Share

A Million Misery [Bahasa Malaysia]
A Million Misery [Bahasa Malaysia]
Author: Nur Qismina Sofia

AMM BHG 1: Bab 1

PANDANGAN matanya kabur. Dia cuba untuk mengingat kembali apa yang telah berlaku tetapi otaknya masih gagal berfungsi dengan baik. Sekelilingnya kelihatan berwarna kehijauan, melambai-lambai di segenap ruang. Kedengaran pula unggas berkicauan. Tubuhnya yang masih di atas tanah cuba ditolak naik. 

   "Ahhh..." dia mengerang kesakitan. Sakit yang teramat di sisi kiri perutnya terasa menusuk-nusuk. Sisi kiri wajahnya pula dipenuhi dengan darah pekat yang mengalir. Menitik-nitik jatuh di permukaan tanah.

   "Tolong..." teriaknya. Namun nada suaranya seperti tersekat di kerongkong. Berkali-kali dia meminta tolong, berharap akan ada seseorang yang dapat membantunya.

   Tidak lama kemudian, satu bayang-bayang tubuh terlihat di dalam pandangan matanya. Bayang-bayang itu datang menghampirinya. "Tolong..." katanya lagi dalam nada suara yang sama seperti tadi.

   "Oh. Tuhan! Monika!" teriak suara dari bayang-bayang itu. Dia cuba mengamati siapakah empunya suara tersebut tetapi masih tidak jelas.

   "Gavin dekat sini," kata suara itu lagi. Kemudian dia terasa tubuhnya dipangku. Raut wajahnya berkerut dengan teruk. Tangan kirinya pula menyentuh sisi kiri perutnya. Kesan darah di baju yang dipakainya jelas kelihatan.

   Perlahan-lahan Gavin menyandarkannya di sebatang pokok yang berdekatan. "Oh, Tuhan!" Gavin berundur sedikit kerana terkejut dengan apa yang dilihatnya.

   Ternyata kawasan yang berdarah itu terdapat tusukan dari serpihan kaca. Beberapa bahagian wajah Monika juga terdapat hirisan-hirisan halus selain dari luka besar di bahagian kiri dahinya. Ianya mungkin akibat dari pecahan kaca yang berterbangan ketika dia tercampak keluar. 

   "Oh Tuhan," kata Gavin lagi. Kedua belah tapak tangannya melekap di sisi wajahnya. Segera dia membelakangi Monika sambil berpeluk tubuh. Kepalanya pula tidak henti-henti menggeleng, tidak sanggup untuk melihatnya.

   Monika menghela nafas yang dalam. Nampaknya terpaksalah dia mencabut sendiri serpihan kaca itu. Matanya dipejam lalu nafasnya yang ditarik tadi dihembus dengan perlahan. Huh... baru sahaja menyentuh sedikit serpihan itu sudah terasa sakitnya. Bagaimana pula rasanya bila ianya ditarik keluar? Hanya Tuhan yang tahu.

   Dalam pandangan yang masih kabur itu, dia menarik keluar serpihan kaca tersebut. "Urghh..." erangan dalam dilepaskan.

   Gavin menggosok belakang lehernya apabila mendengar erangan suara itu. Bulu romanya meremang, matanya pula terpejam rapat membayangkan perkara tersebut berlaku di mindanya.

   Sedikit sahaja lagi serpihan kaca itu akan keluar. Monika menahan sakit itu dengan mengetap giginya, terasa serpihan kaca itu keluar dari tusukan tersebut. Sebaik sahaja serpihan kaca itu keluar sepenuhnya, darah pekat mengalir keluar. Serpihan kaca itu dilempar ke tepi, kemudian cepat-cepat dia menutup luka itu dengan tapak tangan kirinya.

   "Monika?" Gavin yang masih lagi membelakanginya tidak jauh dari situ bersuara. Tiada balasan dari Monika membuatkan Gavin segera menoleh, lalu cepat-cepat dia ke sana. "Oh my... syukur sangat-sangat," ujar Gavin. Dia mencangkung di sebelah Monika yang sedang bersandar di batang pokok.

   "Angkat aku bangun," kata Monika yang lemah.

   Gavin berdiri, segera dia menarik lengan kanan Monika lalu memapahnya. Monika dapat berdiri dengan bantuan Gavin. Wajahnya masih berkerut menahan sakit.

   "Uish, berat gila kau ni!" Gavin berkata dengan bersahaja tanpa ada sekelumit rasa bersalah. Anak matanya melilau mencari arah. Terketar-ketar dia mengimbangi badannya yang serupa papan itu dari tersungkur jatuh. "Kita nak ke mana ni?" Gavin buntu. Tidak tahu arah mana yang patut dituju, semuanya kelihatan sama. Hutan tebal.

   "Mana-mana sajalah. Kita minta tolong orang," balas Monika.

   "Manalah ada orang dekat hutan ni," balas Gavin pula.

   Dengan pandangan matanya yang masih lagi kabur, Monika memandang sekeliling. Rupanya yang hijau itu daun-daun pokok, baru dia sedar yang dia sekarang berada di dalam hutan. Tiba-tiba cahaya terang memancar di atas kepala disusuli dengan bunyi guruh.

   "Oh, Tuhan! Tolonglah, aku tak nak mati lagi." Gavin membebel sendirian. Sambil itu dia percepatkan langkahnya.

   Monika pula cuba mengikut rentak Gavin yang semakin laju. "Berhenti, berhenti!" Monika bersuara. Nafasnya laju, ditambah pula dengan rasa sakit.

   "Kenapa?" soal Gavin. Dia berhenti serta-merta.

   "Aku tak boleh teruskan, luka aku sakit sangat." Monika menekan sisi kiri perutnya.

   "Tak. kau kena teruskan juga. Hari nak hujan ni." Gavin meneruskan langkah tanpa mempedulikan arahan dari Monika tadi.

   "Tolonglah, berhenti." Monika bersuara perlahan. Sakit itu semakin menusuk-nusuk sehingga membuatkan air matanya mengalir.

   "Okey, okey..." Gavin segera berhenti dari meneruskan perjalanan. Mereka berteduh di bawah sebatang pokok berakar banir yang besar. Akarnya yang melengkung ke dalam menjadikan tempat itu agak terlindung. Gavin melihat Monika yang tersandar dengan nafas yang tercungap-cungap. Dia turut serta bersandar.

   Monika menyelak hujung bajunya dengan tangan yang terketar-ketar. Ternyata luka itu tersangatlah dalam. Dia menutup kembali luka tersebut dengan bajunya, darah di sisi wajahnya pula dibiarkan mengalir.

   Hujan turun dengan lebat. Gavin menanggalkan sweater yang dipakainya lalu dia menutup kepala mereka dari terkena tempias hujan. "Lepas hujan ni berhenti, kita teruskan perjalanan."

   "Aku tak rasa aku boleh teruskan," ujar Monika lalu meletakkan kepalanya di atas bahu kiri Gavin.

   Gavin terasa janggal tetapi dia tidak menghiraukannya. "Tak, kau mesti boleh. Takkan kau nak tinggalkan aku sendirian dekat sini?"

   "Nanti bila hujan ni dah reda, kau pergi cari bantuan. Aku, kau tinggalkan saja dekat sini," kata Monika.

   "Sungguhlah?" Gavin menyoal. Namun soalannya tiada balasan. Jika diikutkan hati memang mahu saja dia tinggalkan Monika di situ tetapi dia terlupa, dia seorang yang penakut.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status