Share

05 | Mesej

KAMI PERANG DINGIN MUNGKIN. Dah dua hari rumah ini sunyi dari suara manusia walaupun semalam Hanzalah ada sepanjang hari di rumah. Pertama kali dia ada di rumah selama 24 jam. Kerja sebagai jurugambar profesional menjadikan dia bekerja setiap kali hari cuti terutama Jumaat, Sabtu dan Ahad. Tapi hari-hari lainnya tetaplah dia tidak melekat di rumah. Sungguh, aku cuba untuk bersangka baik tapi semakin lama aku rasa, hubungan kami semakin jauh.

Hmm... kami memang tak pernah rapat pun...

Mee goreng yang terhidang aku tutup dengan tudung saji. Bimbang Puyen dan Oyen merasmikan dulu sebelum suami aku. Sengaja aku masak mee goreng. Antara menu yang memang biasanya menjadi di tangan aku. Biarpun aku masih menahan rajuk di hati namun tidak tegar rasanya berlama-lama begini. Aku isteri, sepatutnya banyak mengalah. Kalau dia taknak pujuk, akukan boleh mengadu pada Allah. Lama-lama begini, aku sendiri yang makan hati sedangkan Hanzalah selamba je lalu lalang depan mata aku.

Pintu bilik aku buka. Hanzalah terlena selepas solat Subuh tadi dengan tubuh yang tersandar di birai katil dan kepala terlentok mendongak ke atas. Mulutnya sedikit terbuka. Baju Melayunya sudah senget ke kanan. Tanpa sedar, aku tersenyum sendiri. Mengantuk benar nampaknya.

           "Awak." Pipinya aku sentuh perlahan. Matanya terbuka sedikit sebelum terkatup kembali. Sekali lagi aku mengejutnya sementara mee goreng masih panas. Tak best pula kalau makan sejuk-sejuk. Aku yang kecewa nanti dengar komen dia walaupun aku dah mula biasa kena kritik setiap kali waktu makan.

          "Cik abang, jomlah sarapan." Aku mula geram.

Tiba-tiba tangannya menggenggam erat pergelangan tangan ku walaupun matanya masih rapat tertutup. Tidak sempat berfikir apa-apa, aku sudah terduduk dan tersandar di dada bidangnya. Erat kedua tangannya mengikat tubuh aku rapat di situ. Nafasnya menampar halus dahi ku yang sudah berkerut seribu. Entah mengapa jantung berdetak laju seakan mahu berlari keluar dari badan sedang telingaku yang melekap di dadanya mendengar jelas degup jantungnya yang tenang. Pantas aku menolak dadanya dan berdiri tegak.

           "Encik Hanzalah!" jerit ku tanpa sebab. Bukannya baru seminggu berkahwin, takkan masih berdebar kut? Pelukannya tadi terasa meresap jauh ke dasar hati.

           "Hmm..." Dia menjawab malas sebelum enak meletakkan kepala di birai katil. Aku mengurut pelipis. Haih... nampak sangat dia peluk aku tadi dalam keadaan mamai. Tak ada makna pun pelukan tadi pada dia. Aku saja yang melebih.

          "Saya sarapan dengan Puyen jelah!" Aku menapak panjang-panjang ke dapur. Sakit hati.

Teko air di atas kabinet aku capai dengan bibir yang masih menggumam. Entah marahkan apalah aku ni?

Ketika aku berpusing untuk membawa teko itu ke meja, Hanzalah sudah berdiri tegak dengan muka lesunya di muka pintu dapur sambil menguap besar. Selesai membasuh muka di sinki, aku menghulurkan tuala muka padanya. Kerusi aku tarik dan duduk di situ. Oyen muncul entah dari mana, laju menonong ke arah kaki Hanzalah dan menggesel tubuhnya di situ. Getiknya kau, Oyen!

Tangan Hanzalah yang menarik kerusi, terhenti saat tudung saji aku angkat. Aku pandang wajahnya yang mencuka.

          "Sarapanlah dengan Puyen."

          "Pulak?" Aku menganga.

          "Lepas ni jangan masak mee goreng dah." Terus dia menolak semula kerusi tadi. Aku ketap bibir. Panas pulak rasa hati ni.

          "Kenapa?"

           "Tak suka mee." Pendek, padat, tegas jawapannya. Aku yang terasa sendat.

