Share

Dua puluh tujuh

Bangkai tidak boleh dihapuskan dengan cara memakan ia. Akan tetapi dengan kaedah membuang jauh lalu menanam ia agar bau busuknya tidak lagi menyengat deria si penghidu.

Namun begitu, bangkai tetaplah bangkai.

"KALAU kau bergerak, kau akan mati!"

Dirinya terkaku.

Orang tersebut segera menangkap pergelangan si pihak lawan sebelum membantingnya ke hadapan.

"Argh!!" jerit si musuh.

Senjata api dibuang jauh. Kini mereka berdua seri - tanpa apa-apa senjata.

Dia memijak kuat akan paha individu berkenaan.

"Jangan pernah main-main dengan aku atau kau akan mati!" gertaknya seketika.

"Argh, sa... sakit! Lepaskan aku. Ak... aku janji yang aku... ak... akan pergi dari sini."

"Tak semudah itu aku boleh biarkan kau terlepas. Disebabkan kaulah aku hampir mati katak dekat sini-"

"Ya... maafkan aku. Tapi aku buat tu... sebab terpaksa."

"Sebab?" Pijakan kakinya lebih kuat lagi mengakibatkan orang itu menjerit lantang.

"Argghh! Tolong... jangan pijak lagi. Sakit! Okey, okey. Aku akan bagitahu kau apa sebabnya. Ak... nak tinggalkan pulau ni. Aku dah tak sanggup lagi dengan kekejaman di sini."

Belum sempat orang itu berbicara, bom asap dibaling ke arah mereka menyebabkan kedua-dua mereka terbatuk serta penglihatan mereka terhad.

"Uhuk! Uhuk!"

Tidak lama kemudian, kedua orang lelaki tersebut tidak sedarkan diri.

Kepulan asap tadi perlahan menghilang. Di situ ada beberapa orang yang sedang berdiri sambil lengkap bersenjata api dan juga topeng separuh wajah.

"Bawa mereka naik ke atas kapal. Kemudian, selesaikan penghuni lain di sini," arah seseorang selaku ketua.

"Baik, tuan."

*****

"OH, kiranya Syaz itu adalah salah seorang penduduk asal di pulau ni?"

D mengangguk. Dia sempat mencuri masa untuk menerangkan perkara sebenarnya yang dia alami sejak menjejakkan kaki ke tempat tersebut.

"Aku tak pastilah ia cuma sekadar mimpi atau-"

"Awak menjelajahi masa lampau, D. Hebatnya awak!"

Dahi D berkerut. Dia keliru. Benarkah begitu?

Tiba-tiba, kawasan di sekeliling mereka dipenuhi dengan kepulan kabus tebal. D sempat menarik lengan Hifza lantas menggenggamnya erat.

"Kita cuba bernafas dalam baju."

Belum sempat Hifza berbuat seiring arahan daripada si anak muda, gadis itu terkulai lemah sebelum dia tidak sedarkan diri.

"Hifza, bangun. Uhuk!" Pipi gadis itu dia tampar perlahan.

Sampai satu saat yang tidak dapat D tahan, dia memeluk Hifza dengan erat. Sebab dia sedar bahawa ianya adalah gas tidur.

'Aku ada di sini, Hifza... selalu ada dengan kau.' Begitu bicara hati D seketika sebelum dunianya terasa gelap.

*****

FID tersedar akan sesuatu tatkala dirinya memerhati ke sekeliling. Kanak-kanak serta remaja yang sejak tadi mengawasi gerak-gerinya telah rebah bergelimpangan di lantai tanah.

"Hei, kau orang semua. Bangun!"

Suasana menjadi tidak jelas kelihatan akibat dipenuhi dengan kabus tebal.

"Uhuk! Kabus ini mesti puncanya. Gila! Jangan sampai ada yang sengaja cuba untuk membunuh kami."

Tidak lama kemudian, Fid menjadi orang terakhir yang rebah di situ.

*****

"ADA asap, woi!!"

"Siapa pulak yang nak perdajalkan kita ni?"

"Inspektor Syakir, mari lekas kembali ke atas bot."

"Tak boleh. Saya tak nampak apa-apa."

Keadaan mereka semua termasuk Koby menjadi haru biru. Masing-masing dilanda dengan badai berebutkan oksigen. Sehingga kini, tiada siapa yang dapat tahan bernafas.

Kesemua lelaki di situ pengsan akhirnya.

Kemudian, ada pula suara beberapa orang yang lain sedang berbual.

