Share

BAB 7

USTAZ Amiruddin mengurut pelipis. Panggilan yang baru dimatikan tadi buat dia risau. Fatin dan Murad yang ditangkap berkhalwat dalam bilik darjah itu cukup untuk buat Ustaz Amiruddin sakit kepala seminggu.

"Apa kamu dah buat ni, Murad? Kamu tahu tak kamu SPM tahun ini. Kamu nak rosakkan masa depan sendiri?"

Murad menunduk. Langsung tiada niat mahu bersuara. 

"Kami tak buat apa-apa pun, Ustaz! Percayalah! Saya dengan Murad ni tak ada apa-apa. Kebetulan kami dekat situ!" ujar Fatin sedikit mendesak.

Ustaz Amiruddin langsung tidak peduli apa yang Fatin kata. Dia lebih risaukan Murad. Ini bukan perkara kecil. Murad harapan sekolah.

Fatin disebelah Murad itu dipandang. Gadis ini yang selalu masuk ke bilik kaunseling. Susah dia mahu percaya kata-kata Fatin. Entah-entah Fatin yang menggoda.

"Murad, kenapa kamu ada dengan Fatin malam-malam begini?" Soalan berterusan diajukan kepada Murad.

Lelaki itu terus mendiamkan diri.

"Dia ajak kamu?" Ustaz Amiruddin buat tuduhan sendiri.

Fatin mendengus kuat. Tubuh disandar ke kerusi. Punya panjang lebar dia mempertahankan diri tadi, Ustaz Amiruddin tuduh dia pula?

"Saya yang ajak dia." Murad akhirnya bersuara.

"Murad! Kau gila ke? Tak! Tak! Saya dengan Murad memang kebetulan terserempak aje."

"Sampai masuk dalam kelas? Bergelap?" Ustaz Amiruddin membetulkan cermin mata. Dia sendiri hampir tergoda melihat lekuk tubuh Fatin, apalagi lelaki muda seperti Murad.

Murad mengerling sekilas. Gigi diketap.

"Saya yang ajak dia. Bukan dia ajak saya. Kalau Ustaz tak boleh terima alasan saya, suka hati Ustaz. Jangan tuduh dia bukan-bukan!"

"Murad… Saya bukan nak menuduh, tapi saya nampak depan mata. Berpegangan tangan, berduaan dalam tempat gelap. Sesiapa yang pandang pun akan fikir tak baik, Murad.

Kalau begitu, beritahu saya Fatin. Kenapa awak ada dekat bangunan kelas malam-malam begini? Takkanlah awak berdua boleh terserempak dekat kawasan yang jarang sekali orang lalu. Malam-malam pula."

Fatin terkulat-kulat. Kaki menghentak-hentak perlahan.

Murad di sebelah mengeluh. Tubuh ditegakkan.

"Saya yang ajak dia datang bilik tu. Kami janji nak jumpa malam ni."

"Untuk apa?"

Tangan Fatin menepuk paha Murad. Isyarat mata diberi. 

'Jangan macam-macam, Murad!'

Murad diam sesaat sebelum mulutnya kembali terbuka.

"Kami bercinta."

Fatin melongo. Pengakuan Murad buat otaknya kosong. 

Bunyi keluhan dari Ustaz Amiruddin buat Fatin tersedar dan berpaling memandang lelaki 40-an itu.

"Ustaz percaya? Murad ni bergurau sajalah, Ustaz. Kita orang memang tak ada apa-apa. Kan, Murad?"

Murad buat tidak tahu. Dari tadi matanya bersabung dengan mata Ustaz Amiruddin.

"Kamu tahu tak pengakuan kamu ni boleh sebabkan kamu dibuang sekolah? Bercinta dan berduaan malam-malam. Apa lagi yang kamu dah buat? Saya tak sangka sebab perempuan awak boleh jadi begini, Murad."

"Sebab tu saya kata, Murad ni bergu—"

"Apa masalahnya pula ni?" Suara garau mencelah dari arah belakang.

Fatin terkejut. Wajah ditundukkan. Mulut terus terkunci.

Shahrulrizan, desis Fatin sendiri.

Ustaz Amiruddin terus bangun. Lelaki berT-shirt putih itu duduk di kerusi Ustaz Amiruddin. Mata mencerlung memandang Fatin. 

