Share

BAB 2

Nuh Al-Edruz mencampak beg galasnya ke sofa. Hati dia masih lagi sebal memikirkan tindakan perempuan yang dia jumpai tadi. Rasa senak masih lagi terasa. Betul-betul mengundang rasa amarahnya.

Kesalahan dia cuma terlanggar sedikit saja gadis itu. Bukan dia buat benda yang tidak senonohpun. Tapi gaya gadis itu sudah macam orang hilang sesuatu yang berharga. Meroyan sampai melakukan tindakan yang memalukan pada dia.

Nuh menuju ke dapur. Dia mendekati peti sejuk. Dibuka pintu dengan rasa geram. Lalu dicapai air kosong dalam botol dan diteguk rakus tanpa menuang dulu ke dalam gelas.

"Huh!" Nuh meletak kembali botol air. Kasar sehingga mengeluarkan bunyi. 

Dia mendengus. Rasa geramnya kembali mencanak naik. Fikiran dia tidak tenang. Belum pernah lagi ada orang yang berani buat dia macam tu. Dan dia langsung tidak menyangka dia diperlakukan seperti tu oleh seorang perempuan.

PEREMPUAN! 

Bayangkanlah.

Tadi dia perasan ada beberapa orang manusia yang sedang merakam pertengkaran mereka. Puas juga dia menyuruh mereka semua memadam semula video yang dirakam. Nanti tidak pasal-pasal viral satu malaysia kisahnya. Bukan saja Malaysia. Dunia juga mungkin.

Dia menggelengkan kepala.

Sebelum pulang tadi dia sudah bagi amaran kepada sesiapa yang merakam atau berniat hendak memuat naik kisahnya ke media sosial. Dia akan cari mereka hingga ke lubang cacing. Jangan dibuat main dengan dia. Sekali dengan budak perempuan itu pun dia akan cari. Tunggu saja nanti. 

Zaman sekarang zaman berkongsi-kongsi video. Muat naik sana sini. Tular sana sini. Entah sahih, entah tidak maklumat yang mereka terima. Lepas tu mulalah netizen buat kerja. Itu belum masuk Bawang Rangers. Gerun juga dia memikirkan andai hal itu terjadi.

Kening Nuh bertaut. Bibirnya diketap kasar sehingga mengeluarkan bunyi gigi yang bergeser.

Gadis itu belum kenal siapa Nuh Al-Edruz. Setakat budak perempuan gemuk tepi jalan macam itu, senang saja dia mahu jejak. Huh, dasar perempuan gila.

Nuh mengeluarkan telefon bimbitnya dari poket seluar. Nombor seseorang dicari. Tertera nama Syed Muqry pada senarai panggilan. Nuh menekan butang panggilan. Terus telefon dilekapkan ke telinga.

"Hello bro ...," ujar Nuh sebaik saja panggilannya disahut.

"Kau dah kenapa call aku? Tadi janji nak jumpa tapi kau tak datang. Aku tunggu kat tempat biasa punya lama. Sampai berjanggut tau" serang Syed Muqry saat panggilan bersahut.

Nuh tersenyum kelat. Dia bukan sengaja mahu membiarkan rakannya menunggu begitu lama. Ini semua perempuan gemuk itu punya fasal.

"Sorrylah. Aku minta maaf. Aku bukan sengaja tak nak datang. Tapi aku betul-betul tak boleh datang tadi."

"Banyaklah kau punya alasan. Tak boleh datang konon. Kau yang beria-ria ajak jumpa tau. Aku siap skip kelas lagi semata-mata nak jumpa kau," celah Syed Muqry di sebelah sana.

"Kelas apa yang kau skip? Kau bukan budak sekolah lagi." Nuh hairan. Kelas apa pula yang si Syed ini masuk.

"Kelas cinta!" terhambur ketawa Syed Muqry dihujung sana.

Nuh mencebik.

"Banyaklah kau kelas cinta. Penting sangat ke kelas tu. Ah, abaikan. Sekarang macam ni. Esok aku jumpa kau okey? Tapi tak mainlah." Janji Nuh.

Dia rasa bersalah pula tak dapat menunaikan janji pada rakannya tadi untuk bermain tennis bersama-sama. Kalau dia tidak terlibat dengan hal yang memalukan tadi, pastinya mereka sudah bertemu.

"Ala, kau tu memang macam tu. Orang penting memang selalu sibuk."

Nuh ketawa. Kata-kata rakannya mencuit hati. Merajuk macam perempuan. Terbang sebentar masalah yang dia fikirkan tadi.

"Eleh, kau nak merajuk bagai pula. Aku sepuk kang. Tak pasal-pasal masuk ward seminggu. Baru padan muka!"

