Share

Dua puluh lapan

Kalau benar hidup ini adalah sebuah percaturan, maka kini tiba saatnya untuk bertempur.

Tetapi... andai kata diri sendiri tidak mampu untuk menghadapinya, lebih baik ditinggal pergi.

Sudah pasti diri tidak sanggup. Bukan?

Kerana tunjang bahananya adalah sebuah perpisahan.

Mahu tidak mahu, hidup kena diteruskan dengan kata 'tanpa'.

SAYUP-SAYUP kedengaran suara seseorang yang memanggil namanya. Disebabkan hal itulah dia terjaga.

"Pak Cik Mior? Pak cik dah sedar? Alhamdulillah."

Tubuh pesakit itu bergerak perlahan dek kesakitan di kaki kirinya. Ada pula tompokan darah berbekas pada balutan tersebut.

"Cakap dengan D, pak cik. Kenapa dengan kaki pak cik ni? Cedera pak cik sangat teruklah. D risau."

Mior cuba berduduk sambil dibantu oleh si anak angkat. Tubuhnya disandarkan di kepala katil berlapikkan bantal.

"Mari dekat sini."

D kehairanan. "Kenapa, pak cik? Pak cik nak apa-apa? Makan? Minum?"

Mior menggeleng. "Tak. Cuma pak cik nak kamu rapat sikit dengan pak cik. Pak cik nak bagitahu sesuatu ni."

Remaja tersebut sangat teruja lantas berdiri dekat dengan pak ciknya seraya merapatkan kepala.

"Pak cik nak bagitahu apa?" soalnya lagi sebelum sebuah tamparan separa kuat dia rasai.

Pak.

"Adoi, pak cik ni. Kenapa pukul D? D salah apa dengan pak cik? Sakit tahu tak?" adunya lagi sambil menggosok tempat yang sakit itu.

"Tahu pun kamu itu sakit. Pak cik kan dah kata, jangan cuba pergi ke Pulau Batu itu. Tapi kamu degil. Nah, mendapatlah 'hadiahnya'," bicara Mior lagi.

Dia geram dengan kedegilan anak angkatnya itu.

Orang menegah, tidak mahu dia mendengarkan. Sekarang, rasakan betapa 'enaknya' penangan si pak cik. Sudah cukup dia memeram kesabaran. Degilnya bukan main lagi.

Mujur saja dia dalam keadaan cedera. Jika tidak, memang merayaplah si anak angkat itu dia kerjakan.

"Ah, pak cik ni. Itu pun nak marah. Siapa suruh pak cik tak bagitahu akan hal sebenarnya pasal pulau tu pada D? Makanya, D cari tahu sendirilah."

"Pak cik cuma mintak tolong dengan kamu untuk hantarkan barang itu. Yang kamu sibuk-sibuk nak pergi ke pulau tu, pasal apa? Dari mana kamu tahu?"

D kembali menghenyakkan punggung di sebuah kerusi di tepi katil.

Walaupun dirinya masih dalam keadaan sakit serta wajahnya sedikit lebam, tetapi dia tetap setia menemani si pak cik.

Rindu ingin bersilat suara sebenarnya.

"Huh. Bungkusan yang pak cik suruh hantarkan ke alamat itulah puncanya-"

"Amboi. Sesedap rasa saja kamu nak menuduh bungkusan itu pulak puncanya. Padahal, mungkin saja kamu yang tak amanah ni. Betul, kan?"

D tersengih sambil mengangkat dua jari tanda 'peace'.

"Tengok tu, kan. Aish. Budak ni."

Pap.

Sekali lagi mendarat telapak tangan Mior di bahu kanan D.

"Alah, pak cik ni. Rumah tu tak ada penghuninya. Sebab itulah D bawak balik sampul tu. Lagi pulak kalau D tak selongkar apa isinya, D takkan pernah tahu akan kewujudan dan tragedi di sebalik tempat tu."

"Pak cik tak nak kamu tahu pasal Pulau Batu sebab pak cik tak nak kamu dalam kesusahan. Kamu sajalah keluarga pak cik, D. Walaupun sekadar anak angkat, tapi pak cik tetap sayangkan kamu. Pak cik risaukan kamu. Contohnya, macam sekarang inilah. Syukur kita semua masih hidup tau."

Ingatan Mior kembali pulih sepenuhnya. Masih terbayang dan terngiang segala macam peristiwa yang berlaku sebelum-sebelum ini terhadap dirinya.

Dia seolah-olah diberi nyawa kedua rasanya.

"D mintak maaf, pak cik. D tahu, D salah. Tapi pak cik kan tahu yang D bercita-cita nak menjadi superhero masyarakat? Itu pasallah D rasa tercabar."