"Budak ni lagi buat masalah?"

"Saya yang salah. Pengetua tak perlu nak letakkan salah dibahu Fatin saja."

"Ustaz keluar dulu. Tinggalkan kami bertiga," arah Shahrulrizan. Lelaki awal 40-an yang sudah berjaya menjawat jawatan sebagai pengetua di umurnya yang masih muda.

Ustaz Amiruddin akur. Setelah pintu ditutup rapat, Shahrulrizan duduk santai.

"Saya faham, Murad. Sukar mahu menolak godaan perempuan. Tapi awak masih punya peluang. Saya akan beri awak peluang itu."

Murad yang dari tadi malas mahu berbicara panjang, terus memandang tajam lelaki di hadapan. Fatin di sebelah dikerling dengan ekor mata. Gadis itu nampak sedikit kalut.

"Maksud pengetua?"

Shahrulrizan memandang Fatin dan beralih ke Murad semula.

Dengan pandangan itu sahaja Murad sudah faham apa yang difikiran Shahrulrizan. Bibirnya senyum senget. Sinis.

"Pengetua boleh ambil tindakan pada saya Saya yang ajak Fatin keluar malam ini. Saya akan terima apa jua tindakan. Dah, Fatin! Jom keluar!" Tangan Fatin ditarik supaya bangun.

"Murad! Fikirkan baik-baik. Ini mengenai masa depan awak."

Langkah Murad terhenti. Penumbuk digenggam kuat.

"Masa depan saya? Dengan korbankan masa depan orang lain?" Tajam pandangannya terhala ke wajah Shahrulrizan.

"Selama ini saya begitu memandang tinggi pada lelaki yang berjaya seperti pengetua. Tapi, hari ini pengetua jatuh lebih rendah dari tapak kaki saya."

Pintu dihempas kuat. Ustaz Amiruddin yang setia menanti di luar itu tidak ditegur. Tangan Fatin terus ditarik mengikuti langkahnya.

Setelah yakin mereka sudah jauh dari bilik guru, genggaman tangan dilepas. Murad mengelih sekeliling sebelum merapatkan wajahnya ke Fatin.

"Apa dia buat pada kau?"

Fatin mengalih wajah dari direnung terus oleh Murad. Riak kosong.

"Cakaplah! Apa kau sorok dari aku? Dia buat apa pada kau?" tengking Murad.

Benci dia melihat perangai Fatin kali ini. Selalunya gadis ini mudah sekali meluah padanya.

Kedua bahu gadis itu dipegang supaya Fatin tidak lagi mengelak dari memandangnya.

"Cakap! Apa dia buat? Aku akan percaya pada kau. Apa sahaja yang kau kata!" tegasnya. Tubuh Fatin digoncang perlahan. Sedikit memaksa.

Tubir mata Fatin sedikit bergenang.

"Semua orang tak percaya aku."

Murad tergamam. Terus ditarik gadis itu ke dalam pelukan. Belakang Fatin ditepuk perlahan. 

"Tak apa. Aku ada. Aku percaya kau. Beritahu aku apa dia dah buat… Aku akan percaya apa sahaja kata kau."

Fatin menyembam wajah ke dada Murad. Murad tempat dia mengadu dan meluah. Tetapi entah kenapa tidak pernah dia mengadu hal tersebut kepada Murad.

"Lelaki semua sama. Betul kata kau," ujar Fatin perlahan.

Tepukan perlahan dibelakangnya terhenti. Berkeriut kening Murad cuba mendalami makna katanya.

"Dia sentuh kau? Dekat mana?"

"Dia banyak kali cuba raba aku. Mulanya aku ingat itu semua cuma prasangka aku sahaja. Mula dengan sentuh bahu aku, usap kepala aku… Aku ingat dia cuma prihatin pada aku."

Fatin menunduk.

"Bila aku cerita pada kawan-kawan, semua kata itu cuma prasangka aku sahaja. Tak ada apa-apa jadi dan itu semua cuma sangkaan. Tapi semakin hari, aku rasa sentuhan dia bermaksud lain dari apa yang aku cuba sangka.

Sejak itu aku mengelak dari berjumpa dia. Setiap kali ternampak dia, aku jadi takut. Pandangan dia pada aku… Renungannya seakan aku ada hutang sesuatu pada dia. Aku takut dia apa-apakan aku, Murad."

