Share

Bab 3

Di saat siang melabuhkan tirai malam. Mereka menunggu satu kedatangan yang dijanjikan. Namun, ianya hanya sia-sia. Kedatangan yang dinanti, dihancurkan dengan sebuah berita. Sebuah kejutan yang tidak disangka datangnya daripada mulut seorang dewasa. Kelu. Terkaku. Terkejut dengan berita tersebut. Ada yang sudah menjangka akan hal itu dan ada juga yang masih tidak percaya. Percaya ataupun tidak itulah realitinya. Realiti yang tidak boleh dielak.

“Abang … abang bergurau kan?” soal Ren. Hatinya masih dibelenggu tidak percaya. Menganggap bahawa itu hanya sebuah senda. Tetapi, lelaki dewasa itu bukan jenis yang suka berjenaka di saat serius.

Abang Jad yang masih tidak cukup nafas cuba menenangkan diri. Dia menarik nafas dalam, menghembus nafas perlahan sebelum memulakan cerita untuk meyakinkan semua orang. Katanya, tatkala dia sedang mencari susuk tubuh cikgu Fawis di tempat kali terakhir dia melihat lelaki itu, dia menjumpai kereta yang digunakannya. Ianya tidak jauh di hujung jalan sebelum memasuki kabus gelap.

Abang Jad menyuluh kereta lelaki tersebut seraya memanggil-manggil namanya. Tetapi tiada sahutan. Dia tiada pilihan selain mendekati kereta lelaki itu. Hidung ditutup dengan tisu kerana tidak tahan dengan bau kabus. Di saat berjalan mendekati kereta, di dalam gelap bertemankan hanya cahaya lampu, dia terdengar bunyi sesuatu yang tidak jauh dari sebelah jalan, di sebalik semak-samun. Pantas cahaya lampu menyuluh arah datangnya bunyi tersebut. Namun, dalam fikiran Abang Jad hanya memikirkan bunyi binatang. 

Langkah kaki perlahan-lahan mendekati kereta cikgu Fawis. Nama lelaki itu dipanggil. Apabila sudah dekat, dilihatnya kereta itu kosong tanpa penumpang. Kereta tersebut masih lagi hidup cuma tidak diaktifkan lampu. Mungkin, cikgu Fawis sudah keluar dari kereta sejak senja lagi kerana lelaki itu tidak suka menghidupkan lampu kereta di kala siang kerana ingin menjimatkan bateri kereta. 

Baru sahaja menyuluh sekeliling mencari susuk tubuh cikgu Fawis, sekali lagi bunyi aneh datang dari semak-samun. Bunyi seakan-akan seseorang sedang menahan sakit. Tetapi, kali ini otak Abang Jad tidak memikirkan ianya binatang lagi. Bahkan, di dalam kabus yang gelap tanpa cahaya itu dia juga tidak terfikir bahawa bunyi tersebut datang daripada cikgu Fawis. Bunyi itu seolah-olah bunyi hantu. Itulah yang difikirkannya.

Tanpa berfikir panjang, Abang Jad membuka langkah seribu. Motosikalnya ditunggang, meninggalkan kawasan tersebut. Itulah yang diceritakannya kepada Shiro, Hara, Fikri, Ren, Kevin, Wani dan Fasha. Namun, dia pula yang dipersalahkan oleh Fikri kerana tidak memeriksa bunyi tersebut. Mungkin bunyi itu datang daripada cikgu Fawis. Mungkin juga cikgu Fawis cuba meminta pertolongan daripada Abang Jad tetapi disangkakan hantu pula oleh lelaki itu. 

“Kalian nak cari cikgu Fawis tak?” tanya Fikri yang sudah berdiri.

“Aku akan ikut!” balas Shiro diikuti oleh Hara, Ren dan Kevin. Fasha pula tidak mengiyakan pertanyaan Fikri. Dia hanya mahu duduk di dalam dewan. Wani pula terpaksa menemankan gadis tersebut. 

