Share

Bab 3

"Maya!"

Tertoleh Maya ke belakang tanpa terniat. Walhal dia mahu mengelak dari berjumpa Puan Sarah. Tidak mahu wanita baik itu tahu mengenai pergaduhan dia dan Safwan.

"Mama ada buatkan puding. Baru ni kan Maya tak sempat makan. Makanlah. Tapi kali ni mama buat puding Oreo saja. Harap Maya sukalah," lembut nada Puan Sarah mempelawanya.

Kelu lidah Maya. Tidak tega dia menolak pemberian ikhlas ini. Perlahan tangannya menyambut. 

"Terima kasih mama," ucapnya seraya tersenyum.

Puan Sarah membalas yang sama. Dia berjinjit sedikit untuk melihat ruang pejabat anaknya.

"Mama cari Safwan?" Maya yang perasan, menyoal.

Terangguk-angguk Puan Sarah. Sedari tadi, tidak lekang senyuman di bibir.

"Bukan mama yang cari. Tapi Wan yang nak mama cari dia di pejabat. Katanya ada urusan mustahak. Entah apa-apalah. Macamlah mama ni reti perihal pejabat ni," katanya seriring tawa halus.

Mustahak? Maya mengangkat bahu. Tak tahu. Malas nak ambil tahu.

"Masuklah mama. Bilik Safwan tak ada orang," pelawanya.

Puan Sarah mengangguk. Langkahnya terhenti separuh jalan. Dia berbalik semula kepada Maya. Terpinga-pinga gadis itu.

"Lepas ni panggil Safwan, abang ye? Wan tua daripada Maya tau. Jangan lupa pula," pesannya lalu berjalan semula.

Ternganga Puan Sarah melihat keadaan Safwan. Kusut-masai rambutnya. Tampak serabut. Segera dia mendapatkan Safwan.

"Kenapa ni Wan? Cuba beritahu mama. Biar mama tolong," katanya, risau sambil menggosok-gosok bahu anaknya.

Safwan menggeleng-geleng. Dia memicit dahinya. Keluhan dilepaskan. Berat bunyinya. Dia menatap wajah mamanya, kejap sebelum bersuara, "Wan rasa nak tengok mama. Stress buat kerja. Bertimbun banyaknya." 

Musykil Puan Sarah dibuatnya.

"Wan, cuba jujur dengan mama. Mama tahu Wan ada masalah peribadi kan? Bukan dengan masalah kerja kan?" teka Puan Sarah. Tepat tekaan mamanya.

Lambat-lambat Safwan mengangguk. Tidak lama, Safwan kelihatan kelam kabut.

"Tapi ini bukan pasal Maya. Dia tak ada kena mengena," cepat-cepat dia menyangkal hal itu.

Terjongket kedua belah kening Puan Sarah. Ketara sungguh Safwan berbohong. Sejak dari kecil tak pandai menipu.

Patutlah dia perasan wajah Maya masam semacam. Rupanya tengah berperang keduanya. Menggeleng Puan Sarah tanpa sedar.

"Mama, lepas ni kita makan sama-sama. Wan laparlah, ma. Teringin makan tengah hari dengan mama," adu Safwan, mengubah topik.

Puan Sarah mengangguk sambil tersenyum. Dia melabuhkan punggung di sofa yang disediakan sementara menunggu anaknya selesai kerja.

Sesekali dia melirik ke arah Safwan. Anaknya lebih kepada termenung berbanding membuat kerja.

"Kenapa mama? Tak sedap ke pasta tu? Nak Wan tukar?"

Puan Sarah tersentak. Dia menggeleng perlahan sebelum menyuapkan makanan ke dalam mulut.

Dia perasan Safwan seperti hendak bercakap sesuatu. Pantas dia berkata, "Nak pujuk perempuan ni mudah aje, Wan. Mama sebagai kaum hawa, Insya Allah dapat bantu Wan."

Safwan tersedak. Genap anak matanya. 

"Apa yang mama mengarut ni? Wan dan Maya tak bergaduhlah," nafinya.

"Kalau mama jadi Wan, mama akan jujur dengan Maya. Luah isi hati Wan yang sebenar-benarnya. Mama tahu, selama ni Wan layan Maya dingin kan?"

Perlahan Safwan mengangguk.

"Tapi... Dengan cara mama boleh terpujuk ke hati Maya?" kendur suaranya menyoal.

Puan Sarah sekadar tersenyum. Dia sendiri tidak tahu jawapan kepada soalan itu. Tiba-tiba sahaja wajah Izz terbayang.

°°°

BERKERUT kening Puan Sarah melihat anak bongsunya. Leka sungguh menulis sehingga tidak perasan kehadirannya di sebelah. 

Puan Sarah menghela nafas perlahan, langsung membuatkan kedua belah bahu Izz terangkat. Pantas kepalanya menoleh. Anak mata menjadi genap, rona wajah berubah jadi merah serta merta.