"Semua dah ada, tuan. Termasuklah lelaki ini."

Seorang lelaki yang tercedera di kaki kirinya menjadi pusat tumpuan mereka semua di situ.

"Dialah orangnya yang kita cari. Ayuh, lekas! Jangan biarkan ketua kita menunggu lama."

"Baik, tuan."

Mereka meninggalkan Pulau Batu selepas misi utama selesai.

*****

PELBAGAI bunyi yang menembusi corong pendengarannya seraya perlahan-lahan dia mencelikkan mata.

"Kamu tak apa-apa? Ada rasa sakit di mana-mana?" Soalan daripada seorang petugas kesihatan itu menyedarkan si anak muda akan sesuatu.

"Aku di mana ni? Di mana Hifza?" D menjadi cemas tatkala kelibat gadis tersebut tidak kelihatan di situ.

"Hifza? Oh, budak perempuan yang berhoodie hitam itu, kan?"

D hanya mengangguk pantas.

"Dia selamat tapi masih tidak sedarkan diri. Dia ada di van belakang kita ni, ha."

D terduduk risau.

'Aku harap kau tak apa-apa, Hifza.'

"Kamu baringlah dulu. Perjalanan kita masih jauh lagi."

"Err... tapi macam mana kami berdua boleh keluar dengan selamat dari pulau tu?" tanya D pula yang dihujani jutaan kebingungan.

"Oh, itu saya tak tahu. Kami cuma dipanggil ke tepi laut lalu melakukan tugas-tugas kami. Kamu boleh tanyakan hal itu kepada pihak polis. Sebab sesampainya team kami di sana, pasukan mereka telah pun bersiap siaga di situ."

Dia semakin kehairanan. Padahal, baru sebentar tadi mereka berada di Pulau Batu. Tetapi kini pula, mereka sudah berada di Bandar Jesselton.

'Apa sebenarnya yang telah terjadi ni?' Soalan itu bergentayangan di halaman benak D.

*****

LIAN muncul di hadapan seorang lelaki. Wajah pemuda tersebut tampak serius sambil merenung tajam si empunya gerangan.

Dia mengikuti perkembangan abang-abang polis itu sehinggalah ke saat ini.

"Eh, Lian? Kamu jugak ada di sini? Mesti kamu dah jumpa anak pak cik, bukan?" Albert dahulu menyapanya ramah. Senyuman manis tidak lekang di bibir.

"Hmm... Lian nak tahu. Siapa sebenarnya pak cik ni?" Si anak muda menyoal pula tanpa berminat untuk menjawab pertanyaan Albert tadi.

Manakala orang tua itu masih setia dengan memahat senyumannya.

"Aik? Kamu cakap apa ni, Lian? Kita kan dah berkenalan."

"Ya, memang betul kita dah berkenalan. Tapi pak cik perkenalkan identiti palsu pak cik. Pak cik ini siapa sebenarnya? Apa yang pak cik nakkan dengan saya?"

Soalan itu dimuntahkannya lagi. Dia inginkan sebuah penjelasan yang kukuh.

Riak Albert menjadi serius. Tanpa garis senyumannya di bibir, individu tersebut tampak bukanlah calang-calang orang.

"Kamu nak tahu siapa saya yang sebenarnya?" Panggilan berubah drastik. Suasana di situ juga kelihatan agak tegang.

"Saya syak pak cik dah tipu saya. Semua penceritaan dan bahan bukti yang pak cik tunjuk pada saya itu adalah pembohongan belaka!"

"Kamu pasti itu, Lian?"

"Saya sangat pasti, pak cik. Tapi saya tak tahu apa agenda sebenar pak cik temui dan minta bantuan saya-"

"Sebab saya kagum dengan kebolehan kamu. Sama macam saya kagum dengan ayah kamu, Lian."

"Sebenarnya, pak cik kenal ayah saya. Betul tak?"

Senyap. Soalan itu tiada berjawab.

Albert mula mengorak langkah menuju ke sebuah ruangan salah seorang yang ditempatkan di sana.

"Pak cik, bagitahu saya. Apa sebenarnya niat pak cik berjumpa dengan saya?"

"Saya fikir, kamu tahu..."

"Firasat saya mungkin benar pasal pak cik tapi ia masih samar-samar."

Langkah Albert terhenti di sebuah bilik pesakit yang sangat eksklusif. Begitu juga dengan si anak muda.

