Share

07 | Delilah

SERONOK DUDUK BERAMAI-RAMAI di dapur siapkan hidangan untuk majlis tahlil malam ni. Hidangan dalam 350 orang makan. Biasanya kami buat 100 pax sahaja tapi abi kata nak raikan sekali menantu baru.

Selebihnya biasa kami tapau dan hantar pada mana-mana rumah anak yatim dan asnaf zakat. Abi rajin naik motor hantar ke rumah jiran-jiran yang tak dapat hadir ke majlis rumah. Biasanya kami buat selang seli di rumah, ada waktu buat di masjid.

Bakul berisi bawang dan cili yang siap dibasuh dari malam tadi aku atur siap-siap untuk dikisar dan digunakan. Di pintu dapur yang terbuka, aku melihat Hanzalah terbongkok-bongkok membasuh halaman depan rumah untuk dihampar tikar supaya tetamu yang datang boleh makan di situ sambil menikmati angin malam. Melihat wajahnya yang berkerut, ada rasa kasihan menerpa di dada. Aku tahu dia tak tidur sepanjang malam tadi sebab siapkan kerjanya.

"Jangan tenung lama-lama, pergilah hantar air kat Han awak tu.”Abang Long mengusik dari belakang.

Eh, baru aku perasan semua orang di dapur ralit perhati aku yang curi pandang pada Hanzalah di luar. Ya Tuhan, malu bertimpa-timpa. Hanya mampu tersengih sahaja membalas usikan mereka.

Segelas air sejuk aku bawa ke laman rumah. Hanzalah yang sedar kehadiran aku segera melemparkan senyumnya, menyembunyi wajah penat. Gelas bertukar tangan. Biarpun pagi masih awal, namun matahari sudah mula terik.

"Assalamualaikum."

Satu suara yang cukup lunak kedengaran. Suara yang sungguh aku kenal. Segera aku toleh ke belakang. Lelaki berbaju Melayu biru dan berseluar hitam itu sedang menyalami abi. Seketika kami bertentang mata tanpa aku sedar Hanzalah merenung aku dengan tajam.

"Eh, dah basuh dah depan ni. Maaflah saya terlewat sikit. Lepas Subuh tadi teman umi pergi jemput anak angkatnya di stesen bas."

"Haah, Han dah basuhkan. Dia dengan Khadeeja sampai lepas Subuh tadi,” abi menjawab. Memang biasanya Adam yang membantu dia mengemaskan laman rumah itu.

"Oh, ini ke Hanzalah."

Anak mata Adam memandang ke belakang ku, setepatnya memandang Hanzalah. Aku telan air liur memikirkan Hanzalah tahu pasal aku dan Adam. Gara-gara mesej dengan Kak Long itulah!

Melihat Adam membuka langkah, hati aku menjerit nyaring. Jangan! Jangan datang ke sini!

"Saya Adam."

Hah! Terkesima aku dibuatnya apabila Adam mendekati kami dan menghulur tangan pada Hanzalah. Seperti seorang pesalah, aku memandang Adam dan Hanzalah di hadapan ku silih berganti. Tangan mereka bertaut agak lama. Aku perasan Hanzalah tersenyum sinis. Tidak ikhlas.

"Hanzalah. Suami Khadeeja."

Entah kenapa tercekik aku mendengarnya. Lain macam nada di situ.

"Han?"

Satu suara gemersik memecah suasana. Aku menjengah sedikit ke belakang Adam. Terpana.

Bidadarikah di hadapan aku?

Aku yang perempuan pun rasa tercekik memandang kecantikannya. Pipi yang gebu kemerahan, selendang putih melilit leher, lekuk tubuh badannya langsing sempurna dan lebih tinggi dari aku biarpun hanya memakai sandal nipis. Aku pandang semula ke arah Hanzalah. Mata lelaki itu bulat, jelas terperanjat memandang wanita berblaus hitam itu.

Aduh… ada rasa pedih melintas di hati.

"Saya kenalkan, ni anak angkat mak saya. Delilah.” Adam memandang aku sambil menggamit wanita bernama Delilah itu menghampiri kami. Bibirnya nipis kemerahan tanpa tambahan warna lipstik. Seindah namanya.

"Ini Khadeeja, anak tuan rumah untuk majlis malam ni.” Adam perkenalkan aku pada Delilah pula. Tangan kami bertaut bersalaman. Lembut gila kulit tangan, makan awan ke sampai gebu macam ni?