Murad setia mendengar. 

"Dia ikut aku kemana-mana. Dia pernah datang asrama kami. Walaupun alasan dia cuma atas dasar kerja tapi aku tahu dia sebenarnya ada niat tak baik."

"Kenapa kau tak beritahu aku dari awal, Aten? Kau tahukan yang aku ada."

"Aku ingat kau pun tak akan percaya pada aku."

Murad memejam mata beberapa saat. Nafas ditarik dan dihela panjang.

"Pernah ke aku tak percaya pada kau?"

Fatin geleng.

"Jadi?"

"Aku minta maaf. Aku malu nak beritahu kau."

Helaian rambut yang menganggu wajah Fatin itu Murad selit ke celah telinga.

"Mulai hari ini aku nak kau pakai elok-elok. Bukan seorang dua yang pandang kau dengan nafsu, Aten. Ramai! Kenapa kau selalu buat aku risau?"

Wajah Fatin yang polos itu buat Murad terpana. Fatin datang dari keluarga yang sederhana. Biasa. Adik-beradiknya semua perempuan. Ayahnya pula cuma pekerja kerajaan. Fatin memang tidak tahu banyak tentang lelaki. Dia membesar dengan cerita-cerita fantasi tentang cinta sejati.

Masalahnya, cinta sejati tak wujud di zaman ini! Semua lelaki sama, itu termasuk Murad sendiri.

Berapa puluh kali pun dia ulang nasihat yang sama, Fatin masih begitu. Terus-terus mencari lelaki yang sesuai dengan idamannya. Alif, di luaran memang nampak seperti lelaki idaman. Dalamannya, Murad dan kawan-kawan sahaja yang tahu. Perempuan selalu ditayangkan dengan sisi budiman lelaki itu sahaja.

Sama juga dengan Shahrulrizan. Satu spesis seperti Alif.

Dagu Fatin disentuh supaya gadis itu memandangnya.

"Aku nak kau balik asrama, tidur dan lupakan semua ini. Semuanya akan baik-baik. Anggap ini semua mimpi. Lupakan dan hidup dengan gembira. Jangan biar masalah begini ganggu kau."

Fatin mengangguk perlahan. Memang setiap hari dia cuba melupakan dan hatinya sedikit lapang bila akhirnya dia dapat meluah. 

"Tak apa ke kalau kita keluar macam itu aje? Mesti esok jadi gosip."

"Siapa yang nak gosip? Cuba kau beritahu aku. Tak ada siapa tahu kecuali engkau, aku, Amiruddin dengan buaya tu. Takkan Amiruddin tu pakcik bawang pula?"

Fatin tergelak kecil. Sempat lagi Murad….

"Kau balik, terus tidur. Jangan cakap dengan sesiapa. Biar ini jadi rahsia kita aje. Faham?"

"Faham."

"Dah! Jom aku hantar kau sampai asrama. Lepas ni aku tak nak kau jumpa Alif lagi. Dah putus, kan? Buat apa lagi dia nak jumpa kau?"

Mereka jalan beriringan. Rambut Fatin yang sedikit serabai kerana ditiup angin itu Murad kemaskan sedikit.

"Dia kata nak pulihkan hubungan kami."

"Pulihkan? Sampai suruh kau datang ke kelas malam-malam?"

"Kau tu, buat apa dekat kelas malam-malam?"

Murad jungkit kedua kening. Anak mata dialih memandang ke arah lain.

"Aku saja. Rehat-rehat dalam kelas."

"Malam-malam?"

Terus Murad jentik dahi Fatin. Banyak pula soal. 

"Suka hati akulah. Memang dari petang tadi aku tidur dekat situ. Tahu-tahu dah malam."

Dahi Fatin berkerut. Sedikit sangsi tapi dibiarkan. Banyak soal lagi nanti, dahinya juga yang jadi mangsa. 

"Naik dan terus tidur! Jangan tengok telefon, jangan layan mesej Alif lagi," tegas Murad. Tiada walau segaris senyuman di wajah. 

"Iya lah!"

Kaki dihentak-hentak sambil mendaki tangga. Sengaja mahu buat Murad sakit hati mendengar hentakan kakinya.

Comments (1)
goodnovel comment avatar
Dhuha Adreena
I think this is free?
VIEW ALL COMMENTS

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status