Share

Dua puluh dua

Hidup ini bak air laut.

Bergelora dan bergelombang lalu menghempas pantai. Namun, ia tidaklah percuma sia. Ada hidupan air ia muntahkan ke gigi pantai.

Engkau akan mengerti jika engkau menyelami makna di sebalik 'semata'.

MENTARI pagi menyinari alam. Seusai selesai menunaikan kewajipan, manusia bersaing dengan hidupan lain untuk menangguk secupak rezeki.

Akan tetapi, ia tidak terjadi terhadap keluarga Pak Haris. Dia dan Hilman sudah terpacak di hadapan balai polis seumpama pokok padi.

"Pak cik dan Hilman boleh masuk dulu. Kami akan ambil keterangan yang selanjutnya pasal laporan ini."

Kedua-dua mereka mengangguk serentak sebelum memasuki ruangan dalam.

Mereka menceritakan perihal mengenai Mior - mangsa yang diyakini telah hilang tanpa jejak. Pelbagai persoalan ditanyakan kepada mereka dan dengan penuh bersemangat kedua beranak itu menerangkannya.

Begitu juga halnya dengan dua lagi individu yang hilang - Pak Hanif dan Hifza.

Setelah hampir sejam lebih laporan mereka dicatat, para kakitangan keselamatan tersebut mula membuat persediaan.

"Baiklah, Pak Haris. Kami akan cuba siasat dan cari Mior, Pak Cik Hanif dan Hifza sampai dapat. Pak cik dan Hilman, jangan risau. Okey?"

"Terima kasih, Inspektor Syakir. Kami akan tunggu perkembangan daripada pihak tuan. Semoga semuanya berjalan dengan lancar."

"Insya-Allah. Aamiin. Pak cik dan Hilman, baliklah dulu. Berehat. Kalau ada apa-apa yang mencurigakan, boleh laporkan terus kepada pihak kami."

Mereka berdua mengangguk dan bersalaman sebelum berlalu pulang dari situ.

Sesampainya mereka di hadapan rumah, Pak Haris duduk termenung di atas tangga sambil melihat luasnya laut biru yang terbentang.

"Ayah janganlah risau. Kita perbanyakkan saja berdoa agar Pak Cik Hanif, Hifza dan Abang Mior ditemui secepat mungkin dalam keadaan yang selamat..."

"Aamiin. Tapi Man, ayah rasa tak sedap hatilah. Macam ada sesuatu yang buruk terjadi dengan salah seorang daripada mereka. Ayah takut."

"Ayah..." Hilman memeluk bahu si ayah. "Tak payah layankan sangat semua tu. Ayah terlalu risaukan dia orang, itu sebab terlintas yang bukan-bukan di fikiran. Hm. Nanti tak pasal-pasal ayah sakit pulak."

"Ayah bukan apa, Man. Ayah tak mahu kehilangan satu-satunya adik dan anak buah ayah. Cukuplah ayah hilang mak kamu dahulu, Man."

Suasana dipenuhi tangisan sendu. Memori silam pula sempat menguak tirainya. Kenangan pahit itu menjengah ke dalam bayangan. Akan tetapi, lelaki tua berkenaan menepis ia agar tidak bertambah larut dalam kedukaan.

"Dahlah tu, ayah. Mari kita naik ke atas. Hari macam nak hujan ni."

Pak Haris menurut sebelum Hilman memimpin tangan si ayah tercinta untuk beristirehat.

*****

BUNYI sebuah kenderaan air telah mengganggu 'lena' sehingga menyebabkan Mior terpancing untuk membuka kelopak matanya.

Langit biru. Itu yang pertama dia nampak sebaik mata tercelikkan. Kulitnya terasa berbahang kerana disimbahi teriknya lampu alam tersebut.

"Baguslah kalau kau dah bangun, Mior. Ha. Macam mana, sedap tak kau tidur atas bot? Haha."

Leo menyapa Mior dengan senyuman mengejek. Mangsa yang dia ikat itu, dibiarkan terlentang di tengah-tengah bot tanpa bumbung.

Manakala, dia pula berada di tempat pengemudi yang elok beratap.

"Kau ni siapa sebenarnya? Kau nak bawa aku pergi ke mana ni?"

"Well... aku nak bawa kau berjumpa dengan bos aku. Lepas saja aku bagi kau pada dia, aku akan dapat ganjaran yang membuatkan aku tak perlu bersusah-payah untuk kerja lagi."

Dahi Mior bergaris. Dengan keadaan kedua tangannya terikat ke belakang, pergerakannya terbatas lagikan sukar.

"Siapa bos kau, ha? Apa pulak kaitan aku dengan bos kau?"

"Kau tak ingat apa yang jadi berbelas tahun yang lepas?"

Soalan berkenaan menyebabkan si mangsa berusaha mencungkil isi dalam kantung memori.

Sudah puas mencuba, namun tiada apa-apa yang dia ingat.

"Apa yang jadi pada waktu tu? Ak... aku langsung tak ingat-"

"Tch. Kau jangan nak main drama dekat sini. Aku takkan tertipu punyalah."

"Aku cakap benda yang betul. Aku tak ingat apa-apa. Sedangkan nama sebenar aku pun, aku tak tahu."

