Share

HASRAT | BAB 2

NADZMI tekun menyiapkan latihan komsas yang diberikan oleh Cikgu Ruzaini berkaitan sajak 'Pesan Ibu Beribu-ribu'. Latihan itu disiapkan bersama satu perasaan yang telah sekian lama dipendamnya, yakni rindu.

Sungguhpun sajak itu tiada kaitan dengan kisah derita hidupnya, tetapi sajak itu secara tidak langsung telah menggamit memori indah disaat mereka masih hidup bahagia bersama ketika dahulu, sebelum segalanya berubah angkara kemunculan Kamelia dalam hidup mereka. 

Hampir sahaja air mata jantannya jatuh mencemari pipi tatkala dia semakin hanyut dibawa arus khayalan, tetapi khayalan itu akhirnya terpancung apabila Cikgu Ruzaini menegurnya. 

"Nadzmi, kamu ada apa-apa masalah?" tanya Cikgu Ruzaini, merenung tampang wajah Nadzmi.

"Tak ada, cikgu," Nadzmi cuba berlagak tenang meskipun sisa-sisa khayali tadi masih berlegar-legar di sanubari.

Nadzmi ditenung oleh Cikgu Ruzaini. Dia dapat melihat kesan-kesan sebatan di tubuh badan Nadzmi kerana anak muridnya yang seorang ini hanya memakai sehelai uniform putih tanpa singlet di dalam.

"Kamu kena pukul lagi, Nadzmi?" Cikgu Ruzaini bertanya lagi walakin dia sudah mengetahui jawapan yang akan diberikan oleh Nadzmi.

"Ya cikgu, macam biasalah ..." Itulah ungkapan yang kerap kali Nadzmi ucapkan tatkala Cikgu Ruzaini selalu bertanya soalan yang sama setiap kali melihatkan keadaan dirinya. 

Cikgu Ruzaini termangu seketika.  Dia sangat mafhum akan nasib yang membelit anak muridnya ini. Tetapi buat masa sekarang, dia hanya mampu memberikan sokongan moral kepada Nadzmi kerana dia masih belum mengetahui cara untuk menyelamatkan Nadzmi daripada terus dibelenggu derita. 

'Pasti ada cara.' Getus hatinya. 

***

Restoran Chicken Rice Shop, ÆON Jusco Wangsa Maju. 

Izzah menguis makanan di hadapannya. Secubit demi secubit nasi ayam itu disuap ke dalam mulut. Dia sepertinya tidak punya selera untuk makan. Berlagalah sepasang mata milik Hani dan Sha ketika melihat tingkah Izzah itu. 

"Izzah, tak baik menghadap rezeki dengan muka macam itu. Kau masih terfikirkan anak kau ke?" Hani menegur. Pandangannya tepat memaku wajah Izzah di hadapannya.

"Ya, aku fikir apa khabar anak aku sekarang. Aku sentiasa merasakan ada sesuatu yang  terjadi pada dia, selalu sangat." Izzah menjawab lemah.

"Sabarlah, Izzah. Aku yakin anak kau tak akan apa-apa. Aku pasti, anak kau tu kuat orangnya. Samalah seperti ibunya juga. Janganlah selalu sangat serabutkan kepala kau tu ... Nanti kalau berlaku apa-apa, aku dengan Hani juga susah nanti," Sha menasihati. 

"Ya, aku tahu. Tapi, aku tak rasa anak aku bahagia bersama perempuan tu. Aku kecewa sangat, kecewa sebab perempuan tu khianati persahabatan kami dulu. Aku geram tahu tak?" luah Izzah. 

Kamelia dahulunya adalah sahabat karib mereka bertiga sejak sekolah menengah. Boleh dikatakan sahabat sehidup semati, susah senang bersama. Tetapi, segalanya berubah 360 darjah tatkala Kamelia tiba-tiba menghilang selama beberapa tahun dan kembali semula bersama perubahan yang begitu ketara lima tahun kemudiannya. 

'Lima tahun menghilang. Ke manakah Kamelia pergi? Argh! Mengapa pula aku perlu fikirkan hal itu sedangkan aku sangat berdendam dengan dia kerana telah merampas kebahagiaan aku.' Hatinya berbicara sendiri.

"Kita orang pun terkejut juga bila Kamelia tiba-tiba buat kau macam ini. Dia bukan lagi Kamelia yang kita kenal dulu, dia dah banyak berubah sekarang sebab aku pernah ternampak dia dengan seorang budak. Tapi bukan anak kau si Nadzmi, Khairy nama dia kalau tak silap aku." Panjang lebar baris ayat Hani.