Katanya-katanya disambut tawa di hujung sana.

"Kenapa kau call aku ni?" Syed Muqry kembali serius. Siapa tidak kenal Nuh Al-Idruz. Hanya yang mempunyai agenda penting saja akan dihubungi.

"Hah! Bijak kau. Aku call ni sebab ada benda penting nak minta tolong kau. Aku nak kau selesaikan ASAP!" tegas kata-kata Nuh memberi tahu.

"Minta tolong apa?" soal Syed berminat. Ada saja Nuh ni. Entah apa pula yang mahu dirancang lelaki itu kali ni.

"Aku nak kau siasat pasal sorang perempuan ni. Nanyi aku hantar gambar dia pada kau. Kau tolong cari tahu semua tentang dia" pesan Nuh.

Terbayang wajah perempuan tadi diruang matanya. Lantas dia menguntum senyuman sinis dihujung bibir.

"Kenapa? Mata air baru ke Nuh?" Syed menebak.

Nuh mendengus. Mata air kejadah apanya.

"Bukanlah, bro. Perempuan tu dah malukan aku. Dia dah jatuhkan maruah aku. Aku nak bagi pengajaran sikit pada dia" ujar Nuh geram. Penumbuknya di kepal.

"Perempuan mana pula ni Nuh? Perempuan melayu terakhir ke?" perli Syed.

Nuh dengan perempuan? Huh! boleh percaya ke? Bukan dia tidak kenal siapa Nuh. Nuh dengan perempuan macam magnet, saling menolak.

"Alah, esok aku cerita kat kau kenapa aku marah sangat. Kau cari dulu maklumat pasal dia. Sorry sekali lagi sebab tak dapat jumpa kau tadi," ujar Nuh sebelum menamatkan panggilan. Dia meletakkan semula telefon diatas meja.

Dia menghela nafas panjang.

"Nuh dari mana?" tegur satu suara dari belakang. Pantas Nuh menoleh. Dia sedikit terkejut. 

Muncul kelibat ayahnya yang hanya memakai kain pelikat dan berbaju melayu teluk belanga. Kopiah masih lagi melekat di kepala.

Nuh tersengih. Harap-harap ayahnya tidak memasang telinga mendengar perbualan dia tadi. Kalau dengar, mahu diceramah tujuh hari tujuh malam lamanya.

"Nuh dari mana? Puas bonda cari. Bonda call dan mesej banyak kali tapi tak berjawab juga. Mujur tak buat report polis."  

Luah Eskandar Al-Edruz. Sedari tadi isterinya mengadu yang anak lelaki tunggal mereka hilang dari radar. Langsung tidak dapat dicari.

Dia melabuhkan duduknya di sebelah Nuh. Kopiahnya diletakan di atas meja. Kekura tangan saling bertaut. Menanti jawapan anak terunanya.

"Nuh jumpa kawan tadi" dalih Nuh memberi alasan.

"Habis tu kenapa nak marah-marah? Ayah tengok dari tadi Nuh asyik marah. Marah pada siapa?" soal Eskandar Al-Edruz ingin tahu. 

Dia mahu berkongsi cerita dengan Nuh. Anak terunanya saja yang menemani dia di rumah yang besar ni. Mahu mengharapkan anak-anak yang lain? Masing-masing sibuk dengan keluarga sendiri.

Nuh tersengih.

Ayahnya pasti sudah mendengar apa yang dia bualkan dengan Syed sebentar tadi. Dia mula mencipta alasan. Nuh menjungkit kening. Pelipisnya diusap perlahan.

"Begini yah, Nuh tak ada marah dekat sesiapa pun. Tu ha, kawan Nuh tadi, bagi alasan tak nak jumpa. Padahal dah berjanji kot. Lama Nuh tunggu, dia tak juga datang. Jadi Nuh baliklah rumah. Ini dia call, minta maaf. Nuh maafkanlah saja." Panjang Nuh mencipta alasan.

Hah!

Pandai dia mereka-reka cerita yang tidak wujud. Bukannya apa. Dia malas mahu memanjangkan persoalan. Bukan dia tidak kenal perangai ayahnya. Akan diselongkar cerita sampai ke umbi jika buat lelaki itu tidak puas hati.

"Ayah nak coffee?" Nuh sengaja menukar topik. Tidak mahu ayahnya meneka apa yang sedang bermain dalam kepalanya.

Eskandar Al-Edruz mengangguk. Dia tahu anak terunanya sengaja mahu mengubah topik. Mesti ada sesuatu yang cuba disembunyikan dari pengetahuan dia. Jika tidak, Nuh tidak akan berperangai begitu.

