Share

PELAJAR TERUNGGUL (BAHASA MALAYSIA)
PELAJAR TERUNGGUL (BAHASA MALAYSIA)
Author: Iqmal Izzat

BAB 1 PT

Hari yang paling dinanti-nantikan oleh Zain akhirnya tiba. Sememangnya setiap minggu, itulah hari yang paling disukainya. Sebab yang pertama adalah kerana hari Jumaat digelar penghulu segala hari ... penuh keberkatan dan kerahmatan daripada ilahi. 

Sebab yang kedua pula adalah kerana sesi persekolahan pada hari tersebut adalah sedikit singkat daripada hari lainnya, jadi bolehlah dia pulang awal ke rumah dan pergi ke masjid awal. Namun, hari Jumaat kali ini lebih istimewa kerana ia adalah hari terakhir persekolahan.

Di kelas 6 Beta, kelihatan suasananya sedikit riuh rendah dengan pelbagai gelagat pelajarnya. Ketika itu pelbagai ragam dapat dilihat. Ada yang bergosip, bermain kad, ada juga yang bergurau senda, malah siap ada yang menyanyi! 

Begitulah keadaannya apabila tiada guru di dalam kelas. Mereka memang terlihat seronok meskipun keputusan UPSR mereka ada yang lulus dengan cemerlang, setakat lulus dan gagal pun ada! Ada juga yang kelihatan monyok sahaja. Tidak tahulah mengapa, mungkin dia gagal UPSR kut. 

"Zain!" Ramlee menyiku perlahan rakan meja sebelahnya yang sedang rancak berbual bersama rakan di sebelahnya. 

"Apa?" Zain lantas menoleh bersama sedikit kerutan di kening sabitnya.

"Tahun depan kau sekolah menengah kat mana?" Ramlee bertanya mahu tahu.

"Sekolah mana lagi, sekolah bintang unggul itulah. Kenapa kau tanya?" Zain menjungkit kening merenung Ramlee, menantikan alasan daripada rakannya itu.

"Oh ya ke, aku ingatkan kita sama sekolah tahun depan, sebab aku dapat sekolah kat taman sebelah tu, hmm ... sunyilah aku, kita lain sekolah." Lancar kata-kata berbaur secalit perasaan pasrah itu ditutur. 

"Ala, tak payahlah nak pasrah sangat Ramlee oi ... Kita rumah sebelah je pun, bukannya duduk lain taman perumahan. Kau ni ..." Itu kalimat Zain seterusnya. 

Ramlee menyeringai. Ada benar juga telahan Zain, mereka tinggal rumah bersebelahan sahaja, setiap hari menghadap muka yang sama. Kadang-kadang rasa jemu pun ada. 

                           ***

KRING! 

Loceng berbunyi menandakan waktu rehat sudah bermula. Kantin yang tadinya lenggang mula dibanjiri oleh murid-murid yang datang menyerbu. Masing-masing mahu membeli makanan bagaikan sudah tidak makan seminggu. 

Tidak menang tangan mak cik kantin melayan tetapi kerana hari ini adalah hari terakhir persekolahan, maka hari ini sahajalah dia akan mengadap para pelajar yang kelaparan ini. Esok dia sudah boleh mula berehat, yeah!

Pasti mak cik kantin ini akan bersorak seperti budak-budak apabila habis bekerja nanti. Kah, kah, kah.

"Wah, awalnya kau orang berdua makan. Bukannya nak tunggu aku, sudahlah beratur tadi panjang gila," Kazirul menegur Zain dan Ramlee yang sedang makan dengan penuh berselera. Pinggan mee goreng beserta secawan milo ais yang baru dibelinya diletak di atas meja bersebelahan. 

"Alahai Kazirul, janganlah merajuk. Alang-alang sampai awal, kita orang beraturlah cepat-cepat. Kalau nak tunggu kau, nanti habislah kita orang kelaparan sampai habis sekolah," Zain cuba memujuk namun suapan nasi ayam masih diteruskan. 

