Share

BAB 7 PT

SEMENTARA pelajar lain sedang tekun menulis sinopsis tentang cerpen Oren yang mereka baru sahaja belajar tadi, Adrian dan Aiman yang terpaksa berdiri di belakang kelas tidak habis-habis menjeling ke arah Zain sambil berbisik-bisik. Zain langsung tidak mengendahkan mereka malah dia tahu, pasti mereka sedang mengutuknya puas-puas.

Namun di pinggir hatinya, dia tertanya-tanya apa sebenarnya masalah Adrian? Dia terlalu sombong, riak dan suka merendah-rendahkan orang lain. Tidakkah dia sedar tiada siapa suka berkawan dengan orang yang berperangai sedemikian? Jangan katakan Adrian, Aiman pun sama! 

Mungkin kerana itulah ke mana sahaja Adrian pergi pasti hanya Aiman sahaja yang menemaninya dan begitulah juga disebaliknya. 

"Adrian, Aiman! Jangan nak bercakap sahaja! Cepat siapkan sinopsis!" Suara lantang Cikgu Suraya bergema secara mengejut di dalam kelas itu. Tersentak semua penghuni kelas itu hanya kerana Aiman dan Adrian yang membuat hal.

Terkesima Adrian dan Aiman apabila ditegur guru mereka. Lantas mereka kembali fokus menulis sambil berdiri di meja paling belakang. 

Hampir semua pelajar sudah lali dengan Adrian. Dalam pada masa yang sama, pelajar 1 Inovatif yang lain menyesal memilih Adrian sebagai ketua kelas lebih-lebih lagi pelajar perempuan yang memilihnya kerana paras rupa dan bukannya dari dalaman. 

Sementara pelajar lain baru nak berkenalan sesama sendiri dan masih belum serasi, mereka sudah kenal Adrian dahulu. Daripada bulan lepas sehinggalah ke hari ini, perangai dia langsung tidak berubah. Zain masih teringat lagi hari itu ... 

Zain menuruni tangga dengan berhati-hati sambil membawa buku-buku latihan dan sebuah beg galas milik Cikgu Noor Rahim ke bilik guru yang berada di tingkat dua. Zain lantas membawa buku dan beg itu ke bilik guru. Tidak disangkakan pula beg galas Cikgu Noor Rahim agak berat. Rugi dia tidak menerima pelawaan Hana untuk membantunya tadi. Sekarang sudah terlambat!

"Padanlah dengan muka aku!" katanya sambil bergelut menuruni tangga.  

Sedang dia menuruni satu per satu anak tangga itu, Adrian yang kebetulan daripada  tandas naik dengan pantas dari arah bertentangan. Adrian langsung tidak melihat ke mana dia pergi dan akibatnya dia telah bertembung dan berlanggar dengan Zain. 

Zain terjatuh tersembam di tangga dan buku-buku yang dibawanya jatuh bertaburan di atas tangga. Zain mengerang kesakitan apabila kepalanya terhantuk di pengadang tangga dan tangan kirinya terhentak di tangga. Adrian langsung tidak menunjukkan sebarang rasa kesal. Sebaliknya, dia memandang Zain dengan wajah yang marah.

 "Hei! Kau buta ke? Tak nampak aku tengah naik? Dasar mata dekat lutut!" Dia melemparkan kata-kata itu dengan nada yang tinggi. 

"Kau memang patut pun jatuh ditimpa tangga, gay, bodoh, b*b*. Mati sahajalah kau!" Adrian mengherdik Zain lalu memberikan satu pakej tendangan padu di perut Zain lalu beredar pergi dari situ.

Sungguh tak disangka! Zain terkejut melihat keangkuhan pelajar itu sehinggakan dia tidak dapat berkata apa-apa. Lidahnya kelu! Sudahlah menghina orang sesuka hati, siap beri satu tendangan pula tu! 

Cikgu Suraya yang ternampak kejadian itu segera pergi menghampiri Zain setelah Adrian menghilang dari situ. 

"Ya Allah! Zain! Kamu okey tak?" tanya Cikgu Suraya yang amat bimbang akan apa yang menimpa anak muridnya itu.

Dibantu anak muridnya itu untuk bangun. Alang-alang dua orang pengawas tingkatan dua melalui tangga itu, Cikgu Suraya terus meminta bantuan mereka untuk memapah Zain ke bilik rawatan di sebelah bilik guru. Cikgu Suraya mengutip buku-buku yang berteraburan lalu membawanya ke meja Cikgu Noor Rahim beserta beg galasnya.

Zain tidak mengalami kecederaan yang serius cumanya tangan dan bahagian badannya yang tersembam di tangga sedikit terseliuh dan perlu diberi rehat. Ibu bapa Zain dihubungi untuk membawa pulang anak mereka. 

Kejadian itu masih segar-bugar diingatan Zain. Meskipun kini dia sudah mendapat jaminan pengetua berkenaan kes itu, tetapi Adrian tetap berdegil seolah-olah sekolah itu bapanya yang punya. Langsung tidak peduli dengan amaran dan tindakan yang bakal dia terima jika mengulangi kesalahan sama.

Semasa bersekolah di Amerika Syarikat, Adrian sememangnya seorang yang agak popular dikalangan pelajar. Semua pelajar menyanjunginya bagai seorang raja. Kerana rupanya juga, dia selalu menjadi perhatian pelajar-pelajar perempuan di sekolahnya dahulu sehingga ada yang sanggup membuat pembedahan plastik untuk memikat Adrian.

Adrian juga telah dibesarkan dalam keluarga kelas atasan di mana kedua-dua ibu bapanya menjawat jawatan yang tinggi dalam kerjaya masing-masing. Kedua-duanya berkecimpung dalam dunia korporat. Oleh sebab itu, dia telah dimanjakan. Apa sahaja yang dia mahu, pasti diperoleh. Dia dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh. 