          "Sebelum ni, makan je?" Nada suara aku mula keras. Penat masak tak hilang lagi ni. Mulalah aku rasa penat walaupun masak sekejap je tadi. Bukannya masak untuk 100 orang.

          "Yang awak masak, tak sedap. Tak suka." Selambanya lahai..

Dia berpaling pergi. Muka lesunya berubah serius. Oyen masih di kaki. Puyen pula mengiau dari luar dan join sama dengan Oyen.

           "Ish, duduk luarlah! Nak aku buang tepi jalan ke?" marah Hanzalah.

Terkejut kau Oyen dengan Puyen bila kena tolak dengan kaki tuan kesayangan depa. Aku pun naik terkejut. Dah kenapa tiba-tiba nak marah?

•       •       •

KAKLONG DAH TAK BERSUARA. Semua pujukannya tak jalan. Bukan aku minta dia pujuk pun, sekadar nak orang dengar luahan hati aku ni. Hujung ekor Puyen aku kuis dengan hujung jari. Air mata tak payah cakaplah. Kucing tu pun tak berkelip tengok aku menangis beriya-iya.

Ya Tuhan... murahnya air mata ni lepas kahwin.

          "Sudahlah jadi jeruk kat dalam rumah. Tak ada kawan sembang pun. Abang Han asyik keluar. Balik dah penat. Adik tak kisah pun sebenarnya tapi bila dia tak bagi pergi majlis tahlil tu, adik macam dah tak tahan dah sedih hati ni."

Entah kali ke berapa aku mengadu begini. Longkang kecil yang kering aku tolak-tolak dedaun kering di dalamnya dengan ranting kayu. Entah apa yang kelakarnya, Kak Long gelak terkekeh-kekeh.

Bunyi motor dihidupkan menderam di garaj memaksa aku mematikan panggilan. Dengan hujung baju aku lap segala air mata di muka. Aku berlari anak mendapatkan Hanzalah yang sudah siap berhelmet full face. Biarpun visor helmet melindungi mukanya namun aku tahu dia sedang memandang aku.

          "Nak pergi mana?" Terlepas jugak soalan di mulut. Melihat dia memakai serba hitam dengan jaket kulit coklat pekat yang fit pada tubuhnya, siap bersandang beg di belakang, nampak macam samurai pula.

Hujung jarinya menolak visor, meneruskan renungan tajam pada muka aku. Eh, dia tak tahu ke muka aku diperbuat dari besi. Sikit pun aku tak mengalih pandang. Dia bersuara tapi aku tidak mendengarnya. Sudahlah pakai helmet tutup satu kepala macam tu, bunyi enjin motor pulak macam bunyi Oyen gaduh dengan kucing lain kat belakang rumah.

Aku tahu dia mengeluh bila aku buat muka blur. Ya, sebab aku tak dengar. Helmetnya dibuka, rambutnya diramas perlahan.

           "Keluar sekejap. Tunggu saja di rumah."

           "Nak ikut."

Hanzalah turun dari tunggangannya. Motor yang masih menderam dibiar bertongkat ke sisi. Aku berundur setapak ke belakang menyedari dia mula mampir bersama helmet di tangan. Aku rasa ada percikan eletrik bila mata kami bertembung. Hampir melompat aku bila tangannya memegang bahuku dengan erat.

           "Stay."

Nadanya dalam di halkum, aku sendiri dah tertelan anak tekak, tak mampu nak balas kata.

Dia nampak puas hati bila aku mematung begitu. Tangannya melurut ke bawah, melepaskan cengkamannya.

          "Good girl," ucapnya dengan senyuman senget. Aku ingin bersuara namun terdiam sekali lagi apabila hujung jarinya menyentuh perlahan kepala ku. Dan.. aku tersedar yang aku dah terpatung lama di situ selepas tertelan asap ekzos motornya.

Huh!

•       •       •

TERNYATA AKU BUKANLAH ISTERI MITHALI macam dalam drama yang sanggup melongo tunggu suami yang tak reti cari jalan pulang. Aku agak Hanzalah ni Keluangman agaknya. Aku tarik selimut bawa ke ruang tamu yang kecil. Tubuh aku baringkan di kusyen sofa yang tak berapa nak empuk. Dah nak pukul 12 malam macam ni, jujur aku cuak duduk seorang diri dalam bilik. Aku rasa macam ada orang lain tengok aku.

