Share

04 | Lari Rentak

SEKEJAP BERGOLEK KE KANAN, kemudian ke kiri. Seronok mesej dengan Kak Long tak ingat dunia.

'Dah lama tak nampak Adam datang rumah.'

Aku terdiam membaca mesej itu. Seketika aku terlentang, memandang kipas siling yang berpusing perlahan. Mesti Adam masih sedang merawat hati. Kalaulah dia tahu, aku pun menyimpan hati padanya...

'Kesian dia, Kak Long. Nanti pergilah hantar mee goreng ke rumah mak ayah dia. Karang putus silaturrahim pulak.'

Aku menekan butang send. Rumah Adam selang dua lorong saja dari rumah abi. Sebab tu selalu terserempak dan selalu juga keluarga kami bertukar-tukar makanan dengan keluarga mereka.

'Mana ada orang nak masakkan mee goreng sedap macam Dija dah. Kak Long masak hari tu pun abi makan sekali je. Tak bertambah.'

'Jauh hati ke, Kak Long?'

Aku tersengih sendiri.

'Tak jauh hatilah. Mee goreng je Kak Long tak reti daripada Dijah yang hanya pandai masak mee goreng SAHAJA.'

Amboi, melampau perkataan sahaja tu dibesarkan semuanya!

'Hei, mee goreng tu la yang sampai Adam masuk meminang tau.'

Geram aku. Tercabar pulak rasa. Kak Long memang pandai masak tapi aku pun perempuan juga. Malu besar kalau tak reti masak. Bila teringat hal Nasi Goreng Belacan tu, tercabar betul jiwa raga ni.

'Boleh buat novel ni. Cinta Separuh Jalan Mee Goreng dan Tukang Azan.'

'Tukang Azan?'

'Eleh, bukan Kak Long tak tahu, Dija simpan hati kat Adam tu sejak dengar dia azan kat surau waktu Ramadan lepas, kan?'

'Memandai je! Dah suara dia sedap macam taranum tu, memang sesuailah jadi tukang azan!'

'Entahkan dia datang entahkan tidak majlis tahlil minggu depan. Dija balik tak?'

'InshaAllah datang. Tak ada rancangan apa rasanya.'

Setiap hari Jumaat minggu pertama setiap bulan abi akan adakan majlis tahlil dan bacaan Yassin sebagai tanda kesyukuran dan juga khas untuk arwah umi. Kadangkala 2 bulan sekali. Ikut keadaan. Kasih abi pada umi masih terasa hingga pada kami anak-anaknya. Memang tak pernah kami lupa keberadaan umi walaupun jasad umi tak terlihat.

Dan sejak beberapa bulan yang lepas, rajinlah Adam dan ayahnya mengetuai bacaan tahlil. Almaklumlah ayahnya imam masjid taman perumahan.

'Dah la. Sibuk cerita pasal lelaki lain. Han macamana dengan Dija?'

Aku menghela nafas berat membaca soalan Kak Long itu.

'Entahlah Kak Long. Dija tak tahu hati Dija macamana. Tak pernah kenal, kan? Dija tengah belajarlah ni. Cuma.. dia Dija tak tahu. Takdelah romantik mana pun. Entahkan dia sayang ke tidak kat Dija ni. Asyik marah dan terkejutkan orang je.'

'Sabarlah Dija. Kahwin bukan utk setahun dua. Perlahan-lahan.'

'Kenapa abi kahwinkan Dija dengan dia?'

'Jangan fikir banyak. Dah kahwin dah pun. Yang penting, ambil hati dia dan Dija kena berlapang dada. Buka hati tu untuk terima Han. Bukannya dia jahat pun. Tak mungkinlah tak sayang. Kak Long doakan dari jauh.'

Sebak pulak aku dibuatnya. Memang aku tak tahu status hubungan kami ni. Suami isteri yang macamana, serasi ke, dia terima ke aku ni. Walaupun dah sebulan kahwin, kami masih belum berkenalan sepenuhnya. Sembang apa minat dia, apa hobi aku, saudara mara dia. Mana tidaknya, lepas kahwin dia terus kerja. Kadang-kadang larut sampai ke malam. Ke... dia pergi jumpa perempuan lain? Ya Allah! Janganlah ke situ pulak!

