Share

Bab 3

HUJUNG minggu kini tiba. Diana datang ke rumah dan mengajakku ke bandar untuk mencari buku-buku rujukan yang dia mahu beli.

Beruntungnya jadi Diana. Kehidupannya lebih baik dari aku. Nak beli buku apa, pakaian apa, makan apa, semuanya dapat.

"Anis, nanti kau temankan aku pergi PSI, tau."

"Sekarang ke?"

"Sekaranglah."

"Aku tak ada duit."

"Tak apa. Kau temankan aku aje. Nanti aku bayarkan tambang, belanja makan dan buku apa yang kau nak beli, aku bayarkan. Okey?"

Aku menarik nafas panjang. Banyak Diana habiskan duitnya untuk aku sepanjang tempoh kami berkawan. Apabila dia menyebut soal buku, baru aku teringat. Nampaknya, aku terpaksa tolak tawaran Diana.

"Pasal buku-buku tu, aku tak perlu fikir dah."

"Kenapa pulak?"

"Sebab..."

"Sebab apa?!" Diana menyergah.

"Cikgu Safarin nak belikan untuk aku!" Disebabkan aku terkejut dengan sergahan Diana, aku lantang memberi jawapan.

"Hah?" Mata Diana membulat.

"Dia nak belikan untuk aku." Suaraku mengendur kemudian.

Diana ketawa. "Aku fikir, dia syok dekat kaulah, Anis."

"Mengarutlah!"

"Cuba ingat baik-baik. Dia hadiahkan kau raket, selalu hantar kau balik rumah, ikut kau pergi sungai. Ermmm... apa lagi, ye. Hah, dia nak beli buku-buku rujukan untuk kau. Apa makna semua tu?"

Aku mencebik mendengar kata-kata Diana yang tidak masuk akal. Guru berusia dua puluh tujuh tahun boleh jatuh cinta dengan pelajar berusia tujuh belas tahun? Mustahil!

"Kau jangan reka cerita. Mungkin dia dah bertunang atau suami orang. Memandai kau cakap macam tu. Nanti kalau dia dapat tahu, buat malu aje."

"Mana ada aku reka cerita? Betul apa."

"Apa yang betul?"

Diana membuka zip beg sekolahnya lalu mengambil kotak pensil. Satu kertas kecil dikeluarkan lalu dihulurkan padaku.

"Memandangkan kau tak ada handphone, Cikgu Safarin bagi surat ni pada kau."

Perlahan aku mengambil surat yang dihulurkan Diana.

Jumpa saya di Pustaka Sri Intan (PSI) hari sabtu jam sebelas pagi. Datang dengan Diana. Saya tunggu Anis di situ. Nanti kita pilih sama-sama buku rujukan yang Anis mahu. Kalau ikut hati, saya memang nak pergi beli sendiri. Tapi kalau Anis ada sama, tentu saya rasa lebih seronok dan bahagia.

Selesai membaca surat ringkas itu, tidak sengaja aku mencampaknya ke lantai.

Diana terkejut. "Anis, kau ni kenapa? Main campak-campak pula surat tu?"

"Bukannya aku sengaja."

"Habis tu?"

"Cuba kau ambil dan baca ayat terakhir." Aku memuncung ke arah lantai usang dan berlubang. Untunglah surat itu tidak jatuh ke bawah rumah.

Diana membongkok lalu mengutipnya. Lantas, dia terus membacanya kuat-kuat. "Tapi kalau Anis ada sama, tentu saya rasa lebih seronok dan bahagia!" Dia tercengang dan terkulat-kulat memandangku.

"Aku curiga betul dengan Cikgu Safarin ni."

"Maksud kau apa, Anis?"

"Entah. Dia tu peliklah. Cara dia bercakap, tingkah laku dia, buat aku rasa semacam. Kau tahu tak, masa kat sungai hari tu, ada ke patut dia suruh aku pancing hati dia?"

Kami sama-sama ketawa besar.

"Sebab tulah aku kata, dia suka kat kau tapi kau tak nak percaya. Kau cakap aku mengarut."

"Kau dah berpakat dengan dia ke nak ajak aku pergi PSI hari ni?"

"Eh, tolong sikit, ye. Aku pun terkejut bila baca surat Cikgu Safarin bagi. Tak sangka, dia pun ajak kau pergi kedai buku tu pada hari yang sama."

"Kau jangan bohong. Kenapa dia tulis nama kau sekali dalam surat tu? Kalau nak tipu aku pun, agak-agak la."

"Okey, okey. Aku mengaku berpakat dengan Cikgu Safarin. Dia yang beria-ia minta aku pujuk kau pergi sana. Aku berani jamin, dia belum kahwin dan bukan tunang siapa-siapa. Dia suka kat kau tu, Anis."

