Share

KAU AKU KITA GEMUK ( BAHASA MALAYSIA)
KAU AKU KITA GEMUK ( BAHASA MALAYSIA)
Author: Airin Abdul

BAB 1

"Hey! Tepi sikit! Tepi sikit!" Bunyi kecoh dari arah belakang sedikit mengejutkan.

Belum sempat Ain mengelak tiba-tiba bahunya dirempuh kasar oleh seseorang. Hampir terdorong dia ke hadapan. Mujur tidak ada kereta yang melintas. Kalau tidak, mesti dia sudah jadi arwah. Darahnya mula menyirap. Marah dengan tindakan pelaku yang langsung tidak punya rasa kemanusiaan. Ain rakus menanggalkan earphone di telinga. Matanya dikecilkan sedikit melihat tubuh yang semakin menjauh.

Hati mendongkol geram. Memang cari nahaslah siapa yang sesuka hati melanggar dia. Dendam perlu dibalas. Itu memang prinsipnya.

"Hey saudara!" jerit Ain lantang. Dia berlari-lari anak. Mengejar semula lelaki yang merempuhnya sebentar tadi. Beg sandang yang digalas oleh lelaki itu pantas direntap kasar dengan sebelah tangan. Serta merta empunya diri tersentak.

Lantas wajah itu menoleh. Lelaki itu terpinga-pinga. Barangkali terkejut bila diperlakukan sebegitu oleh gadis yang tidak dikenali secara tiba-tiba. Kedua belah kening lelaki itu dinaikkan sedikit seolah menyoal. 

"Kenapa?" soal lelaki itu bersahaja.

"Kau tanya kenapa? Aku yang patut tanya kau kenapa kau langgar aku. Kenapa? Kau buta ke?” Ain masih tidak  melepaskan tangannya dari memegang beg lelaki itu. “Kau ingat jalan ni hak milik kau seorang saja?" 

Marahnya dilepaskan bertali arus. Langsung tidak diberi peluang lelaki dihadapannya bersuara. Kecil besar kecil besar saja dia pandang lelaki itu.

"Excuse me ..." Nuh bersuara. Kasar tangan dia menepis jari jemari gadis itu yang masih lagi memegang beg sandangnya. Mata disepetkan sedikit. Dia memandang gadis itu dari atas ke bawah. Dia belum lagi buta untuk melihat panorama indah di sekelilingnya termasuklah figura gadis itu. Menarik, cuma tidak sopan. Tapi, eh, bila masa pula dia langgar gadis tu?

"Huh! Gemuk!  Bila aku langgar kau? Jangan main tuduh," tepis Nuh kasar. Suaranya sengaja dikuatkan sedikit. Biar gadis itu berasa gerun.

Ain mendengus kasar. Huh, tak guna punya jantan! Sudahlah melanggar orang, berani nafikan. Mulut pula dah macam longkang! Boleh dia panggil Ain gemuk. Hati Ain mula menyumpah seranah lelaki di hadapannya.

"Kenapa kau langgar aku?" soal Ain masih lagi tidak berpuas hati. Marahnya mula mencanak naik. Muka selamba lelaki itu buat dia rasa bertambah geram.

"Siapa pula yang langgar kau?" Nuh pura-pura tidak tahu. Keras nada suaranya. Riak wajah tidak bersalah terpapar jelas di wajah. 

Ain medengus. Dahinya dikerut berlapis-lapis.

Boleh lelaki ini tanya siapa langgar dia. Dasar jalan mata letak dekat lutut. Mujur tubuh 'kecik molek' dia ni tidak bergolek menyembah tar. Sudahnya nanti tak pasal-pasal jadi bahan ketawa orang. Lepas tu tular video viral dekat media sosial sini sana. Mana dia nak letak muka. Malu! Malu! 

Ain berkira-kira mahu menarik kolar baju lelaki itu pula. Laju lelaki itu menepis. Menghalang perbuatan Ain. Amboi, main kasar nampak.

"Kaulah yang langgar aku. Takkan jentolak kot!" dongkol Ain geram.

Matanya merayap segenap tubuh lelaki tu. Cuba menilik penampilan lelaki itu dari kaca matanya pula. Perlahan-lahan dia mengoyak senyuman sinis.  

Jejaka itu hanya memakai seluar separas lutut. T shirt pula berwarna merah berbelang-belang. Dipadankan dengan sneakers sebagai alas kaki. Simple tapi gayanya sudah macam budak sekolah. Galas beg dekat belakang. Memang macam budak-budak. Badan? Jangan cakaplah. Gemuk juga macam Ain juga.

Eh! Baru Ain perasan. Lelaki itu memang. Sesedap mulut saja dia dipanggil gemuk sedangkan lelaki itupun memiliki fizikal yang sama gemuk macam Ain juga. Gemuk macam kayu balak atau lebih mungkin. Huh! Tak sedar diri punya orang. 

Berjalan pun sampai tidak cukup ruang. Main langgar orang saja sana sini. Lepas tu ada hati pula nak menghina fizikal orang itu orang ini gemuk segala. Memang betul-betul mengundang bala.

"Kau cakap aku gemuk eh? Kau dah cermin diri kau belum? Kaupun sama. Dasar Gemuk!" Ain memulangkan paku buah keras. Rasa amarahnya cuba ditahan.

Kepala didongak sedikit. Biar sama tinggi dengan lelaki itu. Mata mereka saling bertentang.

"Hello miss. Walaupun aku gemuk, space untuk aku jalan cukup luas okey. Tak ada maknanya aku nak langgar-langgar orang. Kau tu yang jalan lembab. Dasar gemuk!" Nuh sengaja mencurah minyak ke api yang sedang menyala.