“Kalian betul-betul nak pergi ke?” soal Abang Jad.

“Abang pun kena ikut sekali! Kita tak tahu apa yang terjadi kepada cikgu!” balas Fikri dengan lantang. Abang Jad hanya akur. Mereka berjalan keluar dari dewan meninggalkan Wani dan juga Fasha. Dua gadis itu dinasihati agar tidak keluar daripada dewan sehingga mereka pulang. Takut jika ada apa-apa yang berlaku. Kini, mereka bergerak ke tempat kali terakhir cikgu Fawis dilihat. Dengan harapan, bunyi aneh yang didengari oleh Abang Jad itu ialah suara pertolongan cikgu Fawis yang sedang dalam kesusahan.

Abang Jad menunggang motosikal ke tempat tadi diikuti oleh Shiro dan yang lain. Hara membonceng bersama dengan Shiro manakala Kevin bersama dengan Ren. Mereka melalui sebatang jalan yang sudah hampir ditenggelami kabus. Di hujung jalan itu terlihat sebuah kereta. Ianya kereta cikgu Fawis. Setibanya di sana, motosikal mereka dibiarkan hidup. Lampu hadapan menyuluh kawasan gelap tanpa cahaya itu. Mereka turun dan berjalan ke arah kereta cikgu Fawis dengan lampu suluh yang dibawa bersama.

Kereta cikgu Fawis diperiksa. Benar, lelaki itu sudah hilang. Tetapi, Shiro bertanya akan arah datangnya bunyi aneh yang didengari oleh Abang Jad sebelum ini. Lalu kawasan semak-samun di sebelah jalan ditunjuk tanpa ragu. Semua cahaya menyuluh kawasan semak-samun tersebut. Abang Jad yakin bahawa bunyi tersebut datang dari semak itu. Dia sudah mundur ke belakang. Tidak mahu mendekati. Membiarkan sahaja Shiro berjalan ke arah semak tersebut diperhatikan yang lain.

*****

Wani duduk di kaki pentas sambil mengangkat-ngangkat telefon pintar. Sejak tadi lagi dia mencari isyarat panggilan tetapi ianya hanya sia-sia. Gadis itu merungut. Dia mengeluh. Pandangannya beralih kepada Fasha yang sedang memerhatikannya dari belakang. Gadis itu berpaling ke arah lain saat mata mereka saling bertembung. Wani berdiri, berjalan ke arah Fasha sebelum duduk di sebelahnya.

“Kau okey tak?”

Fasha tidak membalas.

“Boleh aku tahu macam mana kau boleh ada bersama dengan cikgu Fawis? Maksud aku, sebelum kabus ni muncul, kau ada di mana waktu tu?” tanya Wani lagi tetapi dibalas sepi. 

Beberapa minit setelah Wani asyik mencari isyarat telefon, Fasha mula membuka mulut, “macam mana keadaan mereka?”

“Mereka? Maksud kau Ren dan yang lain?”

“Mak dan ayah.”

“Mereka tak apa-apa. Aku yakin. Kita doa yang baik-baik saja. Kabus ni mungkin macam jerebu. Bila hujan nanti, ianya akan hilanglah.”

“Kenapa kau terlalu yakin?”

“Maksud kau?”

“Kenapa kau yakin yang keadaan akan pulih seperti sedia kala?”

“Sebab aku ni orang yang positif. Aku pun macam kau juga. Aku suka bersendirian. Orang sekeliling suka pergunakan aku sebab aku ni anak orang kaya. Aku tak ada kawan. Tapi itu dulu. Aku sudah ubah perspektif orang di sekeliling aku. Kalau kita tidak melangkah ke depan, bila lagi kita nak mulakan hidup baru? Jadi aku sertai Kelab Pembimbing Rakan Sebaya. Aku nak tolong semua orang di sekolah ni sampai mereka jumpa diri mereka yang sebenar. Pada masa yang sama, aku akan jadi diri aku. Ya, inilah diri aku yang sebenar,” balas Wani seraya mencari isyarat panggilan.

