Share

Dua puluh enam

Hembusan bayu cukup mendamaikan jiwa. Pada waktu yang sama, cahaya mentari turut menusup tembus sehingga ke dasar kulit.

Begitu juga dengan diri kita. Akan ada beberapa hal yang akan serentak terjadi tanpa sempat untuk kita mempersiapkan perisai nan kebal. Tidak kisahlah kita genius atau pun segagah mana, ia tetap dapat menembusi benteng yang sedang kita bina.

Ibarat air laut, hidupan di dalamnya, angin serta pelbagai lagi. Semuanya berjalan dengan lancar dikeranakan ia adalah kuasa Tuhan bukan manusia.

Maka, kita sepatutnya tunduk menyerah bukan bersikap sombong melangit.

"OKEYLAH. Aku akan bagitahu pada kau tapi aku akan cakap sekali saja. Jadi dengarkan ia baik-baik."

Hifza mengangguk.

"Huh! Syaz tu sebenarnya..."

Tiba-tiba, kepala D terasa sakit. Denyutan itu amat kuat mencengkam membuatkan dirinya mengalirkan air mata kepedihan.

Dia cuba melihat ke arah Hifza tapi tampak bayangan si gadis banyak serta berpusing-pusing pula.

Hal tersebut menyebabkan dia berasa pening teramat.

"D, awak okey?" soal gadis itu cemas.

Dia mula cuak dengan keadaan si lelaki yang drastik bersikap ganjil.

"Argh, sakit!!" D berteriak seketika sebelum dia rebah tidak sedarkan diri.

"Awak dah kenapa, D? Hei, bangunlah!"

* * *

TIDAK jauh dari tempat dia berdiri, ada seorang gadis yang kelihatan sedang tertawa bersama rakan-rakannya.

Sekelumit pun tidak ada cacat cela manusia seorang itu pada tatapannya. Dia kian hanyut dek gelora asmara. Senyuman kesenangan terlorek di bibir serta-merta.

"Alangkah bahagianya diriku kalau aku boleh memiliki sekeping hati milikmu, Wina. Takkan kusia-siakan engkau sampai ke mati. Hm. Tapi aku sedar yang aku tak layak untuk berdampingan dengan gadis secantik dan sebijak engkau..."

Senyumannya tadi mati kembali.

Perlakuan individu tersebut menjadi hidangan pemerhatian akan seseorang yang lain pula.

"Kau dah kenapa, Syaz? Senyum-senyum sendiri macam orang gila. Lepas tu pulak, buat muka tak bersemangat." D berpeluk tubuh sambil menggeleng.

Namun, kewujudannya langsung tidak disedari oleh Syaz. Malah dia berlalu pergi setelah itu sambil membawa timbunan nan penuh kecewa.

D melihat ke arah yang sama. Ada seorang lelaki asing turut serta dalam kelompok para gadis tadi. Akhirnya, dia mengerti.

"Patutlah muka dia monyok. Rupa-rupanya, si pujaan hati dah ada yang punya. Hailah... Syaz, Syaz. Kesian dengan kau. Terpaksa menelan pahitnya sebuah hakikat."

D berbicara seorang diri.

Syaz berjalan menunduk sehingga dia terlanggar dengan beberapa orang pejalan kaki. Ada yang memarahinya dan sesetengahnya tidak berkata apa-apa.

Sedangkan si anak muda tidak pula merespon. Jauh sekali meminta maaf.

Tiba-tiba, Syaz berhenti berjalan. Ada sebuah kedai serbaneka yang menjadi tumpuan mata. Dia menatap sesuatu dari luar sebuah bingkai kaca.

D yang sejak tadi membuntuti, kini berdiri di sebelah Syaz pula. Ada seutas rantai halus di situ.

"Kau nak beli rantai ni untuk budak perempuan itukah?" soal D lagi. Tetapi seperti biasa, pertanyaan D tiada berjawab.

