Share

HASRAT | BAB 1

BEBAS, itulah yang Nadzmi Saad sentiasa harapkan dalam hidupnya. Bebas daripada segala derita yang memeritkan, yang telah memusnahkan kebahagiaan hidupnya, angkara kisah duka yang telah berlaku, tujuh tahun dahulu.

Pulang sahaja dari sekolah pada tengah hari itu, Nadzmi terus memasuki biliknya. Beg diletakkan di atas meja belajar. Batang tubuhnya dihempaskan ke atas katil. Dia mahu berehat seketika untuk menyirnakan kepenatan yang masih menguasai diri. 

Dia berbaring, bersama uniform sekolah yang masih membaluti tubuh, tidak pula kelopak matanya tertutup. Setelah penatnya hilang, barulah Nadzmi bangkit semula dari pembaringannya.

Seketika kemudian pintu biliknya terkuak. Wajah adik tirinya tersembul di muka pintu. Namanya Khairy, umurnya dua tahun lebih muda daripada Nadzmi. 

"Hoi Nadzmi. Kau siapkan kerja sekolah aku ni. Pastikan siap. Petang nanti aku nak." Selamba Khairy mencampak buku-buku latihannya kepada Nadzmi. 

"Kau ingat aku ni hamba kau, sesuka hati je kau nak mengarah aku?" Nadzmi mula naik berang. Dicampak semula buku-buku latihan itu kepada Khairy. Dia berdiri lalu menarik langkah menghampiri Khairy. 

"Kau kena ingat, kau tak akan pandai kalau aku yang buatkan kerja sekolah kau. Kalau kalau nak pandai, usaha sendiri," kata Nadzmi sambil menekan dada Khairy dengan jari telunjuknya.

Nadzmi menutup pintu biliknya, kemudian bersandar di belakang pintu. Segugus keluhan kecil diluahkan dari dada. Itulah jadinya bila si Khairy itu terlalu dimanjakan sangat.

Di luar, Khairy memungut buku-buku latihan yang berselerak di kakinya bersama segarit senyuman yang terbit di bibirnya. 'Tak apa, tunggu nasib kau sekejap lagi. Tengoklah.' 

Petang itu, Nadzmi ralit menyiapkan segala tugasan yang diberikan oleh guru. Meskipun tangan dan retina matanya sudah lelah menelaah dan menulis selama satu jam tanpa henti, dia tetap mengagahkan diri supaya tugasan yang perlu disiapkan tidak tertangguh.

Tanpa sebarang angin dan ribut, tiba-tiba ibu tirinya menyerbu masuk ke dalam biliknya. Nadzmi terkesima, tetapi kehadiran Kamelia tanpa sebarang khabar itu dia buat tidak endah saja. 

"Kau nak apa? Nak cari gaduh?" Spontan Nadzri melontarkan pertanyaan itu tanpa berkalih melihat Kamelia, sambil menyusun buku-buku di atas meja. 

"Amboi, sudahlah aku masuk kau tak sambut, selepas tu biadap pula dengan aku, huh!" Kamelia mendengus kecil. Tangannya menyilang di dada.

Nadzri menoleh ke kanan. Bibir tayang sengih sumbing. Sambut? Bila masa pula ada istilah menyambut ibu tiri dalam kamus hidupnya? Istilah barukah itu? 

"Aku? Nak sambut kau? Boleh, dalam mimpi." Setiap patah perkataan ditekankan. Dia kembali menghadap meja belajarnya. 

"Makin lama, makin melampau budak ni," Kamelia menggerutu sendiri.

"Apa? Melampau? Yang melampau tu sebenarnya kau, bukannya aku. Dasar betina tak bermaruah." Selamba mulut Nadzmi bersuara.

"Hei! Kau jangan nak kurang ajar dengan aku!" Suara Kamelia agak menekan. Hampir sahaja api kemarahannya tercetus.

"Mummy, kenapa bising-bising ni. Khairy nak tidurlah," tanya Khairy yang baru bangun tidur. Segera Kamelia menarik lengan anaknya untuk menjauhi pintu bilik Nadzmi.

"Abang tiri kamu itulah. Biadap dengan mummy. Ada ke patut dia kata mummy ni betina, dia ingat mummy ni binatang ke apa," Kamelia berbisik pada Khairy. 

"Ala mummy ni, apa susah-susah. Rotan kan ada, belasah je dia sampai lebam. Sampai mati pun tak apa, senang sikit hidup kita," balas Khairy. Ada leretan sengih di ulas bibirnya.

