Share

Bab 4

Langit kelihatan begitu cerah dengan warna kebiruannya dan matahari juga tanpa segan-silu memancarkan sinar cahayanya sama-rata ke atas permukaan bumi. Tiada yang terkecuali untuk menikmatinya.

Gadis bertudung merah bercorak polkadot itu berjalan dengan tenang, setenang hari-harinya yang kelmarin. Di tangan kanannya kelihatan sebuah payung berwarna jingga masih bertutup digengam erat hujungnya. Peribahasa melayu sediakan payung sebelum hujan masih lagi dipraktikkan, lagi-lagi sejak kebelakangan ini hujan sering turun membasahkan lantai bumi. Rahmat tuhan buat hambaNya.

Dari jauh kelihatan seorang lelaki tengah berdiri di hadapan kedai buku Jiwaria. Gadis tadi mengukirkan senyuman apabila dia semakin menghampiri tempat kerjanya, juga semakin menghampiri lelaki itu.

“Assalamualaikum encik Adam. Buat apa tercegat depan pintu tu awal pagi, kedai pun belum buka lagi. Nak cari novel Megat Aidin lagi ke?” Sapa Hannan mesra.

“Waalaikumsalam.” Jawab Adam. “Erm... Sebenarnya ada dua sebab.” Sambungnya lagi.

“Dua sebab? Kita sambung cerita dekat dalam.” Cadang Hannan sambil tangannya membuka pintu kedai yang masih berkunci itu. “Jom masuk.” Ajak Hannan apabila pintu sudah terbuka.

Adam mengekorinya dari belakang. Suiz lampu dihidupkan begitu juga dengan suiz penghawa dingin. Hannan terus meletakkan beg tangannya berserta payung di belakang kaunter dan Adam hanya berdiri diam memerhatikannya.

“Sebab pertama apa dia? Pasal novel Megat Aidin yang awak beli kelmarin tu ke? Ada bahagian buku tu yang koyak?” Soal Hannan perlu kepastian.

“Kondisi buku tu baik, cuma muka surat terakhir buku tu hilang.” Jawab Adam ringkas.

“Hilang? Awak dah habis baca ke?”

Adam mengangguk. Satu malam sahaja dia berjaya membaca novel setebal 400 muka surat itu. Khatam. Tidak pernah dilakukannya sebelum ini. Sanggup dia bersengkang mata hingga ke pagi menghabiskan bacaannya.

“Sebenarnya novel tu memang belum siap sepenuhnya. Manuskripnya tidak lengkap semasa dicetak. Tiada muka suratnya yang hilang.” Jelas Hannan.

Adam mengerutkan dahinya, dia tidak memahami penjelasan Hannan.

Ingatannya kembali kepada kata-kata Hannan kelmarin, cerita yang seolah-olah tiada penghujungnya.

Novel tu memang disengajakan terbiar gantung pengakhirannya atau ada sesuatu yang terjadi dekat Megat Aidin sehingga dia tidak dapat menyiapkan manuskrip novelnya itu. Otaknya ligat berfikir mencari kemungkinan yang paling hampir.

“Hei, takkan peminat nombor satu Megat Aidin tidak tahu tentang novelnya yang terakhir ni.”

Adam hanya tersengih mendengar kata Hannan, mulutnya sukar untuk mengatur bicara dan benar dia langsung tidak tahu apa-apa tentang novel tersebut.

“Hannan sebab ke dua saya datang sini awak tak nak tahu ke?” Soal Adam, cuba menukar topik.

Persoalan tentang novel 'misteri' yang masih bermain kotak fikirannya itu disimpan dahulu.

“Pasal buku juga ke?”

“Bukan buku, tapi tentang iklan kerja dekat pintu masuk tu dah ada yang mohon ke?”

“Setakat ni ada juga dua tiga orang yang datang isi borang, tapi yang tentukan keputusan siapa yang layak hanya Melina seorang sebab dia pemilik kedai buku Jiwaria ni a.k.a bos kedai buku nilah. Awak berminat nak kerja dekat sini?”

“Ya.” Jawabnya ringkas. Sememangnya itulah tujuan sebenar dia datang ke Jiwaria.

“Pagi-pagi lagi dah sebut nama aku ni kenapa? Mengumpat ke?” Sergah Melina mengejutkan mereka berdua.

Melina meletak helmetnya di atas kaunter. Kehadirannya langsung tidak disedari mereka.

“Morning Mel, ni ada orang nak mohon kerja dekat sini.” Terang Hannan.

“Morning juga Hannan.” Balas Melina sambil matanya memerhatikan Adam yang berdiri di depan kaunter tersebut. Pandangan Melina yang tajam itu membuatkan Adam tidak senang duduk (walaupun dia tengah berdiri).           Senyuman diukir berharap Melina akan membalas senyumannya itu. Dan Melina tetap juga serius tanpa kehadiran lengkuk senyuman di bibirnya.

“Bila boleh mula start kerja?”

Adam tercenggang begitu juga Hannan. Mereka berdua berpandangan dengan wajah kebinggungan. Soalan yang tidak dijangka daripada Melina.

“Dengar tak aku cakap tadi. Bila boleh masuk kerja? Serius ke nak kerja dekat sini?” Soal Melina sekali lagi.

“Serius! Hari ni pun saya boleh kerja terus.” Jawab Adam pantas.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status