Kepala anak muda itu ditolak perlahan.

"Kamu ni kan, degil betullah. Sepadan sangat dengan gelaran kamu. D untuk degil."

"Darul Dhizwarlah, pak cik. Bukan 'Degil'. Sampai hati pak cik, kan? Haha."

"Ah. Peduli apa, pak cik? Memang kamu itu spesies kepala batu sungai."

"Haha. Pak cik ni, dahlah tu."

Mior menjelingnya.

"Masih banyak lagi yang pak cik nak marahkan pada kamu ni, D."

Mata D membulat. "Aik? Pasal apa lagi tu, pak cik? Sudah-sudahlah tu..."

"Pasal telefon kamu tulah."

Kening kiri D terangkat. "Maksud pak cik?"

"Lain kali kalau tak nak angkat call dan balas mesej pak cik, baik direbus saja handphone kamu tu. Lepas tu, minum air dia. Huh!" Jari Mior sempat memulas telinga D.

"Aduh, pak cik. Sakitlah!"

"Tapi tak sesakit hati pak cik ni yang melayan kedegilan kamu tu, ha. Pak cik potong kaki kamu, baru tahu."

D lantas berdiri seraya menjauhi katil. Telinganya masih digosok demi menghilangkan perih.

"Pak cik jahat!"

"Kamu baru tahu?"

Tidak lama kemudian, kedua mereka tertawa kecil.

"Ha. Sebelum pak cik lupa. Kamu ada berhutang dengan pak cik. Banyak pulak tu."

"Hutang? Hutang apa pulak tu, pak cik?"

"Kamu belum lagi ceritakan pada pak cik, macam mana kamu pergi ke Pulau Batu dan apa sebenarnya yang terjadi dekat sana?"

D mengangguk faham. "Oh, pasal itu. Okey, D ceritakan tapi esok pagilah. Sekarang ni, dah lewat malam. D nak balik ke bilik D dulu."

Mior sedikit kecewa tapi dia tampal ia dengan senyuman manis.

"Yalah. Kamu pergilah balik ke bilik kamu. Esok, kita sambung cerita lagi."

D membalas senyuman itu seraya berlalu keluar.

Beberapa ketika, Mior menepuk dahi.

'Hadeh. Aku lupa nak tanya D, siapa mereka yang berkot hitam tu dan kenapa dia dipanggil dengan gelaran 'tuan muda'? Hm. tak apalah.'

*****

TREK.

Bunyi langsir ditarik kedengaran. Gadis itu terjaga daripada lenanya yang cukup panjang.

"Tch..." Dia sempat berdecit gara-gara sakit yang dia rasai.

"Adik dah bangun? Macam mana adik rasa sekarang? Ada sakit di mana-mana? Kalau ada, bagitahu pada akak."

Si pesakit memegang kepalanya. Dia teraba-raba akan sesuatu.

"Akak, boleh pinjamkan saya tudung? Saya tak selesalah kalau tak pakai tudung."

Jururawat yang bertanda nama Anita itu tersenyum dan mengangguk.

"Oh, boleh. Sekejap akak pergi ambil. Adik tunggu tau."

Sementara itu, dia cuba menyelesakan tubuhnya untuk berduduk. Mujurlah tiga katil di situ tidak berpenghuni. Kalau tidak, sudah tentu dia berasa malu dalam keadaan sebegitu.

Apatah lagi kalau ada pelawat atau petugas kesihatan lelaki. Tak dapat nak dia bayangkan malunya macam mana.

Dia juga berharap semoga orang-orang yang merawatnya sebelum ini adalah golongan wanita.

Sangat berharap.

"Nah. Ini dia tudungnya, dik. Akak ada sertakan sekali dengan beberapa getah rambut."

"Terima kasih, Kak Anita. Nanti saya pulangkan."

"Tak apalah, dik. Itu semua akak bagi. Anggap saja sebagai tanda perkenalan kita."

Hifza tersenyum senang. Dia menarik separuh langsir tersebut untuk memudahkan dia menutup auratnya. Setelah selesai, dia berlalu ke bilik air dengan berhati-hati.

Tidak lama kemudian, dia kembali duduk di birai katil sambil membuang pandang keluar tingkap.

'Macam manalah aku boleh berada di hospital ni? Siapa yang selamatkan aku?' soalnya sendiri.

Tiba-tiba, dia terbenak akan sesuatu.

'Budak D itu? Dia ke yang selamatkan aku? Di manalah dia sekarang, ya? Aku berharap sangat dia baik-baik saja. Terlalu banyak hutang budi dan nyawa aku dengan dia...'

