Share

CS ¦ 07

SELEPAS Woojin meninggalkan rumah Sherin. Gerak langkah membawa dia berjalan perlahan menyusuri kaki lima sebuah kedai serbaneka. Tiba-tiba suara seorang gadis sedang menjerit nyaring menusuk halwa telinga.

Pandangan Woojin tertoleh ke arah lorong sempit di tepinya. Perlahan-lahan dia menghampiri lorong gelap itu.

“Lepaskan akulah! Jantan tak guna!”

Suara gadis itu masih menjerit sambil tangan cuba menolak dada seorang lelaki yang sedang berdiri menghalang laluannya.

“Lepaskan aku! Argh!”

“Diam!” Rambut gadis itu direntap kasar sehingga menimbulkan jeritan nyaring sekali lagi.

Woojin yang menyaksikan kejadian itu mula berasa tidak tenteram dengan situasi itu.

“Hoi!”

Kedua-dua mereka menoleh apabila suara Woojin menjerkah mereka turut berbunyi nyaring dan bergema.

“Alamak, kau siapa pula nak hoi hoi kan aku? Mengacau betul!”

Bicara lelaki itu diakhiri dengan meludah air liur ke tepi.

“Kau tunggu apa lagi? Blahlah!” jerkah lelaki itu yang berasa rimas dengan kehadiran Woojin di situ.

“Kau lepaskan perempuan tu dulu, baru aku pergi.”

Woojin langsung tidak gentar dengan jerkahan lelaki itu, sebaliknya semakin berani menghampiri mereka yang berada di tengah lorong gelap itu.

“Kau nak mati ke!”

Lelaki itu terus membuka larian laju sambil tangan diangkat mahu menumbuk wajah Woojin, namun tumbukan itu tersasar apabila Woojin dapat mengelak dengan pantas.

“Yah! Bangsat! Tak guna kau!” Laju lelaki itu mahu menghayun penumbuknya semula, tetapi tidak berjaya apabila kaki Woojin terlebih dahulu naik menendang perutnya.

Tubuh lelaki itu terdorong ke belakang lantas terjatuh menyembam jalan tar.

“Tak guna!”

Woojin melangkah perlahan mendekati lelaki itu, tetapi laju lelaki itu bangun lantas melarikan diri. Dalam lariannya, sempat dia memberi amaran kepada gadis yang berdiri di belakang Woojin.

“Kau tunggu perempuan, urusan aku dengan kau belum selesai lagi!” Liur sekali lagi diludah ke tepi. Tanpa banyak bicara, perut yang senak dipegang dan langkah laju dibuka meninggalkan lorong sempit itu.

“Awak tak apa-apa ke?” tanya gadis itu kepada Woojin.

Pandangan Woojin tertoleh ke sisi. Di mana gadis itu sedang berdiri menghadapnya. Dari reaksi gadis itu jelas menunjukkan yang dia teramat risau dengan keadaan Woojin.

Hati Woojin berdetak-detik tidak menentu arah apabila mata amber gadis itu memukau pandangannya.

Jari gadis itu naik mengelap peluh yang menitik di dahi Woojin membuatkan lelaki itu terkejut.

“Kesian awak, saya minta maaf sebab dah susahkan awak. Apa kata, saya bawa awak pergi minum? Sebagai tanda terima kasih dan minta maaf?”

Woojin segera menggeleng laju, langkahnya dibuka dua langkah ke belakang.

“Maaf, saya perlu balik.”

Gadis itu mula menayang wajah cemberut. Bibir sudah memuncung kerana perlawaannya ditolak keras.

“Sekejap pun tak boleh?” soalnya lagi. Masih tetap tidak mahu berputus asa walaupun jawapannya sudah diberi awal tadi.

Woojin menggeleng perlahan.

“Maaf,” ucap Woojin dengan lembut kerana tidak mahu gadis itu terasa dengan penolakannya.

“Kalau macam tu, awak teman saya pulang ke rumah boleh? Saya takut kalau-kalau lelaki tu datang semula serang saya.”

Woojin terdiam sejenak. Pandangan melirik ke sekeliling. Tidak lama kemudian, dia mengangguk perlahan kerana kasihankan gadis itu.

“Terima kasih.” Akhirnya mereka bergerak meninggalkan lorong sempit itu.

Sepanjang perjalanan mereka, Woojin hanya mendiamkan diri. Dia tidak gemar untuk berbual-bual kosong. Apatah lagi dia langsung tidak mengenali siapa gerangan gadis itu, tetapi tidak bagi gadis itu.

