Share

BAB 5

Bab 5

EIJAZ kembali ke pejabat selepas menghantar Aisy. Dia hanya berharap segalanya berjalan lancar. Nasib baik cikgu yang bernama Qistina itu pandai bermain dengan emosi Aisy. Dia menunggu di luar pintu tadika sebelum berlalu pergi, takut anak kecil itu melakukan sesuatu di luar jangkaan.

"Tuan, butik kita di pulau ni sudah mula popular." Ketua jabatan jualan membuka bicara si dalam mesyuarat bulanan itu. Fail berisi unjuran jualan itu diteliti.

"Bagus," puji Eijaz. Mata mengerling waktu di jam tangan.  Takut pula dia terlupa memgambil Aisy. Mahu panjang sedepa mulut anak lelakinya nanti. Sudahlah dia berjanji macam-macam pagi tadi. Fokusnya hampir terganggu.

"Tapi, kita ada masalah logistik. Shipment kain tersangkut akibat kita lambat bayar." Lelaki yang memberi laporan itu menunduk. 

"Lambat bayar? Terangkan." Suara Eijaz berubah keras. Belum pernah dia hadapi masalah begini.

"Mereka beri invois yang salah, lain dari purchase order jadi saya hold payment dulu." Wakil dari jabatan akaun pula membela tindakannya. Dia menunjukkan invois dan pesanan jualan yang dikatakan berbeza. Keputusan untuk tidak membuat bayaran dibuat olehnya.

"Saya tak dapat pun laporan tentang hal ini, kenapa?" Pandangan Eijaz menikam, melihat semua wakil jabatan yang lebih suka menunduk dari memberi jawapan. Gigi diketap dan rahangnya bergerak-gerak.

"Saya sibuk dengan urusan pindah rumah dan awak semua ambil kesempatan, betul?" Tangan dikepal menjadi penumbuk sebelum dia menumbuk meja. Dahi diurut perlahan. 

Hanya ada beberapa sahaja yang menggeleng laju. Ada juga yang saling berpandangan, menyalahkan satu sama lain tanpa perlu bersuara. Tindakan mereka memandang dengan tajam sambil bergumam sudah cukup memberi isyarat yang tuduhan Eijaz tadi terbukti benar.

"Sekali ini saya lepaskan. Petang ini saya mahu laporan penuh. Faham!" Suara Eijaz bergema di dalam bilik mesyuarat itu. Selepas semua wakil pejabat keluar, rambut yang tersisir rapi itu ditarik. Salah dia juga, menyerahkan tanggungjawab kepada wakil jabatan membuta-tuli. Seharusnya dia juga datang memeriksa walau sesibuk mana.  Kaki meja ditendang sebelum dia berdiri. 

Dompet dikeluarkan dari poket seluar dan gambar Marissa yang diletak di dalamnya ditenung. Tekaknya terasa berpasir.

"Abang hampir gagal tanpa kau, sayang. Abang tak mampu jaga perniagaan ini dan Aisy. Rumah juga selerak. Abang lebih banyak makan di luar. Kenapa sayang tinggalkan abang?" Wajahnya diraup kasar. Marissa adalah penasihat terbaik ketika masalah datang melanda. 

Kini dia bagaikan hanyut tanpa sokongan. Buat seketika dia hilang dalam kenangan lalu sehingga pembantu pejabatnya mengetuk pintu bilik mesyuarat. 

"Tuan, ada seorang gadis telefon. Katanya telefon bimbit tuan tak dapat dihubungi."

Telefon bimbitnya dikuis. Aduh, dalam kekalutan pagi ini dia terlupa mahu mengecas telefon bimbit itu selepas tiba di pejabat. Mesyuarat tadi pula hampir membuat dia hilang akal. 

"Siapa namanya?"

"Cikgu Qistina."

Jawapan pembantu itu bagai air sejuk yang dituang ke atas kepala, menyedarkan Eijaz kenyataan yang pahit. Jam di tangan dikerling. 

"Saya suruh ingatkan tentang ambil Aisy, bukan?" Pembantu yang termangu-mangu itu ditempelak.

"Tuan tak maklumkan," jawab gadis itu separuh berbisik. Dia berdiri di satu sudut ketakutan. Ini kali pertama dia melihat ketuanya semarah itu. Eijaz selalu tenang sahaja.