"Kau percaya dengan maklumat yang kau ada? Belum kahwin? Bukan tunang orang? Yelah tu..." Aku mencebik.

"Dah tentu aku percaya. Kalau dia ada isteri, tak mungkin dia tinggal satu rumah dengan sir rambut kerinting tu. Mestilah dia akan tinggal dengan isteri dia."

"Alah, mungkin isteri dia tinggal kat tempat lain. Sabah ke, Sarawak ke. Jangan fikir aku lurus bendul macam kau ya, Diana."

"Amboi bahasa kau bukan main lagi. Eh, dahlah. Cepat pergi siap. Nanti kesian kat Cikgu Safarin tunggu lama-lama kat sana. Tak pasal-pasal jadi tiang letrik pula kat depan PSI tu!"

KAMI bergegas menuju ke Pustaka Sri Intan sejurus turun dari bas. Waktu yang dijanjikan dengan Cikgu safarin kini melebihi lima belas minit. Sah-sah kami terlewat.

Saat melangkah ke pintu masuk PSI, Cikgu Safarin masih tidak kelihatan. Kami saling berpandangan. "Diana, aku rasa dia main-mainlah."

"Tak mungkin. Dia dah janji nak beli buku-buku untuk kau. Kalau dalam hal macam ni dia tak serius, memang dia jenis manusia yang tak ada perasaan. Kita tunggu dulu sepuluh minit. Kalau dia tak muncul, tahulah macam mana aku nak ajar dia esok. Berani dia main-mainkan kawan baik aku?" Diana ketap bibir sambil menumbuk tangan kanan pada tangan kirinya.

Tak padan dengan budak sekolah, ada hati nak ajar cikgu. Mimpi ajelah!

"Mengumpat saya, ya."

Kami cepat-cepat berpusing tubuh.

"Eh, cikgu. Dah lama sampai?" Diana pura-pura ramah. Hipokritnya. Tadi bukan main dia marahkan Cikgu Safarin.

"Lama juga. Kalau saya janji pukul sebelas, pukul sebelas saya akan sampai. Bukan macam dua orang budak sekolah yang berdiri kat depan saya ni. Langsung tak tepati masa."

Aku dan Diana tersenyum sumbing.

"Kami minta maaf. Tak sengaja datang lambat. Lagipun, baru lima belas minit kami lewat. Cikgu faham-faham ajelah. Kami naik bas. Banyak berhenti pulak tu. Cikgu tak apalah, datang dengan kereta sendiri." Diana menjelaskan keadaan.

"Okey, tak apa. Saya maafkan. Awak berdua dah makan?"

"Saya dah makan kat rumah. Tapi Anis, saya tak tahulah."

"Anis dah makan?"

Cikgu Safarin tunduk sambil mencuri pandang ke wajahku yang terlindung oleh tudung ditiup angin.

"Dah." Ringkas aku menjawab.

"Okey. Jom kita masuk."

DI saat leka memilih buku, secara tidak sengaja, kami berpecah. Diana naik ke tingkat dua. Cikgu Safarin hilang entah ke mana. Aku pula bergerak ke bahagian novel-novel dan buku cerita.

Satu per satu aku memerhati novel-novel yang teratur kemas di atas rak. Pandanganku tertancap pada sebuah novel yang begitu menarik kulit depannya. Ia berjudul, 'Dia Yang Aku Pilih'.

"Anis nak novel ni?"

Tiba-tiba Cikgu Safarin datang menyapa. Serentak aku berpaling dan tersenyum malu. Kantoi sebab sibuk mencuci mata dengan buku-buku yang tak ada kaitan dengan pelajaran. Novel pulak tu. Dah sah-sah cerita tentang cinta.

"Taklah. Tengok-tengok aje."

Cepat-cepat aku meletakkan semula novel yang sejak tadi aku pegang. Tapi, Cikgu Safarin mengambilnya kembali dan melihat novel itu secara keseluruhan.

"Ariana, anak tunggal Encik Ahmad dan Puan Rokiah, gadis serba sederhana yang cantik, nakal, agak kasar dan berpendirian tegas. Ariana tidak senang memikirkan soal jodoh. Dia seakan serik bercinta kerana pernah ditipu oleh Nazri. Malang menimpa, orang yang paling Ariana sayang, pergi menghadap Ilahi. Kedua ibu bapanya terlibat dalam kemalangan di Mekah."

"Ariana lebih tertarik pada jirannya, Izzudin. Seorang duda yang masih terikat dengan pelbagai masalah peribadi. Hubungan mereka sering dilanda konflik kerana bekas isteri Izzudin selalu mengganggu dan meminta wang."