"Kalau katakan dia mati, kita nak cakap apa dengan bapak dia? Tak fasal-fasal kita pula kena masuk penjara nanti," tanya Kamelia bersama secalit kerisauan yang mula membelit dirinya.

"Ala, bab ni Khairy nombor satulah, mummy ... Kita campak sajalah mayat dia dalam tong sampah, kalau bapak dia tanya, jawablah dia kena pukul dengan orang. Senang kan?" jelas Khairy. Kening sebelah kanannya dijungkit sekali dua.

"Betul juga. Pandai anak mummy ni," Puji Kamelia, mencuit hidung anaknya.

NADZMI mengemas buku-buku yang perlu dibawa ke sekolah pada keesokkan harinya. Setiap kali pergi dan pulang sekolah, dia akan berjalan kaki atau berbasikal sahaja. Tidak mahunya dihantar dan diambil oleh perempuan itu. 

Pintu biliknya terbuka, wajah yang sama tersembul di muka pintu. Tidak lain tidak bukan, ibu tirinya Kamelia.  

Betina tu lagi ... Apa lagi dia nak? Keluhnya dalam hati. 

"Siang tadi aku lupa nak tanya kau. Kenapa anak aku suruh kau buatkan kerja sekolah dia, kau tak nak?" soal Kamelia.

"Kenapa pula aku kena buatkan kerja sekolah dia sedangkan dia ada mata, ada tangan, boleh membaca, boleh melihat. Oh yalah, lupa pula. Anak manja, semua benda orang lain kena buatkan ..." sindir Nadzmi dengan nada sinis. Sengaja mahu mengoyakkan kesabaran Kamelia.

"Hei, cakap sajalah kau tu kedekut ilmu, berlagak pandai. Kan senang!" Kamelia menggetus geram. 

"Ya, memang aku kedekut ilmu, memang aku berlagak pandai, tapi cuma dengan anak kau. Sebab dia dengan kau, serupa. Dua-dua aku anggap binatang!" Meletus ungkapan tersebut dari bibir Nadzmi.

"Kau memang kurang ajar!" Wajah Kamelia merah padam. Kemarahannya sudah tidak terkawal lagi. Disebatnya Nadzmi menggunakan rotan semahu-mahunya sehingga badan, kaki dan tangan Nadzmi habis calar-balar dan kemerahan akibat sebatan yang melampau. 

Hampir melayang nyawa Nadzmi dibuatnya. Mujurlah dia seorang yang amat kuat meskipun sakit dalam derita yang dialami begitu kuat mencengkam dirinya. 

Beberapa minit berseleng, setelah Kamelia pergi meninggalkannya, Nadzmi menanggalkan t-shirt berwarna hitam yang dipakainya di hadapan kaca muka, menampakkan kesan calar-balar di sariranya akibat disebat sebentar tadi. Sakit tetap menyengat, tetapi Nadzmi sepertinya telah terbiasa dengan kesakitan itu.

Sakit itulah yang dialaminya sejak ayahnya Mifzar berkahwin dengan Kamelia. Sakit yang selalu menguasai saraf tubuhnya sehingga Nadzmi sudah kebal akan kesakitan itu semua. 

Baginya, sakit disebat itu biasa. Tetapi ada satu sakit yang paling perit, sakit yang hampir sahaja memisahkan roh dengan tubuhnya. Sakit itu jugalah penyebab dia amat menderita ketika itu. Dan, dia hampir sahaja menjadi cacat akibat kesakitan itu. 

     Perit mengingatnya, perit lagi kesakitan ketika menanggungnya ketika itu. Usianya ketika itu masih mentah dan kesakitan itu dirasakan bagai dirinya diseksa di 'neraka dunia'. Neraka untuk insan yang tidak berdosa sepertinya.

FAJAR kian menyinsing menandakan waktu malam sudah berakhir. Seawal jam lima setengah pagi, Nadzmi terlebih dahulu sudah bangun. Waktu ini sahajalah paling aman untuknya bersiap-siap sebelum ibu dan adik tirinya pula bangun. 

Selepas beruniform, Nadzmi segera menggapai beg sekolahnya untuk berlalu keluar dari rumah itu. Sebaik sahaja melangkah keluar dari bilik, tanpa dipinta dia terserempak dengan ayahnya. 

