Share

BAB 1

Tujuh bulan sebelumnya... 

TUBUHNYA direbahkan di atas sofa fabrik berwarna biru di dalam bilik pejabat papanya, Dato' Azahari. Dia mengerling lama ke arah gambar potret keluarga yang tergantung  di dinding pejabat itu. Pandangan matanya ditumpukan kepada gambar dirinya sendiri yang berdiri sambil tersenyum bersebelahan dengan adiknya yang berdiri di belakang papa dan mamanya itu. Hai... rasanya kalau aku dah kahwin, pasti bilangan manusia dalam potret tu akan bertambah. kalau bukan setakat isteri, pasti dah ada budak kecil dalam pangkuan papa. Papa kan suka budak-budak...

"Rayyan tak keluar lunch ke?" Satu suara garau menyedarkan Rayyan Zafrul dari lamunannya. Dato' Azahari. 

Lengan baju kemeja berwarna biru muda itu disingsing ke siku. Rayyan Zafrul mengerling ke arah papanya sambil tersenyum. "Kejap lagilah pa..."

Dato' Azahari yang duduk sambil menyemak fail-fail projek di meja itu mengerling ke arah anak sulungnya semula. "Hmm... hari ni nak lunch dengan siapa pulak kamu tu Rayyan?" 

"Entahlah pa... Lunch seorang ajelah kot?" 

"Eh, kenapa macam tak ada mood  aje ni? Macam orang putus cinta aje papa tengok anak papa ni, termenung..."

"Eh, takdelah papa. Hmm... okeylah, Rayyan nak keluar lunch dululah," balas Rayyan Zafrul seraya bingkas bangun dan terus bergerak menuju ke arah pintu.

"Yelah... jangan lama sangat, Ingat Rayyan... petang ni Rayyan kena gantikan papa pergi meeting di Zuhrah Holdings..." Dato' Azahari mengingatkan anak sulungnya itu.

"Okey papa... Rayyan pergi dulu!" balas Rayyan Zafrul sambil mengangkat tangan kanannya dan memberi isyarat okey kepada papanya.

Sedang Rayyan Zafrul berdiri menunggu pintu lif terbuka, dia sempat mengelamun, otaknya ligat berfikir. Nak lunch dekat mana tengah hari ini? Tiba-tiba dia merasakan bahu kirinya seperti disentuh oleh seseorang dan sepantas kilat dia  menoleh ke arah belakangnya. "Eh, Raisya... Bila You sampai?" Terkejut dia melihat rakannya semasa di Oxford University dahulu. "Tak bagitahu I pun..." 

"Lima minit yang lepas... I sengaja tak nak bagitahu You. I nak bagi You surprise... I miss you so much, tau!" balas Raisya dengan manja. Raisya sememangnya terkenal dengan perangai gediknya lebih-lebih lagi sekarang setelah dia dikenali ramai. Maklumlah supermodel katakan! 

"You? Miss me? Why? Kita ni bukannya ada apa-apa pun. Lagipun setiap hari kita jumpa, kan?" balas Rayyan Zafrul seraya tangannya memeluk bahu gadis itu dan terus melolos masuk ke dalam perut lif.

"Alah... sayang, I rindu tandanya I sayang You tau!" 

Raisya tanpa segan silu memeluk Rayyan Zafrul dengan erat di dalam lif itu, namun jejaka itu segera memaksa gadis itu melepaskan pelukannya.

"Eh, You? Apa ni? Lepas la... I tak suka tau..." kata Rayyan Zafrul sambil matanya merenung tepat ke hadapan pintu lif yang bakal terbuka bila-bila masa sahaja itu. Nasib baik dalam lif ni cuma ada aku dan dia aje, kalau tak... mana aku nak letak muka? Malu aku dengan tanggapan pekerja-pekerja aku. Bakal CEO RZA Holdings, Anak sulung Dato' Azahari berdua-duaan berpeluk dengan seorang gadis di dalam lif. Malunya kalau ungkapan itu terkeluar dari mulut-mulut orang. 

TELEFON bimbit yang diletakkan di atas meja kerjanya bergetar. Satu mesej masuk melalui aplikasi W******p. Cepat-cepat telefon bimbit itu dirampas dan sepantas kilat skrin dikuis dan segera membuka aplikasi message.

Zuriana... Kau dekat mana?

~ Syamira

Aku masih kat pejabat lagi ni.. Kau kat mana?

Aku dah dekat depan office kau ni? Cepatlah... panas ni, aku tunggu okay. Daaa...

~ Syamira

Okey...

Fail-fail di atas meja disusun dengan rapinya seraya bingkas bangun dan bergerak meninggalkan meja kerjanya. Sebaik sahaja menapak keluar dari pintu utama, matanya melilau mencari figura rakan baiknya, Syamira yang sebenarnya sudahpun berada di belakangnya. "Mana pulak si Mira ni? Tadi katanya dah ada dekat sini... tapi tak nampak pun. Dia ni betul ke tak ni? Hmm... tapi tak pernah pulak dia bohong aku..."

Sedang Zuriana Imani sibuk bermonolog, bahunya terus dicapai oleh Syamira.

"Helo si cantik manis!"

"Oh... mak kau!"

Terlepas telefon bimbitnya dari pegangan akibat terkejut oleh jerkahan Syamira tadi. Zuriana Imani segera berpaling ke arah belakang dan mendapati Syamira sudahpun mengekek ketawa. "Mira... janganlah buat macam tu. Terkejut aku! Nasib baik tak sakit jantung!"

