Share

Jejak Jiwaria [Bahasa Malaysia]
Jejak Jiwaria [Bahasa Malaysia]
Author: Feek Adeen

Prolog

Tahun 1992

10.02 PM

Kekunci aksara mesin taip jenama Olivetti ditekan laju tetapi tertib, lelaki itu mahir menggunakannya. Secawan kopi bersebelahan mesin taipnya dibiarkan sahaja, kopi yang asalnya panas tadi sudah sejuk ditiup angin kipas siling. Dia juga tidak memesan minuman panas itu cuma isterinya sahaja yang kasihan melihat dia bertungkus lumus menyiapkan manuskrip untuk novel terbarunya. Ada tarikh akhir yang perlu dia kejar.

"Abang Megat tak tidur lagi?" Tanya isterinya, entah bila sudah berada di sisinya. Dia tidak perasan.

"Mah tidurlah dulu, masih banyak lagi kerja yang abang perlu siapkan ni." Jawab Megat sambil tangannya masih ligat menekan kekunci aksara mesin taip.

"Mah masih belum mengantuk. Mah buatkan abang air kopi yang baru ya?" Pinta Salmah apabila terpandang air kopi yang dibuatnya sejam yang lalu itu masih belum terusik sedikit pun. Pasti sudah sejuk.

Suaminya hanya mengangguk tanpa melihatnya. Sebetulnya dia ada perkara yang nak bincangkan dengan suaminya tapi dia faham benar perangai suaminya yang tidak suka diganggu ketika membuat kerja lagi-lagi jika kerjanya itu melibatkan manuskrip novel. Mata pencarian utama suaminya. Niatnya itu terpaksa ditangguhkan dahulu.

Salmah segera pergi ke dapur membawa cawan kopi yang tidak berusik itu akan digantikannya dengan yang baru.

"Mah anak kita dah tidur?" Tanya Megat yang sudah berada di pintu dapur. Mengekori isterinya dari belakang. Rasa bersalah muncul dalam hatinya apabila bersikap acu tak acu dengan isterinya tadi. Terlalu hanyut dengan kerjanya.

"Sudah... awal lagi mereka masuk tidur, penat sangat bermain petang tadi." Jawab isterinya seraya membawa kopi panas untuknya, diletakkan di meja. Megat juga bergerak ke arah meja tersebut.

Fikiran Megat kembali teringat anaknya dua orang itu, satu lelaki dan satu perempuan. Terlalu lama dirasakan tidak bermain dan bermanja dengan mereka, walaupun mereka tinggal sebumbung. Tanggungjawab sebagai Ayah terasa diabaikan secara batin walaupun secara zahir dia tidak pernah mengabaikannya.

"Rasanya mereka masih marah lagi dekat abang tak?"

"Biasalah budak-budak bang. Hari ini merajuk esok-esok OKlah tu. Cuma si abang tu rajuknya masih ada, bercampur dengan rajuknya yang dulu." Jawab isterinya yang sudah duduk bersebelahan dengannya.

Dia teringatkan peristiwa pagi kelmarin, anak-anaknya merajuk apabila dia tidak dapat membawa mereka bersiar-siar ke Zoo Negara. Salahnya juga yang membuat janji, bukan sekali dua tapi banyak kali sudah janji yang dibuatnya tidak ditunaikan. Budak-budak jangan dibuat janji jika tidak pasti dapat dituruti, fikiran mereka kuat untuk mengingati janji tersebut. Sebetulnya dia juga ingin keluar meluang waktu dengan anaknya cuma dia selalu tertewas dengan masa.

"Bang... Mah nak tanya sikit boleh?"

"Apa dia Mah?"

"Abang ada buat pinjam duit dengan ceti ke?" Tiba-tiba sahaja soalan itu keluar dari mulut Salmah.

"Kenapa Mah tanya? Mereka ada datang sini jumpa Mah?" Kata Megat. Perasaan risau terbit dalam hatinya.

Perkataan 'mereka' itu sudah memberi maksud segala-galanya bagi Salmah. Benarlah suaminya ada meminjam duit dengan ceti.

"Berapa abang pinjam? Abang buat apa dengan duit tu?" Tanya Salmah lagi ingin kepastian daripada suaminya.

"60 ribu... Abang pinjamkan untuk Kamal, dia kata nak buat bisnes. Dia guna nama abang, sebab dia kata nama abang orang kenal senanglah nak buat pinjaman." Megat berterus terang.

"Kenapa Mah tidak tahu?" Tanya Salmah. "Abang terlalu percayakan sahabat abang tu. Abang tahu tak sudah masuk lima bulan dia tak bayar ansurannya. Sekarang abang yang jadi mangsa." Luahnya lagi.

Salmah risau akan keselamatan suaminya itu malah keselamatan mereka anak beranak juga akan turut terancam dirasakannya.

"Abang tak nak Mah risau, tak sangka pula Kamal tak bayar. Abang tengok bisnes dia tiada masalah." Jelas Megat sedikit kecewa dengan sikap rakannya itu.

Kalau ada masalah pasti Kamal akan ceritakan semua kepadanya. Sudah lama dia kenal dengan Kamal bukan setahun dua malah dari mereka masih di bangku sekolah lagi. Fikirnya dia sudah cukup tahu baik buruk sahabatnya itu rupanya dia masih gagal dalam menilai isi hati Kamal. Hati orang bisa berubah-ubah. Ceti itu merupakan pilihan terakhir mereka setelah proposal perniagaan Kamal ditolak bulat-bulat pihak bank. Mereka tiada pilihan lain.

"Ceti tu ada cakap apa-apa lagi dekat Mah?" Tanya Megat lagi.

Tuk! Tuk! Tuk!

Belum sempat Salmah menjawab soalan suaminya mereka sudah dikejutkan dengan bunyi ketukan kuat dari arah pintu depan rumah mereka. Suami isteri itu bergegas menuju ke ruang tamu.

Megat memulas tombol pintu rumahnya, membuka sedikit pintu tersebut. Kelihatan seorang pemuda berdiri di depan pintu rumahnya.

"Bos nak jumpa kau sekarang." Arah pemuda tersebut pada Megat.

Megat mengalihkan pandangan matanya ke arah kereta di luar rumahnya. Tahulah dia bos yang dimaksudkan pemuda itu.

"Mah abang keluar sebentar ya. Abang nak terangkan semuanya pada ceti tu." Megat meminta izin dengan isterinya, masalah ini perlu diselesaikan segera.

Salmah berat hati hendak melepaskan suaminya itu. Lama baru dia mengangguk. Anggukannya lemah. Megat faham riak wajah kerisauan yang terpampang di wajah isterinya.

"Mah jangan risau ya. Kejap lagi abang balik. Mah tolong tengok-tengokkan anak kita tu." Pesan Megat.

Megat melangkah keluar mengikuti pemuda di hadapannya menuju ke arah kereta yang diparkirkan di depan rumahnya. Salmah hanya memerhati kereta itu dari muka pintu rumahnya sebelum kereta tersebut bergerak perlahan bersama suaminya meninggalkan kawasan rumah mereka. 

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status