Share

BAB 6

"SELAMAT pagi tuan." 

"Selamat pagi Hawa." 

Siti Hawa, selaku penyambut tetamu agak terkejut sebaik sahaja pandangan matanya menangkap figura seorang gadis yang dia kenal semasa di bangku sekolah menengah dahulu sedang berdiri di sebelah kiri Rayyan Zafrul.

"Zuriana? Is that you?" Siti Hawa bertanya seraya menghulurkan tangannya untuk bersalaman.

"Ye, saya Zuriana."

Jeda buat seketika. 

"Eh, Hawa! Apa khabar? Lamanya tak jumpa." Tiba-tiba Zuriana Imani teringat akan Siti Hawa, rakannya sama satu kelas semasa di tingkatan empat dan lima. "Tak sangka kita boleh berjumpa dekat sini..." 

Rayyan Zafrul terlopong sebaik sahaja mengerling dua orang gadis itu  berpelukan di hadapan matanya. 

"Tuan Rayyan..." panggil Siti Hawa. Namun tiada respon. 

"Tuan Rayyan Zafrul?" panggil Siti Hawa lagi namun masih tiada respon. 

Rayyan ni dah kenapa? Melopong aje. Masuk lalat dalam mulut tu karang baru tahu! 

"Awak... awak okey ke?" Zuriana Imani bertanya seraya tangan kanannya menepuk bahu kiri Rayyan Zafrul. 

"Ah, sorry."

Huh. Sedar pun! Ingatkan dia akan terus melopong sampai ke petang! 

Siti Hawa rasa pelik dengan panggilan 'awak' yang digunakan oleh Zuriana Imani untuk Rayyan Zafrul. Biasanya semua staff  RZA Holdings akan memanggil jejaka kacak dan tinggi lampai itu dengan panggilan 'tuan'. Ini mesti ada apa-apa di antara mereka berdua ni... gumam hati Siti Hawa. Aku takkan biarkan. Tuan Rayyan Zafrul milik aku seorang aje! Berkerut dahinya melihat keakraban di antara Rayyan Zafrul dengan Zuriana Imani.

"Err... Hawa, kenalkan ini Zuriana, Zuriana Imani. Mulai hari ini, dia PA baru aku." Akhirnya Rayyan Zafrul bersuara setelah diam membisu dari tadi.

Siti Hawa terlopong sebaik sahaja Rayyan Zafrul menyatakan Zuriana Imani adalah pembantu peribadi terbarunya.

Ambil kau. Tadi buat aku melopong. Nah, sekarang biar kau pulak yang melopong! 

Zuriana Imani bungkam.  Dia perasan cara Siti Hawa merenung Rayyan Zafrul. Mungkin Hawa ni berminat dengan Rayyan, si kekasih hati aku ni jugak kot? 

Sedang Zuriana Imani membancuh minuman koko panas untuk Rayyan Zafrul di pantri pagi itu, Siti Hawa datang kepada bekas rakan sekelasnya itu dengan perasaan ingin tahu mengenai hubungan gadis manis itu dengan Rayyan Zafrul, buah hatinya itu.

"Hey, perempuan! Apa hubungan kau dengan Rayyan, hah?" soal Siti Hawa, suaranya agak meninggi ketika ini. 

Zuriana Imani yang sedang khusyuk membancuh koko panas itu cepat-cepat menoleh ke belakang sambil tangannya masih ligat menggaul sudu di dalam mug berwarna biru itu. Nasib baik dia tak melatah kali ini. "Aku dengan dia tak ada apa-apa pun. Kami hanya kawan aje. Kenapa kau tanya?" Senyuman manis tetap diberikan kepada Siti Hawa. Apa kena dengan dia ni? Tiba-tiba aje nak meninggikan suara. Tadi okey aje kot

"Kawan? Boleh percaya ke kawan? Takkanlah mesra semacam aje aku tengok?!" 

