Share

Sembilan

Andai masih sangsi dan curiga, cuba sisipkan kepercayaan walau sekelumit dan perhatikan tindak-tanduk sewaktu bersamanya. Nanti setelah selesai, terpulang kepada diri sendiri - ingin berterima kasih atau memaki...

"SYAZ!" Tangan D menggenggam sesuatu sebelum kelopak matanya terbuka lebar.

Wajah Hifza yang sedang memerah menjadi santapan pertama pandangan si lelaki. Dia tersedar akan tindakan yang tidak elok - tangan Hifza digenggamnya. Entah sudah berapa lama.

"Maafkan aku." D melepaskan tangan itu dan berdiri agak jauh daripada si gadis. "Err... aku... tak.. sengaja..." Belakang tengkuk digosok beberapa kali. Dia khilaf dan menyesal akan ketidaksedarannya itu.

Rupa-rupanya sebentar tadi, Hifza ingin menggejutkan D agar segera bangun daripada lena kerana perempuan itu terdengar akan suara ramai yang tidak jauh dari tempat mereka berehat.

"Mereka ada di sekitar sini..." Untuk pertama kalinya butir-butir aksara meniti di bibir Hifza.

D sedikit terkesima. Dia cuba menceriakan suasana yang dilanda badai kejanggalan.

"Oh, ya? Ha, jomlah kita pergi." D kemaskan pakaiannya seraya menyandang beg hitam. Unggun api yang dibuat sejak semalam dibersihkan agar kewujudan mereka tidak diketahui.

Perjalanan diteruskan. D berjalan sedikit laju ke hadapan dan mendahului Hifza. Tidak berapa lama, dia tersedar akan begnya ditarik perlahan dari arah belakang. D menoleh.

"Kenapa, Hifza?"

"Tu..." Gadis tersebut menunding jari telunjuknya ke suatu arah. D turut memandang ke arah itu.

"Alamak! Kita kena menyorok daripada mereka," kata D seraya menarik perlahan lengan kanan Hifza yang berlapik sebelum mereka berdua turun ke bawah kawah di situ.

Mereka cuma bertiarap agar kehadiran mereka tidak kelihatan.

Ada beberapa orang pengganas sedang berjalan-jalan. Mungkin untuk pergi berburu binatang. D berfikir begitu.

Namun malang sekali, kelompok kecil tadi berhenti berjalan apabila terlihat kesan terbakar di lantai tanah.

"Ini kan... unggun api? Tapi siapa yang buat?"

"Hurm. Mungkin ada orang lain selain daripada kita di pulau ini."

"Ah, tak mungkinlah. Dekat pulau ni tak ada yang tahu jalan-jalan tikus melainkan kita semua."

"Kau orang!" Jeritan seorang lelaki kedengaran pula.

"Woi, Sen. Kau dah kenapa terjerit-jerit dekat sini?"

"Aku baru dapat tahu yang anak perempuan pak cik tu dah melarikan diri dari bangsal, sejak semalam. Jadi TM nak kita cari dia sampai dapat."

"Aku dah agak dah. Mungkin unggun api ni, dia yang buat."

"Tunggu apa lagi? Kita semua berpecah dan cari dia sampai jumpa!"

"Baik!"

Derapan beberapa tapak kasut semakin menghilang daripada deria pendengaran. Selepas keadaan telah sunyi, D menarik Hifza untuk keluar dari tempat persembunyian.

"Huh! Mujurlah mereka tak nampak kita," ujar D tanda lega.

Dengan keadaan tubuh yang lemah sebegitu, dia tidak yakin boleh melawan pengganas-pengganas tadi. Mereka, ramai. Sedangkan dia, berseorangan. Tambahan lagi dengan kelaparan yang lain macam di kala itu, memang patah-riuklah dia nantinya.

"Jadi..." D berpaling ke arah Hifza sambil kening kanannya terangkat.

"Apa?" soal D yang berasa ingin tahu.

"Ini..." Pandangan Hifza jatuh kepada tangan D yang masih memegang tangannya. "Bila boleh lepas?"

Giliran wajah D pula yang memerah. Serta-merta dia melepaskan genggamannya lantas mengatur langkah laju ke hadapan. Dia malu.