Syaz menyentuh kaca tadi buat seketika. Seusai menatap ia beberapa minit, dia berlalu pulang ke rumah sambil menjinjing segunung keresahan.

Latar tempat bertukar lagi. Kali ini, D memerhati akan Syaz yang sedang membelah kayu sebelum menyusun lalu mengikatkannya dengan rapi.

Keringat yang membanjiri kulit wajah, dilap kasar oleh si anak muda.

Syaz mendongak ke langit. Teriknya mentari terasa menyengat sehingga menembusi ke dasar kulit.

D cuma menjadi penonton setia. Suasana kampung pada suatu ketika dahulu menjadi penelitiannya.

Rumah-rumah di situ, kebanyakannya dibina menggunakan kayu-kayan dan juga bambu. Manakala perabot, bingkai jendela serta perhiasan pula diperbuat daripada rotan.

D kagum melihat keadaan berkenaan kerana selama dia hidup, dia belum pernah menikmati keindahan nan semulajadi sedemikian.

Cuma yang menjadi tanda tanya D, dia belum pernah lagi mengetahui akan nama penempatan itu.

"Huh!" Kedengaran keluhan keletihan meluncur laju daripada bibir Syaz.

Dia mengikat kayu api tadi pada sebatang kayu yang panjang sebelum membawa ia ke suatu tempat.

"Ke mana pulak kau nak bawa kayu api tu, Syaz?" D kehairanan tapi masih lagi tidak berenggang dengan budak itu.

Mereka tiba di sebuah persimpangan. Di situ terdapat sebuah papan tanda yang besar serta dihiasi dengan beberapa pokok kelapa pandan dan bunga-bunga nan adiwarna.

"Oh. Nama kampung ni... Kampung Kelapa Pandan rupanya." D mengangguk. Dia akhirnya mengetahui akan nama tempat tersebut selepas membaca ia.

Syaz berhenti di hadapan sebuah kediaman yang cukup mewah berbanding rumah-rumah yang sebelum ini.

"Assalamualaikum, Pak Cik Aizat, Mak teh, Syaz ada bawakan kayu api ni..." Syaz melaung akan nama-nama si tuan rumah.

Tidak beberapa lama kemudian, seorang perempuan yang cukup berusia keluar sambil menyahut.

"Wa'alaikumsalam, Syaz. Ha, baguslah kamu ada bawakan kayu api untuk Mak Teh. Nah. Ini upah kamu."

Huluran dua keping wang kertas berwarna hijau muda Syaz sambut dengan riak yang ceria.

"Alhamdulillah. Terima kasih, Mak Teh."

"Sama-sama. Kalau ada kayu api lagi, bawa saja ke mari. Nanti Mak Teh bagi upah macam biasa."

"InsyaAllah, Mak Teh. Syaz balik dulu.

Orang tua tadi mengangguk.

Syaz tidak dapat membendung keterujaaan yang terlakar di wajahnya lantas kembali ke rumah dengan hati girang.

D juga tersenyum senang.

"Macam tu rupanya kalau orang dulu-dulu nakkan wang. Sanggup bersusah-payah masuk ke dalam hutan, mencari dan membelah kayu. Kemudian, dijual kepada orang-orang besar. Hebat sungguh orang zaman dahulu..."

Syaz masuk ke dalam rumah. Dia bertembung dengan Im di atas tangga.

"Abang Syaz dari mana ni?" tanya si adik.

"Oh. Abang baru habis jual kayu api," balas Syaz selamba tanpa berselindung apa-apa.

"Eh, sejak bila abang berjualan kayu api? Im tak pernah tahu pun."

"Dari minggu lepas. Abang jual kayu api tu sebab abang nak beli sesuatu."

Syaz menyambung langkah memanjat anak tangga. Manakala Im setia mengekori si abang sehingga tiba ke dalam kamar tidur.

