Share

Sayang Cikgu Ketat-ketat (BAHASA MALAYSIA)
Sayang Cikgu Ketat-ketat (BAHASA MALAYSIA)
Author: Novelis Rafina Abdullah

Bab 1

LOCENG berbunyi menandakan tamat waktu persekolahan untuk hari ini. Aku masih terkial-kial mencari buku rujukan SPM Bahasa Melayu di dalam perpustakaan untuk dibawa pulang.

Kalau ikutkan hati, mahu saja aku membelinya. Tetapi ia agak mahal dan niat itu terpaksa aku batalkan.

Aku dilahirkan dalam keluarga yang susah dengan empat orang adik-beradik. Bapaku bekerja di kilang papan sebagai buruh kasar sementara ibuku hanya seorang suri rumah.

Aku merupakan anak pertama dalam keluarga. Menjadi kebiasaan bagi anak sulung, tugas sebagai anak dan kakak sangat mencabar. Dalam segala hal, aku banyak mengalah demi kegembiraan adik-adik.

Hampir dua puluh minit aku mencari dan meninjau rak-rak buku, aku hampa. Buku itu masih belum aku jumpa. Agak terlewat aku dapat pulang ke rumah hari ini.

Hampir setengah jam berlalu, aku benar-benar kecewa. Buku rujukan yang aku cari tidak ada. Apa yang perlu aku buat? Perlukah aku pecahkan tabung di rumah untuk membelinya?

Kalau terpaksa, tidak salah aku pecahkan tabung kesayangan itu. Demi menentukan masa depan, aku rela korbankan duit yang kuanggap sebagai wang kecemasan jika benar-benar aku perlukannya.

Aku bergegas keluar dan segera mahu pulang. Semasa menuruni anak-anak tangga, aku bertembung dengan seorang guru. Bukan saja bertembung, malah, aku melanggarnya pula!

"Ops!" Dia terperanjat dengan perlanggaran yang berlaku.

Dua buku teks yang berada di tanganku, terus jatuh bergelimpangan. Buku-buku di tangan guru itu juga turut sama jatuh. Kami sama-sama membongkok lalu mengutip buku masing-masing.

Sementara sibuk aku mengutip buku, sempat aku mencuri pandang pada wajah guru lelaki yang belum pernah aku lihat sebelum ini. Terlihat sama tanda nama yang dia pakai, 'Ahmad Safarin Haji Subki'.

"Anis nak pergi mana laju sangat?"

Eh, dia tahu nama aku? Perlahan aku tunduk melihat tanda nama sendiri. Dah terang-terang nama aku Nurul Anis, sudah tentu dia boleh tahu. Tak perlu aku kenalkan diri.

"Balik rumah."

Dia melihat jam di tangan. Dahinya berkerut. "Dah lewat petang, baru Anis nak balik?"

"Saya ke perpustakaan tadi. Cari buku."

"Buku apa?"

"Buku rujukan BM." Aku berdiri dan terus meminta maaf kerana melanggarnya tanpa sengaja.

"Anis..."

"Ye."

"Kenapa cari buku kat perpustakaan? Anis tak beli?"

Soalannya membuatkan aku sedikit gusar. Bagaimana harusku jawab? Dan, perlu ke aku jawab? "Cikgu, saya minta diri dulu. Dah lambat sangat ni." Aku melangkah sambil membetulkan beg sekolah yang aku sandang ke bahu.

"Tunggu sekejap."

"Ada apa, cikgu?"

"Anis balik dengan apa?"

"Jalan kaki."

"Rumah kat mana?"

Dia ni cikgu ke polis? Sibuk pula bertanya. "Kampung Bukit Ara."

"Jauh juga. Jalan kaki saja dari rumah ke sekolah?"

Apa yang dia pelik sangat? Hampir lima tahun aku berulang alik jalan kaki. Aku sudah biasa mengharungi kepayahan untuk datang ke sekolah dan pulang ke rumah. "Ye. Jalan kaki aje."

"Saya tolong hantar?"

"Ha?" Aku tercengang dengan pertolongan yang dia tawarkan.