"Oh, inilah anak angkat umi kamu, ya? Tapi majlisnya malam nanti. Awal sangat datang ni.” Abi menyampuk dari belakang.

Fuh, aku lega! Kalau tak, sampai bila-bila pun aku terkedu di situ. Lebih sadis bila Hanzalah masih memandang Delilah tidak berkelip. Ada pengepit baju tak, aku nak kepit kat kelopak mata dia.

"Umi minta saya tolong apa-apa yang patut. Sebab umi tak dapat datang, saya wakilkan umi. Boleh ke, Haji?" Lembut Delilah bertanya pada abi.

Abi ketawa perlahan dan mengangguk sambil menyuruh aku membawa Delilah ke dapur. Kenapa ketawa abi? Ini tak lawak. Adam sudah hilang mengekori abi entah ke mana.

"Tak sangka kita jumpa di sini." Delilah melemparkan senyuman pada Hanzalah.

Aku rasa nak letak dulang depan muka dia supaya pancaran senyuman dia tak sampai pada suami aku. Jelas mereka saling mengenali dan aku tak nak tahu apa yang ada dalam sejarah hidup mereka. Bukan sekarang, aku tak sedia.

"Jomlah, saya tunjukkan awak kerja di dapur.” Aku mempelawa, tak mahu memanjangkan masa mereka berdua lagi.

Hanzalah terus berlalu ke arah kepala paip dan diputar hingga air berhenti mengalir. Getah paip digulung semula.

"Awak isteri Han, kan? Saya girlfriend dia dulu." Tanpa diminta, Delilah menjelaskan.

Langkah aku terhenti memandangnya. Apa motif dia beritahu aku semua ni? Aku perasan Han terhenti kerjanya biarpun masih membelakangi kami.

"Tapi tak tahulah nak cakap ex atau tak. Sebab senyap macam tu saja. Rupanya dah kahwin…” Meleret suaranya menjeling Han yang pura-pura tidak mendengar.

"Oh, ada sejarahlah ni? Haha, nak buat macamana, dah jodoh kan?" Aku ketawa. Ya, bunyinya palsu. Dibuat-buat. Lantas langkah aku atur ke dapur tanpa memandang ke belakang. Pedih.

           

PINTU BILIK AIR aku tutup dengan rapat. Sengaja lari dari keriuhan di dapur. Aku tahu aku bodoh untuk rasa macam ni tapi aku betul-betul rasa tergugat dengan kehadiran Delilah. Aku tak pernah tahu pun masa silam Hanzalah. Susah untuk halang otak ni dari memikirkan maksud Delilah tentang Hanzalah yang tiba-tiba hilang dan tidak memberi apa-apa kata putus padanya padahal Hanzalah sudah pun datang merisik.

Mungkinkah kerana permintaan abi membuatkan Hanzalah melupakan Delilah dan terpaksa menerima aku?

Jelas Delilah memandang Hanzalah dengan wajah yang sayu, penuh rindu. Aku yakin memori di antara mereka terlayar di mindanya.

Hanzalah pula sepanjang hari, sedikit pun tidak menegur aku. Ditambah pula dengan makcik-makcik rewang yang nampak selesa dan mesra dengan Delilah termasuklah Kak Long sendiri. Walaupun kekok di dapur tapi dia tidak malu untuk belajar. Mereka ketawa bersama hingga aku terasa lenyap di antara mereka.

'Tidak, Khadeeja! Kau tak boleh lemah! Bukan ini diri kau yang sebenar! Delilah tu sikit pun tak jejaskan kedudukan kau! Kau isteri dia!’

Aku cuba menyeru semangat yang hilang entah ke mana. Selesai membersih diri, aku melangkah keluar dari bilik air. Serta merta aku terpandang Hanzalah yang sedang duduk termenung di birai katil. Wajahnya nampak terkejut, mungkin tidak sangka aku berada di dalam bilik air.

Tiba-tiba dia bingkas berdiri macam askar pula lagaknya. Tak tahulah nak tercengang ke nak tergelak tengok dia serba salah begitu.

"Err… saya terduduk atas katil ni. Saya tak mandi lagi tapi seluar saya tak kotor." Gugup dia menjelaskan.

Spontan aku ketawa.

Ya Allah, itu ke yang dia fikir. Dia tahu tak aku fikir lebih jauh dari tu? Aku ingat dia serba salah sebab termenung memikirkan Delilah di sini.