"Hmm. Apa yang samar-samarnya itu, Lian? Cakap dengan saya."

"Tak ada pencuri yang mengaku bahawa dia itu adalah pencuri. Sama jugaklah dengan pak cik."

"Tapi saya bukan pencuri-"

"Pak cik penipu dan pencuri! Pak cik 'mencuri' kisah hidup orang lain untuk dijadikan bahan cerita."

"Saya tak tipu kamu, Lian. Percayalah."

"Percayakan pak cik? Huh! Say-"

"Kamu kenal dengan budak lelaki tu?" Albert memintas ucapan Lian.

Seorang remaja lelaki berambut perang yang sedang terbaring di atas sebuah katil menjadi santapan penglihatan mereka berdua di sebalik pintu berkaca.

"Kali ni, pak cik nak buat apa? Cerita apa lagi yang pak cik nak reka pada saya?"

Albert merenung tajam anak mata Lian menyebabkan lelaki itu cuba melawan pandangannya.

"Dialah anak saya." Albert berlalu setelah mengatakan perkara tersebut.

Lian ditinggalkan dengan timbunan tanda tanya.

Menurut penilaian Lian dari luar situ, ciri-ciri remaja itu persis dengan Albert.

Dia masih bingung dan curiga dengan lelaki tua berkenaan.

'Pelik ni. Aku dapat rasakan yang Albert tu menipu. Tapi kalau betullah dia mereka-reka cerita, jadi apa kaitan budak tu dengan dia? Atau jangan-jangan budak tu memang anak dia?'

Fikiran Lian dikerumuni dengan bala tentera kekeliruan.

Baru sahaja dia ingin menapak masuk ke dalam ruang itu, ada beberapa orang yang lengkap berkot hitam menghalanginya.

"Maaf, encik. Kami diarahkan untuk mengawal bilik ini. Jadi, jika tiada keizinan daripada ketua kami, encik tak boleh sesuka hati masuk ke dalam."

Salah seorang daripada lima lelaki gagah itu bersuara.

Kening Lian terangkat.

"Eh? Kau orang semua ni siapa? Kenapa pulak nak larang saya? Saya cuma ingin melawat teman saya saja."

"Kami semua adalah pengawal peribadi tuan muda. Maaf lagi sekali, encik. Jika tiada keizinan daripada ketua kami, encik tak boleh menemuinya."

"Eh? Pengawal peribadi tuan muda? Okey, baik. Saya faham. Ta... tapi saya nak tahu, siapa pulak ketua kau orang semua ni?"

"Ketua kami tu adalah orang yang sedang berbual dengan encik, sebentar tadi."

Mata Lian membulat.

'Jangan kata yang ketua dia orang ni ialah... Albert!'

*****

"BAGAIMANA keadaan dia, doktor?" soal Albert spontan.

"Oh, pesakit dah mulai sedar. Cederanya tak teruk sangat. Cuma dia masih kena banyak berehatlah."

Albert mengangguk. "Oh, macam tu. Baik-baik. Terima kasih ya, doktor."

"Ini dah jadi tugas saya. Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu."

"Ya," balas Albert ramah sebelum dia berdiri menghadap ke tingkap.

Beberapa saat kemudian...

"Ketua?"

Albert menoleh.

"Kamu dah sedar? Baguslah."

Si pesakit cuba bangun daripada pembaringan seraya bersandar di kepala katil.

"Ini semua mesti kerja ketua, bukan?"

"Hm. Sudah sampai masanya saya munculkan diri dan mengambil kembali hak saya."

"Tapi ketua, saya masih tak dapat selesaikan misi itu. Maafkan saya-"

"Tak. Kamu dah lakukan yang terbaik, L. Saya bangga dengan prestasi kerja kamu. Kamu cekap menjalankan tugas dan tidak pernah terkalahkan dengan perkataan putus asa. Itu saya suka."

"Tapikan... anak ketua-"

"Oh, itu. Kamu jangan risau. Saya dah jumpa dia dan saya dah rancangkan kehidupannya yang terbaik pada masa akan datang."

"Err... dia boleh terima ke semua itu, ketua? Padahal kan sebelum ni, ketua tahu dia tinggal dengan siapa dan cara hidupnya macam mana..."

"Itu kamu tak perlu nak risaukan sangat. Saya tahu nak buat macam mana."

Pesakit tadi hanya mengangguk.

"Oh, ya. Sebelum saya terlupa. Saya dah pun temui anak kamu dan dia amatlah segak."