Leo mula berasa hairan. Benaknya dijentik dengan sebuah keanehan.

"Betulkah kau tak ingat siapa diri kau sebelum-sebelum ni?"

Mior menggeleng.

"Aku tak tahu asal-usul aku. Ada seorang nelayan temui aku dalam jala ikan dan bawa aku balik ke rumah dia. Semua peristiwa yang terjadi kepada aku sebelum ini... aku langsung tak ingat."

'Aik? Jangan kata yang Mior ni... hilang ingatan pulak? Hmm... tapi kalau betullah dia tak ingat apa-apa, lagi senanglah kerja aku. Haha.'

Leo tersenyum sinis. Ada sebuah rencana yang dia susun atur di fikiran.

"Tak apalah kalau macam tu. Nanti bila kita dah sampai di Pulau Batu itu, kau akan tahu siapa diri kau yang sebenarnya. Tapi kalau kau tak dapat nak ingat pun, rasanya... itu lebih baik."

"Pulau... Batu?" Kepala Mior perlahan diserang denyutan yang kian perit.

"Jangan banyak tanya. Kau duduklah diam-diam. Aku malas nak habiskan air liur aku untuk layan kau berborak. Selesai saja semuanya, aku dah takkan masuk campur lagi. Pandai-pandailah kau hidup lepas ni."

Leo meningkatkan daya kelajuan bot sehingga menyebabkan tubuh Mior tergolek-golek.

Dia sengaja melakukan ia untuk menghiburkan hati.

*****

BAM!

Hentakan padu pada permukaan meja mengejutkan mereka semua yang berada di ruangan tersebut.

"Tak guna! Macam mana dia orang boleh terlepas? Bukankah aku dah suruh kau orang tengok-tengokkan budak berdua tu, semalam? Aish!"

"Maafkan kami, tuan-"

"Maaf, ya?" Kapten Naz mengacukan pistolnya sambil mula menarik perlahan picu ke belakang.

Fiuh!

Kesemua anak buahnya terangkat bahu dek terperanjat dengan tembakan rambang itu.

Mujur tak ada sesiapa yang kena.

"Aku tak nak dengar kata maaf kau orang. Aku nak budak dua orang tu. Kalau kau orang tak dapat tangkap, aku akan bunuh kau orang satu-persatu!!"

Dengan kelam-kabut, pasukannya bergegas berpecah untuk mencari jejak D dan juga Hifza. Jika tidak, hayat mereka akan dipendekkan.

Berang Kapten Naz pula memuncak.

Tidak tahu mengapa, tetapi firasatnya menyatakan bahawa anak muda yang dia tawan tadi merupakan 'sesuatu' yang cukup berharga. Dia tidak pasti apa. Mungkin saja individu berkenaan tahu akan selok-belok rahsia.

Yang lebih dia khuatirkan kalau-kalau pemuda tersebut adalah 'dewa kematiannya'.

******

BEBERAPA bekalan makanan serta barang-barang penting, Lian sumbat ke dalam sebuah beg sandang. Sebuah jam tangan berwarna hitam dia tenung seketika sebelum memakainya.

Sekilas dia berdiri di hadapan cermin dan mengenakan topi hitam. Selepas itu, dia keluar dari kamar.

Dia menapak turun ke tingkat bawah. Kelihatan Albert sudah berdiri di depan pintu utama.

"Selamat pagi, Lian. Kamu dah nak mulakan siasatan?"

Lian tersenyum.

"Ya, pak cik. Lian tak nak tunggu lama-lama lagi. Dengan maklumat yang pak cik berikan pada saya, saya akan cuba sehabis baik untuk temukan anak tunggal pak cik."

Mata Albert serta-merta berkaca.

"Terima... kasih, Lian. Pak cik terharu..."

"Lah. Pak cik janganlah sedih pulak. Nanti, tak jadi pulak saya nak keluar."

Lelaki tua itu tersenyum tipis.

"Yalah. Pak cik dah tak menangis lagi dah. Hehe."

"Ha, okeylah. Saya pergi dulu."

Albert teringat akan sesuatu lantas menahan tubuh si anak muda.

"Lian, tunggu kejap."

Lian berpaling.

"Kenapa, pak cik?"

"Kalau anak pak cik tu adalah perempuan, kamu nak tak jadi menantu pak cik?"

Membulat mata Lian tatkala mendengarkannya.

"Erk?"

"Kalau kamu naklah. Kalau tak nak pun, pak cik tak paksa. Pak cik sedar, mungkin kamu ada pilihan hati sendiri..."

"Err... macam mana saya nak cakap, eh? Saya minta maaf sangat-sangat pada pak cik. Say... saya belum terfikir lagi nak berkahwinlah-"

"Oh, okey. Tak apa. Pak cik faham."

Lian menggaru belakang kepalanya. Serba salah mula merantai diri.

"Saya minta maaf lagi sekali, pak cik."

"Alah, tak apa pun. Lagi pula pak cik sendiri pun tak tahu, anak pak cik tu lelaki atau perempuan. Hahaha. Pak cik terlalu berangan-angan pulak."

Hal itu membuatkan kedua mereka tertawa bersama.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status