"Nadzmi, awalnya kamu bersiap.  Sekarang ni baru pukul berapa," kata Mifzar pada Nadzmi.

"Suka hati Nadzmilah nak bersiap pukul berapa sekalipun, kenapa pula ayah nak peduli? Dah memang Nadzmi akan bersiap sebelum pukul enam, lagi cepat siap lagi cepat boleh keluar." Nadzmi kemudiannya membuka langkah untuk meninggalkan ayahnya. 

"Nadzmi,"

Serta-merta langkah Nadzmi terhenti tatkala Mifzar menyeru namanya. Nadzmi segera memusing tubuh, memandang ayahnya yang tercegat hampir dengannya.

"Nadzmi. Dah tujuh tahun berlalu, kamu masih tak boleh terima ibu tiri kamu tu? Tujuh tahun bukannya sekejap ..." tanya Mifzar bersama pandangan yang terdampan pada raut wajah Nadzmi. 

Manakan tidak, tujuh tahun dia membiarkan Nadzmi membiasakan diri bersama Kamelia dengan harapan hatinya terbuka untuk menerima ibu tirinya itu, tetapi usaha itu langsung tidak membuahkan hasil. 

"Sekalipun Nadzmi tak akan terima perempuan itu. Disebabkan dialah, ayah ceraikan mak, pisahkan Nadzmi dengan mak sehinggakan hidup Nadzmi sentiasa menderita atas alasan ayah dia lebih baik daripada mak. Tapi mana baiknya kalau sepanjang tujuh tahun ni dia seksa Nadzmi dengan derita, pukul, maki hamun Nadzmi macam binatang. Ayah mungkin tak tahu, sebab dunia ayah cuma kerja dan outstation sampaikan anak ayah ni hampir mati disebabkan perempuan itu pun ayah tak tahu!"

Nadzmi segera membelakangi Mifzar. Langkahnya diatur pantas meninggalkan Mifzar yang masih tercegat di situ. Dia tidak tahan untuk menghadap wajah ayahnya itu lama-lama. Perasaan benci, marah, dendam, semuanya membuatkan dirinya berkecamuk.

Nadzmi terus melangkah tanpa berpaling ke arah belakang lagi. Dia membawa diri, ke gerai Cik Azimah yang terletak bersebelahan surau al-Karim. Tidak jauh dari kawasan perumahannya.

"Nadzmi, kau dah sampai? Marilah sini," panggil Luqman, mengajak Nadzmi duduk bersarapan bersamanya.

"Kau okey, Nadzmi?" soalan itu terus diajukan sebaik Nadzmi melabuhkan punggung di kerusi. 

"Macam biasalah, Luqman ... Perempuan tu sebat aku lagi. Kali ni kaw kaw dia belasah aku, nasib baiklah nyawa aku tak melayang," jawab Nadzmi. 

"Aku kasihan sangat dengan kau, tapi aku tetap kagum sebab kau sangat-sangat kuat. Kalau aku di tempat kau, dah lama rasanya aku ke jannah," ujar Luqman sambil merenung Nadzmi.

"Apa boleh buat, dah nasib aku. Terima sajalah," kata Nadzmi. Sepertinya reda akan segala ketentuan Ilahi terhadapnya.

"Tapi kan, kau tak pernah terfikir ke untuk lari? Tak akanlah kau nak menanggung derita tu sampai akhir hayat kau," Luqman seakan musykil.

"Ya, dari dulu lagi aku dah berhasrat untuk lari. Masa umur aku sebelas tahun, aku dah berjaya lepas dari rumah tu, tapi apakan daya, dia ternampak aku kat simpang jalan sini. Masa itu dia baru balik selepas bawa anak dia ke klinik. Tunggu apa lagi, teruslah perempuan tu tangkap aku masuk kereta. Sampai rumah, terus dia seksa aku, bantai aku teruk-teruk. Kesakitan tu aku masih teringat sampai ke hari ni." Panjang lebar Nadzmi berceloteh. 

"Sabarlah, Nadzmi. Allah yang aturkan segalanya. InsyaAllah, satu hari nanti kau pasti akan kecapi bahagia. Bila? Itu Allah sahaja yang tahu." Luqman menasihati.

Nadzmi melarik senyum. Dia sangat bersyukur kerana mendapat rakan yang baik seperti Luqman. Begitu jugalah Cik Azimah, yang saban hari memberikannya semangat untuk meneruskan hidup meskipun perlu melalui banyak ujian yang mendatang. 

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status