"Alah... maaflah beb... Ni, yang kau ni dah kenapa asyik nak bercakap seorang diri aje dari tadi aku tengok? Kita ni nak lunch dekat mana hari ni? Aku ni dah lapar sangat dah ni... dahlah pagi tadi aku tak sempat sarapan..." mengomel Syamira, bosan dia menunggu Zuriana Imani lama-lama.

Lengan bajunya disingsing. Jam di pergelangan tangannya dikerling. "Hmm... dah pukul 1:45 tengah hari dah ni. Mira, Kita dah lewat dah ni. Apa kata kita lunch dekat kedai makan area dekat-dekat sini ajelah. Aku ada meeting pukul 2.15 petang ni."

Atas permintaan Aryan Syah, Zuriana Imani dikehendaki turut serta hadir ke bilik mesyuarat hari ini.

"Ha... itulah, siapa suruh lambat tadi? Aku ni dah kebulur menunggu kau dari tadi," bebel Syamira lagi, hampir 30 minit dia menunggu.

"Ye la... Sorry Mira, kita makan dekat McD ajelah. Lagipun tak jauh sangat kan? Masa aku makin singkat dah ni," ujar Zuriana Imani kepada Syamira sambil matanya sibuk mengerling jam di pergelangan tangan kirinya itu.

"Hmm... yelah. McD pun McDlah. Asalkan perut aku ni kenyang... jom! Cepatlah gerak. Yang kau masih berdiri tercegat lagi ni dah kenapa? Nak berhentikan masa dengan jam tangan kau tu ke? Tak ada maknanya... Lainlah kalau kau tu doraemon, semua boleh jadi!" bebel Syamira lagi.

"Eee... kau ni. Ada ke sampai ke situ pulak. Apa kau ingat aku ni kartun ke?" marah Zuriana Imani pula sambil mengatur langkahnya menuju ke arah restoran makanan ringan, McD yang tidak jauh dari situ.

USAI makan tengah hari bersama Raisya tadi, Rayyan Zafrul terus menghantar semula gadis itu ke Agensi Model di mana tempat gadis itu bernaung. Selepas itu dia kembali ke pejabatnya semula untuk mengambil fail yang perlu dibawa untuk mesyuarat petang ini.

"Hadoi... kenapalah perut ni masih lapar lagi ni?" gumam Rayyan Zafrul. Dia sebenarnya masih lapar lagi. Seleranya hilang semasa makan tengah hari bersama dengan Raisya tadi. Dia bosan, masa makan pun Raisya asyik nak berkepit saja. "Raisya... Raisya... masa makan asyik nak bercerita pasal perasaan dia aje memanjang, bosan!"

Dalam perjalanan untuk ke Zuhrah Holdings, Rayyan Zafrul perasan di kawasan itu ada sebuah restoran makanan ringan yang terkenal iaitu McDonald's atau lebih dikenali dengan McD. "Fuh! Nasib baik dekat kawasan ni ada McD, bolehlah aku singgah ke situ sekejap. Lagipun masih ada masa lagi ni." Kereta Toyota Vios berwarna putih itu diparkir di hadapan restoran itu dan sejurus itu dia menapak keluar dari perut keretanya seraya  berjalan menuju ke pintu masuk restoran makanan ringan itu. "Alamak! Ramainya orang hari ni..."

Semasa Rayyan Zafrul berjalan menuju ke kaunter untuk memesan makanan, dia berjalan terus ke hadapan tanpa memandang arah hadapannya, sebaliknya dia menoleh ke kiri dan ke kanan untuk mencari meja kosong, senang untuknya menjamu selera, namun akibat tindakannya yang berjalan melulu tanpa memandang hadapan, Zuriana Imani yang kebetulan baru sahaja berpaling sambil membawa dulang makanan yang penuh dengan dua bubur ayam yang masih panas berserta satu cawan minuman sejuk Coke, dan satu lagi cawan berisi air milo ais.

Bukk!!

Dengan tidak disengajakan Rayyan Zafrul dan Zuriana Imani bertembung dan menyebabkan minuman yang gadis manis itu bawa tertumpah dan terkena tepat di tubuh kekar Rayyan Zafrul. Habis basah dan kotor bahagian dada dan perut baju kemeja biru muda kegemaran jejaka itu.

Zuriana Imani yang terkejut dengan apa yang baru sahaja berlaku, serta merta dulang di tangannya dilepaskan jatuh ke lantai lalu tertumpah semuanya di permukaan lantai.

"Arghh!!" Terasa bahang kepanasan bubur ayam yang mengalir di tubuh kekar Rayyan Zafrul ketika itu. Cepat-cepat jejaka itu membuka kancing bajunya. Terserlah dadanya yang bidang dengan kesan merah akibat melecur dek penangan bubur ayam yang masih berasap itu.

"Mm... mm... maaf encik. S... sa... saya tak sengaja!" Tergagap-gagap Zuriana Imani  membuka mulutnya untuk meminta maaf.

"Maaf, saya tak sengaja!"

"Hoi! Berjalan tu mata letak kat mana? Kat lutut? Kat punggung?"

"Kan saya dah minta maaf..."

"Senang aje nak minta maaf... ni baju aku dah basah ni. Nak buat macam mana?!"

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status