"Bonda mana? Tadi ayah cakap bonda cari Nuh. Ini bonda pula yang hilang." soal Nuh kemudian.

Dia menolak bekas air yang berisi kopi panas ke arah ayahnya. Dan satu bekas lagi diletakkan di hadapannya.

"Terima kasih" ucap Eskandar Al-Edruz. Dia menarik cawan kopi sebelum menyisip sedikit. Bau aroma kopi memenuhi ruang. Memang menyelerakan bagi hantu kopi seperti dia.

Nuh duduk semula di kerusinya. Tangan bermain-main dengan permukaan mug. Terleka seketika tumpuannya bila teringatkan gadis tadi.

'Cantik dan menarik walaupun berfizikal gemuk. Hah? Cantik ke gadis itu pada dia?' Nuh menggeleng. Segera dia mematikan ingatan dia. Mengarut!

"Bonda keluar sekejab. Tadi Beauty and the Beast datang, lepas tu ajak bonda keluar jalan-jalan." terang Eskandar Al-Edruz. Dia sudah tersenyum-senyum.

Demi mendengarkan perkataan Beauty and the Beast yang keluar dari mulut ayahnya tercetus tawa di bibir Nuh.

"Ayah pun panggil Adam dengan Hawa beauty and the beast? Nuh ingat budak kecil tu ja yang panggil"

Nuh sudah ketawa terbahak-bahak. Kelakar sungguh dia rasa. Teringat sepupunya Adam dan Hawa yang digelar beauty and the beast.

Baru saja melangsungkan perkahwinan sebulan yang lepas. Hendak dijadikan cerita waktu acara memotong kek, meja kek yang empat tingkat itu tumbang serta merta. Tidak ada angin atau ribut tup tup jatuh menjunam.

Kalau menyembah lantai, tidak mengapa. Ini elok saja mendarat atas raja sehari. Kedua-dua pengantin bermandikan krim kek kuning diraja tu.

Kebetulan pula ada seorang budak di situ. Dia menjerit kuat. Memanggil-manggil si raja sehari dengan panggilan Beauty and the Beast. Semua tetamu tercengang dengar jeritan kanak kanak itu.

Apa tidaknya gaun pengantin yang kembang sudah dipenuhi dengan warna kuning. Macam si beauty dalam dongeng cerita tersebut.

Satu dewan ketawa. Yang pengantin selamba saja. Tidak ada rasa malu pun, kelakar lagi adalah.  Mereka turut sama ketawa bagai nak rak.

Nuh mengukir senyuman.

Itulah sebenarnya asal usul panggilan Beauty and the Beast untuk Adam dan Hawa. Sampai ke cucu cicit akan diceritakan dan dingati sampai bila-bila. Memang kelakar.

"Nuh outstation esok," ujar Nuh memecahkan kesunyian antara mereka.

"Mana pula kali ni"

Kening Eskandar Al-Edruz dijungkit. Nuh kalau tidak pergi jauh-jauh memang bukan kerja namanya. Ada saja kes yang spesial.

"Kedah. Ada kes cikgu kena dakwa dengan parent. Ayah ada baca tak kes cikgu sebar video anak murid dia tu?" Eskandar Al-Edruz menggeleng. 

"Apa yang jadi?" Soal dia penuh minat.

"Nanti Nuh story panjang lebar dekat ayah. Sekarang masih lagi rahsia. Esok, baru Nuh akan tahu detail kes"

Eskandar Al-Edruz mengangguk.

Dia tersenyum sendiri. Sebenarnya dia bangga dengan anaknya. Sanggup terbang ke sana sini demi menyelesaikan kes. Hendak pula kes viral macam ni. Pasti ramai yang mahu tahu kesudahannya. Dengan kos bayaran yang rendah Nuh kenakan.

Dia ingat lagi apa yang Nuh bagitahu ketika memilih jurusan undang-undang di universiti dulu. Nuh mahu bantu orang-orang yang teraniaya. Biar bantuannya percuma dan tiada ganjaran di dunia. Biar orang kata rugi dengan bayaran yang tidak setimpal. Tapi kita akan kaya di akhirat nanti. 

"Nuh naik dulu ayah. Belum solat ni." ujar Nuh mematikan lamunan ayahandanya.

Dia sudah tersengih-sengih. Baru teringat tadi dia belum solat. Sibuk sangat melayan rasa marah sampai terlupa dengan perintah yang Satu.

"Bertuah punya anak" Pantas Nuh mengelak ketika cuba ditampar Eskandar Al-Edruz. Dia berlari-lari naik ke bilik. Kedengaran ketawa kuat dari ruang dapur.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status