"Abang nak beli sesuatu? Abang nak beli apa?"

Syaz yang kelihatan diselimuti keletihan, masih larat melayan soalan-soalan daripada adiknya. Dia tersenyum.

"Adalah. Im mana boleh tahu..."

Im memincing mata. Gadis kecil itu diserang dek ribuan ingin tahu.

"Eh? Mana aci macam tu, abang. Im kan adik abang. Takkan Im tak boleh tahu?"

"Hm, Im-"

"Ha! Im tahu. Abang Syaz nak belikan komik buat Im, kan?"

Dahi Syaz bergaris.

"Komik? Komik yang mana satu pulak ni, Im?"

"Alah. Komik yang kita nampak dekat kedai buku lama tulah, bang. Abang dah tak ingat? Minggu lepas, kita ada lalu di depan kedai tu..."

Syaz semakin pelik. Namun begitu, dia cuba untuk mengingati kembali akan peristiwa berkenaan.

"Err... maksud Im, komik Kampung Boy itukah?"

"Betul!" balas Im sambil bertepuk tangan.

"Oh. Kalau macam tu, insyaAllah abang akan belikan untuk Im. Tapi sekarang, Im masuk ke dalam bilik Im dulu. Abang nak mandi ni. Badan abang dah melekit."

"Okey, abang. Tapi jangan tak jadi tau. Im tunggu..." Gadis tersebut berlari keluar sambil membawa sejambak kegembiraan.

Syaz pula hanya menggeleng melihat telatah adiknya itu lantas berlalu masuk ke bilik mandi.

Tiba-tiba...

"Abang!"

Im masuk kembali dengan wajah yang sukar untuk Syaz tebak.

"Aik? Kenapa masuk balik ni, Im?"

"Abang Syaz, kenapa abang tak minta duit dengan ayah kalau abang nak beli sesuatu? Im kan... selalu minta ayah belikan patung mainan-"

"Abang tak nak susahkan ayah lagi. Ayah dah penat mencari wang dan beli rumah ni selepas rumah kita yang pertama tu, terbakar. Jadi abang usahakannya sendiri dengan menabung dan berjualan kayu api. Lagi pun, abang kan dah besar..."

Im terangguk-angguk menghadam segala apa yang dia dengarkan.

Entah dia faham, entah tidak. D turut terhibur saat melihatnya.

"Oh, macam tu. Kasihannya ayah kan, bang? Ha, Im pun nak menabung dan jual kayu api jugaklah. Macam abang. Bila ada duit, bolehlah Im beli patung mainan Im sendiri."

"Hahaha. Im kan masih kecil. Mana larat nak buat semua tu."

Latar tempat dan masa berubah untuk kesekian kalinya.

Sekarang, D dan juga Syaz sedang berdiri di hadapan sebuah kedai serbaneka.

Syaz menapak masuk ke dalam kedai tersebut lalu membeli akan rantai yang menjadi intipannya selama ini.

D pula menikmati dekorasi dan susun atur tempat tersebut. Ia lebih kepada konsep temporari serta dilengkapi dengan perhiasan yang antik.

Kebanyakan barangan di situ lebih menjurus kepada kraf tangan nan kreatif. Maka, semakin meneballah rasa kagumnya.

"Terima kasih, nak. Pak cik jual, ya?"

"Sama-sama, pak cik. Saya beli."

Selesai akad jual beli tadi, Syaz keluar dari situ dengan senyuman yang lebar. Untuk membeli benda alah berkenaan, dia sanggup memecahkan tabung bambu miliknya.

Mujurlah ia mencukupi. Malah, ada lebihan tersebut akan dia tunaikan permintaan si adik.

Buk!

Syaz terlanggar dengan seorang lelaki. Kelam-kabut dia meminta maaf.

"Maaf, pak cik. Eh, Pak Cik Aizat. Pak cik nak pergi ke mana ni? Kenapa muka pak cik pucat? Pak cik tak sihatkah?"