Tapi, iyalah. Kahwin tiba-tiba. Mungkin kahwin dengan aku sebab permintaan abi, mana tahu dia dah ada buah hati sendiri. Aku tak pernah tanya bahkan tak pernah terfikir pun! Ada sedikit pedih di hujung hati.

Tanpa membalas mesej Kak Long, aku campak handphone ke dalam laci. Sakit hati!

•       •      •

"SIAPA PULAK NI?" Aku bertanya separuh merungut melihat kucing baru sedang bergesel di kaki Hanzalah. Ish... laki aku tu! Aku pun tak mengada macam tu sekali.

Okey, aku dah tak normal sebab jealous dengan kucing jalanan. Eh tak, tak! Kucing tu yang tak normal sebab datang rumah orang tak dikenali lepas tu main gesel-gesel pulak!

"Puyen."

Sepatah dia menjawab. Dia ni kalau bercakap, payah nak pandang muka aku. Kenapa? Aku tak lawa macam buah hati dia ke? Aish, menyimpang pulak!

"Puyen? Sebelum ni tak ada pun." Aku menarik kerusi plastik berhadapan dengannya. Selalunya kami makan di situlah. Malas nak ke depan. Lagi mudah nak cuci tangan di sinki dan tak adalah sakit punggung duduk di atas lantai berlapik tikar buluh.

"Tu, sepupu Oyen." Dia menjuih ke arah Oyen yang enak lena di tepi peti sejuk. Pandai kau pilih port ya. Atas alas kaki hadiah kahwin dari kawan-kawan aku. Tapi sebenarnya aku lebih terpandangkan Hanzalah yang menjuih bibir tadi. Haha, kelakar! Macam makcik-makcik rewang.

"Boleh pulak sepupu ya. Kenapa nama Puyen? Warna hitam legam macam ni." Aku telek kucing tu. Tak geli ke Hanzalah ni bila kucing hitam tu bergesel-gesel di kakinya.

"Kan sepupu Oyen. Sepupu, Pu. Oyen, Yen. Jadilah Puyen."

Aku ketawa lepas dengar suaranya yang selamba. Boleh pulak macam tu. Dia buat lawak bodoh ke walaupun suara serius macam tu. Aku terdiam apabila menyedari Hanzalah merenung aku.

"Manis dengar awak ketawa. Rasanya tak pernah dengar awak ketawa macam ni."

Tersipu aku mendengarnya. Kembang kuncup hati ni. Dia nak mengorat aku ke apa? Siap buat muka serius dia tu. Cuma ada sedikit herot, mungkin menahan senyum. Mata yang redup tak henti-henti merenung sampai aku rasa nak meletup je pipi ni sebab naik segan. Ee... gatal kau, Jah!

"Tapi, kalau nak ketawa besar macam tu elok tutup mulut. Hodoh perempuan ketawa ternganga. Dah macam muka Puyen," ujarnya sambil bangkit mengangkat Puyen.

Aku terdiam. Rasa macam kena tumbuk kat muka. Hilang terus lagu Ting Ting Tang Ting dalam hati aku. Aku pandang belakang tubuhnya yang sedang membuka peti sejuk. Disamakan aku dengan Puyen? Kucing yang entah dari mana!

Dari rasa nak meletup pipi, aku rasa jantung aku pulak nak meletup. Eeee!

•      •      •

PINTU BILIK AIR SENGAJA aku tutup dengan kuat tanda protes. Aku menolak penutup tandas dan duduk di atasnya. Ada aku kisah bunyinya berdegung macam tu.

Laju sungguh air mata mengalir. Kecewa bila Hanzalah maklumkan yang kami takkan menghadiri majlis tahlil di rumah abi. Katanya dia ada kerja. Kalau macam tu, hantarkan aku sajalah! Bukan buat apa pun melangut kat rumah seorang macam ni. Dari petak, aku rasa kepala aku dah jadi tiga segi.

Bunyi ketukan di pintu aku buat tidak peduli. Merajuk ni! Tengoklah, sejauh mana dia nak pujuk aku, sejauh mana dia ambil berat perasaan aku. Nak juga aku tahu, setakat mana sayangnya padaku. Sukar untuk mengukur perasaan dia sebab asyik marah saja. Kalau tak marah pun, perli. Kalau memang taknak bagi aku pergi, cakaplah lembut-lembut. Ini macam aku minta ke disko pulak!