"Maaf..."

Hifza pula membuntutinya dalam keadaan yang tertunduk. Jantung dia jangan tanya. Rajin benar buat kerja lebih masa - mengepam dengan kadar yang maksima. Seolah-olah tiada lagi hari esok nak 'memanaskan enjin' si manusia.

*****

SIMPULAN tangan kedua mereka kemas terlihat.

"Mior... walau apa pun yang berlaku, jangan musnahkan persahabatan kita." Koby menuturkan ia dengan senyuman yang manis.

Dia sangat sayangkan wasilah yang telah terjalin sejak dia melaporkan diri di K.O.D tidak lama dahulu.

"Kau jangan risau, Koby. Aku akan pegang 'tali' ini sampai ke akhir hayat aku. Percayalah!"

Koby tersenyum lagi demi menampalkan sebuah keperitan. Akan tetapi untuk berkongsi 'hal itu' dengan Mior, dia tidak berani pula. Dua hati. Khuatir nyawa si teman baik akan tergadai.

"Mior..."

"Ya?"

"Kalau ada salah seorang di antara kita yang berkhianat, apa yang harus kita buat?" tanya Koby lagi.

Entah sampai bila dia ingin 'main tarik tali' sendiri. Dia berharap sangat agar lelaki yang berada di hadapannya itu mengerti akan kedudukan tindakan yang bakal dia ambil suatu saat nanti.

Mior geleng kepala, "Tak. Aku takkan biarkan semua tu terjadi. Kita kan dah berteman lama. Tak mungkinlah kita akan main tikam belakang pulak."

Koby tidak membalas. Dia masih memandang lelaki itu dengan pelbagai gambaran yang membahayakan nyawanya.

"Aku nak bagitahu sesuatu dekat kau ni, Mior."

"Apa dia?"

"Kalau sisi jahat aku terserlah keluar, aku nak kau panggil aku dengan nama Cobra bukan lagi Koby."

"Haha. Apalah yang kau merepek ni, Koby? Sisi jahat macam mana lagi yang aku tak pernah nampak pada kau? Aku dah lalilah dengan semua kebiasaan dan perangai kau. Jadi bagi aku, itu sama saja."

"Aku tahu itu, Mior. Tapi mungkin sampai suatu masa, aku tak dapat nak kendalikan sisi jahat aku lagi. Cuma aku nak kau tahu. Apa-apa tindakan aku selepas ini, ia punya sebab yang kukuh. Kau ingat, tahu?"

Mior malas nak melayan dan hanya mengangguk.

SEBUAH fail berwarna biru dibuka seraya pandangan matanya menari-nari pada butir aksara di atas permukaan putih tersebut. Ia dibaca sambil memicit dahi.

"Sebulan lebih? Lamanya. Dah tu, di luar bandar lagi. Hmm. Tapi takkanlah aku kena pergi seorang-seorang pulak? Aduh. Macam-macamlah kes sekarang ni. Aku fikir, bolehlah aku ambil cuti untuk berehat. Rupa-rupanya, ada lagi perkara yang tak settle. Haih."

Mior sempat merungut. Dalam keterpaksaan, dia beralah dan patuh dengan tugas yang pihak atasan berikan atas namanya.

Selepas sebulan menjalankan misi kemanusiaan di sebuah perkampungan kecil, Mior kembali ke Pangkalan K.O.D. Malangnya, keadaan di sana tampak kucar-kacir. Beberapa buah bangunan di tempat itu telah pun musnah terbakar.

"Apa dah jadi di sini?" Dia bergegas menuju ke pejabat utama. Kakitangan K.O.D yang berpusu-pusu keluar dari sana, tidak diendahkan. Dia ingin bertemu dengan seseorang.

"Kapten Naz!" Mior berlari masuk ke dalam ruangan yang menempatkan ketua tertinggi organisasi tersebut.

Namun, dia telah disajikan dengan pemandangan yang tidak baik.

"Ada apa ni, Koby? Kenapa kau nak tembak Kapten Naz?" tanya Mior yang langsung tidak tahu akan hujung pangkal cerita. Segala yang berlaku, terlalu drastik untuk ditelan bulat-bulat. Maka, dia ingin menampi penjelasan.