Bertubi-tubi soalan yang keluar dari bibir Syaz bak peluru berpandu.

Akan tetapi, lelaki yang dikenali sebagai Pak Cik Aizat itu tidak membalas apa-apa. Hanya meminta diri kerana dia sedang dalam keadaan tergesa-gesa.

D hanya memerhati gerak-gerinya sehingga figura berkenaan menghilang ditelan oleh lautan manusia di hujung sana.

Ting!

Bunyi loceng kecil bergema sekali gus menamatkan penelitian D. Baru dia tersedar bahawa Syaz telah meninggalkannya di situ. Budak tersebut telah masuk ke dalam sebuah kedai buku terpakai pula.

Fikir D begitu.

Latar tempat berubah drastik. Begitu jua waktunya.

Lewat petang itu, Syaz bercadang untuk menemui akan seseorang. Hari ini merupakan ulang tahun Wina yang ke-17. Jadi dia akan menghadiahkan seutas rantai yang telah dia beli sebelum ini.

Dia telah berjanji untuk bertemu dengan Wina di sebuah persimpangan jalan yang tidak jauh dari rumah sang buah hatinya itu.

Dia sendiri tidak ingin lewat pulang, kerana dia tahu akan tidak manisnya anak gadis seperti Wina yang berlegar-legar pada waktu syaitan sedang bermaharajalela.

Namun malangnya, sesuatu yang tidak bermoral menjadi santapan pandangan mata.

Wina diheret ke dalam sebuah dusun sebelum tubuhnya dikerat-kerat tanpa belas. Syaz yang sejak tadi mengekori serta berniat untuk menyelamatkan si gadis, terperanjat dengan semuanya.

"Wina!" Mata Syaz terbeliak.

Orang yang dia sayang telah menjadi mangsa kekejaman serigala yang bertopengkan manusia!

Bukan itu saja. Malah, salah satu pelaku berkenaan adalah orang yang cukup dia kenali.

"Pak... Cik... Aizat?" Lagi sekali Syaz melopong gara-gara terpaksa menelan kebenaran yang dia lihat.

"Kejar budak tu!" ujar seorang lelaki lain.

Aizat dan temannya menjejaki Syaz.

D turut sama panik. Dia juga sedar akan sesuatu.

"Oh. Jadi... inilah pemula dan asbab kecelakaan itu? Syaz sekeluarga dibunuh kerana telah menjadi saksi mata pada awal tragedinya. Sama macam Izzat, ayah dia. Bermakna, kematian mereka tidaklah dirancang semata. Ia hanya satu kebetulan."

D membuat kronologi dan kesimpulannya sendiri. Tetapi, masih ada lubang-lubang misteri serta hal aneh yang belum terungkaikan.

Kepalanya tiba-tiba saja diserang sakit yang teramat. Ia berdenyut kuat.

"Kebetulan? Tak. Mustahil ada kebetulan dalam dunia ni. Memang itu semua telah ditakdirkan buat keluarga Izzat. Tapi, kekejaman meraka semua... memang sangat keterlaluan!"

D terduduk di lantai tanah. Dia masih boleh melihat kelibat Syaz yang sedang melarikan diri sebelum bersembunyi daripada penjenayah-penjenayah tadi.

"Syaz... aku... akan... cuba... tamatkan... semuanya. Argh, sakit!!"

Debuk!

Dunia D menjadi kelam.

* * *

"ARGH, sakit!!"

"D?"

D tersedar daripada lenanya. Begitulah yang dia rasakan selepas dia menemui Syaz di dimensi mimpi. Ini dah masuk kali yang kedua.

Tapi benarkah ia hanya secebis mimpi atau lebih tepat lagi... menjelajahi masa lampau?

"D, awak buat saya takut."

Wajah Hifza yang dirundung kesedihan menjadi tatapan mata D buat seketika sebelum dia menyeluk saku seluar di bahagian kanan.