"Huh! Kau nak suruh aku cerminkan diri sendiri? Kau tu yang sepatutnya tolong cerminkan semula diri kau. Kalah Adibah Noor dah aku tengok kau. Ada hati nak mengata dekat aku" tambah Nuh lagi. 

Jemarinya ditunjal kearah bahu Ain. Terdorong gadis itu ke belakang. Kasar lagaknya. Sinis senyuman Nuh lemparkan. Buat Ain bertambah geram. Dia berasa seperti dibakar. Hampir hangus dibuat perangai lelaki dihadapan dia.

"Kauuu ..." jari telunjuk hampir terkena batang hidung lelaki itu. Dia cukup pantang kalau ada orang yang bercakap dan menghina tentang tubuh badan dia. 

Bagi Ain, itu adalah anugerah Allah. Jika ada yang menghina orang yang berbadan gemuk, maknanya orang itu turut menghina ciptaan Allah. Tidakkah berdosa namanya itu?

"Apa kau-kau? Mak kau hijau?" Nuh rasa seronok pula mempermainkan gadis itu. 

Siapa suruh gadis itu mengganggu laluan dia. Bukan dia main sergah saja laluan. Dia sudah menjerit supaya ketepi. Tapi gadis itu saja yang tidak berganjak. Sibuk mendengar lagu. Jadi, siapa yang salah sebenarnya.

Lagipun dia bukan sengaja mahu melanggar gadis itu. Dia keburuan waktu. Dan nampaknya dia betul-betul sudah terlambat. Alang-alang terlambat, biarlah dia mengenakan gadis itu cukup-cukup. Ini baru dinamakan buku bertemu dengan ruas.

Nuh tersenyum sinis.

"Memang cari nahas la jantan ni!"  Dongkol Ain geram. Senyuman lelaki itu menyakitkan hati dia.

"Kenapa? Kau ingat aku takut dengan kau? Wahhh ... tolong, tolong. Ada perempuan gila nak cabul aku" Nuh buat-buat menjerit.

Dia memandang sekeliling. Ramai juga orang yang tengah melihat drama sebabak mereka. Ah, pedulikan saja. Apa dia kisah.

"Hoi! Mulut kau memang longkangkan?" tengking Ain. Dia rasa malu. Apa tidaknya, banyak mata-mata yang sedang memandang mereka. Nuh menjongket bahu. Sengaja mahu menyakitkan hati gadis yang dia tidak kenal.

"Tunggu kau ..." Ain mendengus geram.

Nuh tidak menghiraukan amaran yang diberikan oleh gadis dihadapan dia. Apalah sangat yang boleh dilakukan gadis itu pada dia? 

Ain betulkan duduk beg sandang. Biar selesa. Langkah kaki dibuka luas. Gaya sudah serupa orang yang mahu cari gaduh. Sekali dia hayun kaki, tepat mengenai sasaran. 

Memang tepat dan padu. Langsung tidak terjangka perbuatannya. Lelaki tadi terduduk. Mengerang kesakitan. Ain pantas berpaling. Dia segera meninggalkan lelaki itu tanpa menoleh ke belakang lagi. Dalam hatinya menarik nafas kelegaan. 

"Hoi!" jeritan dan panggilan lelaki itu langsung tidak dihiraukan Ain. Pasti lelaki itu sudah tergolek-golek menahan senak yang teramat. Dia gelak sendirian. 

Ah abaikan saja lelaki yang suka menghina orang. Minta-minta lepas ini dia takkan bertemu lagi dengan lelaki itu. Kalau mereka terserempak, memang dia menempah maut. Apa tidaknya, dia sudah buat lelaki itu jatuh tersungkur.  Depan orang ramai pula tu.

Ain ketawa dalam hati. Lucu pula dia rasa. Padan muka. Cari pasal lagi dengan ratu silat ni. Gemuk bukan sebarang gemuk tau. Gemuk dia gemuk yang penuh dengan kejutan.

Ain berdiri di sisi kereta kesayangan dia.

Tercungap-cungap kerana laju berlari tadi. Nafas panjang ditarik dan dilepaskan sebelum pintu kereta dibuka. Dia meloloskan diri ke dalam myvi kesayangan. Senyuman pula masih tidak lekang dari bibir. Lantaklah kalau orang nak pandang serong sekalipun. 

Mahu membawa mulutpun dia tidak kisah. Cuma jangan ada video tular sudahlah nanti. Tapi apa yang penting dia puas. Siapa suruh lelaki itu main langgar ja. Tak agak-agak pula lelaki itu langgar. 

Dasar! Dah tu pula tidak mahu mengaku perbuatan sendiri. Minta maaf pun tidak. Ego! Nasib tidak menyembah tar muka chubby Ain. Kalau tidak, mesti dah hilang separuh dari duit hantaran dia nanti. 

Yang penting, rasa marahnya berbalas. Dia sudah berpuas hati.

Ain Nur Jannah - Cinta, menitip bahagia. Cinta, mencipta derita. Cinta, bukan pura-pura. Cinta, biarlah rela. Rela dalam terpaksa.

Nuh Al-Edruz - Akan aku tanam cintamu jauh ke dalam kerak bumi. Biar tertimbus. Biar berkurun lama. Tak mungkin kau mampu gali semula. Biar masa menyaksikan segala. Kisah cinta yang teragung.

Comments (1)
goodnovel comment avatar
Flizwn
Rakus menanggalkan earpong tu related sangat ...
VIEW ALL COMMENTS

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status