Share

Dua puluh satu

Bayangannya kabur dan semakin kelam. Sehingga kini, ia masih tiada penghujung...

atau... lebih baik begini?

Bersendirian di dalam sepi.

"ERR... kalau boleh pak cik tahu. Ayah Lian meninggal disebabkan apa?"

Lian perlahan-lahan berpaling sebelum bersuara, "Oh itu. Ayah Lian terlibat dalam kebakaran di sebuah kapal besar, tempat ayah bertugas. Tak ada yang selamat sewaktu tragedi itu berlaku. Kebanyakan jasad mangsa dah tak utuh lagi. Hanya gelang bertanda nama ayah Lian saja yang jadi pengesahan identiti..."

Albert terdiam. Kantung fikirannya terbenak dek sesuatu.

"Kapal besar Tee Y-K tu ke?"

Si anak muda menoleh kepadanya.

"Pak cik tahu nama kapal tu?" Soalan berbalas soalan.

"Tentu saja pak cik tahu. Konon perancangan awal, kapal itulah yang sepatutnya pak cik tumpangi untuk ke Pulau Batu. Sebab ia melintasi Selat Teorin."

Lian mendengarkan hal itu membuat jiwanya diselimuti pelbagai pertanyaan.

"Habis tu, apa yang terjadi? Macam mana pak cik boleh selamat?"

"Hurm. Pak cik tak dapat nak ikut kapal tu sebab pak cik terlewat bangun. Pada waktu yang sama pula, kasut pak cik koyak. Terpaksa jahit sebelum menyambung perjalanan untuk ke pelabuhan. Bila pak cik sampai, kapal tu dah berlayar. Keesokkan malamnya pak cik dapat khabar bahawa kapal tu meletup tiba-tiba. Punca kejadian, belum lagi terpecahkan."

Lian mengangguk.

"Oh. Macam tu. Jadi pak cik nak pergi ke Pulau Batu untuk mencari anak pak cik, ya?"

"Ha'ah. Tapi tulah, tak kesampaian..."

"Pak cik kan tahu yang tempat tu tak ada penghuninya. Jadi kenapa pak cik nak pergi seorang diri? Bahayalah, pak cik."

"Hmm. Sebab pak cik dah letih nak terus menunggu khabar daripada penyiasat-penyiasat upahan tu. Sedangkan pak cik hanya diam tak berbuat apa-apa."

Lian kagum dengan lelaki tersebut. Dengan hanya berbekalkan sebuah keyakinan, dia rela membahayakan diri pergi ke pulau keramat.

Tetapi, mujur juga dia tidak sempat ke sana. Jika tidak, mungkin perkara lain yang terjadi.

*****

FIUH!

Setelah melepaskan tembakan, Koby bergegas mencari figura Mior. Namun ternyata, tidak ada sesiapa di sana.

"Mior?" Nama itu dia seru beberapa kali.

Tiba-tiba...

Buk! Belakang Koby dihentak dek sesuatu sehingga mengakibatkan kepalanya pening. Pandangan matanya kabur sebelum dia rebah tertiarap di lantai.

Keletang! Bunyi sebatang kayu dibuang ke lantai kedengaran.

"Baru padan muka kau. Jangan cuba-cuba nak lawan aku. Huh!"

Leo berlalu pergi dari situ. Dia terselamat daripada tembakan tadi disebabkan perisai kalis peluru yang dia pakai di dada.

Kini, mangsa utama pula dia jejaki. Dia yakin, Mior masih berada di sekitar kawasan tersebut.

*****

KECEDERAANNYA tampak semakin teruk. Tubuh lelaki itu pula semakin melemah. Namun, hanya kobar semangatnya sahaja yang membantu diri untuk terus bertahan hidup.

D melihat Hifza di sebelahnya yang sedang terlena. Dia kasihan dengan gadis itu - terpaksa menghadapi keadaan yang tidak sepatutnya.

"Hifza, bangun."

Tidak beberapa lama kemudian, Hifza mencelikkan matanya.

"Erm..."

"Kita akan cuba cari jalan untuk pergi dari sini. Waktu-waktu sebegini, mesti mereka dah sedap tidur."

"Ha? Em, okey. Tapi kita nak buat macam mana?" soal si gadis kembali yang kelihatannya masih dihurung kantuk.

"Sekejap." D berusaha membuka tali di pergelangan tangannya.

Kulit yang sedia melecet, tidak dia pedulikan lagi. Yang penting, dia boleh bebas daripada simpulan tali.

Leceh dan ia juga memakan masa beberapa minit.

"Ok, sudah." D membuka ikatan tali di tangan Hifza pula.

Kemudian, mereka berdua mencari pintu keluar dari situ.

Hifza melihat akan sesuatu. Dia memandang D yang masih sibuk dengan misinya. Sedangkan dia terfikir akan satu rencana.

Ditakdirkan, terdapat beberapa perca kain di situ dan ilham pun serentak menghinggapi dahan fikiran.

