Share

BAB 3

Semua orang tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Mereka diberi kesempatan kedua untuk memperbetulkan kembali kesilapan itu. Namun, kesilapanku adakah akan dimaafkan? ~ Sukri.

Beberapa bulan sebelum kematian Tina.

MATA Pak Leman membulat memandang Sukri. Dia tidak tahu harus menjawab apa. Dia tahu kesalahannya. Tapi semuanya tidak boleh diundur kembali.

Semuanya telah terjadi.

Lelaki itu tunduk memandang   lantai papan yang sedikit usang. Pak Cik Leman mencekak pinggang meminta penjelasan.

“Mana bungkusan tu, Sukri? Ayah nak tengok sekarang. Mana?” tanya  Pak Leman setelah Sukri berdiam diri selama direnungnya dengan pandangan yang tajam.

“Maaf, ayah!” Hanya itu yang mampu lelaki itu luahkan. Ada rasa bersalah dalam tuturnya walau ianya bukanlah terjadi kerana kemahuan dirinya sendiri.

"Kenapa minta maaf? Ayah tanya, mana bungkusan yang ayah minta kamu ambil dari nenek kamu? Mana?” tengking Pak Cik Leman dengan muka yang mula memerah.

“Ma... maaf ayah, bungkusannya ada tapi...” Terketar-ketar mulut Sukri menjawab.

“Tapi apa?”

Tatapan tajam Pak Cik Leman yang seakan mahu menelan wajah Sukri itu membuatkan lelaki itu semakin diburu rasa bersalah. Kenapa jugalah dia bertindak bodoh seperti itu?

Walaupun hanya itu kesempatan yang dia ada, tidak sepatutnya dia melakukannya. Nama baik ayahnya lebih penting daripada segalanya. Tapi, kerana cinta, dia melakukannya.

“Du... duitnya dah...” Tidak dapat Sukri meneruskan kata-kata.

Peristiwa sebelum itu Sukri ceritakan satu-persatu kepada ayahnya.

Derapan selipar jepun memecah kesunyian malam saat Sukri pulang dari rumah Nenek Jah. Lampu jalan yang masih belum dibaiki menyebabkan lorong itu agak gelap. Hanya lampu suluh yang membantu lorong itu menampakkan jalannya.

Sukri memegang kemas beg yang disilang di bahu. Dia menjaga bungkusan yang dikirim Nenek Jah kepada ayahnya.

“Serahkan bungkusan ini pada ayah kamu bila dah sampai rumah, ya. Jangan singgah di mana-mana. Di dalam ada RM5000.00. Nenek tak simpan di bank. Nenek tak larat nak pergi. Jadi, jaga betul-betul ya, cu.”

Sukri mengangguk. Tidak bertanya duit sebanyak itu untuk apa kerana sejak dari kecil dia dilatih agar tidak mencampuri urusan orang tua. Tugasnya  hanya perlu mengambil, menjaga dan memberikan kepada ayahnya dengan selamat.

Beberapa minit berjalan dengan penuh hati-hati, dia dikejutkan dengan bunyi erangan di balik semak. Lelaki itu memberhentikan langkah untuk berjaga-jaga.

Makin lama, bunyi suara itu semakin jelas. Suara orang meringis kesakitan.

Sepertinya dia kenal empunya suara. Abang Mail? Tiba-tiba telinganya terdengar tumbukan. Dia semakin menghampiri dan saat dihalakan lampu suluh, kelihatan dua orang berbadan gempal sedang menumbuk dan menendang seorang lelaki. Itu Abang Mail, suami Tina.

“Hoi!” sergah dua lelaki itu kerana merasa Sukri sudah mengganggu urusan mereka.

Sukri ditangkap oleh seorang daripada lelaki itu. Tangannya dipegang dan dilipat ke arah belakang.

“Kau berdua nak apa, hah?” Bengis Sukri bertanya. Entah dia berlagak berani atau apa, dia sendiri pun tidak tahu.

“Ini urusan aku dengan orang ni. Kau sibuk apa hal? Nak jadi macam dia juga ke hah?” bentak salah seorang daripada mereka dengan pandangan yang tajam.

“Okey... okey... maaf, aku tak sengaja. Bukan niat aku nak masuk campur. Aku cuma lalu kat sini. Lepaskan aku!” rayu Sukri pula tidak ingin terlibat dalam urusan itu.

“Wah, wah! Kau ingat, aku nak lepaskan kau macam tu saja?

Orang ni, hutang dengan aku RM4500.00. Nak lari dari bayar hutang. Kalah judi. Kau kenal dia ke?” tanya lelaki gempal dan berkumis itu.

“Err... kenal, kenal!” balas Sukri tercungap-cungap dengan tangan yang masih dilipat di belakang oleh lelaki yang seorang lagi.

“Kalau kau nak selamat, kau boleh tawarkan diri untuk bayar hutang dia. RM4500.00. Macam mana?” Lelaki itu cuba membuat tawaran kepada Sukri.

Mata Sukri membulat besar. Dia melirik beg yang masih melingkar di badannya. Situasi itu menimbulkan niat sesuatu di fikirannya.

‘Ini saatnya,’ fikir Sukri.

Tanpa perlu banyak berfikir, dia membuat keputusan.

“Okey, Abang Mail. Saya mahu buat perjanjian dengan Abang Mail. Kalau Abang Mail setuju, hutang Abang Mail pada lelaki dua orang ini kira selesai. Saya bayar! Macam mana?” Tanpa berfikir panjang, Sukri membuat tawaran

kepada Abang mail.