"Weh, nanti cuti sekolah, apa yang kau orang nak buat?" Ramlee bertanya menukar topik. Risau juga pertikaman lidah akan tercetus diantara mereka berdua.

"Mestilah akan pergi makan angin! Setiap kali cuti sekolah hujung tahun, keluarga aku mesti akan pergi melancong. Tapi tahun ni aku rasa nak balik kampung sajalah kut, manalah tahu, bila tengah melancong tiba-tiba esoknya kena orientasi," ujar Zain lalu menghirup secawan milo yang masih penuh. 

"Tapi aku rasa tahun ni kau tak payahlah pergi bercuti mana-mana. Nak tahu sebab apa? Sebab kau terlupa satu benda," Kazirul tiba-tiba menyampuk.

"Benda apa? Masuk pertandingan mewarna? Berpantun? Buat Tik-Tok? Berjoget depan rumah jiran?" Zain cuba meneka. Namun bagi setiap aktiviti yang disebutnya, Kazirul hanya menggelengkan kepala. 

"Kau dah lupa? Engkau kan dah kantoi belum sunat lagi dengan awek kau. Kau tak ingat? Jadi maknanya cuti sekolah nanti kenalah pergi bersunat. Tak akanlah dah sekolah menengah pun masih tak bersunat lagi, malulah ..." Kazirul akhirnya mengingatkan perkara yang Zain sudah terlepas pandang. 

"Sunat?" Zain menelan liur yang terasa kelat sebelum menyambung bicara.

"Ala, apa masalahnya. Ada je orang sudah habis sekolah menengah baru bersunat. Lagipun bab ni jatuh nombor dua. Apa yang penting, tahun ni aku nak bersantai-santai. Kalau tak bersunat pun tetap boleh masuk sekolah menengah juga," Zain pantas memberi alasan, bijak memberi hujah. 

"Ala, bunyinya macam penakut saja. Aku tahulah kau suka berdalih dengan ayah kau kalau bab ni. Tapi manalah tahu balik sekolah nanti kau terus kena sunat. Aku tak tahu," Ramlee memandang dengan renungan sinis seolah-olah mengejek. 

"Eh kau, aku bukan penakutlah. Lagi satu, ayah aku setuju nak bawa aku balik kampung tahun ni dan tangguhkan aktiviti menyakitkan tu," balas Zain. 

"Yalah, aku cuma cakap je. Tapi kalau jadi betul-betul, kau jangan marah aku pula ya," kata Ramlee, kemudiannya meneruskan suapan nasi ayamnya. 

                           ***

Loceng sekolah berbunyi menandakan waktu persekolahan sudah tamat. Para pelajar bersorak keriangan termasuklah Zain. Mana tidaknya, cuti sekolah secara rasminya telah bermula. 

Pelajar tahun enam bersalam-salaman dengan guru-guru kemudiannya menatap sekolah itu buat kali terakhir. Setelah puas, mereka terus melangkah pergi, bercuti selama enam minggu sebelum masuk tahun baru. 

Zain melangkah menuju ke pintu pagar sekolah. Ayahnya yakni Encik Arsyad sudah tercegat di situ. Kening Zain terjungkit, jarang-jarang Encik Arsyad datang mengambilnya ketika pulang sekolah. Mungkin sebab hari terakhir sekolah kut. Fikir Zain.

"Aik, kenapa ayah ada kat sini?" Soalan itu terus diajukan sebaik Zain mendapatkan ayahnya.

"Ambil kamulah. Tak akanlah ayah nak ambil cikgu kamu pula," Encik Arsyad menjawab spontan. 

"Sudah, jom masuk kereta cepat. Ayah ambil kamu sebab ayah nak bawa kamu berjalan-jalan sekejap," kata Encik Arsyad ketika beriringan ke kereta bersama Zain.

"Hah? Ayah nak bawa pergi mana? Hari ini kan hari Jumaat. Lagipun tak akanlah tak nak bagi Zain balik mandi, tukar baju dulu. Zain tak biasalah pergi jalan-jalan pakai baju sekolah." Raut wajahnya terbias tanda tanya.