Orang itu terkaku seketika.

"Anak saya?"

"Yup! Lian tu persis macam kamu, L."

Individu yang dikenali sebagai L itu diam membisu. Dia tenggelam dalam pusaran kenangan lampau.

"Selepas kamu keluar dari hospital ni, kamu boleh hidup seperti biasa bersama anak kamu."

Orang itu sedikit terperanjat.

"Maksud... ketua? Saya dah tak bekerja dengan-"

"Tepat sekali!" Albert mencantas laju.

"Tapi kenapa, ketua? Err... apakah disebabkan saya gagal menyelesaikan misi saya pada kali ini?" Dia berfikir ketidakcekapannya dalam menguruskan kerja itu menjadi asbab dia dibuang kerja.

Kelihatan Albert menggeleng beberapa kali tanda menyangkal.

"Aish, kamu ni. Bukan pasal itulah, L. Tapi sudah tiba masanya rahsia ini dipecahkan. Kamu temui Lian dan jelaskan mengenai semuanya supaya dia tidak salahkan kamu. Sebab kalau dia tahu daripada pihak lain, tentu dia berkecil hati gara-gara kematian palsu kamu."

L menunduk. Tubir matanya bergenang dengan air hangat. Keinginannya untuk hidup seperti biasa bersama Lian hampir tercapai.

Wajah sang ketua dia pandang sambil tersenyum.

"Terima kasih, ketua atas segalanya."

"Terima kasih jugak sebab setia berkhidmat dengan organisasi saya. Jaga diri kamu. InsyaAllah. Lain kali kita akan bertemu lagi. Bukan lagi sebagai ketua dengan anak buah. Tetapi sebagai teman lama..."

Saat itu juga berjuraian kristal-kristal jernih kepunyaan L membasahi pipi. Dia sangat terharu.

*****

TIT. Tit. Tit.

Bunyi mesin ECG (Electrocadiograph) menerobos masuk ke dalam corong telinganya. Kelopak mata terasa berat untuk dicelikkan. Sakit di setiap ceruk sendi semakin kian terasa.

Namun apabila rongga hidung menghidu aroma ubat-ubatan, pantas saja matanya tercelik.

"Argh!" Dia baru sedar atas kesakitan yang dia alami.

Kaki kiri yang berbalut serta tangan kanan yang ditanamkan branula itu dipandangnya bersilih ganti.

"Tsk!" Lelaki tersebut berdecit tajam.

Kepala yang terasa berdenyut membuatkan penglihatannya berbalam-balam.

Namun, dia tetap berusaha untuk berjalan keluar dari situ sambil menolak tiang iv drip.

Keadaan sibuk di luar bilik menggamit ingin tahunya lalu mula menjelajah rumah sakit berkenaan.

"Encik nak ke mana ni?" soal seorang jururawat perempuan yang bertanda nama Shila.

Si lelaki sedikit rimas.

"Macam mana aku boleh berada dekat sini?" tanyanya kembali.

"Encik tak boleh banyak bergerak. Cedera di kaki encik tu dalam tau." Soalannya tidak berjawab.

"Aku nak jalan-jalan dululah ambil angin di luar. Nanti aku masuk balik."

"Encik nak saya temankan?"

Lelaki itu menggeleng seraya melangkah perlahan sambil mencari pintu keluar menuju ke taman.

Seusai melihat akan sebuah bangku batu yang tidak jauh dari situ, dia akhirnya melabuhkan punggung.

'Hm. Apa dah terjadi sebenarnya ni? Macam manalah aku boleh ada dekat sini? Bukankah sepatutnya aku masih di Pulau Batu? Habis tu, siapa yang dah selamatkan aku ni?'

Suasana di taman itu sedikit mendamaikan. Lamannya hijau dan udaranya sangat segar. Seolah-olah baru sahaja dia mengenali apa itu oksigen.

Tiba-tiba, ada suatu pertelingkahan berlaku sehingga memancing perhatiannya.

"Aku dah kata, jangan ikut aku! Aku bukan tuan muda kau orang! Aku nak cari Hifzalah!"

"Tuan muda, bertenanglah. Tuan muda masih tak sihat lagi. Nanti kalau tuan muda dah sembuh sepenuhnya, barulah tuan muda temui dia."

"Aku nak jumpa dia, sekarang! Kau faham tak!"

Suara remaja lelaki tersebut memberi impak yang mendalam terhadap dirinya. Akibat perkara itu, denyutan di kepalanya semakin menjadi-jadi.