Seutas rantai yang telah putus dipegangnya.

'Aku fikir, rantai ni milik Sofea. Rupa-rupanya, bukan. Tapi, kenapa perempuan yang bernama Wina itu pulak yang menjadi mangsa? Apa kaitan dia dalam hal ni?'

D tenggelam dalam pusaran persoalan. Tidak luput lagi pelbagai tanda tanya sebelum ini, kini ia bertambah.

Hifza menepuk bahu kiri D agar lelaki itu memandangnya.

"D. Awak dengar tak saya cakap apa?"

"Ha? Kau cakap apa tadi?"

"Ya Allah, awak ni. Saya tanya keadaan awak sekarang, macam mana? Dah okey, belum?"

D hanya mengangguk.

"Habis tu, siapa sebenarnya Syaz?"

Pertanyaan tersebut muncul lagi sekali menyebabkan si anak muda perlahan-lahan berdiri. Rantai tadi dia masukkan kembali ke dalam kocek.

"Aku akan ceritakannya sambil kita berjalan. Jom."

Hifza menggulingkan bebola matanya. Akan tetapi, dia menurut saja.

* * *

FIUH! Fiuh!

Bunyi berbalas tembakan di gigi pantai.

Pasukan Kapten Naz berdepan dengan segerombolan remaja yang cekap menggunakan senjata api.

"Haih, tak guna betul! Mereka ramai sangat. Macam mana nak larikan diri ni?"

Kapten Naz berteriak kesal. Jika bot mereka tidak ada masalah, sudah tentu dia telah selamat kembali ke Pangkalan Kod.

Malangnya, dia beserta beberapa anggota yang lain terpaksa menumpaskan askar cilik berkenaan.

"Tak apa, kapten. Saya akan lindungi kapten."

"Aku nak keluar dari pulau ni la, bongok!"

Dalam keadaan genting sebegitu, akal waras sudah tidak terpandu. Tutur bicara juga terluah yang tidak enak didengar.

Emosi dihimpit dengan gelombang kacau bilau.

Bila-bila masa sahaja mereka semua akan menemui ajalnya.

Kedebush!

Tanpa berfikir panjang, sang ketua nekad terjun ke dalam laut.

"Kapten!"

"Tuan!"

Tinggal para anak buah yang masih cuba untuk mempertahankan diri. Namun, ia tidak lama sebelum mereka semua dikepung.

Tidak jauh dari situ, Leo melihat akan ia. Lelaki tersebut tidak berniat untuk menonjolkan diri. Dia lebih rela bersembunyi daripada merisikokan nyawanya. Tambahan lagi darah yang sejak tadi mengalir, tidak jua terhenti.

Impaknya, tubuh Leo semakin melemah.

Dia cuba untuk menjernihkan kekeruan benaknya. Degupan jantung yang berdetak laju, kini mula kembali normal.

'Sesiapa... tolong aku,' harapannya berlagu dalam hati.

* * *

"DALAM setengah jam lagi, kita akan tiba di Pulau Keramat tu. Jadi, kita kena bersiap-siaga. Jangan lupa, bertindak mengikut arahan. Faham?"

"Faham, tuan!"

Pasukan pembanteras jenayah tersebut sudah sepakat dan akan melaksanakan misi menyelamat seiring rencana yang diatur.

Koby hanya mendengar serta memerhati. Debaran di dada kian laju. Dia hanya mampu berdoa agar mangsa-mangsa keadaan pulang dengan selamat.

Penyesalan mula menghurung diri si lelaki apabila impak daripada keputusannya dahulu, memahat derita ramai manusia. Lebih-lebih lagi para golongan muda.

Dia tertunduk. Bayangan kisah lampau terlayar bersilih ganti.

Inspektor Syakir yang duduk berdekatan dengannya telah sedar akan hal tersebut.