"Tepat pada masanya, kau datang jugak Mior. Hehe." Koby mengacukan muncung pistol kepada Kapten Naz yang tidak sedarkan diri di sebuah kerusi.

"Koby, apa sebenarnya berlaku ni? Aku tak faham."

"Aku bukan Kobylah tapi Cobra!"

Mior pantas mengacukan Glocknya kepada si teman baik sambil berjalan mendekati mereka berdua.

"Aku dah cakap, Mior. Aku buat semua ni ada sebabnya dan sekarang... inilah aku, Cobra. Sisi jahat yang aku nak tunjukkan pada kau sebelum ni. Tapi baru sekarang boleh aku serlahkan. Haha."

"Koby, ini bukan diri kau yang sebenar. Sahabat baik aku takkan pernah sanggup nak cederakan orang yang tidak berdosa. Aku kenal kau, Koby. Hei, sedarlah. Apa yang kau buat ni, salah."

"Tch. Kau kata apa yang kubuat ni, salah? Huh. Kau silap, Mior. Justeru aku nak membantu K.O.D!"

"Bantu K.O.D dengan cara nak bunuh Kapten Naz, macam tu? Entah apa yang ada di fikiran kau ni, Koby."

"Hahaha. Macam nilah, Mior. Alang-alang kau ada dekat sini, marilah ikut aku. Kita pergi dari sini dan sertailah kumpulan aku pulak. Tambahan pula, kau bukan lagi salah satu daripada anggota organisasi ni..."

Lagi sekali Mior kebingungan.

"Eh, sekejap. Aku bukan lagi anggota K.O.D? Apa makna semua ni, Koby? Dah tu, kumpulan apa pulak yang kau cakapkan ni?" Bertubi-tubi soalan terkeluar dari bibir. Benaknya membeku dan tidak dapat mencerna tentang apa yang dia dengarkan.

"Haih... Mior, Mior. Kau lurus sangatlah. Hmm. Macam nilah. Aku akan beritahu kau hal yang sebenarnya tapi kau kena tembak mati orang tua ni dulu. Untuk pengetahuan kau, dia bukanlah ketua yang terbaik!"

"Koby... kau-"

"Aku bagi kau masa, Mior. Kau buatlah sebelum dia sedar. Aku gerak dulu. Hehe..."

Mior ingin sekali menghalang Koby. Tapi semuanya telah terlambat tatkala Kapten Naz telah pun tersedar. Dia hanya meletakkan muncung Glock 17 di dahi sang ketua. Masih terngiang-ngiang akan kata-kata sahabat baiknya sebentar tadi.

"Saya tak sangka yang kamu akan belot kepada saya dan seluruh anggota K.O.D ini, Mior!"

Belot. Satu perkataan yang terdengar perit buat diri Mior. Dipejam seketika matanya sebelum menampal riak yang biasa. Padahal dada berdebar kencang.

"Kapten kena dengar penjelasan saya. Bukan saya yang buat onar. Percayalah. Saya bukan dalangnya."

"Tch... kamu dah tubuhkan kumpulan lain untuk menghentam K.O.D, sekarang kamu tak nak mengaku? Habis tu... nama Mior sebagai pengasas kumpulan penjahat itu, kamu nak salahkan siapa pulak? Dengan berlatar-belakangkan salah seorang bekas daripada anggota K.O.D ini, tangkas dalam bermain senjata api dan pelbagai lagi data diri kamu yang persis dengan orang itu. Takkan kamu nak berdalih pulak!"

Mior kebingungan, 'Bekas anggota K.O.D? Apa yang Kapten Naz maksudkan ni?' bisiknya lagi.

"Tak, kapten. Itu bukan saya. Saya juga tak tahu kenapa nama saya boleh ada di sana. Kapten kena percaya cakap saya. Tak pernah terlintas di fikiran saya untuk menjadi bom jangka dalam organisasi ini."

"Habis tu... sebulan lebih kamu menghilang dari K.O.D, kamu pergi ke mana? Padahal pada waktu yang sama, team teroris telah pun ditubuhkan. Jadi... tak mungkin itu semua adalah kebetulan, Mior!"

"Kapten-"

Fiuh!