"Saya nak hantar Anis balik, boleh?" Dia ulang memberi tawaran.

"Tak apalah. Saya dah biasa jalan kaki."

"Nanti penat."

Banyak songeh pula cikgu ni. "Okeylah..." Aku terus bersetuju. Tiada masa nak fikir panjang. Risau terlewat sampai ke rumah.

Tambahan pula, aku malas nak melayan segelintir budak-budak lelaki kampung yang nakal dan selalu lepak di selekoh jalan memasuki simpang ke rumahku.

Apabila aku memberi persetujuan, dia mula menghampiri dan mengambil buku-buku teks yang berada di tanganku. Beg sekolah aku juga ditarik perlahan-lahan lalu disandang pula ke bahunya.

Eh, kenapa pelik sangat cikgu ni? Baik semacam!

"CIKGU baru masuk mengajar ke? Sebelum ni, saya tak pernah nampak cikgu kat sekolah. Atau, cikgu baru bertukar dari sekolah lain?" Aku memulakan perbualan apabila dia hanya mendiamkan diri.

Di sekolah tadi, bukan main rancak dia tanya macam-macam soalan.

"Saya baru bertukar. Sebelum ni, saya mengajar di SMTAI."

"Mengajar subjek apa?"

"BM." Dia menoleh sekilas sambil melemparkan senyum.

"Cikgu mengajar tingkatan lima ke?"

"Ya." Dia senyum lagi.

"Kelas saya cikgu mengajar tak?"

"Anis kelas apa?"

"5 Kemboja."

"Oh, tu kelas yang saya akan pegang nanti."

"Serius?"

"Ya. Saya gantikan cikgu lama Anis."

Tamat perbualan, aku menunjukkan arah. Keretanya berhenti betul-betul di hadapan rumahku yang agak uzur.

"Terima kasih sebab hantar saya balik."

"Sama-sama. Ini rumah Anis?" Dia memerhati keadaan rumahku.

Tanpa rasa malu, aku mengangguk lalu mengiakan saja.

"MISS Nurul Anis. Please give your full attention!"

Aku tersentak.

'Mr. Curly', itu adalah gelaran untuk guru Bahasa Inggeris yang sedang mengajar di hadapan. Dia jeritkan nama aku tiba-tiba. Entah apa kesalahan yang aku buat?

Sebentar tadi aku fikirkan mengenai pemilihan pemain-pemain badminton yang akan dibuat petang ini. Mungkin dia sedar aku tidak memberikan tumpuan.

Mr. Curly berjalan menghampiriku. "Stand up."

Aku terkebil-kebil memandang ke arahnya. Teragak-agak aku berdiri. Seluruh isi kelas sedang melihat. Terdengar segelintir suara-suara sumbang sedang berbisik. Rakanku Diana yang duduk di sebelah hanya menunduk diam.

"Fikiran awak melayang ke mana?"

"Maaf, cikgu kerinting."

"What?"

"Err... sorry sir."

"What did you call me?"

"Cikgu kerinting."

"Louder please."

"Cikgu kerinting!"

Seluruh isi kelas menghamburkan tawa. Aku berlagak selamba tapi dalam hati hanya Tuhan yang tahu. Entah kenapa aku berani mengeluarkan gelaran 'cikgu kerinting' pada Mr. Curly.

Memang betul apa. 'Mr. Curly' maksudnya 'Encik Kerinting'. Jadi, tiada salahnya aku panggil dia begitu.

"How dare you."

"Maaf, sir. Saya tak bermaksud nak kata macam tu."

"Sit down."

Fuh, lega. Mati-mati aku fikir Mr. Curly akan menyuruh aku berdiri di atas kerusi.

TAMAT waktu sekolah, aku dan Diana bergegas ke dewan bagi menjalani pemilihan pemain-pemain badminton mewakili sekolah.

Sebenarnya, aku sangat berminat mahu menyertai pemilihan itu. Namun, niat di hati terpaksa aku kuburkan kerana tidak memiliki raket. Usahkan beli raket, beli buku rujukan pun tak mampu.