Haha, siapa perangai macam ni kita geng!

Maka dengan rela hati aku tinggalkan tilam yang empuk gebu gebas tu.

Sesekali aku membuka mata apabila terdengar bunyi motor menderam di luar tapi bukan dia. Huh, ke mana dia agaknya? Tadi aku intai planner kerja, hari ni takde pula tercatit apa-apa event. Akhirnya aku terlelap sendiri dalam keadaan rumah yang terang benderang.

Prak!

          "Aduh!"

Terdengar suara mengaduh yang ditahan-tahan mengganggu lenaku. Hujung mata aku buka dalam kantuk yang bersisa. Belakang tubuh itu aku kenal sekali. Hanzalah.

Cepat-cepat aku katup semula mata apabila dia menoleh ke belakang. Mungkin memerhatikan jika aku terjaga atau tidak. Seketika, dia meneruskan kembali kerjanya. Aku mencuri pandang lagi. Hujung bibir aku ketap menahan tawa melihat tangan kanannya yang melekap di pinggang menahan sakit apabila terkena hujung kabinet. Melentok-lentok macam sotong kurita. Ya Allah, aku rasa nak hambur ketawa kuat-kuat! Hilang mengantuk terus. Keras perut aku rasanya.

Namun tak lama rasa lucu menggeletek apabila melihat satu benda hitam berbentuk petak diangkat Hanzalah ke atas kabinet. Oh seriously? Dia pergi beli TV ke? Automatik aku terduduk dari pembaringan.

Hanzalah pantas menoleh.

          "TV? Televisyen?" Spontan mata bersinar. Aku bingkas bangun dengan tangan yang mendepa ke hadapan. Hanzalah nampak tergamam sebelum mendengus geram apabila aku menerpa TV itu, bukan dia.

           "Taklah. Mesin basuh." Selamba dia menjawab meninggalkan aku yang sudah teruja memeluk TV walaupun pelukanku tidak muat pada skrin petak itu. Rasa macam jumpa member lama.

           "Dija."

           "Hah?" Aku menjawab tanpa memandang. Remote control di tepi kabinet aku capai. Bahagia betul tengok punat warna warni di situ.

           "Lap dulu air liur basi tu."

Buntang mata aku memandang dia yang sudah hilang di balik pintu bilik. Kurang asam!

Puas menelek TV, aku melangkah masuk ke dalam bilik. Hanzalah sudah terbaring di atas lantai hanya beralaskan bantal di kepala. Dalam kesamaran lampu meja, wajahnya nampak kepenatan. Aku mencuit bahunya mengajak dia berbaring di atas katil.

          "Emm... tak nak. Badan busuk. Tak larat nak mandi," gumamnya dalam mata yang terpejam dan tidak lama selepas itu terdengar dengkuran halus nafasnya berhembus.

Rasa serba salah pula sebab aku pernah mengomel geram bila dia baring di atas katil selepas pulang dari kerja dalam keadaan bau peluh begitu. Toto aku tarik ke sisinya. Dengan tenaga yang tak berapa nak ada, aku tolak tubuhnya, memaksa dia bergolek ke atas toto nipis. Rasa macam tolak kayu balak. Apahal berat sangat orang lelaki ni padahal badan tak besar mana.

Saat dia mengiring ke sisi, aku terlihat kesan luka bercalar di siku turun ke lengan. Aku teliti sehingga ke hujung jarinya yang ada kesan hitam. Kaki dia pula menjadi sasaran. Stokin yang sudah koyak dan ada kesan tanah itu aku buka keduanya. Entah apa yang dia buat waktu keluar tadi sampai kotor macam ni. Aku pandang lama-lama wajahnya. Dia usaha nak beli TV untuk aku ke?

Aku ke ruang tamu, menilik permukaan lantai. Betul jangkaan aku, ada kesan kotoran di situ. Aku bersihkan tanpa bunyi. Beg-beg Hanzalah aku bawa ke bilik kerjanya.

Mataku menangkap sebuah buku kecil sebesar saiz tapak tangan yang lusuh dan lunyai, sedikit terkeluar dari poket beg. Ketika aku membuka helaian buku itu, mata menjadi kabur.