"Suara tu... kenapa macam aku kenal, ya? Ergh!" Dia terjerit kecil. Cuba menahan sakit.

"Pak Cik Mior?"

D menolak tubuh beberapa orang lelaki berkot hitam tadi lalu bergegas ke tempat pak cik angkatnya itu berada.

"Kenapa pak cik boleh ada dekat sini? Pak cik, pak cik tak apa-apa? Apa sebenarnya yang berlaku dengan pak cik?" D kelihatan cemas.

Tapi pada waktu yang sama, dia memanjatkan kesyukuran kerana telah dipertemukan kembali dengan lelaki tersebut.

Jutaan cerita ingin dia kongsikan. Banyak perkara yang mahu dia adukan dan beraneka soalan yang berkubang di benaknya turut diminta memuntahkan segera.

Seumpama segala-galanya ingin berpusu-pusu keluar dari dalam kantung fikiran.

Kerana ia pertama kali dia hadapi sekali gus tanpa keberadaan si penjaga itu di sisinya.

"Pak Cik Mior?" seru pemuda itu lagi sekali.

"Kamu ni, siapa?"

Soalan tersebut mengakibatkan pergerakan D terhenti.

"Pak cik, ini... D. Anak angkat pak cik. Takkanlah pak cik tak kenal?"

Baru sahaja Mior ingin menyentuh wajah D namun tangannya jatuh kembali.

"Tolong pak cik aku ni. Dia pengsan!" Jeritan D membelah suasana sepi di sekitar situ.

*****

"KETUA..."

"Ya, ada apa?"

"Tuan muda berkeras tak nak kembali ke bilik dia. Sekarang ni, dia sedang berada di bilik pesakit lain yang dikenali sebagai Pak Cik Mior." Begitu laporan yang dikemukan oleh salah seorang daripada anak buahnya.

Hal tersebut membuatkan dia menongkat dagu di atas meja.

"Hm... tak mengapa. Kamu semua tetap awasi dia. Jangan sampai ada sesiapa pun dekati dia. Mengerti?"

"Baik, ketua. Err... tapi-"

"Ada yang tak kena lagi ke?"

Si anak buah mengangguk.

"Sebelum itu, tuan muda berkeras nak berjumpa dengan seorang gadis yang bernama Hifza. Cuma... kami halang dia sebab tuan muda tak berapa sihat lagi."

Albert mengukir senyuman tipis.

"Sokay. Biarkan dia temui perempuan tu. Setelah semuanya selesai, biar saya sendiri yang bertemu dan bercakap dengan dia."

Mereka semua menunduk tanda faham.

"Baik, ketua."

*****

"SAYA nak tahu. Di mana kanak-kanak yang bersama dengan saya sebelum ini ditempatkan? Saya nak jenguk mereka."

Fid langsung sahaja menanyakan hal itu sebaik dirinya sedar daripada pengsan.

Tahu-tahu saja, dia telah berada di sebuah hospital. Langsung tidak mengetahui akan hujung pangkal ceritanya, mengapa dia boleh berada di situ.

Siapa yang menyelamatkannya pun, lagilah dia bingung.

Yang dia ingat sebelum dia berada di situ, dia dan beberapa orang remaja serta kanak-kanak comel berkenaan telah terhidu sesuatu yang menyebabkan mereka tidak sedarkan diri.

Ya. Sampai situ saja stok memorinya.

"Oh, mereka semua tu ditempatkan di bangunan lain. Khas untuk kanak-kanak. Kenapa encik?"

"Saya nak temui mereka semua."

"Maaf, encik. Kami tak boleh bagi keizinan sebab bangunan tu telah dikawal ketat. Lagi pula, mereka akan dikembalikan kepada keluarga masing-masing sebab ia ada bersangkut-paut dengan sebuah penculikan terbesar di bandar ni. Itu tak termasuk dengan para mangsa yang telah terkorban..."

Fid terdiam seketika sebelum mengangguk. Dia mengerti lantas berpatah balik ke katilnya.

Tidak lama kemudian, terlintas pula di fikirannya akan beberapa nama orang yang dia kenali.

'D, Hifza dan Kapten Naz. Agak-agaknya, dia orang ada sekali jugak ke dalam hospital ni?' Dirinya diasak dengan tanda tanya.

Dalam diam, dia berharap sangat akan ketiga orang itu terselamat.

Sebab... banyak benda yang kena dia selesaikan.

