Share

Hopeless Romantis! [Bahasa Malaysia]
Hopeless Romantis! [Bahasa Malaysia]
Author: McSyahira

BAB 1

"Maaf, Sayang. I tak rasa I boleh teruskan hubungan kita."

Fatin tercengang. Perkhabaran yang telah diterima dari mulut Alif merangkap teman lelakinya yang sudah masuk 3 bulan bersama itu benar-benar buat Fatin buntu.

Dimana salahnya kali ini? 

Dia sedaya upaya cuba menjadi gadis yang Alif sukai. Penat-lelahnya menarik perhatian lelaki itu selama bertahun-tahun tersia-sia begitu sahaja!

"Hoi! Kau termenung apa tu, Aten?"

Fatin berpaling ke sebelah. Biskut yang masih separuh itu disumbat masuk ke dalam mulut lalu menepuk-menepuk tangan menjatuhkan segala habuk-habuk dari biskut. 

"Aku dengan Alif dah putus."

Terbeliak mata Raihan. Bahu Fatin ditampar beberapa kali mendesak supaya gadis itu cerita apa yang berlaku. Raihan duduk menghadap Fatin. 

Fatin menjungkit bahu. Dia sendiri kurang jelas akan sebab kenapa lelaki itu minta putus. 

"Macam mana boleh tak tahu pula? Kau ada buat apa-apa yang dia tak suka ke?"

Fatin monyok. Bibir terjuih ke depan. 

"Kau ingat selama ni aku ada buat benda yang dia tak suka ke? Dia suruh aku labuhkan sikit tudung, aku buat! Dia suruh aku labuhkan sikit kain, aku buat! Dia suruh aku kurangkan bersolek, aku buat!" Mata Fatin mencerlung. 

Raihan beriak tidak percaya. Lubang air kotak dicucuk dan disedut sambil memikirkan masalah Fatin. Apa yang tidak kena? Alif itu idaman wanita di sekolah. Stok-stok imam muda. Dan tidak disangka, Alif menerima luahan cinta Fatin. Gadis gedik sekolah. Gedik ke? Boleh tahanlah gedik kawan baiknya ini. 

"Kau layan lelaki lain ke?"

"Hoi! Aku ini mengada aje lebih. Tapi aku setia tau. Aku nampak aje menggeletis tapi aku tak, tau! Waras tau tak, waras!" Jari ditunjal-tunjal ke kepala sendiri. 

Raihan beriak mahu muntah. Mata dikecilkan. Waras? Dah macam tak waras aje dia lihat si Fatin ni. 

"Kau jangan nak sepet-sepetkan mata kau begitu. Aku cucuk nanti!" Dua jari Fatin naikkan seakan mahu mencucuk biji mata Raihan. 

Raihan ketawa. Dijauhkan wajahnya dari Fatin. 

"Okay. Sekarang kau nak buat apa? Patutlah aku tengok kau tak semenggah hari ni. Baju kurung ketat, tudung dah pendek balik. Stokin pakai adik punya. Tu, dada kau tu tak boleh cover ke? Muka dah macam perempuan sewel, pakaian pun macam orang tak ada duit, perangai tak senonoh…."

"Nasiblah kau ni kawan baik aku, Han. Kalau kau ni bukan kawan baik aku, nescaya memang aku lancarkan perang dingin. Sedap kau mengutuk." Air mineral di dalam botol, Fatin teguk sampai habis. 

"Aku bukan apa, Aten. Aku rasa kau kena berubah dengan hati yang ikhlas. Bukan sebab si Alif tu. Kau cantik lagi kalau kau pakai elok-elok. Kau memang tak boleh hidup kalau tak ada boifren, ya?"

Fatin mengangguk laju. Tepat! Tepat! Tepat sekali! 

Jarinya dituding terhala ke Raihan. Mata dibulatkan. 

"Memang! Aku tak boleh sunyi. Paling kurang pun, malam-malam kena on-the-phone dengan somebody. Bosanlah single!"

Pap! 

Satu libasan tepat mengena kepala Fatin membuatkan dia terkejut. Habis tudungnya dah tak tegak lagi!

Raihan tersipu-sipu. Kalau tadi gadis itu rancak berborak, terus jadi bisu.

"Kau!" bentak Fatin.

"Apa?" Lelaki berbaju biru itu membalas. 

"Kau tunggu apa lagi? Banyak buku baru sampai tu. Pergilah tolong cikgu!" sambung lelaki itu lagi. 

"Murad…." Fatin menahan geram. 

"Abang. Abang Murad." Murad betulkan.

Fatin mencebik. Nak muntah dia dengar perkataan itu dari mulut Murad. Abang? Dei, piiiiirah!

"Daripada kau duduk berbual kosong dekat sini, baik kau pergi buat apa yang patut." Gulungan kertas yang Murad guna buat melampiaskan rasa tidak puas hatinya pada Fatin tadi diturunkan ke bawah. 

Fatin mengetap gigi. Murad memang tak habis-habis menganggu ketenangan dia. Pantang nampak dia bersenang-lenang.

"Daripada kau asyik-asyik cari salah aku, baik kau pergi cari girlfriend!"