Kipas stand

Baiki pintu bilik

Coffee maker

Alas tilam

Alatan dapur

Jajan Dija

TV

Hadiah kahwin Dija

Aku dongak memandang siling bila terasa air mata hampir gugur. Senarai itu belum habis dibaca dan banyak juga dah dipotong. Bahagian to-do-list sebelum kahwin pun panjang. Paling haru bila aku nampak nama aku kat situ.

Apa je yang aku usahakan untuk rumahtangga kami?

•        •       •

BUNYI SUDU DAN GARFU berseret di pinggan menarik perhatiannya.

          "Ye..." Hanzalah memandang aku dengan muka bosan. Masih bersisa penatnya.

         "Saya nak kerja jugak. Nak tolong awak."

         "Biar saya seorang yang kerja."

         "Tapi saya tak buat apa pun kat rumah."

         "Awak teman sayalah. Mana ada tak buat apa."

         "Nak kerja jugak."

         "Duit belanja tak cukup ke?"

         "Bukan. Bukan pasal tu. Saya nak buat sesuatu jugak untuk rumah ni."

          "Hidup kita panjang lagi, inshaAllah. Takkan sebulan kahwin dah terus nak hidup serba mewah," bidasnya.

         "Bukan tu maksud saya."

         "Jadi, duduk je rumah." Laju je dia balas semua cakap aku, sikit pun tak bagi ruang untuk aku menang.

         "Awak..."

          "Duduk je kat rumah. Sekurang-kurangnya sampai hujung tahun ni, baru saya boleh pertimbangkan kalau awak nak kerja."

Pantas otak aku mencongak. Nak sampai hujung tahun ada tiga bulan lagi. Lama bagi aku mengenangkan tiga bulan itu akan habis di dalam rumah ni je.

"Okey... saya setuju dengan syarat saya pergi kenduri tu sekejap je boleh tak?" Aku mengambil kesempatan ini untuk bangkitkan semula isu kenduri arwah umi. Hanzalah diam memandang lempeng yang hampir habis.

"Saya ada kerja editing nak kena buat kat rumah. Dateline dah dekat."

Hampa. Hidung terasa panas. Sensitif bila bab macam ni ditimbulkan. Aku memang hakmilik dia ke sampai aku tak boleh balik jumpa keluarga sendiri.

"Saya minta Kaklong ambil kalau macam tu." Aku tidak berputus asa, membuat muka kesian sehabis baik.

"Takkanlah awak sanggup nak biar saya seorang kat rumah?" Pinggannya sudah ditolak ke hadapan.

"Awak bukannya budak kecik."

"Siapa nak masak untuk saya?"

Eh, kan aku masak tak sedap? Menggerutu hati ni kemain bermanja-manja dengan aku.

"Pagi tu saya masak pagi tu siap-siap. Malam nanti saya tapaulah makanan dari kenduri untuk awak. Bukannya saya tidur sana pun." Aku tambah lempeng dalam pinggan. Geram ni!

"Tak boleh."

Dia bangun membawa pinggan ke sinki. Aku ekori dengan pandangan tajam.

"Tolonglah! Bukannya buat apa pun kat rumah ni." Aku merayu dalam protes.

"Tu TV dah ada. Tengoklah TV." Masih tak bernada, selamba dia menjawab. Pili air setia membilas tangannya yang bersalut sambal cicahan tadi.

"Oh, awak beli TV sebab taknak bagi saya keluar dari rumah ke? Saya bukan Oyen!" Entah bila makin rancak pulak kami berbalas begini, aku makin berani membantah dan berhujah.

"Awak tak ada sekalipun majlis tetap berjalan."

Sinisnya!

"Ini majlis tahlil arwah mak saya! Mestilah saya nak join. Nak tolong masak-masak kat sana." Lempeng aku carik-carik kasar. Geram punya pasal. Dalam masa yang sama, aku cuba tahan air mata.

Pili ditutup. Aku dengar dia menghembus nafas berat, menekur memandang air yang berpusar di sinki.

"Fine. Pergilah..."

Aku pandang dia yang masih membelakangi aku. Aku dah menang ke?

"Pergilah masak mee kat sana untuk Adam tu."

Erk.

Dia terus melangkah meninggalkan dapur.

BAM!

Pintu bilik kerja dihempas sedikit kuat. Aku terkebil-kebil menghadam kata-kata akhirnya tadi.

Mee?

Adam?

What?

🌼

"Because nothing makes me happier

and nothing makes me sadder 

than you."

Zen.

07.09.2021

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status