"Kalau tak nak percaya, sudah. Lagipun... takkanlah seorang pekerja kena bersikap dingin dengan bos, kot?" jawab Zuriana Imani bersahaja dan terus menapak keluar meninggalkan Siti Hawa yang berdiri menyandar di dinding pantri. Dia berjalan menuju ke arah meja kerjanya. 

Siti Hawa tetap berkeras untuk mengejarnya dari belakang. "Kau jangan nak tipu akulah perempuan! Dari cara kau panggil dia pun aku boleh tahu yang kau tu sebenarnya ada hati dengan dialah! Kau dengar sini ek, Tuan Rayyan Zafrul tu aku yang punya! Kau faham tak?!" 

Zuriana Imani diam tidak menjawab. Ishh... dia ni kenapa? Tiba-tiba meroyan. Keluar bendera Jepun ke apa? 

Kelihatan pekerja-pekerja yang lain juga kini  menoleh ke arah mereka berdua. Zuriana Imani hanya mendiamkan diri.

Rayyan Zafrul yang berada di dalam biliknya kini sedang berbincang mengenai tugas dan projek syarikat dengan adiknya, Zarul Amsyar. "Zarul, abang harap Zarul dapat handle projek-projek yang bakal syarikat kita pegang nanti."

"Insyaallah abang, Zarul akan cuba."

"Jangan setakat cuba aje Zarul... abang nak Zarul fokus dengan tugas Zarul mulai hari ini," tegas Rayyan Zafrul lagi. "Ingat! Sekarang Zarul sudah bekerjaya, jangan asyik nak enjoy aje! Kalau abang dapat tahu Zarul keluar malam-malam lagi lepas ni, siaplah Zarul abang kerjakan!" 

Rayyan Zafrul memberi peringatan keras kepada adiknya itu sambil berdiri berpeluk tubuh seraya kening sebelah kirinya dijongketkan ke atas. 

Zarul Amsyar menarik nafas panjang sebaik sahaja abangnya menjongketkan kening kirinya itu. "Yelah... yelah... Zarul akan ikut cakap abang." 

Zarul Amsyar akur dengan keputusan  Rayyan Zafrul. Dia bukannya boleh tengok abangnya itu menjongketkan kening kirinya begitu, bermakna abangnya itu sangat serius! Pernah terjadi sekali pada dua tahun yang lalu, Rayyan Zafrul membelasah Zarul Amsyar cukup-cukup sehingga berdarah hidung dan luka di bibirnya. Salah dia juga sebab meninggikan suaranya kepada Mak Ton, pembantu rumah mereka dan juga kepada mamanya, Datin Safura.

Zarul Amsyar mengerling ke arah dinding kaca bilik pejabat itu. Dia terpempan sebaik sahaja pandangan matanya terpandang kekecohan yang sedang berlaku di luar bilik pejabat abangnya itu. "Abang, apa yang kecoh-kecoh dekat luar tu?" 

Rayyan Zafrul yang sedang membelek fail-fail projek itu segera menoleh ke arah dinding kaca pejabatnya seraya menutup fail yang diperiksanya itu. Dilihatnya Siti Hawa sedang menolak bahu Zuriana Imani dan mengakibatkan gadis manis itu jatuh terduduk di atas kerusinya. Nasib baik kerusinya berada tepat di belakangnya. Kalau tidak,  tak pasal-pasal jatuh terhempas ke lantai punggung gadis manis itu. 

Melihat kelakuan Siti Hawa yang di luar kawalan itu, Rayyan Zafrul terus bingkas bangun dari kerusinya dan segera keluar dari bilik pejabatnya dan diikuti oleh adiknya, Zarul Amsyar. Dia berdiri di sebelah adiknya sambil bercekak pinggang.

Siti Hawa tidak perasan dua beradik itu kini sedang memerhati kelakuannya ketika ini.

"Woi, Hawa! Apa semua ni, hah?!" jerkah Rayyan Zafrul dengan nada suara yang tinggi. 

Siti Hawa yang sedang asyik menarik rambut pembantu peribadi Rayyan Zafrul itu terus memberhentikan perbuatannya itu sebaik sahaja mendengar teriakan jejaka idaman hatinya memanggil namanya seraya terus mengerling ke arah Rayyan Zafrul.