"Pergilah mandi dulu dan rehat. Mereka semua pun dah rehat. Lepas Zohor nanti baru mula masak balik. Kerja pun dah tak banyak.” Aku menghulur tuala padanya. Bilik di tingkat atas itu bilik aku yang dulu sebelum aku kahwin dengan dia. Jadi barang-barang memang sedia ada, tak diubah ke mana.

Aku merebahkan tubuh selepas dia menghilang ke dalam bilik air. Mata hampir terlelap apabila tangan sasanya menyentuh bahu.

"Kenapa tidur kat lantai?"

"Sebab awak mesti penat dari semalam tak tidur. Sakit badan cuci laman lagi, pasang khemah. Awak baringlah kat atas katil." Aku menjawab tanpa membuka mata. Aircond yang berhembus perlahan benar-benar mendodoikan aku.

Memandangkan bilik aku tu hanya ada katil super single, tak sampai hati nak biar dia tidur di lantai biarpun beralas tilam nipis. Waktu nikah dulu pun bilik Kak Long aku pinjam sekejap jadi bilik pengantin sebab katilnya katil King size. Muatlah kalau nak tidur berdua.

Tiba-tiba ringan tubuh aku melayang dan sudah selamat mendarat di atas katil. Buntang mata aku memandangnya. Memang tabiat suka dukung orang eh?

"Awak pun penat juga terkengkang-kengkang naik motor lama-lama." Datang balik nada selamba dia tu. Jadi dia perasan la aku jalan kengkang waktu turun dari motor. Eyy, aku ungkit pasal dia cium tangan abi guna helmet karang.

"Muat je tidur berdua atas ni walaupun awak gemuk." Lagi sedas dia menyerang.

Aku nak bagi serang balas tapi tak terkeluar suara apabila dia baring di belakang aku yang mengiring menghadap dinding. Nafas Hanzalah menampar hangat di leher. Meremang! Tangannya erat merangkul pinggang namun aku cuba menolak perlahan.

"Jatuh saya nanti.” Dekat suaranya di telinga. Aku keras dalam rangkulannya. Macamana aku nak tidur kalau macam ni?

"Khadeeja.” Dia menyeru dalam dengar dan tidak. Mungkin sudah hampir terlena.

"Hmm…” Itu je mampu aku jawab.

"Awak je isteri saya…” Suaranya semakin serak. Aku cuba menghadam maksud ayat itu. Rangkulannya semakin erat.

"The one and only.”

                         

KELAM KABUT KAMI turun ke bawah gara-gara terlajak tidur sampai Asar. Menambah bahang rasa malu apabila Adam dan Delilah turut berada di situ dengan pakaian yang berbeza memandangkan majlis bermula selepas solat Maghrib nanti.

"Tak apa, pengantin baru, kan.” Sengaja Abang Long mengusik. Pantas aku mencapai kotak tisu di sisi dan mencampak padanya.

"Opss…” Aku tertelan air liur memandang Hanzalah yang membulatkan mata, terkejut dengan perangai aku yang baru terserlah. Aku memang dah terbiasa gaduh dengan Abang Long sebab dia kahwin dengan Kak Long sejak aku Tingkatan 1 lagi. Terasa macam abang sendiri walaupun batasan antara kami dijaga.

"Haa, terkejut Han tengok perangai tak semenggah kamu, baru tahu!" Kak Long sengaja menggamat suasana.

"Tak apa, baru saya kenal isteri saya ni. Menarik rupanya.” Entah dirasuk apa, Hanzalah menerima gurauan mereka sambil ketawa lepas. Selamba tangannya menaik di bahu aku dan menarik aku rapat padanya.

Aku sedar wajah kelat Delilah. Aku nampak wajah kelabu Adam. Lelaki itu terus keluar meninggalkan ruang tamu yang masih gamat.

Mereka yang lain sudah seronok ketawa tak ingat dunia. Ini majlis tahlil untuk umi ke majlis untuk aku ni? Semua pakat kenakan aku saja.

"Alang-alang Dija dah turun, apakata Dija masak mee goreng untuk malam ni?" Abi memberi cadangan dan aku senang hati menerimanya. Dua ibu jari aku naikkan.

"Boleh... untuk abi semua boleh…”

"Eh, tak apa! Biar saya masakkan."

Gulp!

Aku pandang Hanzalah atas bawah. Yakin tak yakin je aku tengok dia. Kat rumah tak pernah nak masak pun. Pinggan pun aku yang basuhkan.