“Nama saya Bella Kim, nama awak?”

“Tahu... Nam Woojin,”

Berkerut dahi Bella apabila lelaki itu sudah mengetahui namanya.

“Macam mana awak tahu nama saya? Eh! Kejap! Saya rasa macam tahu muka awak ni. Macam familiar sangat!” kata Bella sambil tangan naik ke dagu sendiri. Mata pula memandang ke langit nan gelap di atas mereka.

Woojin hanya membiarkan saja Bella meneka siapa dirinya.

“Ah! Nam Woojin, pelajar sekolah tinggi Seoul. Awak peserta yang bertanding tadi petang kan? Awak rupanya!” Tekaan Bella tepat membuatkan Woojin hanya mengangguk, tetapi dahinya berkerut sedikit melihat gadis itu berjaya meneka. Bagaimana Bella mengetahui tentang dirinya. Sedangkan dia langsung tidak mengetahui tentang kewujudan Bella sebelum ini sehinggalah petang tadi.

“Wah! Tak sangka, saya dapat bertemu dengan lelaki paling diminati ramai. Haha…”

Ketawa halus Bella kedengaran. Woojin hanya mendiamkan diri. Tidak mahu banyak bersuara.

Rasa janggal mula menerpa.

“Betullah apa yang pelajar-pelajar sekolah saya kata, awak ni memang pendiam. Tengok muka awak dah kacak, tapi itulah aura pula lain macam.” Seloroh Bella. Rambutnya yang panjang ditolak ke belakang. Wajahnya yang gebu dan sedikit montel mula mempamerkan perasaan teruja. Mata ambernya memandang Woojin di sisi.

“Aura?” soal Woojin tidak mengerti.

“Ha’ah, aura. Awak ada aura dingin. Tengok muka awak pun dah boleh tahu. Awak ni ais batu sebab sekarang ni saya berjalan sebelah awak pun rasa sejuk.”

Tangan Bella terus naik memeluk tubuh sendiri lalu menggosok kedua-dua lengan. Sengaja dia melakukan perkara itu kerana mahu menunjuk yang dia benar-benar kesejukan ketika berjalan beriringan dengan lelaki itu.

Sejauh 2 kilometer mereka berjalan, akhirnya Bella berhenti bergerak.

“Dah sampai, sini rumah saya. Terima kasih ya. By the way, saya nak nombor telefon boleh?”

Woojin terkejut seketika.

“Untuk apa?” soalnya

“Untuk belanja awak makan bila awak free….”

Selamba Bella berkata membuatkan Woojin terkedu kerana mereka tidak mengenali antara satu sama lain malah baru saja bertemu tadi tetapi, Bella sudah berani meminta nombor telefonnya dengan alasan mahu belanjanya makan. Perasaan hairan mula terbit.

“Tapi kita baru je kenal. Kenapa nak belanja saya makan?”

“Suka hati sayalah, cepat bagi nombor telefon awak. Kalau tak nak, bagi telefon awak.”

“Hah?”

Tanpa menunggu Woojin memberikan telefon bimbit. Bella terus menyeluk poket seluar Woojin lalu menarik keluar telefon bimbit lelaki itu. Senyuman riang Bella pamerkan sambil tangan laju menekan butang nombor memandangkan Woojin langsung tidak meletakkan kata laluan pada telefon bimbitnya.

“Eh!” Woojin terkejut dengan tindakan drastik Bella itu. Semakin lebar Bella teryuman.

“Nah, ini nombor saya. Saya dah simpankan untuk awak. Jangan lupa nanti telefon saya. Okey la, saya masuk dulu. Selamat malam…” Bella memberi lambaian selepas memulangkan semula telefon bimbit Woojin.

Lelaki itu terkedu, tergamam dan tidak percaya. Gadis itu sungguh berani bertindak di luar jangkaan!

“Bye.”

Ucap Woojin dengan perlahan, setelah dia tersedar akan kelakuan Bella tadi. Hatinya yang selama ini terasa kosong, perlahan-lahan terusik dek teletah Bella yang mencuit hati.

Senyuman Woojin terukir, tanpa banyak bicara langkah terus bergerak pulang ke rumah. Pertama kali dalam hidup, dia tersenyum begitu. Gadis bernama Bella itu benar-benar telah berjaya mengambil hatinya.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status