Fasha hanya diam. Tidak membalas kata. Dia kemudiannya menyandarkan kepala pada lantai.

Di luar sekolah, Shiro berjalan ke arah semak-samun di mana datangnya bunyi aneh yang didengari oleh Abang Jad. Jaga sekolah itu tidak berani dekat. Shiro yang memberanikan diri, diperhati oleh rakan-rakannya. Semakin lama semakin dekat. Cahaya lampu di tangan menyuluh semakin dalam sehinggalah matanya menangkap satu imej susuk manusia yang sedang terbaring. Pada mulanya dia terkejut tetapi apabila ditatap lama pada pakaian, gadis yang terbaring tidak sedarkan diri itu ialah salah seorang daripada pelajar di sekolahnya.

“Kalian, datang sini cepat!” lantang Shiro memanggil rakan-rakannya. Fikri dan yang lain terus berlari ke arah Shiro. Mereka terkejut tatkala menyedari bahawa ada seorang gadis sedang terbaring tidak sedarkan diri di sebalik semak tersebut. Namun, Kevin yang paling terkejut. Dia mengenali gadis itu.

“Yun?”

“Yun? Kau kenal ke budak ni, Kevin?” soal Ren.

“Ya. Dia kawan sekelas aku.”

“Hara, cepat tolong aku angkat dia!” arah Shiro. Tanpa membantah, dia dan Shiro memapah Yun ke arah kereta cikgu Fawis. Gadis itu dibaringkan di tempat duduk belakang. Hara meraba pergelangan tangan gadis itu, cuba mencari denyutan nadi. Bahkan, dia meletakkan jari pada hidung gadis itu. Cuba mengesan pernafasan.

“Dia masih bernafas.”

“Ada kesan gigitan pada kaki dia.” Ren menyuluh kaki kanan Yun. Semua mata menatap kesan gigitan tersebut. Ianya nampak seperti dalam. Malah ianya nampak seperti gigitan manusia.

“Apa yang kita nak buat sekarang ni. Cikgu Fawis pun kita tak jumpa lagi,” tanya Kevin.

“Kita balik ke sekolah dulu. Kita tak boleh cari cikgu sampai lewat malam. Mungkin berbahaya,” cadang Fikri.

“Tapi, mungkin cikgu ada di kawasan sekitar sini. Mungkin dia tak sedarkan diri macam budak dalam kereta ni,” bantah Ren pula.

Pada masa yang sama, telinga Abang Jad terdengar satu lagi bunyi. Ianya bukan bunyi seperti yang didengarinya tadi. Tetapi, ianya ialah bunyi tapak kaki seseorang. Bunyi tapak kaki itu semakin lama semakin jelas. Abang Jad menyuruh Shiro dan yang lain diam suara. Mereka mula mengamati bunyi tersebut. Pandangan mereka serentak ke arah hadapan kereta. Ianya datang dari dalam kabus yang gelap. Lampu mula disuluh. Terlihat jelas susuk tubuh seseorang sedang berjalan mendekati mereka. Namun, ianya dikaburi kabus. Tidak jelas siapa orangnya.

Ada yang menganggap ianya adalah cikgu Fawis tetapi ada juga yang mengatakan ianya bukan. Susuk tubuh itu berjalan semakin dekat. Semakin jelas tubuhnya tertayang. Langkah kaki itu akhirnya terhenti. Jelas kelihatan, seorang lelaki muda yang sedang memakai topeng gas, berdiri di hadapan mereka. Perlahan-lahan topeng gas itu dicabut dari wajah. Rupanya tertayang. Wajah yang dikenali oleh semua orang termasuklah Abang Jad sendiri.

“Hendri?”

Bab terkait

Bab terbaru

DMCA.com Protection Status