Tetapi semuanya berubah sejak kebelakangan ini ... 

Cawangan syarikat tempat  bapanya bekerja memerlukan pengurus besar yang baharu di Malaysia. Jadi, Adrian sekeluarga perlu berpindah ke Malaysia dan Adrian perlu bersekolah di Malaysia. Kenyataan yang amat susah untuk dia terima kerana di dalam hatinya, baju sekolah di Amerika adalah lebih segak kerana siap dengan tali leher dan coat tetapi di Malaysia cumalah kemeja putih tanpa tali leher untuk di sekolahnya. Tidak hensem katanya. Hampeh! 

Tetapi disebabkan sekolah itu sahaja yang berhampiran dengan tempat ayahnya bekerja, Adrian terpaksa juga bersekolah di situ atas paksaan ibu bapanya. Argh! 

Mata Adrian kembali tertumpu pada Zain. Perasaan cemburu dan geram semakin menebal. 

"Hmm, disebabkan kaulah aku terpaksa berdiri kat sini. Patutnya kau yang berdiri, bukannya aku!" bentaknya dalam hati.

Dia juga tidak sedar bahwa dia yang memulakan semua itu. Jika dia tidak merampas kertas itu dari Zain, pasti semua ini tidak akan berlaku. Dia memang tidak suka pada Zain hanya kerana Zain lebih ramai kawan daripadanya malah lebih popular daripadanya.

"Adrian, Aiman. Kamu berdua boleh duduk sekarang. Masa cikgu dah nak habis," suara Cikgu Suraya memecah lamunan masing-masing.

"Terima kasih cikgu," kata mereka lalu berjalan menuju ke tempat masing-masing. 

SEPERTI biasa, Zain berjalan pulang dari sekolah bersama Harith dan Kazirul. Sambil berjalan, sambil berborak sesama sendiri. Pada petang itu juga mereka masing-masing memakai jaket bewarna hitam kecuali Kazirul yang bewarna putih kerana cuaca yang dingin pada petang itu.

"Zain, Adrian tu kenapa eh? Dia asyik kacau kau saja dari bulan lepas," tanya Harith.

"Entahlah, aku pun tak tahu apa masalah dia. Malas aku nak fikir. Apa yang aku buat, biarkan sahaja. Nanti lama-lama okeylah tu. Tapi kalau tidak okey juga, wallahua'lam," jawab Zain yang tidak mahu mempertingkaikan apa-apa tentang Adrian. 

"Hmm ... kau ni baik sangat. Kalau aku ada di tempat kau, dah lama aku belasah dia, lempang dia, cekik dia, sunat dia lagi sekali, telanjangkan dia depan orang ramai, takutkan dia," belum sempat Kazirul menghabiskan kata-katanya, Zain terus menekup mulut Kazirul.

"Aip, aip. Jaga sikit mulut tu. Malulah dengan pembaca kalau kau kata macam itu. Jatuh populariti aku dalam kalangan pembaca nanti!"

"Maaf ya semua, kawan saya seorang ni laser sikit mulut dia," kata Zain pada pembaca, bersama leretan sengih di bibirnya.

MALAM itu seperti biasa, Zain turun ke masjid untuk solat Mahgrib dan Isyak berjemaah. Selalunya selepas solat Mahgrib dia akan pulang ke rumah dahulu tetapi pada hari ini, dia tertarik dengan tajuk ceramah yang bakal disampaikan yakni 'Pelembut Hati yang keras.'

Sepanjang perkongsian itu, ada dikongsikan juga tentang fadilat ayat satu hingga lima Surah Taha. Selain daripada melembutkan hati yang keras, ia juga boleh diamalkan untuk mendinginkan diri terutama ketika marah. 

Sejak dari perkongsian itu, Zain selalu meniatkan bacaan ayat itu untuk Adrian dengan harapan Adrian dapat mengubah sikapnya malah dilembutkan hatinya. 

PETANG hujung minggu, Zain, Harith dan Kazirul bertemu lagi. Hubungan mereka bertiga memang tidak dapat dipisahkan. Dah macam adik-beradik. Pada petang itu mereka berjanji untuk bermain sukan kegemaran mereka iaitu badminton. 

Mereka bertiga lebih menggemari sukan itu daripada bola sepak kerana mereka bukanlah jenis yang lasak. Mahu kata lembut seperti perempuan pun tidak juga. Selain mereka bertiga, Hana, Mona dan Faridah turut akan bermain bersama pada petang itu.

Sejak memasuki alam sekolah menengah, mereka berenam sudah lama tidak melepak dan bermain bersama-sama. Akhirnya mereka dapat meluangkan masa bersama-sama pada petang itu.

"Mana dia orang ni ... Lama kita tunggu kat sini," kata Harith sambil merenung kosong ke arah gelanggang badminton.

"Sabarlah. Nanti dia orang sampailah tu. Kita kena faham, perempuan kalau bersiap, memang akan tinggal tulang orang yang menunggu ni," ujar Zain kemudiannya.

"Banyaklah tulang kau. Kita orang dah lama sampai," kata Mona yang tiba-tiba muncul di belakang mereka bertiga.

"Eh! Kau orang ni. Janganlah terkejutkan orang. Nasib baik tak tercabut jantung ni tau!" gusar  Kazirul.

"Ala, kita orang sengaja nak buat surprise. Ha, tunggu apa lagi? Jomlah kita main!" ajak Hana yang sudah tidak sabar-sabar lagi untuk memulakan perlawanan.

"Jom!" serentak mereka berenam bersorak.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status