"Ibu... ibu... ada apa-apa ke?" gugup suara Izz. Lantas kertas di atas meja disembunyikan di belakang. 

Tercuit hati Puan Sarah. Misteri sungguh! Dia duduk di sebelah anaknya. Satu senyuman dilemparkan sebelum bersuara, "Anak ibu ni bukan main menyengih, bila ibu datang hilang terus senyum dia. Tak nak share dengan ibu ke? Mana tahu ibu boleh bagi tips memikat." Terjongket-jongket keningnya.

Wajah yang sememangnya merah, tidak tahu lagi berona apa. Entah biru, entah hijau. Izz sendiri tidak tahu. Yang dia tahu, wajahnya semakin panas bahangnya!

"Apalah ibu ni. Izz kan dah ada tunang. Tak ada maknanya Izz nak memikat kawan pena Izz ni. Lagipun kawan Izz ni lelaki," sangkalnya dengan nada yang dikawal sehabis mungkin. Baru dia hendak berlalu, Puan Sarah menahannya dan menyuruhnya untuk duduk semula. Masam wajah ibu.

"Ibu... Izz..." serba salah Izz dibuatnya. Tangan ibu dipegang erat.

Puan Sarah menggeleng, air mata yang galak menitis pantas diseka. 

"Ibu okey. Cuma... cuma..." Dia tidak mampu menghabiskan ayatnya.

"Kenapa ibu? Cuba beritahu Izz," perlahan nada Izz memujuk. Redup matanya memandang ibunya.

"Boleh kamu tolong ibu?" Berharap mimik wajah Puan Sarah memandangnya. Tidak berkelip mata Izz. Sedikit terkejut.

"Ha, ada apa nak jumpa aku? Tak pernah lagi semenjak kau balik dari kolej, nak bersembang dengan aku."

Suara Safwan menyentakkannya dari lamunan nun jauh di China. Riak wajah dikawal, pura-pura selamba.

So, macam mana aku nak cakap dengan dia? Sempat Izz berdesis di hati. 

Wajah Safwan yang muram dipandang. Hebat sungguh penangan gadis itu. Ada guna apa-apa ke? Entah-entah.... Hai, tak mungkinlah!

"Kak Iman... kawan sekolah abang dulu kan?" Dia memulakan bicara. Harus bunga-bunga dahulu. 

Safwan mengangguk dengan wajah bingung. "Haah, kenapa? Ada masalah ke?" Serius nadanya.

Seriau Izz dibuatnya. Walhal bukan salahnya pun. Izz membalas dengan gelengan. Dia hanya tersenyum.

"Saja Izz tanya. Tak sangka Izz akan bernikah dengan orang yang lebih tua daripada Izz. Kau pula, nikah dengan budak sebaya aku. Jodoh. Memang tak kenal usia kan?" Panggilannya berubah. Mereka memang begitu. Kadangkala digelar abang, kadangkala beraku kau. Seperti kawan.

"So?" hanya itu dibalas Safwan. Tiada tanda-tanda dia berminat dengan bicara adiknya.

Izz menghela nafas perlahan. Nampaknya dia terpaksa langsung ke tujuan asal. Sudah berbunga, hampir nak berbuah dah pun. Lama-lama pasti layu! Haih, apa dia cakap ni?

"Budak sebaya aku, nak pujuk ni guna cara lain. Bukan macam budak sebaya kau. Cepat sejuk. Tunang kau tu sensitif sikit. Eh, bukan. Banyak!" Dia mengerling sekilas ke arah Safwan yang kelihatan sudah berminat.

"Kalau aku, aku akan pujuk guna pelbagai cara. Bagi bunga ke, bawa jalan-jalan ke? Ala, macam dating dak dak couple. Tak akan kau tak tahu," sambung Izz.

Izz bangun. Dia bukan suka sangat dengan budak di alam maya tu. Tapi demi abangnya dan ibu dia sanggup lakukan apa sahaja. Kedua insan ini sudah banyak berkorban untuk dia. Walaupun mereka cuma keluarga tiri...

Bahu Safwan dipegang. Abangnya mendongak, memandangnya yang tersenyum.

"Break a leg!" ucapnya bersama tangan yang digempalkan. 

"Izz, ada surat untuk kamu ni!" Laungan ibu kedengaran. Terus lebar senyuman Izz. Lama benar sahabat pena itu mahu membalas.

"Aku pergi dulu," katanya lalu berlari anak menuju ke arah ibu.

Safwan hanya memandang sehingga kelibat adiknya menjadi kecil. Kata-kata adiknya bagai terngiang-ngiang. Berjayakah dia? 

Perlahan dia melepaskan keluhan. Maya, Wan rindu Maya. Sayu dia bermonolog.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status