Share

BAB 5

"UHUKK!! Ssssttt... fuh!" Aryan Syah berdesit akibat kepedasan sebaik sahaja menjamah lauk ayam masak kari yang disediakan oleh Datin Yasmin. Kesemua manusia yang berada di situ mengerling ke arah Aryan Syah yang sudahpun merah padam mukanya dek penangan kari ayam itu. Apa benda yang mama tiri aku masukkan dalam lauk ni? Pedas sangat! Tak pernah aku makan benda pedas sangat macam ni walaupun dah hampir satu dunia ni aku jelajah. Aryan Syah bengang tetapi hanya mampu disimpan dalam hati sahaja kemarahannya itu. Dia perasan kini dirinya menjadi perhatian di situ.

Aryan Syah bingkas bangun dari kerusinya. Tongkat yang disandarkan di dinding belakangnya itu dicapai. Perutnya memulas ketika ini.

Dato' Hareez mengerling anak sulungnya itu. "Aryan, nak ke mana pulak tu?"

Jelas kelihatan peluh jantan merembes di dahi Aryan Syah. "Nak ke bilik air sekejap, papa." Tangannya mengusap-usap bahagian perutnya sebagai isyarat kepada papanya itu.

"Oh, okey... Meh papa hantarkan Aryan." Dato' Hareez segera bingkas bangun untuk membantu Aryan Syah ke bilik air.

"Hai... dia tu dah tua, besar panjang dah pun... tak payahlah abang nak manjakan sangat." Datin Yasmin tiba-tiba mencelah.

"Min... behave sikit boleh tak? Awak tu lagilah tua... Tapi perangai awak tu lebih teruk dari budak-budak sekolah tadika aje abang tengok. Jaga sikit adab tu. Takkan Min tak nampak keadaan Aryan sekarang ni macam mana? Min jangan ingat abang tak tahu apa yang Min dah buat pada lauk untuk Aryan tu..."

"Takpelah papa... Aryan boleh berjalan sendiri. Lagipun papa kan sedang makan tu..." pintas Aryan Syah seraya berjalan perlahan ke arah dapur.

Mak Jah yang berdiri tidak jauh dari situ segera menghampiri Aryan Syah. "Aryan nak ke toilet, ye?"

"Ye, mak cik."

"Eh... panggil Mak Jah aje, tak perlulah panggil mak cik."

"Hmm... baiklah Mak Jah." Aryan Syah meneruskan langkahnya.

Mak Jah menggelengkan kepala. "Baik budak ni, sampai hati Datin Yasmin layan dia macam ni..." gumam Mak Jah perlahan.

"Apa ni mama?! Sampai hati mama buat Abang Aryan macam ni! Tergamak mama masukkan satu botol lada hitam dan serbuk cili ke dalam mangkuk lauk untuk dia?! Cuba mama sendiri rasa ni!" tengking Airish Syafiqa sebaik sahaja dia menjamah lauk kari ayam yang dikhaskan kepada Aryan Syah sebaik sahaja Datin Yasmin meletakkan satu botol lada hitam yang sudahpun kosong isinya bersama dengan satu paket sebuk cili di tengah-tengah meja makan itu.

"Baru dia tahu siapa Datin Yasmin ni..." Selamba saja Datin Yasmin berkata sambil mengukir senyuman sinis seraya menjeling tajam ke arah dapur. "Padan muka dia!"

"Yasmin! Awak ni dah melampau, tahu tak?!" Dato' Hareez bingkas bangun seraya menapak ke arah dapur menunggu Aryan Syah keluar dari bilik air. Dia tidak menyangka isterinya sanggup berbuat begitu kepada anak lelakinya. Dia mengetuk pintu tandas di mana Aryan Syah berada. "Aryan... Aryan okey tak tu? Kalau masih tak okey, kita pergi klinik."

"Aryan okey aje ni papa. Cuma sakit perut sikit aje. Tak perlulah pergi klinik," sahut Aryan Syah dari dalam.

"Kalau macam tu, baiklah." Risau benar Dato' Hareez dengan keadaan anak sulungnya itu. Mana tidaknya, Aryan Syah merupakan satu-satunya zuriatnya bersama isteri pertamanya, Aisyah yang ditinggalkan selama dua puluh lima tahun sejak anaknya itu berusia tiga tahun.

_____☁_____

Tiga bulan berikutnya...

HARI ini merupakan hari pertama Aryan Syah memulakan tugasnya sebagai juruterbang di syarikat penerbangan Red Skyline. Hari ini dia juga akan mengetuai penerbangan OX2204 untuk sektor Kuala Lumpur ke Kuching (KUL-KCH WMKK/WBGG) dan OX2207 untuk sektor Kuching ke Kuala Lumpur (KCH-KUL WBGG/WMKK).

Penerbangan pertamanya dijadualkan berlepas pada jam sembilan pagi.

Jam sudahpun menunjukkan pukul 6:35 pagi. Aryan Syah menapak keluar dari biliknya dengan mengenakan seragam juruterbang. Dia berlari anak menuruni tangga dan segera menyertai ahli-ahli keluarganya bersarapan pagi bersama. Semua ahli keluarganya yang sedang duduk sambil bersarapan terlopong sebaik sahaja dia melabuhkan duduknya di atas kerusi. "Assalamualaikum, selamat pagi papa, mama, Airish."

"Fuyooo... Abang makin nampak handsome dan sangat macholah!" tegur Airish Syafiqa.

"Wah, anak papa nampak hebat!" tegur Dato' Hareez pula.

