Share

BAB 4

"KAU MAKAN ELOK-ELOK SIKIT BOLEH TAK?"

Fatin berhenti mengunyah. Murad yang baru balik dari tandas itu Fatin renung. 

"Eh, kejap! Kau dah cuci tangan ke belum?"

"Dah! Takkanlah aku tak cuci tangan pula lepas keluar tandas."

Mata Fatin mengecil.

"Betullah!" marah Murad. 

Baru Murad mahu capai sepotong pizza, tangan Fatin lebih cepat lagi menahan. Fatin letak pizzanya ke dalam pinggan dan membawa keluar tisu basah yang selalu dibawa kemana-mana. 

"Nah! Cuci tangan kau depan mata aku. Aku tak percaya!"

Murad ketap gigi. Disambut kasar huluran Fatin. Tangan digosok kasar dengan tisu dan tisu yang sudah diguna itu dibaling ke muka Fatin.

"Dah! Puas hati?"

Fatin angguk. Dia ambilkan Murad pizza. 

Murad makan dengan lahap. Cara dia meluahkan rasa tidak puas hatinya pada Fatin yang terlebih menjaga kebersihan.

Fatin senyum keanakan. Lesung pipitnya kedua belah mendalam. Kunyahan semakin laju. Tak sia-sia dia bergaduh dengan Murad semasa mahu pesan pizza. Dapat juga dia penuhkan meja mereka dengan kegemarannya.

"Aku order spageti. Untuk kau satu, aku satu."

Murad berhenti mengunyah. Air liur ditelan sambil pandang Fatin atas bawah. Badan kecil tapi pelahap!

"Berapa banyak kau nak melantak?"

"Sampai duit kau habis. Aku order Aglio Olio untuk kau, aku punya Bolognese."

Kali ini Murad sudah jatuhkan pizzanya ke pinggan semula. Tubuh dipusing menghadap Fatin dengan riak tak puas hati. 

"Aku tak suka Aglio Olio tu! Aku nak yang lain!"

Fatin kesat tangan yang penuh dengan habuk pizza menggunakan tisu sebelum dia juga pusingkan tubuhnya menghadap Murad.

"Itulah sebabnya. Aku suka Aglio Olio dan aku suka Bolognese juga. Aku tak boleh pilih. Jadi, kalau kau ambil Aglio Olio, bolehlah aku makan dua-dua," ujar Fatin dengan nada tenang. Lagi satu pizza ditarik dan disuap ke mulut.

Murad pasrah. Sikit lagi dia mahu pelangkung kepala Fatin. Tapi dia tahu, kalau dia pelangkung kepala si Fatin ni pun Fatin tak akan ubah keputusannya. Minah ni buat sesuka hatinya tanpa pedulikan perasaan orang lain.

Paling teruk, kalau dia pukul Fatin di sini nanti dia pula yang akan di cop kaki pukul. Sedangkan dia yang sedang didera sekarang ini. 

"Kau makan sampai habis!" tegas Murad. Walaupun dia tahu Fatin tak akan makan sampai habis!

Fatin buat tak tahu. Senyum sahaja sepanjang masa. Beberapa orang pelajar sekolah mereka juga ada di situ. Ini semua mesti sebab mereka nampak dia dan Murad menyeberang jalan tadi. Habis semua pelajar pun nak melencong juga macam dia orang. 

Murad meletak sesuatu di depan Fatin membuatkan Fatin tersedar dari lamunan. 

Terpinga-pinga. Murad yang asyik mengunyah pizza itu dipandang. 

"Ambillah! Aku bagi kau. Hadiah," ujar Murad ringkas bila Fatin pandang dia macam mahu telan.

Kening Fatin terjungkit sebelah. Pingat berwarna emas itu dan wajah Murad dipandang bersilih ganti.

Murad mengherot senyum. Lucu melihat wajah Fatin yang jelas tidak faham akan tindakannya. 

"Kau tak pernah dapat pingat, kan? Kau bukan aktif pun. Aku bagi satu dekat kau supaya kau tak rasa kau paling corot sangat," usik Murad. Ketawanya ditahan. 

"Tak apalah. Aku tak sudi kalau setakat kau nak berlagak dengan aku."

"Aku guraulah. Aku betul-betul ikhlas bagi kau ni. Ambillah! Buat hiasan. Aku ada banyak dekat rumah. Tak luak pun kalau bagi satu dekat kau."

Fatin senyum simpul. Memang dia teringin mahu sangkut satu pingat emas di dalam bilik. Dia memang tak aktif bersukan pun. Lupa terus pada pizza depan mata. 

"Apa bayarannya? Kau nak aku buat apa bila kau bagi aku pingat ni? Kau ni mesti ada udang disebalik batu…." Fatin curiga. 

Fatin bukan tak tahu yang Murad sangat bangga dengan pencapaian kokurikulumnya. Murad memang suka tayang koleksi pingat-pingat sukannya dan dia paling tak suka orang sentuh pingat-pingatnya itu.

"Saja. Buat kenang-kenangan. Tahun ni tahun akhir aku. Lepas ini susah kau nak jumpa aku lagi tau! Lagi-lagi kalau aku belajar jauh dan dah ada girlfriend!" Perkataan 'girlfriend' Murad kuatkan bunyinya.

Fatin mencebik. "Kalau ada orang sudi nak bercinta dengan kau, akulah orang paling happy. Tapi, sanggup ke dia orang terima hobi komik jepun 18+ kau?"

"Weh! Kau ni… Semua lelaki ada koleksi macam tu."

"Bukan Alif aku."