Sebutir peluru meluncur laju dari gelongsongnya sehingga mengakibatkan Kapten Naz terbaring lemah sambil memegang bahu kanan.

Mior terkejut. Bukan dia yang tembak ketuanya itu. Apabila dia menoleh, Koby sudah tersenyum sinis kepadanya.

"Kau!"

"Kau lambat sangatlah, Mior. Dah, jom kita pergi dari sini."

Mior dilanda dua hati- antara ingin menyelamatkan Kapten Naz atau mengikuti rancangan Koby.

Namun ternyata... demi sebuah penjelasan, dia mengejar langkah Koby.

"Cuba jelaskan pada aku, Koby. Apa maksud semua ni? Kenapa kau serang Pangkalan K.O.D dan kenapa Kapten Naz kata yang aku ni bekas anggota K.O.D?"

"Huh! Nanti kau tahulah apa sebabnya. Sekarang ni, kita akan pergi ke sebuah tempat."

*****

"BOS MIOR..."

Beberapa orang lelaki sedang tunduk hormat kepada Koby. Hal tersebut menyebabkan Mior terbeliak.

"Koby, jelaskan cepat. Apa semua ni? Kenapa mereka semua panggil kau dengan-"

"Aku sengaja buat macam tu. Em... kalau kau sertai kumpulan aku, aku akan bagitahulah dekat diorang hal yang sebenarnya yang nama aku bukan Mior tapi Cobra. Lagi pun, kau kan dah dibuang daripada K.O.D. Haha..."

"Kejap. Jangan kata kau yang-"

"Yup! Betullah sangkaan kau tu. Aku yang rancang supaya kau bertugas di luar bandar dan semasa kau tak ada, senang sikit aku nak buat kerja. Tapi... aku buat demi menyelamatkan pasukan kita, Mior. Daripada kita ditendang macam bola, lebih baik kita sendiri yang jadi pembela."

"Selamatkan pasukan kita? Jadi pembela? Eh, Koby. Tindakan kau ni bukanlah menyelamatkan tapi kau dah menjerumuskan aku dan yang lain ke lurah kematian. Kau sedar tak?"

"Wei, Mior. Kalaulah kau tahu apa sebenarnya yang terjadi di makmal bawah tanah K.O.D, mungkin kau akan tarik balik apa yang kau cakapkan ni."

Mior menggeleng seketika. "Aku tak sangka sahabat baik aku ni ada niat nak memberontak dan menentang tuan punya pangkalan dengan mereka cerita yang bukan-bukan. Huh. Kau memang manusia yang kejam! Bukan seorang dua yang jadi mangsa kau tapi ramai..."

"Mior, aku takkan jadi jahat kalau tak ada orang yang bikin masalah dengan aku. Tapi apa yang K.O.D buat dalam sisi gelapnya, itu semua tak boleh aku maafkan!"

Glock 17 kepunyaan Mior diacukan kepada Koby. Dengan rasa amarah yang menggunung, terluncur juga ayat-ayat 'keramat' itu.

"Aku tak faham cara pemikiran kau, Koby. Jadi aku nak minta maaf awal-awal. Mulai detik ini, kau bukan lagi sahabat baik aku!"

Fiuh! Tembakan rambang Mior lepaskan.

Wajah diraup kasar. Peristiwa hitam yang berlaku beberapa tahun lepas, menggamit resah di hatinya.

Sehingga kini, Mior tidak tahu mengapa dia disenarai hitamkan daripada K.O.D. Koby sendiri tidak pernah menceritakan hal sebenar akan nama pengasas kelompok yang menentang organisasi berkenaan. Sedangkan dia langsung tidak tahu-menahu tentang kelompok tersebut.

Jika diberi kesempatan, dia mahu tahu dari akar sehingga ke pucuknya.

Malang seribu kali malang, Koby telah tidak ada. Dia tewas dalam letupan di Pulau Batu. Jadi Mior takkan pernah tahu asbab mengapa bekas teman rapatnya itu bertindak sedemikian.

'Koby, aku nak sangat tahu hujung pangkal ceritanya supaya aku tak duduk dalam kebuntuan sebegini. Tapi... kenapa kau degil sangat tak nak bagitahu aku apa-apa yang aku tak tahu? Haih.'

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status