"D?"

Lelaki itu berpaling. Keningnya terangkat.

"Ada apa?"

Hifza menunjukkan perca kain tadi kepadanya.

"Saya nak, awak tutup mata dengan kain ni."

Sekali gus dahi D bergaris.

"Eh, kenapa pulak aku kena buat macam tu?"

"Saya ternampak jalan keluar dari sini. Tapi tempat yang bakal kita lalui itu penuh dengan fobia awak. Jadi, awak tutup mata awak guna kain ni dan biar saya yang pimpin awak keluar."

"Di mana jalan keluarnya? Bagitau aku-"

"Saya takkan beritahu awak. Saya cuma nak awak ikut saja apa yang saya cakap. Ini demi keselamatan awak jugak."

"Ta... tak apa. Aku okey."

"Jangan nak mengada. Awak tu dah lemah sangat. Kalau awak pengsan lagi macam tadi, tak larat saya nak mengangkat badan awak. Jadi kali ni, awak kena ikut cakap saya dan saya akan pimpin awak untuk berjalan. Okey?"

D menimbang akal. Dia melihat kesungguhan Hifza untuk menolong dirinya tampak berbinar. Jadi dalam terpaksa dia menurut.

Lebih-lebih lagi memikirkan 'alergik'nya yang satu itu. Ada baiknya dia berwaspada.

Mata dia pejam dan ditutup pula dengan kain tadi sebelum Hifza membawa dia pergi dari situ.

"Jaga-jaga, D. Di depan kita ada sebuah parit. Kalau saya kira sampai tiga, awak mestilah lompat."

D mengangguk, "Okey."

Begitulah seterusnya.

Walaupun mereka melalui keadaan yang sukar, namun Hifza berjaya mengendali beberapa halangan.

Tidak lama setelah itu, Hifza meleraikan pegangannya.

"Okey, D. Awak boleh tanggalkan kain itu."

Lelaki itu menurut dan sebaik dia mencelikkan mata, kelihatan sebuah gigi pantai.

"Kita dah boleh keluar dari sini, D."

"Boleh tu memang boleh kalau kita ada perahu. Tak mungkin kita nak berenang sampai ke seberang."

Hifza tersengih.

"Oh, ya. Betul jugak tu. Hehe."

Keadaan di sekitar, mereka perhatikan bersama.

"Masih gelap ni. Kita tak nampak apa-apa." D berbicara pula.

"Habis tu, apa plan awak?"

"Kita tunggu sampai siang. Tapi sebelum tu, kita akan cari tempat untuk kita berehat dan bersembunyi daripada orang-orang jahat tadi."

"Yalah. Jom."

D menahan Hifza sebentar.

"Hifza, tunggu."

Gadis itu berpaling.

"Kenapa, D?"

"Macam manalah kau boleh berjalan macam biasa? Sedangkan kita tak ada bawa lampu."

"Oh, itu. Em... itu mungkin sebabnya saya selalu teman ayah saya memancing pada waktu malam. Jadi saya dah terbiasa berjalan dalam gelap walaupun tak pakai lampu."

Kepala D senget ke kanan. Cuba menyelami logiknya.

"Eh, dahlah. Awak kata tadi nak cari tempat bersembunyi, kan. Jomlah tapi jangan jalan atas pasir. Nanti mereka akan tahu jejak kita. Jadi kita kena ikut jalan berbatu ni."

Dalam menahan kepedihan luka, D sempat tersenyum senang.

'Bijak jugak budak ni,' pujinya dalam hati.

FID yang terikat di sebatang tiang, disoal siasat oleh Kapten Naz.

"Sekali lagi aku tanya kamu, Fid. Di mana Mior bersembunyi?"

"Saya tak tahu, kapten. Betul. Kapten percayalah cakap saya."

Bam! Hentakan sebuah tapak tangan hinggap pada permukaan meja. Kapten Naz geram.

"Aku tahu, kau bersekongkol dengan dia. Mungkin saja, kau ada rancangan lain di belakang aku. Cakap cepat!"

"Tak ada, kapten-"

"Habis tu, siapa pulak budak berdua tu? Cuba jelaskan."

Fid terdiam sejenak. Dia berusaha mencari helah. Kalau Kapten Naz tahu siapa sebenarnya D, memang tak selamat budak lelaki tu nanti.

"Saya tak kenal mereka. Saya jumpa mereka dalam kurungan sewaktu saya mencari Mior..."

Kelihatan Kapten Naz menatapnya tajam. Ada keraguan tersimpul di hati.

"Baiklah kalau macam tu. Aku sendiri yang akan tanya dia orang berdua pulak, lepas ni. Kalau ada sesuatu yang tak kena, kau orang bertiga akan mati."

Sempat lelaki tersebut mengugut sebelum dirinya keluar dari situ.

Dalam banjir kerisauan, Fid hanya mampu berdoa agar D dan Hifza baik-baik saja.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status