Murad berdecit. Menyampah betul dia tengok Fatin memenangkan Aliff tidak sudah-sudah.

"Lepas SPM, kau nak sambung mana?" soal Fatin. Pingat pemberian Murad itu dibelek-belek dan disarung ke leher. 

"Aku tak rancang lagi. Aku follow the flow saja kut. Aku…."

Fatin angkat wajah bila kata-kata Murad terhenti.

"Aku apa?" soalnya. Wajah Murad dipandang. Meminta lelaki itu meneruskan kata-kata. 

"Tak ada apalah! Kau lepas PMR ni jangan main-main lagi. Belajar betul-betul!"

"Tahulah!" 

Murad geleng. Air coke di dalam gelas disedut sampai tinggal separuh. Fatin dipandang lama. Gadis itu leka benar bergambar dengan pingat disangkut ke leher. Entah apa yang istimewa sangat pingat yang cuma disaluti pewarna emas itu.

"Apa pun, kau jangan mudah percaya sangat pada lelaki. Lagi-lagi si Aliff tu. Belajar je! Jangan sibuk cari boyfriend."

"Kau memang tak ada benda lain nak cakap selain membebel ke?"

"Mestilah aku membebel. Kau tu suka buat sesuatu tak pakai otak."

"Cakap orang… Daripada kau bebel aku, apa kata kau pergi cari girlfriend untuk dibebel. Berlambak yang nak cuba nasib."

Murad diam.

Bila tiada balasan dari Murad seperti yang selalunya, Fatin terus pandang lelaki itu. Pelik. Selalunya Murad suka sangat bertikam lidah dengannya.

"Buat apa aku nak cari girlfriend? Kan dah ada kau untuk dibebel."

Cis! Tak guna punya Murad.

"Lupa nak tanya… Mama dengan Papa kau sihat? Lama aku tak jumpa dia orang. Malulah nak merempat dekat rumah kau macam masa kecil-kecil dulu. Aku perempuan dah sekarang ni… Tak manis kalau datang rumah lelaki."

Murad sedikit melopong. Macam tak percaya apa yang baru dia dengar.

"Aku rasa lagi tak manis kalau kau kejar si Aliff tu ke sana ke mari. Mama dengan Papa aku sihat aje. Datang ajelah bila-bila kau nak.

Alang-alang kau datang nanti, kalau aku dah pergi sambung belajar … kau tolonglah gilap-gilapkan pingat dan piala aku tu, ya? Kemaskan bilik aku ke supaya tak berhabuk…."

"Banyak cantik muka kau! Bayarlah! Aku bukan orang gaji kau ya, Murad…."

Murad mengekek ketawa. Belakang tangan menutup mulut. 

"Kau bukan orang gaji aku, saudari. Tapi, kau juga orang yang berkongsi bilik tu dengan aku."

"Apahal pulak?"

Murad merehatkan siku ke atas meja. Dagu dipangku oleh tapak tangan seraya memandang ke arah Fatin. 

"Kau tak ingat? Harta pusaka yang kau simpan dalam bilik aku?"

Mulut becok Fatin terus terdiam. Laju kepalanya mengingat semula harta karun yang pernah dia letak dalam bilik Murad. 

Murad beriak mengejek. Jari dinaikkan satu per satu.

"Surat-surat cinta kau, anak patung kau, novel-novel cinta kau, komik, kertas peperiksaan kau dan segala macam khazanah tak berguna yang kau tak nak buang tapi tak nak simpan sendiri."

Fatin menggigit bibir. 

"Kau ingat aku tak tahu? Sepanjang aku duduk asrama, kau campak segala barang-barang kau dalam almari aku? Kalau kau tak mahu aku hantar semua barang-barang kau ke rumah kau dan ke bilik kau yang tak serupa bilik tu, tolong kemaskan bilik aku sekali-sekala ya, Sayang…."

Fatin akur. Kalau Murad dah cakap, mesti dia buat betul-betul. Bilik Fatin sendiri dah terlalu banyak barang. Tapi dia sayang mahu buang segala koleksi patung-patungnya dari kecil itu. Masih bagus lagi kondisinya. Sebab itu dia letak sekejap dalam bilik Murad. Tak sangka pula dah jadi bertahun-tahun barang-barang itu di sana.

"Kau janganlah belajar jauh-jauh ek…?"

"Apasal? Nanti kau rindu aku?"

"Haah. Nanti tak ada siapalah nak gaduh dengan aku. Kalau kau belajar jauh, nanti kalau kau kena buli … aku tak dapat tolong tau!"

Siku Murad naik tinggi. Mahu diacah siku itu ke muka Fatin. Dia kena buli? Coi!

"Berani ke orang nak buli aku?"

"Mestilah tak ada. Tengoklah siapa yang train kau dari kecik. Siapa lagi kalau bukan, aku!"

Murad tolak kepala Fatin. Mengarut! 

Fatin tak latih dia pun. Tapi sebab mereka berdua macam anjing dengan kucing, pukul memukul ini sudah jadi rutin harian.  Masa kecil dulu mereka selalu layan rancangan WWE. Hasilnya, apa yang mereka tonton mereka praktikkan sesama sendiri. Fatin pukul Murad, Murad pukul Fatin. 

"Dari kecik, aku yang selalu menang. Kau cembeng!" ejek Murad. Siap memimik semula gaya Fatin menangis mencari ibunya setiap kali dia kalah bertarung dengan Murad. 

Fatin pantas menarik rambut Murad. Geram! Murad suka benar mengingatkan dia pada perkara memalukan itu!

"Pastikan kau tak lupa aku, tau!"

"Mana aku boleh lupa. Budak cembeng!"

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status