Abang Mail yang meringis kesakitan tadi bangkit dan berdiri di hadapan Sukri. “Ya! Aku nak, Sukri.”

Sukri tersenyum namun liur yang ditelannya serasa pahit. Dia gugup sebenarnya. namun, inilah masanya untuk dia membalas pengkhianatan Abang Mail kepada dirinya dan juga Tina.

“Kau nak amu buat apa  Sukri” Abang Mail bertanya dengan terketar-ketar suaranya.

“Saya bayar semua hutang Abang Mail RM4500.00 dan Abang Mail ceraikan Tina! Titik! Kalau tak, Abang Mail mati di sini. Rahsia Abang Mail banyak dalam tangan saya. Bersiap-siap untuk merengkok dalam penjara!”

“Apa?” Terbuntang biji mata Abang Mail.

“Tak ada tawaran lain.” Sukri bertegas untuk kali ini.  Tajam dia memandang tepat ke wajah Abang Mail.

“Okey...okey! Aku setuju!” Abang Mail menjawab disertai senyum puas di bibir Sukri.

Sukri tertunduk. Peristiwa itu hilang dari benaknya. Segalanya habis dia ceritakan. Wajah bengis Pak Cik Leman dia tatap.

“Astagfirullahaladzim! Sukri... itu duit ibu kamu! Dia nak simpan dalam Tabung Haji besok pagi. Kenapa kamu sanggup buat macam ni?” marah benar Pak Cik Leman sambil mengurut dada dengan tangan kanannya.

“Maaf, ayah! Sukri salah. Sukri akan bayar balik. Sukri janji” Terjatuh pandangannya tunduk ke bawah.

Pak Cik Leman memandang tepat ke arah bebola mata anak lelakinya itu. Kemudian dengan perlahan Pak Cik Leman turun dari tangga dan melempar kain serban di tangannya jatuh ke tanah.

Hati Sukri luluh menyedari kesilapannya demi Tina!

“AYAH tahu tak, sebagai balasan memutuskan pertunangan antara Sukri dan Tina, ayah Tina diberikan tanah oleh ayah Abang Mail? Pak Salihin sanggup ketepikan Sukri yang dah bertunang dengan Tina dan terima Abang Mail jadi tunangan baru Tina.” Sukri bercerita pada petang itu.

“Pak Salihin buta hati dengan tanah yang cuma sekangkang kera tu. Dia bukan tak ada tanah. Harta dia banyak. Tapi dia pilih untuk putuskan pertunangan kami. Kenapa ada bapa yang jahat macam ni, ayah?” Sayu Sukri bertanya dengan genangan air mata.

Pak Cik Leman terkedu mendengar penjelasan anaknya. “Betul ke Sukri?”

“Ya, ayah! Tolonglah maafkan Sukri, ayah. Sukri janji akan ganti duit ayah semula. Percayalah ayah, Sukri ada banyak bukti yang akan buat Abang Mail lepaskan Tina.” Erat tangan tua Pak Cik.Leman dipegang Sukri.

“Apa yang kamu nak buat lagi ni, Sukri?” Dahi Pak Leman berkerut seribu.

“Sukri akan bawa dia ke muka pengadilan. Siapa yang tak tahu kegiatan dadahnya tu. Siapa yang tak tahu kegiatan pelacuran yang melibatkan dia sebagai dalangnya. Kes judi lagi. Ayah tak terfikir ke semua ni, ayah? Ayah tengoklah Tina yang sarat mengandung tu, ayah. Di mana masa depannya, ayah?” Sukri tarik nafas yang terasa tersekat.

“Kenapa Pak Salihin hancurkan masa depan anaknya sendiri dengan terima Abang Mail sebagai menantu? Kalaupun tak bermenantukan Sukri anak ayah ni pun, carilah orang lain. Bukannya Abang Mail tu.” Satu keluhan Sukri lepaskan. Dia sangat kecewa.

“Pak Jusoh tu, mentang-mentang dia ada tanah. Dia fikir, dia boleh buat sesuka hati. Pak Salihin pula, tak sedar ke dia dah buat Tina jadi mangsa?”

Dengan penjelasan Sukri itu, Pak Cik Leman mengangguk perlahan. Adakah itu tandanya dia sudah memaafkan Sukri?

Laju Sukri mencium tangan Pak Cik Leman. Serasa beberapa butir air mata tumpah di pipinya. Dipandang wajah ayahnya yang semakin dimamah usia.

“Maafkan Sukri, ayah!”

“Sudahlah. Bangun, Sukri. Pergilah ambil wuduk. Solatlah. Minta petunjuk dari Allah. Ayah doakan Mail tak menyusahkan kamu lagi.”

“Maafkan sukri, ayah! Sukri janji akan ganti duit ayah semula. Beri sukri masa,” pinta Sukri lagi memohon kemaafan daripada ayahnya.

“Ya, sudahlah! Ayah tak marah lagi. Bangunlah Sukri.” Kedua tangan Pak Cik Leman menarik bahu Sukri agar bangun dari duduknya.

Serentak dengan itu, Sukri bangun meninggalkan Pak Cik Leman dan berjalan menuju ke perigi untuk mengambil wuduk.

Dia berdoa dalam hati semoga Abang Mail mengotakan janjinya.

 

arenayidin

19 Julai 2021

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status