"Sejak bila pula dia kahwin? Kita tak pernah tahu pun?" Persoalan itu terkutik di minda Sha bersama kerutan di dahi. 

"Kau orang rasa, masa dia menghilang enam tahun tu, dia kahwin tak jemput kita atau dia kahwin lari?" Hani pula bersuara.

"Tak tahulah aku!" Izzah menyembur geram. Semakin sakit pula hatinya mendengarkan nama itu. "Sudah, jangan cakap lagi fasal dia. Naik menanah telinga aku ni dengar kau orang sebut nama dia." 

Hani dan Sha terpaksa akur. Mereka sememangnya tidak patut memanjangkan bicara tentang Kamelia kerana bimbang luka di hati sahabat baik mereka itu semakin parah hanya kerana diungkit kisah lama. 

Lagipun, mereka membawa lzzah ke sini bukannya bertujuan untuk menambahkan tekanannya, tetapi untuk melipurkannya. Mereka sebagai sahabat perlu sentiasa memberikannya semangat supaya terus kuat dalam menghadapi ujian yang diberi oleh Allah SWT kepadanya.

***

Kring!

Loceng berbunyi menandakan waktu rehat untuk tingkatan tiga telah bermula. Kebanyakkan pelajar memilih untuk duduk bersama sahabat masing-masing untuk makan dan berbual bersama di kantin sementara Nadzmi duduk membawa diri di pondok wakaf berhampiran.

"Nadzmi! Awalnya kau sampai, aku je baru dapat keluar kelas tadi," tegur Luqman yang baru tiba di pondok wakaf itu. 

"Tak adalah awal mana. Aku pun baru saja sampai tadi," Nadzmi sekadar melukis senyum, melihat Luqman yang telah duduk di sebelahnya.

"Kau dah makan?" tanya Luqman.

"Belum, aku tunggu kau," jawab Nadzmi bersahaja.

Luqman mengukir senyum segaris sebelum berkata, "Jomlah kita makan, nanti loceng dah berbunyi, tak sempat makan pula kita." 

Mereka mula menjamah makanan yang diberikan oleh Cik Azimah pagi tadi. Bergerak-gerak pipi mereka ketika memamah nasi goreng itu sebelum ia ditelan dan dicernakan oleh perut. 

Luqman mengerling Nadzmi di sebelahnya. Baru dia sedar bahwa hari ini Nadzmi hanya memakai uniform sekolah sahaja tanpa memakai singlet di dalam seperti kelazimannya. 

Rakannya yang seorang ini kebiasaannya akan memakai singlet di dalam untuk mengaburi mata rakan-rakan dan guru daripada menyedari kesan-kesan pukulan mahupun sebatan di tubuhnya. Tetapi, mengapa hari ini tiba-tiba? 

"Nadzmi. Aku nak tanya kau sikit,  boleh? Biasanya kau pakai singlet bila pakai baju sekolah, tapi kenapa hari ni tak pakai? Aku tanya sebab aku nak tahu je, tak ada niat lain pun," Luqman memilih untuk bertanya setelah beberapa seketika mereka berdiam diri.

Nadzmi mencari sekelumit udara untuk bernafas sebelum menjawab, "Malam tadi aku lupa nak sidai baju sekolah fasal aku sakit kena belasah. Nasib baiklah aku bangun awal pagi tadi, tapi sempat gosok baju dengan seluar je. Aku takut tak sempat nak keluar sebelum pukul enam." 

"Oh, begitu ..." Luqman mengangguk beberapa kali, tanda memahami telahan rakannya. 

"Hai Nadzmi, hai Luqman. Berborak apa tu, boleh aku ikut serta?" Aleyna, rakan sekelas mereka menegur. 

"Kita orang berborak kosong je. Duduklah," ujar Luqman pada Aleyna.

"Kau okey, Nadzmi?" soal Aleyna, mesra. 

"Hmm ..." Sepatah jawapan Nadzmi. Berkerenyut dahi Aleyna memandang roman muka rakannya. 

"Hmm tu, maksudnya okey ke tidak?" Aleyna bertanya lagi.

"Kalau dia jawab hmm, itu maksudnya macam biasalah ... Kau sendiri pun tahu apa maknanya kan?" jawab Luqman mewakili Nadzmi.  

"Aku tahu ... Hari tu, adik aku mengadu pasal si Khairy tu. Faham-faham sajalah, dia tu suka sangat mengejek fizikal adik aku. Tahulah dia lagi tinggi daripada adik aku, tapi perlu ke nak mengejek sampai menyakitkan hati orang?" Termuntah kata-kata itu dari ulas bibir Aleyna.