"Macam mana keadaan pulau tu? Ada tak orang-orang dia berjaga di pantai?" soalnya tanpa basa-basi.

Koby mengangkat bahu tanda tidak tahu.

"Saya tak tahu. Saya dah lama tak pergi ke sana sejak saya melecur hampir satu badan..."

Pegawai polis itu terdiam. Fikirannya menerawang ke arah pelbagai kemungkinan.

Jika boleh, dia tidak mahu mati sia-sia. Akan tetapi, tugas mereka sebagai anggota keselamatan negara sememangnya harus merisikokan nyawa sendiri demi sebuah keamanan. Dia sedar akan hal itu.

Jadi dia hanya mampu berserah pada Yang Maha Esa.

Tiba-tiba, kelihatan asap tebal berkepul-kepul di awangan. Ini menandakan mereka semakin dekat ke tempat tujuan.

"Ada asaplah."

"Ha'ahlah."

"Takkanlah pulau tu dah terbakar pulak..."

"Macam mana ni? Mangsa-mangsa tu semua, selamat atau tidak?"

"Yalah. Semoga saja mereka tak apa-apa."

"Hm, baiklah. Persiapkan senjata api kamu semua. Kita akan melompat turun dari sini selepas bot mendekati gigi pantai. Lekas!"

"Baik, tuan!"

Jiwa Koby diserbu dek rasa sayu. Ia mengakibatkan matanya berkaca-kaca.

Semakin kenderaan air tersebut menghampiri Pulau Batu, semakin hebat pula detak jantungnya. Ia sudah tidak lagi mengikut tempo normal.

"Okay, go!!"

Tiga perempat daripada ahli pasukan polis itu meloncat terjun dari bot sebelum mereka semua meniarap di atas pasir. Senjata api di halakan ke hadapan.

Meninjau akan keadaan - selamat atau tidak.

Selang beberapa minit kemudian, salah seorang daripada mereka mengangkat tangan sekali gus mengarahkan ahli lain berpecah lalu memeriksa ke sekeliling.

Tidak ada sebutir aksara terkeluar dari bibir mereka. Hanya bahasa tubuh yang digunakan untuk memberi arahan dan juga komunikasi.

"Kalau kau orang nak, saya boleh tolong tunjukkan selok-belok pulau ni."

Bicara Koby telah memecahkan keheningan di atas bot.

Inspektor Syakir serta dua orang lagi rakan setugasnya berpandangan sesama mereka.

"Saya tak kisah kalau kau orang tak bukakan gari ni. Yang pasti, saya akan bawa mereka semua keluar dari sini dengan cepat. Saya jugak nak mereka selamat."

"Hm... betul kamu tak plan apa-apa yang tidak baik? Saya tak nak merisikokan nyawa pasukan saya-"

"Kali ini, tolong percayakan saya. Lagi cepat kita bertindak, maka cepatlah kita kembali ke bandar semula."

Akhirnya setelah menimbang akal seminit dua, Koby dibawa bersama mereka. Suspek utama mengotakan janjinya - tidak berbuat yang bukan-bukan.

Malah dengan bantuannya, pasukan berkenaan terselamat daripada beberapa jerangkap samar.

"Tuan, ada oranglah!"

Salah seorang anggota polis menemui sekujur tubuh lelaki yang tidak sedarkan diri. Bahunya berdarah.

"Cepat selamatkan dia dan bawa dia kembali ke atas bot. Beri rawatan kecemasan."

"Baik, tuan!"

Koby hanya memerhati. Dia kenal akan individu yang mereka temui itu. Tetapi dia tidak mahu membuang waktu untuk berbicara mengenai itu. Ada misi yang patut diutamakannya.

* * *

"HUH! Nasib baik tak kena. Kalau tak..."

Mior terlentang di lantai tanah sambil melihat ke atas. Di situ terdapat serawan jaring yang tergantung di sebatang pohon.