Wajah diraup kasar sebelum dia mencapai kunci kereta yang disimpan di dalam laci pejabat. Langkah dipercepatkan. 

"CIKGU dah telefon pejabat daddy. Nanti sampailah, ya?" Anak kecil itu ditenteramkan sedangkan hati Qistina memaki bapa Aisy di dalam hati. Dia tahu lelaki itu sibuk, tetapi bukan sehingga melupakan anak sendiri. 

"Aisy makan dengan cikgu, nak?" Bekas makanan berisi nasi goreng itu disua.

"Daddy kata nak bawa makan luar. Makan aiskrim dan beli kereta mainan." Aisy merenggek.

Qistina mengeluh perlahan. Kesian anak sekecil itu yang kehilangan kasih ibu. Tiada siapa yang mampu menandingi kasih wanita bergelar ibu. Dia adalah buktinya. 

Segalanya baik sementara ibu masih hidup. Ayah berjudi juga tetapi masih mampu bekerja dan tidak pernah menamparnya walau sekali  hidup terasa sempurna ketika itu. Bibir Qistina menguntum senyum.

"Makan sikit. Nanti sakit perut," pujuk Qistina lagi. Pesanan tadi ditinggalkan kepada pembantu daddy Aisy. Dia hanya berharap lelaki itu segera datang mengambil Aisy.

Kereta hitam yang berhenti di hadapan pintu pagar menjemput perasaan lega. 

"Aisy tunggu sekejap," pinta Qistina. Senyum terukir saat dia melihat anak itu menyudu nasi goreng ke dalam mulut.

"Awak memang suka tinggalkan anak, ya? Hari tu di majlis dan hari ini sampai lupa ambil Aisy." Tangan diletakkan di pinggang. Kepala diangkat tinggi memandang wajah Eijaz yang ternyata lebih tinggi darinya.

"Saya ada mesyuarat tadi."  Bahagian belakang leher diraba. Walau apa jua alasan yang diberi, dia memang bersalah. 

"Sampai tak tengok jam? Takkan tak boleh minta sesiapa ambil, nenek atau datuk? Kesian Aisy. Dengar sahaja bunyi enjin kereta, dia berlari ke hadapan tetapi hampa. Sudahlah awak janji macam-macam." Bicara Qistina seperti butir peluru, menembak tanpa henti. 

"Ya, saya salah Cik Qistina. Tetapi nenek dan datuk Aisy memang tak ada di sini. Nanti saya gajikan pemandu." Suara Eijaz merendah. Tidak guna membalas apabila memang jelas dia yang bersalah.

"Sekurang-kurangnya telefon kami, Encik Eijaz." Dahi dipicit. Sakit kepala menyerang pula. Qistina memanggil nama Aisy.

"Cikgu ikut sekali?" Mata bundar itu memandang dengan penuh harapan. Jari kecil itu memegang jari telunjuk Qistina.  

"Tak boleh Aisy. Cikgu ada kelas selepas ini."  Dia duduk berlutut di hadapan Aisy.   Dahi anak kecil itu dikucup sebum dia berdiri.

"Tapi kalau Aisy datang satu minggu ni sebelum jam lapan dan tak menangis, cikgu akan keluar makan dengan Aisy." Hati Qistina berhenti berdegup saat janji itu terucap. Anak bernama Aisy berjaya menawan hatinya dalam sekelip mata. Ia mungkin disebabkan kedua mereka tiada ibu. Minda Qistina tidak dapat berfikir alasan yang lain. Itu sahaja yang logik.

"Daddy?"

Soalan Aisy mengunci bibir Qistina. Lima tahun sudah berlalu dan belum sekali pun dia keluar bersama lelaki selain Abang Amran. 

"Jangan kacau cikgu." Suara garau itu berbunyi selepas sekian lama membisu. 

"Apa kata dari keluar makan, cikgu janji beri mainan lego?" Menyedari Qistina kekok selepas soalan Aisy, Eijaz cuba mengubah topik.

"Lego yang baru tu?" Dia terlompat-lompat sambil menepuk tangan. Terbayang permainan yang dilihat di kaca televisyen.

Qistina mengangguk laju. Tidak mungkin dia keluar bersama ayah Aisy. 

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status