"Whatever! Aku bila-bila pun boleh cari girlfriend. Bukan macam kau." Mata Murad memandang Fatin dengan pandangan sinis.

"Diam!" Telapak tangan Fatin terangkat. Dia tak mahu dengar kata-kata Murad yang seterusnya akan menyakitkan hati dia sendiri.

Murad mengejek-ejek. Lidahnya dijelir. Sengaja memarakkan lagi api kemarahan Fatin.

Fatin bingkas bangun. Botol air mineral dicampak masuk ke dalam tong sampah. Kaki dihentak-hentak kuat. 

"Kain kau tu turunkan! Tak senonoh!"

Fatin menurunkan sedikit kainnya sehingga menutup buku lali yang terdedah. Dia perasan anak mata Murad terhala terus ke arah dadanya. Cepat-cepat Fatin tutup.

"Ada aku suruh kau tengok?"

"Dah kau tunjuk, aku tengoklah!"

Murad dijeling tajam. Murad si pengawas berlagak! Orang semua tertipu dengan perangai suci murni Murad. Hanya dia seorang yang tahu siapa Murad sebenarnya. Dia dan Murad berjiran. Dari kecil sehingga dah besar gedabak begini. Murad yang tua dua tahun darinya itu. 

"Pervert!"

Mata Murad terbeliak. Selamba aje si sewel ni panggil dia pervert! Tangan sudah diangkat mahu melibas kepala Fatin sekali lagi. 

Fatin berlari anak menjauhi Murad supaya libasan lelaki itu tak terkena padanya. 

"At least aku tak ada koleksi komik jepun rated 18+!"

"Weh! Kau pergi tolong cikgu sekarang!" arah Murad mematikan topik dari Fatin. 

Fatin menjelir lidah. Wajah Murad yang sudah masam mencuka itu buat dia gembira tak terkata. Murad ingat hanya kerana dia lebih tua, Fatin akan beri muka? Beranganlah kau labu!

Sepanjang melangkah ke bilik SPBT, mulut Fatin terkumat-kamit menyumpah Murad. Tunggu hari saja dia akan balas semula segala penganiayaan Murad padanya.

Fatin berhenti. Bibir tersenyum dengan tangan dilambai ke udara. Wanita 40-an yang baru tiba dengan buku-buku ditangan itu membalas senyuman Fatin. 

"Cikgu Asma!"

"Fatin… Murad mana?" Cikgu Asma memandang sekeliling. Mencari susuk si Murad. 

"Murad suruh Aten datang sini tolong cikgu angkat buku."

Kepala Cikgu Asma menggeleng. Kunci bilik SPBT diserah kepada Fatin memandangkan dia perlu bawa masuk buku-buku yang sudah siap diikat itu ke dalam. 

"Saya suruh Murad datang tolong. Banyak bukunya. Kalau harap kudrat kita berdua, sampai ke petang tak siap. Berat!"

Cis! Tak guna punya Murad.

Murad sengaja mahu lepas tangan. Murad buat apa? Merayap tak tentu hala pusing-pusing sekolah. Dia ingat dia pengawal keselamatan ke?

"Tak apa, Cikgu. Cikgu biar aje buku tu dalam lori. Nanti saya pergi cari Murad," tekadnya. Buku di tangan Cikgu Asma diambil. 

Cikgu Asma duduk di kaunter SPBT. Senarai buku-buku yang baru tiba itu diteliti sementara buku belum dikeluarkan dari lori. Fatin memang boleh diharapkan. Walaupun ramai guru tidak berapa suka dengan gadis ini kerana pemakaiannya yang selalu melanggar peraturan, tetapi Fatin sejujurnya anak yang baik. 

Sudah banyak kali dia mendengar cemuhan terhadap Fatin dari mulut ustazah-ustazah yang memang tidak berapa gemar dengan gadis itu. Tetapi dia bangga dengan Fatin. Belum sekalipun Fatin memburukkan ustazah-ustazah yang mencemuhnya. 

"Nah! Nanti awak beli milo ais untuk diri awak. Jangan kongsi dengan Murad. Biar dia datang tolong dulu, baru saya beri upah," ujar Cikgu Asma. Not berjumlah tiga ringgit dihulur kepada Fatin. 

"Yes! Thank you, cikgu! Kejap, saya pergi seret si Murad datang sini!"

Cikgu Asma menggeleng dan ketawa. Memang Murad dan Fatin sajalah yang aktif di kelab SPBT. Budak-budak lain, nak nampak batang hidung pun susah. 

Fatin berlari anak ke padang bola. Selalunya Murad di situ. Lelaki itu memang suka merenung nasib diri dekat tengah padang. Nama aje ketua pengawas, perangai langsung tak layak menyandang jawatan itu. 

Dari jauh Fatin nampak Murad sedang bertenggek di atas bangku di tepi padang. Bibir mencebik melihat putung rokok yang terselit di antara celahan jari Murad. 

Siap kau!

Comments (1)
goodnovel comment avatar
Nimzaron Azil
hai author...akk baru start baca nih......
VIEW ALL COMMENTS

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status