*****

"PENJENAYAH semacam dia harus selalu kita awasi."

"Baik."

Corong telinganya menangkap akan perbualan itu sebelum bangkit daripada pembaringan.

Tang. Tang.

Matanya melihat akan besi gari yang 'melekat' di tangan dan bersangkut dengan palang kiri katil.

"Huh!" Keluhan berat terluah.

"Pesakit dah sedar. Mari kita mulakan siasatan."

Suara dari luar itu kedengaran lagi sebelum ruangan berkenaan dimasuki oleh beberapa anggota keselamatan negara.

"Encik Koby, kami ingin meminta keterangan encik. Diharap encik dapat beri kerjasama."

Koby mencebik.

"Kau orang. Kalau ya pun nakkan keterangan aku, bagilah aku ke tandas dulu. Aku dah tak tahan ni."

Kunci gari segera dilepaskan sambil mereka semua mengawasi gerak-geri suspek utama dalam kes penculikan itu.

Tidak lama kemudian, Koby kembali ke katilnya.

"Okey, baiklah. Kita mulakan. Encik Koby tahu-"

"Aku lapar. Bagi aku makan kenyang-kenyang dulu. Boleh?"

Polis-polis tersebut sudah menayang muka meluat dan menyampah. Banyak kerenah betullah penjenayah seorang ni. Seperti sengaja menunda-nunda sesi soal jawab mereka.

Namun begitu, mereka melayankan saja.

Setelah 30 minit tempoh Kony memenuhkan isi perut, salah seorang daripada pegawai polis itu sudah mula membuka bicara. Tidak boleh lagi hal terpenting sebegitu ditangguh kerana hari sudah menginjak ke lewat malam.

Mahu tidak mahu, Koby menurut. Pelbagai benda dia katakan. Dia juga mengaku dengan kesalahannya sebelum ini.

Perbualan dan sesi itu dirakam oleh mereka juga sebagai asas kukuh bukti.

Hampir tiga jam keterangannya diambil, kantuknya sudah mulai bersarang.

"Aku dah mengantuklah. Kita sambung esok sajalah. Lagi pun, aku penat."

"Tapi kami nak tahu lagi siapa Kapten Naz itu dan apa kaitan dia dengan encik?"

Terhenti pergerakan si pesakit. Sempat jua kenangan silam bertenggek di benaknya sebelum pihak keselamatan tersebut bersurai akibat sebuah kekecohan di luar sana.

*****

"INSPEKTOR SYAKIR, kenapa bikin kecoh dekat sini? Inikan hospital."

"Saya nak berjumpa dengan Inspektor Jazman. Suka-suka hati dia saja nak ambil alih tugas dan kes saya."

Kekecohan tersebut membuatkan beberapa orang awam, kakitangan hospital serta pesakit menumpukan perhatian di situ.

"Apa yang bising-bising ini, Inspektor Syakir? Be profesionallah. Kita semua sedang bertugas. Jaga sikit imej jabatan kita." Inspektor Jazman muncul di sebalik pintu kamar Koby.

Wajahnya tampak serius sambil melipat lengan ke tubuh.

Wajar saja dia bersikap dingin. Hal itu demikian kerana, Inspektor Syakir merupakan pesaing terhebatnya dalam setiap perkara.

Maka, dirinya sentiasa rasa tercabar.

"Itu dikeranakan kamu, Inspektor Jazman. Kamu suka mengambil kesempatan dalam kesempitan. Padahal kamu tahu, kes kali ini dipertanggungjawabkan ke atas saya bukan kamu."

"Tapi Inspektor Syakir pengsan sedikit lama. Padahal, urusan kerja kena diteruskan. Kita nak selesaikan kes ini secepat mungkin. Lagi pula, pihak atasan yang arahkan saya untuk ambil alih kes ini-"

"Mengarutlah!" Kedua orang inspektor itu tidaklah sebulu. Masing-masing keras kepala tetapi bertanggungjawab.

Hal sebegini bukanlah pertama kalinya.

"Kamu-" Serentak kedua mereka berbicara sebelum muncul akan seseorang yang amat mereka geruni.

"Tuan!"

"Tuan!"

"Inspektor Jazman dan Inspektor Syakir, di sini bukan gelanggang boxing. Kamu berdua, ikut saya."

Selagi ketua polis negara tidak ikut campur, sampai ke tahun depan pertikaman lidah tersebut berlangsung. Percayalah.

Bab terkait

Bab terbaru

DMCA.com Protection Status