"Ala, bukannya ke mana, satu tempat je, kat situ orang tak peduli pun kamu pakai baju apa. Tapi kamu kena berjiwa kental sahajalah bila sampai sana," ujar Encik Arsyad sambil menghidupkan enjin kereta.

"Iyalah, pergi mana?" Zain bertanya lagi tatkala pertanyaannya masih belum terjawab.

"Tengok je nanti ..." 

                           ***

Zain keluar dari perut kereta dengan mata yang kemerah-merahan kesan menangis kesakitan dibius semasa di klinik tadi. Serentak itu, dia menyemat ikatan kain pelikat yang dipakainya melangkah masuk ke dalam rumah. 

Puan Siti yang sedari tadi menunggu kepulangan anaknya lantas mendapatkan anaknya apabila dilihatnya Zain pulang dengan memakai kain pelikat dan berjalan sedikit terencot-encot. 

"Zain, kenapa mata kamu merah ni. Kenapa pula kamu balik sekolah pakai kain pelikat?" Puan Siti sudahpun melutut, memadai ketinggian Zain sambil memegang kepala anaknya itu dengan kedua-dua belah tangannya. 

"Ayahlah," Zain melirik ayahnya. Kesakitan yang dialami terasa berbisa kerana kesan ubat bius sudah hilang.

"Lailahaillah ... Abang, kan saya dah cakap semalam, kalau nak bawa Zain  bersunat, bawa masa hari cuti, bukan selepas dia balik sekolah," kata Puan Siti pada suaminya.

"Nak tunggu cuti, entah-entah Zain dah lari siap-siap. Lagipun alang-alang abang cuti hari ni, abang bawalah. Nanti lagi banyak pula alasannya. Awak kena ingat, anak awak tu dah besar, malu dengan jiran-jiran, saudara mara, kawan-kawan dengan orang masjid," Encik Arsyad membebel mengalahkan isterinya. 

"Saya tahu, tapi Zain ni baru balik sekolah, penat. Lepas tu kena pula sunat, kasihanlah dia. Lagipun awak juga yang kata mahu ayah awak sunatkan dia kan? Ha sudahlah, batalkan dinner kita malam ni, saya nak jaga Zain," Puan Siti pula membebel. 

"Mak, sakitlah mak ..." Zain mengadu. Kesakitan yang dialami masih berbisa.

"Iya, mak tahu. Pergi naik bilik, berehat dulu ya," Puan Siti mengusap kepala anaknya. 

Zain melangkah naik ke biliknya secara berhati-hati. Puan Siti mendapatkan suaminya bersama renungan mata yang tajam.

"Abang, mana ubat dia? Biar saya yang jaga. Mesti dia merajuk dengan abang tu," tanya Puan Siti sambil menghulur tangan, meminta ubat Zain.

"Ala, nanti dia okeylah tu." Selamba nada suara Encik Arsyad. Dia tidak kisah anaknya mahu merajuk dengannya ataupun tidak, asalkan bab bersunat, setel.

Satu beg plastik berisi ubat dihulur. Puan Siti mengambilnya lalu menarik muka, melangkah masuk ke dalam rumah. Encik Arsyad melepaskan segumpal keluhan sebelum melangkah masuk ke dalam rumah.

Encik Arsyad terus menghempaskan tubuhnya di sofa empuk lalu mencapai alat kawalan televisyen. Sekali tekan terus menyala. Selamba.

Zain menanggalkan kain pelikat yang dipakainya, kemudian dia berbaring. Sebelum itu dia menutup pintu bilik, risau kakaknya ternampak dirinya yang berseparuh telanjang itu.

"Masin pulak mulut kau ya Ramlee, masin sangat ..." Zain mengetap gigi. Tidak pasti sama ada menahan sakit mahupun geram terhadap Ramlee. 

"Tak apalah, bila aku dah terbaring kat sini, kau tak bolehlah main bola dengan aku petang ni. Mainlah kau seorang diri. Masin sangat mulut tu kan," Zain mengomel sendiri sambil merenung siling.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status