi.

“Urusan apa pula yang lebih penting selain uruskan hal saya?”

Erbach Arsalan mengangkat kening sebelah. Saja dia ajukan soalan yang menduga minda.

     “Artis yang aku jaga bukannya kau seorang. Banyak lagi kerja yang aku nak uruskan selain melayan gosip kau yang cukup menyerabutkan kepala otak aku.” Noah sudah menggetus geram. Jelingan dihadiahkan kepada Erbach Arsalan.

Kalau bukan disebabkan dia, tak adalah aku beria-ia nak lalui semua hal yang memeningkan jiwa ni.

“Abang masih marahkan saya pasal hal tu ke?” soal Erbach Arsalan yang sudah pamerkan riak mendung seperti awan yang gelap di depannya. Laju Noah menggeleng tanda tidak.

“Taklah, aku nak ketenangan. Jangan kacau aku boleh tak?” Dia mahu berlalu pergi tetapi langkahnya masih di halang.

“Kalau nak ketenangan kenapa datang ke sini? Kenapa tak balik rumah?” soalan masih diajukan kepadanya.

“Aku nak jumpa dato kejap lepas dia balik kerja. Kami ada hal.” Kali ini Erbach terdiam membisu. Dia dapat mengagak hal apa yang mahu dibincangkan oleh Noah dan papanya.

Tak lain tak bukan pasti mereka mahu membincangkan hal pengurus peribadinya yang ingin di cari. Ergh, mengjengkelkan.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status