Hampir-hampir sahaja dia terperangkap jika dia tidak cekap mengelak.

Lelaki tersebut berasa pelik kerana terlalu banyak sekali perangkap yang dipasang di tempat itu. Tersilap langkah, maut menjemput.

'Huh. Bahaya sangat pulau ni.' Mior mula duduk sambil masih mengatur nafas.

Tiba-tiba, ada suatu bunyi yang terpancing dek deria pendengarannya.

Nging! Nging!

Bunyi macam dengunggan dan ia semakin jelas lantas dia menoleh ke belakang.

Kelihatan sekawan lebah telah menuju ke arahnya.

"Ah, sudah!" Tanpa mempedulikan diri yang kepenatan, dia membuka langkah seribu.

Tidak tahu ke mana lagi dia ingin tuju sehinggalah tubuhnya berhenti mengejut di atas bukit.

'Alamak! Nak lari dekat mana lagi ni? Dahlah sungai aku tak jumpa. Laut pulak, nun jauh di sana. Aish!'

Bunyi tadi semakin jelas kedengaran. Namun anehnya, lebah-lebah tadi tidak pula mengejar Mior.

'Eh, dah hilang? Mana lebah-lebah tadi?' soalnya sendiri sambil tercungap-cungap.

Dibuang jauh kehairanan itu lantas dia memanjat turun dari bukit. Akibatnya, dia tergelincir sehingga tergolek ke bawah.

"Argh!!" jeritannya bergema di sekitar kawasan.

* * * * *

"HEI, adik-adik semua. Kau orang dengar tak suara jeritan tu?" soal Fid yang berhenti berjalan seketika.

"Suara apanya?"

"Abang jangan nak menipu. Dah, jalan cepat sebelum kami tembak abang!"

Beberapa pucuk pistol menghala tepat ke tubuhnya. Ia menyebabkan Fid terkaku.

"Ta... tapi... mana tahu orang tu dalam keadaan kesusahan."

"Abang jangan nak banyak cakap pulak. Jalanlah cepat. Tak lama lagi kita akan sampai."

"Hm. Kita nak pergi ke mana ni, dik oi? Percayalah cakap abang ni yang TM tu cuma pergunakan adik-adik semua-"

"Tak. TM dah janji dengan kami. Kalau kami bunuh kamu semua, kami akan bebas dari pulau ni."

"Itu semua janji palsulah, dik. Entah-entah, dia dah melarikan diri dan sengaja biarkan kamu semua mati di sini."

Kata-kata daripada Fid itu membuatkan mereka terdiam.

"TM tak sepatutnya buat macam ni pada kau orang semua. Kau orang masih kecil. Kau orang hanya dipergunakan untuk kepentingan diri dia sendiri. Padahal, kau orang terseksa. Betul, kan?"

Para askar cilik dan remaja tadi mengangguk. Mereka berpandangan antara satu dengan yang lain. Masing-masing terkenang akan penderitaan mereka selama mereka diculik, dikurung dan dipaksa menjadi askar di usia yang sangat muda.

"Abang tahu. Kau orang semua rindukan keluarga dan rumah. Jadi abang akan cuba bantu kamu semua untuk keluar dari sini. InsyaAllah, abang boleh kamu percayai."

Senjata api yang mereka halakan ke arah Fid, diturunkan. Mereka membuat kesepakatan.

"Betul ni, bang?" soal salah seorang gadis kecil pula. Dia dan yang lain inginkan kepastian bukan cakap tin kosong.

Fid mengangguk.

Hal berkenaan membuatkan mereka tersenyum lebar.

"Okey, kami percayakan abang. Tapi kalau abang tipu, kami akan tembak abang sampai badan abang berkecai. Faham?"

Fid meneguk air liur. Kesat.

'Habislah aku...'

Kaugnay na kabanata

Pinakabagong kabanata

DMCA.com Protection Status