Share

03 | Drama Nasi Goreng

'SELAMAT PENGANTIN BARU. Maafkan abi, ya.'

Rasa nak meraung bila baca mesej dari abi. Tak pernah-pernah abi minta maaf. Ya, memang aku ada rasa marah pada abi. Semuanya sebab abi tak setuju bila aku kata aku nak terima pinangan Adam, anak kawan abi sendiri.

Abi kata, abi tak boleh terima Adam sebab abi dah setuju dengan peminangan dari Hanzalah.  Paling bengang bila aku dapat tahu abi yang suruh Hanzalah, si suami aku sekarang ni, masuk meminang aku. Itupun Kak Long yang cerita. Kalau tak, memang mati-mati aku ingat si Hanzalah tu yang masuk meminang dulu sebelum Adam. 3 hari 3 malam jugaklah aku mogok.

Berbanding Hanzalah, Adam tu lagi nampak baik. Gentleman. Dah macam Imam Muda. Bila baca Al Quran memang taranum habis boleh melayang orang yang mendengarnya. Abi sendiri secara peribadi, agak akrab dengan mak ayah Adam.

Hanzalah tu pulak...

"Termenung!"

"Oh Hanzalah kau!" Tercampak handphone ke lantai. Sakitnya jiwa! Suka sangat terkejutkan aku. Aku jeling dia habis-habisan biar keluar aliran eletrik dari mata. Memang itu jelah yang aku mampu buat, setakat ni.

"Oh, fikirkan saya ke. Okey, teruskanlah menungan tu." Dia tersenyum lebar dengan bibir terkatup rapat hingga matanya mengecil.

Dia mencapai kemeja yang tergantung dan menyarungkan ke tubuh yang sudah siap bertshirt nipis. Coklat. Mesti dia suka warna tu. Kebanyakan baju dan barangannya berwarna coklat dan warna-warna gelap yang senada.

"Nak ke mana?" Aku beranikan diri bertanya.

"Kerjalah, makcik." Ceh, 'makcik' dia panggil aku?

Tak sampai seminggu kami jadi suami isteri, dia dah nak pergi kerja. Aku renung dia. Melihat tubuh kekarnya dengan rambut yang kemas, wajahnya bersih terlihat. Aku suka tengok wajah seriusnya. Eh, tak. Sebenarnya dia memang serius memanjang.

"Terima kasihlah sebab fikir pasal saya tadi."

Aku ketap bibir. Kalaulah dia tahu aku fikir pasal dia sebab tengah bandingkan dia dengan Adam, mahunya berangin dia nanti.

"Jangan termenung lama-lama. Nanti ada benda lain yang tenung." Terus dia keluar dengan selambanya.

Bulat mata aku mendengarnya.

•      •     •

Kata Hanzalah, dua atau tiga bulan lagi baru dia boleh bawa aku jalan-jalan berbulan madu. Aku tak kisah. Aku pun masih perlu masa untuk biasakan diri dengan dia. Rasa segan dan malu masih menebal. Tapi, teringinlah jugak nak keluar ke mana-mana sebab aku rasa kepala aku dah petak duduk memerap kat rumah. Kalau ada TV, tahan juga. Hanzalah kata dia tak beli TV sebab tak ada siapa yang nak tengok.

Haish, sekarang ni dah ada dah orang yang nak tengok!

"Boleh masak nasi goreng belacan tak, esok?" soalnya tanpa memandang aku. Dengan muka seriusnya. Macam nak suruh aku pergi perang.

Aku pandang sisi tubuhnya. Ralit dia dengan si Oyen, kucing yang selalu buat muka kesian kat dapur. Bukan dia bela pun tapi dia selalu bagi sisa-sisa makanan yang ada kalau Oyen buat muka seposen setiap kali tengok kami makan.

Patut panggil kucing ni Seposen, bukannya Oyen.

"InshaAllah, tapi barang dapur tak banyak nak buat rencah. Belacan pun tak ada."

"Jom."

Hanzalah bangkit membawa Oyen dalam dukungan. Boleh dia dukung kucing yang entah mandi ke tidak tu? Berguling entah kat mana-mana.

"Pergi mana?"

"Beli belacan, cinta..." Meleret perkataan akhir tu. Perli akulah tu sebab lambat tangkap maksud dia. Melompat aku berlari ke bilik. Seronoknya dapat keluar!

Ya Tuhan, kengkang aku kalau naik motor hari-hari. Iyalah, kali terakhir aku naik bonceng motor waktu darjah enam! Lepas tu abi dah tak izinkan sebab abi kata tak manis anak gadis bonceng motor.

Dinding pasaraya aku pegang menahan diri. Tangan ni sedari tadi memegang sisi peha, sesekali naik pula ke leher. Berat gila helmet dia! Tak cukup dengan itu, hujung tudung bawal aku tiup berkali-kali tetap penyek tak pacak macam selalu. Bahana si helmet!