Dan ternyata sangkaan ku meleset. Dari island table di dapur, aku perhati sahaja Hanzalah fokus menyiapkan bahan. Laju tangannya memilih bawang putih yang siap dikupas. Diketuk kuat dengan pisau. Gaya memotong bahan rencah jangan cakaplah! Macam dalam rancangan realiti Chopped! kat saluran Food Network. Laju, seragam, sekata. Tak bersepah. Memang padanlah bila dia complain macam-macam tentang cara masakan aku.

Berdebur bawang ditumis bersama cili kisar. Terbatuk aku dibuatnya. Amboi, cili pun perli aku ke apa ni?

Hujung lengan bajunya ditolak hingga ke siku. Alamak, kenapa aku rasa dia kacak bila masak dengan muka serius macam tu? Seronok aku layan ciptaan Tuhan depan mata.

"Rasa?"

Mee yang bergulung di hujung garfu disua pada wajahku. Eh, dah siap? Laju gila laki ni masak. Meja siap berlap lagi.

"Tengok awak masak pun dah tahu, sedap!" Aku angkat ibu jari.

"Rasalah…”

Eh, macam budak kecik pulak buat muka kesian macam tu. Dengan rela hati aku membuka mulut membenarkan dia menyuap mee yang masih panas itu. Memang terangkat! Cukup rasa, cukup pedas, manis masinnya.

Serta merta rasa malu merasukku. Selama ni dia makan masakan aku yang tak seberapa sedangkan dia pandai memasak. Nangis la macam ni.

"Tak perlu tambah apa-apa?" Dia meminta kepastian.

Peluh di hujung dahinya aku seka. Ya, dia terkejut. Siapa suruh buat aku jatuh cinta waktu Maghrib macam ni?

"Tak payah. Perfect."

Dia menyungging senyum, mengusir riak serius di wajah.

"Thanks. Saya nak awak jadi orang pertama yang rasa masakan saya."

Auww... aku rasa aku dah bertukar jadi gedik sekarang. Dan kami berbalas senyum di dapur, hanya berdua tanpa orang lain.

Malam itu, ketika orang lain sibuk menikmati hidangan, aku berlalu ke dapur mencari plastik untuk membungkus lebihan makanan.

"Mesra sangat korang berdua, kan?"

Aku menoleh ke sisi, memandang Delilah yang membasuh tangan di sinki. Pura-pura basuh je tu. Macam aku tak tahu.

"Tapi, orang baru nak bercinta, kan... macam itulah."

Aku berpusing menghadap Delilah sepenuhnya. Apa maksud dia cakap macam tu?

"Saya cuma tak nak... awak kena tipu macam orang lain… macam saya."

Aku masih diam tak berkata apa-apa. Aku tahu dia ni memang ada maksud lain. Ada air bergenang di tubir matanya. Wajahnya kemerahan menahan tangis. Cantiknya dia, sempat aku memuji. Kalau jadi isteri Hanzalah, kan sepadan.

Kacak dan jelita.

Kalau Hanzalah dan aku, macam kacak dan kentang.

"Ya, saya akui saya sakit hati tengok kau orang berdua bahagia bersama. Tapi sekurang-kurangnya saya tahu yang saya ada lebih banyak kenangan bersama dari awak dengan dia."

Mendengar nada sinisnya, terus aku terasa wajahnya perlahan-lahan berubah menjadi hodoh.

"Tapi apa pun, saya doakan awak bahagia. Nah, sebagai tanda perkenalan kita." Sebuah kotak merah jambu bereben merah diletak di island table.

"Saya tak berniat jahat. Saya bukanlah wanita kejam nak jatuhkan kebahagiaan wanita lain. Cuma saya nak awak tahu, Han takkan selamanya setia pada awak. Saya kenal dia lebih dari yang awak tahu."

Dia membalas renungan aku dengan senyuman senget. "Saya minta maaf sebab muncul tiba-tiba dan buatkan awak sakit hati."

Entahlah. Aku masih tak mampu nak membalas sepatah pun kata-katanya. Hanya mampu memandang tanpa riak wajah.

"Jaga diri, Khadeeja." Dia berlalu pergi meninggalkan aku termenung di dapur sendirian. Kotak merah jambu itu aku tenung lama.

Apa sebenarnya yang terjadi antara dia dan Hanzalah?

🌼

"Past is just a story.

And once you realise this, it has no power over you."

Zen,

08.09.2021

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status