"Ah, tuan.  Sa... saya...  saya..." Tersekat-sekat suara Siti Hawa.

"Apa saya saya?!" tengking Rayyan Zafrul lagi, suaranya semakin meninggi dan boleh didengar di setiap ruang sudut pejabat itu.

Kedengaran juga suara-suara pekerja yang lain. "Padan muka kau Hawa. Gedik. Rasakan."

Rayyan Zafrul terus mendapatkan Zuriana Imani yang jelas kelihatan matanya berkaca dan menunggu masa untuk mencurahkan deraian air mata pada bila-bila masa sahaja. Dia mencapai pergelangan tangan Zuriana Imani, namun ditepis dengan kuat oleh gadis manis itu seraya berlari menuju ke arah bilik air. Rayyan Zafrul terpempan dengan tingkah Zuriana Imani.

Siti Hawa juga berlari menuju ke arah bilik air namun segera dihalang oleh Zarul Amsyar. "Tunggu! Kau pergi balik ke tempat kerja kau. Aku tahu apa tujuan kau berlari ke toilet tu... Kau masih nak kerjakan Zuriana lagi kan?!" 

"Ah, Kau diamlah! Kau tu apa tahu? Baru masuk kerja hari ni dah nak berlagak macam bos!" jawab Siti Hawa.

Zarul Amsyar tersenyum sebaik sahaja kata-kata gadis gedik itu mencubit cuping telinganya. Hawa... Hawa... kau belum kenal lagi aku ni siapa? Kau tunggulah sekejap lagi lepas meeting tengah hari nanti kau pasti akan terkejut beruk!

Rayyan Zafrul  masih berdiri di sebelah meja kerja Zuriana Imani menunggu pembantu peribadinya itu keluar dari bilik air.  "Hmm... Dia ni mesti sedang menangis dalam toilet tu... Rayyan,  apa kau dah buat dengan Zuriana tu? Hmm... apa pulak aku? Tadi tu kan si gedik Hawa tu yang ganggu dia. Ini tak boleh jadi ni..." Rayyan bermonolog semasa menunggu Zuriana Imani kembali ke meja kerjanya. 

Kali ini sudah masuk kali kedua Rayyan Zafrul menyaksikan Zuriana Imani menangis. Tiba-tiba hatinya berasa sakit. Rasa sakit di hati bila melihat gadis itu menangis di hadapannya. Dia sendiri tidak tahu mengapa? Rayyan Zafrul sempat mengerling ke arah Siti Hawa di hadapan pintu masuk pejabat itu seraya terus mengatur langkahnya menuju ke arah gadis penyambut tetamu itu. "Hey betina! Kau cakap dekat aku sekarang, apa masalah kau dengan Zuriana Imani? Apa yang kau tak puas hati dengan dia, hah?! Kalau sekali lagi aku dapat tahu kau ganggu dia, siap kau! Aku takkan teragak-agak untuk pecat kau! Dasar betina tak sedar diri! Sedar diri tu sikit. Kau tu cuma penyambut tamu aje dalam company aku ni! UNDERSTAND?!"

Siti Hawa hanya tertunduk diam.

Zarul Amsyar yang terdengar suara Rayyan Zafrul yang meninggi dengan tiba-tiba itu terus bergegas ke situ untuk mendapatkan abangnya. "Abang, sudahlah tu... biarkan aje perempuan ni. Tak ada faedah kita nak layan dia. Sekejap lagi papa masuk pejabat, kalau papa dapat tahu hal ni, susah kita nanti nak menjawab." 

Siti Hawa terpaku selepas terdengar Zarul Amsyar memanggil Rayyan Zafrul dengan panggilan 'abang' dan menyatakan papa akan masuk pejabat. "Tak mungkin! Takkanlah si Zarul ni..." Kata-katanya terputus. "Aduh.. Matilah aku kalau macam ni..."

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status