"Adik, masa untuk makan tengah hari."

Anita masuk ke ruangan itu sambil membawa dulang makanan sekali gus melenyapkan persoalannya tadi.

Hifza yang kelihatan pucat dan lemah itu hanya mampu mengangguk sambil tersenyum.

"Terima kasih lagi sekali ya, kak."

"Sama-sama. Makan bagi habis tau. Akak tengok muka adik pucat sangat. Badan adik pun ada luka-luka kecil. Risau akak."

"Baik, akak. Saya makan dulu."

"Sila-sila. Bismillah." Sempat misi itu berkata sedemikian sebelum keluar dari sana.

Si gadis merenung rezeki yang berada di hadapannya. Fikiran pula telah menerawang ke 'atmosfera' semasa di Pulau Batu.

Dia masih ingat lagi pada masa itu, dia dan D sangat kebulur. Namun, entah mengapa mereka berdua mampu bertahan hidup beberapa hari di sana.

Bukan itu sahaja. Malah, diri mereka ibarat burung dalam sangkar, tikus dalam lubang, dan juga arnab kecil yang diumpamakan sebagai bahan ujikaji.

Nyawa mereka benar-benar berada di hujung tanduk.

Pelbagai keperitan dan kesukaran yang mereka berdua lalui. Dia sangat-sangat bersyukur kerana kini dia selamat.

Pipinya dibasahi hujan air mata.

Kedua lutut dirapatkan ke dada sebelum menghamburkan tangis di situ.

"Tsk. Tsk."

Dia melayan perasaan seorang diri beberapa ketika sebelum ada sebuah suara yang menusup masuk ke dalam corong deria pendengarannya.

"Tak baik menangis depan rezeki."

Hifza perlahan-lahan mengangkat wajah lalu memandang ke muka pintu.

Ada seorang lelaki yang sedang berdiri di situ.

"D... itu awak, kan?" soalnya untuk sebuah kepastian. Khuatir jika dia tersalah orang.

Bertambah tebal mukanya nanti.

Sedangkan orang di sana pula hanya tersenyum tipis seraya menghampirinya.

"Tak sangka pulak yang kau ni cengeng jugak rupanya."

Hifza laju menghapus air bening tersebut dengan jemari. Dia jadi malu dengan ketidakpekaannya terhadap sekeliling. Kan dah kantoi menangis sendirian.

"Man... mana ada saya... cengeng."

"Habis tu, apa? Jangan bagi alasan yang habuk masuk di mata. Itu dah biasa dengar. Orang dah tak pakai dah."

D bersandar di dinding tingkap tapi masih menghadap Hifza yang duduk di katilnya. Dia kena menjaga jarak. Mereka hanya berdua saja dalam ruangan berkenaan.

Fitnah itu membahayakan. Jadi berwaspadalah hendaknya.

"Err... D. Macam mana kita boleh ada di sini? Siapa yang selamatkan kita?" Pertanyaan tersebut akhirnya dia muntahkan.

Kelihatan D mengangkat kedua bahunya.

"Entah. Aku sendiri pun tak tahu. Kelmarin, aku baru sedar dan aku dah jumpa dengan pak cik aku."

"Oh, alhamdulillah. Baguslah kalau macam tu. Pak cik awak baik-baik saja, kan?"

"Yup. Dia selamat. Cuma kaki kiri dia cedera teruk sebab tertusuk kayu masa jatuh dari bukit."

Penerangan D itu menyebabkan Hifza segera menutup mulutnya yang terlopong.

"MasyaAllah. Dahsyatnya. Kenapa boleh sampai macam tu? Masa tu, pak cik kamu berada di mana?"

Keluhan D terluah spontan.

"Sebenarnya... dia pun berada di sana bersama dengan seorang lelaki yang dia tak kenal. Bot mereka dipukul ombak dan akhirnya mereka terdampar di Pulau Batu."

Hifza mencerna segala maklumat dengan anggukkan.

"Oh, ya. D, macam mana kita boleh berada di sini? Siapa yang selamatkan kita?"

"Entahlah, Hifza. Sampai sekarang, aku masih tak tahu lagi."

"Hmm..." Wajah si gadis tampak mendung. Ada sesuatu yang bersarang di kepalanya.

"Hifza?"

"Ya?"

Pandangan mereka bersabung.

"Aku dah janji, kan yang aku akan tolong kau untuk cari ayah kau? Makanya, selepas saja kita keluar dari sini, aku akan lakukan apa yang patut. Kau jangan risau, okey?"

Gadis itu mengukir senyuman pahit sudahnya.

Bab terkait

Bab terbaru

DMCA.com Protection Status