Aryan Syah tersenyum. "Tak adalah... biasa-biasa aje ni." Cawan yang baru sahaja diisi dengan hot chocolate itu diambil seraya dihirup perlahan. Dia sempat mengerling ke arah mama tirinya, Datin Yasmin yang sudahpun mencebik. Dia tahu mama tirinya itu marahkan dirinya kerana tidak memanggilnya dengan gelaran datin. Buat apa nak panggil dia datin kalau dah terang-terang dia tu mama tiri aku!

"Aryan nak drive sendiri ke atau nak suruh Pak Syameer hantarkan?" soal Dato' Hareez Firdaus seraya menyuapkan nasi goreng ke mulutnya.

Aryan Syah terdiam sejenak.

"Takpelah papa, Aryan drive sendiri ajelah... Lagipun apa gunanya papa hadiahkan kereta kepada Aryan kalau tak diguna? Lagipun Aryan akan tinggalkan kereta di KL Sentral aje, lepas tu naik ERL untuk ke airport. Nanti tak pasal-pasal tersangkut kat jalan jammed. Delay pulak first flight Aryan tu."

"Ye tak ye jugak... Okeylah kalau macam tu. Selamat menjalankan tugas ye Kapten Aryan!" ujar Dato' Hareez sambil mengukirkan senyuman buat Aryan Syah.

Jam tangan dikerling kini sudahpun menunjukkan pukul 6:45 pagi. Aryan Syah bingkas bangun. "Aryan dah lambat dah ni, Aryan gerak dulu ye, papa." Pergelangan tangan Dato' Hareez dirampas seraya dikucup perlahan. "Jumpa lagi petang nanti ye!"

"Baiklah hati-hati tau! Oh ya, hari ni Aryan ada berapa flight?" sahut Dato' Hareez seraya bertanya.

"Err... Hari ni Aryan ada empat flight semuanya, pa... Kuala Lumpur ke Kuching, Kuching ke Kuala Lumpur, lepas tu Kuala Lumpur ke Singapore dan Singapore ke Kuala Lumpur balik. Dalam jadual hari ni Aryan cuma mengendalikan satu aircraft aje..." ujar Aryan Syah panjang lebar. "Assalamualaikum."

"Waalaikumsalam..."

Aryan Syah segera meloloskan dirinya ke dalam perut kereta Toyota Vios berwarna putih yang dihadiahkan oleh papanya dua minggu yang lalu.

_____☁_____

"TAK sabarnya nak terbang balik. Nervous pulak rasa hati ni." Aryan Syah mengatur langkahnya menuju ke bilik operasi untuk melapor diri. Jam tangan dikerling buat ke sekian kalinya. "Alamak! Dah pukul 7:45! Aku dah lambat ni."

Kru penerbangan dikehendaki melapor diri dua jam lebih awal sebelum waktu perlepasan. Sedang Aryan Syah tergesa-gesa untuk menuju ke bilik operasi, matanya asyik mengerling jam tangannya sehingga tidak menyedari keberadaan seorang pramugari di hadapannya yang turut sama berjalan menuju ke arah bilik operasi.

Bukk!!

"Auch!!"

Aryan Syah terlanggar seorang pramugari yang berjalan di hadapannya menyebabkan gadis itu terjatuh.

"Opps! I'm so sorry miss!"

"Helo! Apa ni? Lain kali berjalan tu mata pandang depan! Jangan main langgar aje! Apa, ingat kita ni awan ke apa? Main langgar aje!" Ezma Umaira berkata dengan tegas seraya mencuba untuk bangun.

"Err... sorry, saya yang silap. Tergesa-gesa sangat tadi." Aryan Syah cuba untuk membetulkan keadaan. Silap dia juga asyik terleka memandang jam sahaja. Dia menghulurkan tangannya untuk membantu gadis itu bangun.

Pada mulanya Ezma Umaira tidak mempedulikan bantuan yang cuba dihulurkan oleh Aryan Syah itu. Hmm... Sabar Maira, dia ni pilot! Karang tak pasal-pasal kau naik sama satu flight dengan dia, kan naya nanti kalau buat perangai macam ni! Dia mencapai tangan Aryan Syah dan segera bangun. Beg bagasinya diambil. "Sorry-sorry naik lori! Dah... ke tepi sikit, nak cepat ni."

Garangnya dia... Kenapa perempuan melayu yang aku jumpa berperangai macam tu aje?

"Kapten Aryan Syah?"

Satu suara garau menegur Aryan Syah yang baru sahaja melabuhkan duduknya di kerusi. Dia menoleh ke arah datangnya suara itu. "Ye saya..."

"Hai, aku Kapten Nasrul Effendy. Selaku pembantu kapten untuk hari ni."

"Oh... okey, aku Aryan, ini first flight aku untuk syarikat penerbangan ni.

"Semua kru penerbangan tahulah ini first flight kau. Jangan risau, semuanya nak sangat berkenalan dengan kau. Kau handsome bro! Tapi aku ni lagi handsome kot dari kau, hehehe!" ujar Nasrul Effendy panjang lebar seraya tersengih macam kerang busuk. "Hari ini kita akan mengendalikan pesawat narrow body boeing B737:8FZ 9M-JVH Juliet Victor Hotel."

Aryan Syah tersenyum sambil memerhati pesawat Red Skyline B737:8FZ 9M-JVH yang baru sahaja tiba di parking bay B7. Dia sempat mengerling ke arah empat orang cabin crew di mana salah seorang daripada mereka adalah gadis yang dia langgar semasa hendak ke bilik operasi satu jam yang lalu. "Eh, takkanlah dia pun sama team dengan aku hari ni?"

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status