"Izzudin langsung tidak bersikap tegas. Perasaan yang Ariana cuba selindung rupanya tidak bertahan lama. Cintanya diluahkan tanpa sengaja. Keperibadian Izzudin benar-benar membuatkan Ariana tertarik. Walaupun penuh dengan sifat cemburu, lelaki yang menjadi perhatian ramai wanita ini seorang yang terlalu melindungi, cukup romantik dan pandai bermain dengan kata-kata."

"Pelbagai insiden romantik, salah faham, merajuk, cemburu, sedih dan lucu bisa menyentuh hati sesiapa yang membacanya. Bagaimana kesudahan percintaan Ariana dan Izzudin? Dapatkah Haji Fahmi meraih cinta Ariana?"

Aku tercengang. Habis satu sinopsis Cikgu Safarin baca!

"Erm... menarik kisah ni. Anis nak? Saya belikan."

"Eh, tak apalah, cikgu. Saya tengok-tengok setakat cuci mata aje. Lagipun, cover dia menarik. Ilustrasi muka hero tu sebiji macam..."

"Macam saya?" Cikgu Safarin mencelah sambil tersengih.

"Ada iras sikit." Aku mengaku lalu tunduk melihat kaki. Segan benar rasanya.

"Muka Anis dah merah. Mungkin tu tandanya hati dan perasaan Anis dah terpancing dengan saya."

Berkerut dahiku mencengar kata-katanya. Perlahan aku angkat muka. "Apa maksud cikgu? Saya tak faham."

"Abaikan. Anis masih remaja dan mungkin susah nak tangkap maksud saya."

Cikgu Safarin letakkan novel di atas timbunan buku-buku rujukan yang berada di tangannya. Itu bermaksud, memang betul-betul dia mahu belikan novel itu untuk aku?

Alahai... tak terbalas budi baiknya. Buku-buku rujukan dan novel. Entah berapa banyak duit dia akan habis nanti. "Betul ke cikgu nak belikan novel tu untuk saya?"

"Sekali-sekala, Anis perlu baca buku cerita dan novel juga. Nanti boleh hilangkan tekanan lepas belajar."

Tiba-tiba hidungku disentuh lalu aku tunduk dan pantas menjarakkan diri.

"Saya tak nak terhutang budi lagi dengan cikgu. Nanti tak terbalas."

"Bagi result cemerlang dalam SPM. Itu dah cukup banggakan saya."

"Insya-Allah. Saya tak berani bagi jaminan. Tapi, saya akan cuba buat yang terbaik."

SUASANA dalam kereta sunyi memandangkan Diana tidak ada. Bapanya datang menjemput Diana kerana mahu membawanya ke hospital untuk menziarahi salah seorang ahli keluarga mereka.

Aku kurang selesa apabila berdua dengan Cikgu Safarin memandangkan perjalanan dari bandar ke rumahku agak jauh. Kalau dekat-dekat tak apalah.

Tadi aku mahu menaiki bas, tapi Cikgu Safarin tidak benarkan. Katanya, aku tidak berteman dan masih di bawah umur. Dia bimbang jika terjadi apa-apa padaku.

"Anis."

"Ye, cikgu."

"Buku-buku rujukan dan novel dah dapat. Tapi, kenapa Anis nampak tak gembira?"

"Kalau saya happy, takkan saya nak melompat dalam kereta cikgu ni?"

Dia garu kepala lalu melantun ketawa halus. "Betul juga."

"Cikgu, saya nak ucapkan terima kasih. Tentu duit cikgu banyak habis untuk saya hari ni." Aku tunduk dan terharu di atas kebaikannya.

"Sama-sama kasih."

"Kenapa cikgu terlalu baik dengan saya? Sebab saya anak orang susah ke? Cikgu kasihankan saya, kan?" Aku memandang tepat ke wajahnya. Wajah yang sering menjadi perhatian pelajar-pelajar dan guru-guru perempuan yang masih bujang di sekolah kami.

"Itu memang salah satu dari sebabnya. Tapi, ia bukan kunci utama pada soalan Anis."

"Tolong terus-terang dengan saya, boleh tak? Cikgu ni... suka sangat bagi jawapan yang buat kepala saya pening."

"Okey, Anis nak tahu kenapa saya suka bagi perhatian pada Anis?"

"Mestilah. Cikgu ni, pelik sangat."

"Sebenarnya saya..."

"Kejap, kejap!"

"Apa dia?"

"Beg sekolah saya tertinggal!"

"Tertinggal dekat mana?"

"Pustaka Sri Intan!"

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status