"Ala, mengejek tu biasalah. Kau pun selalu mengejek aku kan?" kata Luqman diselangi jelingan tajam pada Aleyna.

"Itu ejek bergurau, bukannya seperti si Khairy itu, mengejek orang sampaikan adik aku pun dia intai dalam tandas. Entah syaitan mana yang rasuk dia pun aku tak tahulah. Marah nanti, mengadu pula pada mak dia, haih ..." bebel Aleyna perlahan.

"Sampai begitu sekali? Makin lama makin teruk nampaknya budak tu ya," ujar Luqman kemudiannya.

"Memanglah, kalau dah mak dia perangai macam itu, dengan anak dia pun ikut perangai sama," tutur Aleyna berbaur sindiran. Makin berparut pula geram di hatinya tatkala mengenang kembali apa yang telah dilakukan oleh Khairy terhadap adiknya sebelum ini. 

"Tapi kau kena beringat juga, bagaimana sekalipun si Khairy tu ejek atau buli adik kau, kawan kita yang seorang ni kena dua kali ganda lebih teruk daripada orang lain tau. Ingat tu. Jom kita naik kelas," Luqman sempat menitip peringatan itu sebelum mengajak rakan-rakannya untuk naik ke kelas.

Sepanjang perbualan mereka sebentar tadi, Nadzmi hanya diam membatu sahaja. Jikalau dia berkata ingin bertindak untuk membalas dendam sekalipun, bukannya dapat apa-apa keuntungan. Menambah derita yang sudah sedia sakit lagi adalah. 

Pilihan yang dia ada ketika itu cuma satu, iaitu mendiamkan diri sahaja. 

***

Perbualan antara Luqman dan Aleyna tadi rupa-rupanya didengari oleh Arman, seorang pelajar tingkatan satu, juga adik kepada Aleyna. Dikala itu, dia bersembunyi di sebalik semak.

Sebenarnya, dia hendak ke tandas untuk melepaskan hajat, tetapi apabila terdengarkan perbualan antara kakaknya dan abang Luqman, perasaan ingin tahunya sekonyong-konyong berkunjung tiba. Maka, Arman memilih untuk memasang telinga dan menahan seketika rasa nak terkucilnya.

Arman sebenarnya dapat mengagak apa yang dibualkan oleh mereka, tetapi apabila mendengarkan abang Nadzmi kena lebih teruk daripadanya, maka perasaan ingin membalas dendam bagi pihak kawan kakaknya itu mula membara di dalam dirinya.

Lagipun, dia sudah punya rencana bersama tiga orang rakannya untuk mengenakan Khairy semula. Dia pasti, penderitaan abang Nadzmi sudah pasti berpunca daripada Khairy juga. 

Selesai menunaikan qada hajat, dia kembali ke kelasnya yang terletak di tingkat tiga, kelas 1 UUM.

"Lamanya kau pergi tandas, Arman. Kau buat apa lama-lama? Tidur ke?" Arsyad bertanya sebaik Arman duduk di tempatnya. 

"Sebelum aku pergi tandas, aku terdengar kakak aku berborak dengan kawan dia. Aku pun menyoroklah belakang semak sebab nak tahu kakak aku berborak fasal apa." Arman berterus terang.

"Fasal apa?" Arsyad ingin tahu.

"Fasal si Khairy." Ringkas sahaja jawapan Arman.

"Itu je? Kalau fasal dia, lebih baik kau tak payah cakap," balas Arsyad. Buat sakit hati sahaja bercakap tentang Khairy.

"Sabarlah, dengar dulu apa aku nak cakap ni!" tegas Arman.

"Dah kau tu yang cerita tak habis," Arsyad mula membebel. 

"Kau kenal abang Nadzmi kan? Sebenarnya abang Nadzmi kena lagi teruk daripada kita," beritahu Arman.

"Maksud kau?" Arsyad menjungkit kening merenung Arman.

"Kita selalu kena ejek dan kena buli dengan si Khairy kan? Abang Nadzmi sebenarnya kena lagi teruk daripada kita. Tadi aku ada perasan kat lengan abang Nadzmi ada kesan merah sikit-sikit. Itu mesti angkara si Khairy juga tu. Kasihan dia," jelas Arman bersama sekelumit rasa simpati di dasar hatinya.

"Maknanya, kau nak kita kenakan si Khairy untuk pihak abang Nadzmi juga?" Arsyad merenung Arman meminta kepastian.

"Ya." Sepatah jawapan Arman.

Comments (1)
goodnovel comment avatar
ALISSA ALEE
continue dik...
VIEW ALL COMMENTS

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status