"Kenapa?" Dia menoleh ke belakang, mungkin hairan melihat aku tersandar di dinding. Aku ketap bibir. Takkan nak cakap yang aku rasa langkah aku kengkang sebab duduk atas motor?

"Tak biasa naik motor eh?”

Dia… senyum mengejek? Auch, sakitnya hati!

"Helmet awak tu berat gila!" Aku menekan suara sambil menyaingi langkahnya.

"Eh, sanggul rambut awak tu hari-hari bergulung atas kepala, tak rasa berat pulak?"

Menganga aku pandang dia yang selamba menarik troli dari barisan yang panjang. Mulut tu kalau tak kurang asam sangat tak boleh ke? Bukan ke orang lelaki ni mulut manis, kenapa dia tak macam tu? Eh, kau sabar jap. Tak kenal lagi mulut aku yang berbisa ni.

Eh, no no no, Khadeeja. Kau tu isteri dia. Kena jadi isteri solehah, kan? Sabar, sabar...

           

"KAT RUMAH JARANG MASAK EH?"

"Kenapa? Tak sedap ke?" Aku membalas soalan dengan soalan. Dup dap dup dap jantung aku dengar soalan dia. Aku pandang kening tebalnya yang bertaut. Matanya yang redup berkelip-kelip menguis nasi di pinggan. Garis rahangnya yang jelas kelihatan bergerak-gerak mengunyah nasi di dalam mulut.

"Haah, tak sedap." Jujur sungguh!

"Ouch, terus terangnya!" Aku angkat kening. Hujung meja sudah aku genggam. Bertapislah sikit komen tu. Ambillah sikit hati aku ni haa.. kan baru kahwin. Tak sampai sebulan pun. Sedih pulak aku mendengarnya.

Memang aku jarang masak pun. Tapi takdelah tak reti langsung. Cuma aku tak pernah masak apa-apa yang ada belacan. Kami sekeluarga bukanlah peminat tegar belacan.

"Ni memang..." Dia berhenti seketika. Memandang satu lagi suapan di tangan.

"…betul-betul nasi goreng belacan."

Hanzalah berhenti menyuap mulut. Berkerut-kerut dahinya.

"Dah nama belacan, kan? Takkan rasa tomyam kut?" Haa, kan dah keluar mulut kepoh yang abi cakap tu. Tak puas hati betul dengar ulasan dia. Macamlah dia pandai sangat memasak.

Dia menjungkit keningnya memandang aku yang masih berdiri. Kami bersabung mata tapi tidak lama. Tak sampai satu saat pun sebenarnya sebab mata aku automatik beralih ke tempat lain.

"Dan timun ni bukan potong memanjang macam nak makan ulam macam ni. Potong bulat serong-serong. Keropok jangan menimbun macam ni. Asingkan dalam mangkuk lain."

Dia tambah lagi.

"Telur ni kalau tak reti goreng supaya tak berminyak sangat, lepas angkat letak atas tisu. Kuning dia tak boleh cair sangat. Meleleh atas nasi. Kena bagi dia cair goyang-goyang gedik macam tu."

Mata aku makin mengecil memandang Hanzalah yang masih ralit memainkan sudu dalam pinggan.

"Ikan bilis lepas goreng kena angkat dulu baru tumis bawang. Bila bawang masuk sekali dengan ikan bilis, hilang rangup dia dan ikan bilis jadi terlebih masak. Pahit."

Oh, aku tak tahu pulak aku tengah bertanding dalam pertandingan Masterchef Malaysia. Apron yang nak dibuka aku ketatkan balik ikatannya sampai senak perut aku. Sabar, Khadeeja… isteri solehah kan...

"Maaf… saya masak lainlah. Awak tunggulah sekejap di depan. Saya minta maaf… dengan kebelacanan masakan saya."

Haa.. nampak tak? Nampak tak? Minta maaf tak ikhlas. Minta maaf tapi masih tak boleh terima yang aku salah sebenarnya. Nasi goreng tu lengkap dengan keropok ikan, timun potong, taburan bawang goreng sekali telur mata goyang lagi tau walaupun semuanya tak kena pada tekak dia! Aku rasa muka aku sekarang kalah muka si Oyen. Seposen sungguh!

"Takpe. Salah saya jugak sebab tak cakap jelas." Senada. Dia bangkit dan membasuh tangan.

"Tak cakap jelas apa?" Aku bulatkan mata memandangnya.

"Patutnya saya cakap nama penuh nasi goreng tu. Nasi Goreng Tumis Bawang Lebih Sikit, Ikan Bilis Tumbuk dengan Belacan 1 Inci Bersama Cili Padi. Bukan Nasi Goreng Belacan Sahaja," ucapnya tanpa memandang aku yang sudah mengetap bibir sekuatnya!

Huhuiii… pedih!

🌼

"It's been rare to have known you,

very strange and wonderful."

Zen.

05.09.21

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status