Share

HASRAT (BAHASA MALAYSIA)
HASRAT (BAHASA MALAYSIA)
Penulis: Iqmal Izzat

HASRAT | PROLOG

7 tahun lalu, 

SUARA PERGADUHAN menampan gegendang telinga sekaligus menyedarkan Nadzmi dari lenanya. Terkesip-kesip dia membuka mata, tangannya diangkat lalu menggosok pancaindera tersebut. Nadzmi bingkas dari katil lalu menungkai tapak ke arah pintu biliknya. 

Nadzmi melangkah keluar, suara pertengkaran itu masih jelas kedengaran. Di celah pintu bilik ibu dan ayahnya yang sedikit terkuak, anak matanya mengintai ke dalam. 

Jelas kelihatan ayahnya sedang menyumbat pakaian ke dalam sebuah beg sementara ibunya cuba seperti sedang menghalang suaminya daripada terus melakukan hal itu.

“Kau nak buat apa dengan baju-baju aku, ha!” Izzah meninggikan suara ketika melemparkan kata-kata itu.

“Aku nak kau berambus dari sini!” balas Mifzar kasar.

“Kau nak aku berambus ... Eh jantan, kau yang sepatutnya berambus dari sinilah. Rumah ni bukannya bawah nama kau pun!” selamba sahaja kata-kata itu terlontar keluar dari mulut Izzah.

“Kau jangan nak cabar aku!” jerkahan Mifzar bergema memenuhi ruang bilik itu. Tangannya sudah melayang naik ke udara. 

“Lempanglah, kau ingat aku takut? Kalau kau nak kahwin sangat dengan perempuan tu, kahwinlah! Tapi kau yang kena berambus, bukannya aku!”

Nada suara Izzah tinggi seoktaf. Had kesabarannya kian menipis. Mana mungkin dia akan membiarkan rumah pusaka peninggalan arwah ayahnya ini jatuh di tangan suaminya sesuka hati.

“Diam!” Tapak tangan Mifzar menempeleng ekor pipi Izzah. Lahar di hatinya sudah meletus.

“Ayah!” Nadzmi terjengul di muka pintu sejurus menghentikan pertelagahan antara pasangan suami isteri itu. 

“Kau nak sangat aku berambus kan? Okey, aku akan bawa anak aku keluar dari 'neraka dunia' ni sekali!” kata Izzah rampus, sambil menikam wajah suaminya.

Mifzar mahu menampar Izzah sekali lagi, tetapi Nadzmi cepat-cepat menahan tangan ayahnya daripada terus melakukan hal demikian. 

“Ayah, jangan ayah!”

“Ish! Ke tepilah!”

Nadzmi jatuh terjelupuk ke atas lantai tatkala ditolak kuat oleh Mifzar. Lelaki itu kemudian mengheret Izzah keluar dari bilik itu dengan kasar sehingga ke pintu utama. Izzah meronta-ronta  cuba melepaskan lengannya daripada genggaman Mifzar, tetapi gagal.

“Blah kau!”

Izzah ditolak kasar. Tersungkur jatuh mencium lantai konkrit. Pinggangnya berasa sakit. Beg yang telah diisikan pakaian sebentar tadi dicampak ke arahnya tanpa sekelumit rasa kasihan.

“Izzah Noraini binti Yahya, aku ceraikan kau dengan talak satu. Berambus kau dari sini!” lafaz itu akhirnya terhambur keluar dari mulut Mifzar. Ikatan kasih yang telah disemai selama lapan tahun akhirnya hancur berderai.

Mifzar membanting pintu rumah, kemudian suara tangisan daripada sang anak kedengaran bersilih ganti dengan suara amarah sang ayah. Pastinya Nadzmi sedang disebat kerana meraung mahukan ibunya. 

Air mata Izzah merembes laju, bukan kerana telah diceraikan, tetapi kerana terfikirkan nasib anaknya yang telah menjadi mangsa keadaan.  

“Nadzmi ... Maafkan mak sebab tak dapat nak mempertahankan kamu,” katanya sendiri, bersama air mata yang mula jatuh meladungi pipi.

    

Bab terkait

Bab terbaru

DMCA.com Protection Status