Tiba-tiba lampu bilik air terpadam. Menjerit aku dibuatnya. Blackout ke? Mulalah terbayang pelik-pelik lagilah bilik air tu cerminnya besar. Ya, aku penakut yang amat. Terus aku pulas tombol pintu.

Eh, cerah pulak bilik tidur kami ni. Aku pandang Hanzalah yang bersandar di kepala katil sambil menatap telefon bimbitnya.

"Kenapa tutup lampu? Ada manusia dalam bilik air ni, kan?" Sedaya upaya aku tahan amarah. Siapa lagi yang suspek yang ada dalam rumah ni. Memang dia seorang je! Aku memang tak suka gelap. Suram-suram kesamaran pun boleh meragut ketenangan apalagi gelap gelita.

"Kalau masuk bilik air tanpa sebab, tanpa keperluan, jangan membazir eletrik. Saya yang bayar bilnya.” Selamba dia membalas, dingin dan tidak memandang aku seperti biasa. Wajah serius dibias cahaya telefon bimbit itu terasa ingin dicubit-cubit saja. Bibir aku ketap kuat.

"Kedekut."

Walaupun sekadar menggumam, aku tahu dia mendengar. Malas berbalah, aku terus keluar ke ruang tamu. Aku berbaring di sofa dan menangis tanpa suara di situ. Bukan nak buat cerita kesian meraih simpati tapi aku memang tengah sedih gila kut!

Sekali lagi lampu ruang tamu ditutup.

"Sekarang waktu tidur. Lampu tidur di bilik saja yang boleh dibuka." Suara tanpa nada itu kedengaran.

Wow, peraturan baru ke? Dah lebih sebulan aku duduk sini, baru aku tahu waktu tidur tak boleh buka lampu di ruangan lain.

Aku pejam mata rapat-rapat. Takut tanpa sebab dengan kegelapan namun ego di hati membuatkan aku terus kaku di sofa. Takkan aku nak menangis dalam bilik depan dia. Bikin malu saja. Bukan dia peduli pun.

Saat itu aku terasa berjauh hati dengan Hanzalah. Dia tak pernah peduli tentang aku. Terpaksakah dia mengahwini aku? Sedang aku sudah belajar untuk menyayanginya? Ini ke ujian bercinta selepas kahwin?

Abi... apa abi dah buat ni...

Hmm… jauh-jauh hati pun, tak sampai setengah jam aku bangun dan mengintai ke dalam bilik. Dia sudah terlena. Ada dengkuran halus kedengaran. Ohh, fish! Dia memang tak nak pujuk aku. Mahu tidak mahu, aku berjalan perlahan-lahan dan mencapai sebiji bantal. Aku rebahkan badan di sisi katil, tak hingin nak naik atas katil. Dah merajuk, kan?

Tapi sebab aku penakut binti pengecut, aku memang tak boleh tidur seorang diri lagi-lagilah dalam suasana suram macam ni.

Seram.

           

Pagi itu dia sibuk mengemaskan segala mak nenek kamera, lensa, speedlight dan entah apa-apa lagi. Sikit pun tak tegur aku yang menjeling sedari tadi. Malas melayan, aku berlalu ke bilik, sambung tidur lepas Subuh.

Buntang mata melihat kesan kotor pada cadar. Aku hidu hujung bantal. Bau peluh! Baru aku perasan si Hanzalah ni ada tabiat balik kerja terus tidur!

Tak larat nak mandi tapi larat pulak gaduh dengan aku?

"Lepas ni boleh tak mandi dulu sebelum tidur?" Tak tahan aku bersuara juga. Konon nak sambung merajuk. Kain cadar di tangan aku sumbat dalam mesin basuh manual di dapur.

"Suka hatilah. Saya yang beli katil dengan cadar tu."

Hoshh! Sumpah aku triggered.

Selamba dia bersuara dari ruang tamu. Dia sedar tak aku masih terasa pasal malam tadi? Aku berpaling ke depan dengan tangan bersilang di dada.

"Awak beli sekali je, saya yang basuh sampai ke tua nanti."

Dengan muka berlagak, aku membalas. Pintu bilik aku tutup rapat. Erghh!

🌼

"To love is risky.

Not to love is foolish."

Zen,

06.09.2021

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status