Aku berdiri di luar dewan dan hanya menyuruh Diana menyertai pemilihan tersebut.

"Kenapa Anis berdiri saja kat sini? Tak nak masuk?" Satu suara menyapa dari belakang.

Aku terperanjat dengan kehadiran Cikgu Safarin. Tak semena dia muncul di sini. "Saya tak ada raket."

"Masuklah dulu. Nanti boleh pinjam raket saya."

Aku memandangnya cukup lama. Baiknya cikgu ni. "Tak apalah. Raket cikgu tentu mahal. Kalau saya tersalah guna, nanti rosak. Saya tak ada duit nak ganti balik."

Dia tersenyum sejurus aku melahirkan kebimbangan. "Saya suruh Anis pinjam raket saya saja. Saya tak suruh ganti kalau raket saya rosak."

"Tak apalah. Saya tak nak. Lebih baik saya beringat sebelum terkena. Masa ni bolehlah cikgu cakap tak payah ganti. Mana tahu lain kali."

"Anis tak percayakan saya?" Air mukanya berubah.

"Bukan macam tu."

"Ambillah raket saya. Kalau Anis terpilih, boleh gunakan raket saya sampai bila-bila. Saya hadiahkan." Dia hulurkan raketnya yang berjenama Carlton.

Aku teragak-agak mahu menyentuh raket itu. Apatah lagi untuk menggunakannya. Dengan hati yang berbelah bahagi, aku mengambilnya juga. Apabila raket berada di tangan, aku berasa teruja.

Namun, dalam kepala terlintas satu persoalan. Kenapa dia suka berbuat baik pada aku? Semalam tolong hantarkan aku pulang. Hari ini, dia hadiahkan raket mahalnya pula.

"Terima kasih, cikgu."

"Sama-sama. Jom masuk. Nanti Anis terlambat."

AKU terpilih memasuki pasukan badminton mewakili sekolah pada bulan hadapan. Nampaknya, aku perlu membahagikan masa di antara sukan dan pelajaran.

Tak lama lagi, aku bakal menduduki peperiksaan. Aku tak mahu gagal. SPM sangat penting bagi menentukan masa depan yang lebih cerah.

Aku cuma risaukan masalah kewangan yang dihadapi keluargaku sejak akhir-akhir ini. Adakah aku dapat meneruskan persekolahan atau terpaksa memberi laluan pada adik-adik?

Pernah ayah melahirkan hasrat supaya aku berhenti kerana dia tidak mampu menanggung beban kewangan.

Aku sedih dengan luahan hati ayah. Begitu juga dengan ayah. Kalau boleh, ayah mahu semua anak-anaknya tamat persekolahan.

Ayah juga sering tidak sihat sehingga tidak dapat bekerja selama beberapa hari. Apabila dia dalam keadaan demikian, tiadalah sumber rezeki kami pada hari itu. Kehidupan kami seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

"Anis menungkan apa?" Cikgu Safarin datang menegur.

"Eh, cikgu. Tak ada apa-apa. Saya cuma letih je." Lamunanku terbang menjauh.

"Nak air?"

Sebotol air mineral dengan penutup terbuka, dihulurkan padaku.

"Terima kasih." Aku menyambut lalu meneguk air di dalamnya beberapa kali.

"Minum macam tu saja?" Dia hulurkan penyedut minuman.

Allah, malunya. Air dalam botol sudah separuh aku teguk, baru sekarang dia bagi straw?

Mahu tak mahu, aku mengambilnya dengan rasa segan. Orang perempuan minum air main teguk-teguk. Kalah orang lelaki.

"Nanti saya hantar Anis balik."

Nak hantar lagi? Semalam tolong hantar, hari ni pun nak hantar juga? Ini sudah melebihi tanggung jawab seorang guru. Berlagak macam abang aku pula. Tahulah aku balik sendiri. "Saya nak pergi mancing kat sungai. Cikgu tak payahlah hantar."

"Saya nak ikut."

Nak ikut pulak dah. Cikgu Safarin ni demam ke apa?

Kaugnay na kabanata

Pinakabagong kabanata

DMCA.com Protection Status