Share

AMM BHG 1: Bab 3

"HEI, kau orang! Kita orang ada terjumpa beg dekat kawasan hujung sana!" Sam berteriak sambil membawa beg sandang berwarna hijau lumut yang talinya sudah hampir terputus.

   Jack yang sudah jauh di belakang mengejar Sam. Dia berlari dengan nafas yang tercungap-cungap. Haliene, Aviva dan Ross yang sedang makan di tapak perkhemahan sementara segera menoleh ke arah mereka berdua. Tapak perkhemahan sementara itu baru sahaja siap beberapa minit yang lalu. Memandangkan hujan sangat lebat semalam jadi habis semua kain penutup terbang, terpaksalah mereka memasang semula.

   "Ini beg Monika," kata Haliene setelah mengenalpasti beg tersebut. "Bawa aku ke tempat tu sekarang."

   "Tunggu dulu, tak ada apa dah dekat situ. Kita orang dah tengok," kata Jack.

   "Mungkin dia ada tidak jauh dari situ, bawa aku ke tempat tu sekarang!" Haliene menarik lengan Sam. Jack yang masih lagi semput ikut serta.

   "Aku ikut," kata Ross. "Ari, kau tak nak ikut sekali?" saoalnya. Sempat lagi dia berpaling semula memandang Ari.

   Ari yang berambut pendek berwarna putih itu hanya menggelengkan kepala. Dia duduk sahaja di situ sambil menguis tanah dengan sebatang kayu.

   Beberapa minit kemudian, mereka tiba di kawasan tersebut. Memang benar, tidak ada apa pun di situ. "Eh, sekejap!" Haliene berjalan mengikut serpihan kaca yang terlindung oleh daun-daun di lantai hutan dengan kakinya. Ia telah membawanya ke satu kawasan semak yang bertimbun agak jauh dari kawasan tadi.

   Rupanya di sebalik semak itu terdapat sebuah kenderaan pacuan empat roda yang sudah remuk. Ternyata mereka tercampak jauh dari kawasan kejadian. Haliene mendekati bangkai kereta yang sudah terbalik dalam keadaan mengiring ke kiri. Dia menjenguk ke dalam kereta itu. Kelihatan seperti kepala seseorang sedang terlentok di atas dashboard di bahagian pemandu.

   "Oh, Tuhan! Itu Noah!" Haliene terkejut setelah mengenalpasti mayat tersebut. Ianya Noah, pemandu yang akan membawa mereka ke festival tersebut. Ternyata jauh juga mereka semua tercampak keluar. Mereka patut bersyukur kerana masih hidup walaupun terdapat beberapa kecederaan ringan.

   Sam, Jack dan Ross serta Aviva berdiri di belakang Haliene. Mereka melihat ke arah kereta tersebut tanpa sebarang suara. Haliene berpaling memandang mereka, "Jom, cepat! Kita cari dia, aku yakin dia tak jauh dari kawasan ni," katanya lalu mengetuai misi pencarian tersebut.

   Jauh ke dalam hutan mereka mencari. Kemudian kedengaran teriakkan dari Ross, "Hei, kau orang! Dekat sini!"

   Terburu-buru mereka menuju ke arah suara tersebut. "Oh Tuhan, Monika!" teriak Haliene. Kelihatan Monika tidak bergerak dipangkuan Ross, tubuhnya longlai tidak bermaya. Haliene menampar perlahan wajah Monika, namun langsung tiada pergerakan darinya. Keadaannya sangat teruk dengan darah yang hampir menutupi sebelah kiri wajahnya sehingga ke leher.

   Haliene juga perasan terdapat kesan darah basah di bahagian kiri perut Monika. Dia menyelak baju tersebut yang melekat dengan darah pekat. "Oh Tuhan! Aku rasa luka ni dah teruk sangat."

   Ross melekapkan dua batang jarinya di bahagian tepi leher Monika, terasa denyutan nadi yang sangat lemah. "Dia masih hidup."

   "Cepat, tolong angkat dia!" arah Haliene.

   Sebaik sahaja tiba di tapak perkhemahan, mereka meletakkan Monika di atas kain alas yang dibentangkan di atas tanah. Luka yang semakin teruk itu segera dicuci.

   Kini sudah masuk hari ketiga mereka berkumpul di situ.

   "Eh, tak ada orang cari kita ke?" soal Jack. Mereka semua duduk mengelilingi unggun api yang sudah semakin mengecil.

   "Kita bukannya popular pun, tak ada orang sedar pun kalau kita hilang." Sam membalas dengan rasa merendah diri.

   "Sepatutnya kita semua tengah buat persembahan dekat festival muzik tu, tahu tak... takkan tak ada orang perasan langsung yang kita tak muncul dekat festival tu?" soal Jack dengan rasa tidak puas hati.

   "Entahlah. Jeff takkan tak buat apa-apa? Takkan dia tak sedar artis label dia dah hilang?" soal Sam pula. Dia menggaru pipinya yang dihurung nyamuk.

   "Kau orang jangan risaulah. Aku yakin mereka sedang berusaha mencari kita semua. Kita bersabar saja." Haliene tiba-tiba bersuara setelah lama dia membisu.

   "Damn!" bentak Jack tiba-tiba. "Aku sepatutnya sedang bergembira sekarang ni," dia menggelengkan kepala sambil mengeluh berat.

   "Bukan kau seorang, kita semua." Balas Sam.

   "Syyy..." Haliene meletakkan jari telunjuk di mulutnya. Kedengaran suara Monika tidak jauh dari tempat mereka duduk berkumpul. Haliene segera mendapatkan Monika, yang lain turut serta.

   Seribu kerutan di wajah Monika berserta dengan rintihan dari kesakitan yang dialaminya. "Monika! Buka mata kau, aku ni." Haliene mengusap wajah Monika, sesekali dia menamparnya agar Monika tersedar.

   "Sakit..." perkataan itu berulang, sangat perlahan namun jelas kedengaran. Berselang-seli pula dengan dengusan yang perlahan.

   "Syyy... kau okey," Haliene menyeka air mata yang mengalir di pipi Monika. "Kau orang, tolong ambilkan aku air."

   Aviva datang membawa botol berisi air. Hujung mulut botol disuakan ke mulut Monika, perlahan-lahan dia menelan air tersebut. Terasa perit yang amat di tekaknya, sesekali dia tersedak lalu terbatuk-batuk. Sakit di bahagian perutnya terasa menusuk. Dia menggelengkan kepala setelah disuakan lagi air tersebut. Nafasnya kedengaran agak kuat, kepalanya turut rasa berdenyut.

   "Bagaimana dengan luka tu?" soal Jack kepada Haliene.

   "Dalam juga luka tu. Nanti esok pagi, tolong aku carikan herba-herba yang boleh kita buat ubat." Haliene berkata kepada mereka.

   "Ubat yang kau guna sekarang?" soal Sam pula.

   "Aku tak pakai ubatlah, aku cuci saja." Balas Haliene.

   "Oh."

   Malam kian hening, masing-masing sudah melelapkan mata yang penat. Aviva tersedar dari tidurnya setelah terdengar bunyi bisikan suara orang sedang bercakap-cakap. Dalam keadaannya yang mamai dan mata masih kabur, dia cuba mencari punca suara itu. Dari kejauhan, kelihatan tubuh seseorang sedang berdiri di luar kawasan perkhemahan. Tidak jelas empunya siapa tubuh itu. Kerana terlalu mengantuk. Aviva meletakkan kembali kepalanya lalu terlelap dengan sendirinya.

   

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status