Share

Janji Yang Terlerai [Bahasa Malaysia]
Janji Yang Terlerai [Bahasa Malaysia]
Author: Misz_s

Prolog

   

Sungai yang mengalir tenang di hadapan mata sedikit sebanyak telah menenangkan otak yang sedang berserabut memikirkan hal duniawi. Memang kalau makin difikirkan, makin berserabut kepala jadinya. 

Tangan pula sibuk mengkuis-kuis rumput hijau yang renek. Air mata ditahan sebaik mungkin agar tidak gugur dalam menghadapi medan genting ini. Entah mengapa semakin ditahan, makin galak pula mutiara jernih itu mahu jatuh menyembah bumi.

Batu-batuan yang ada berhampiran dicapai dan dilempar satu persatu ke dalam sungai. Dibalingnya sekuat hati bagai mahu melepaskan semua rasa sesak yang terbuku di dada.

Keluhan nafas dihela panjang. Berat untuk diluah dengan kata-kata akan masalahnya itu. 

Dia, Nur Alisa, gadis yang terlampau mengejar harta dunia hinggakan dia membutakan mata mengenai ilmu akhirat. Memang benar apa yang dikatakan oleh ustazahnya dahulu apabila kita terlampau cintakan dunia sampaikan  sanggup kita menghambakan diri kepada isi di dunia ini akan membuatkan kita alpa. Hinggakan kita sendiri sedar apa tugas kita yang sebenar di muka bumi ini.

Ya, dia akui yang dia salah seorang antara golongan yang sesat, terpesong akidah dan hilang pedoman hidup. Maruah dan harga diri pula dengan senang hatinya dibiarkan untuk dipijak. 

Permata yang dulunya dijaga kini sudah pun jatuh di tangan orang yang bukan selayaknya. Kini dia pergi, pergi untuk membawa diri dan lari dari masalah yang dahulunya dia sendiri yang pergi mencarinya.

Air mata tidak dapat ditahan lagi. Maafkan Alisa ibu, maafkan Alisa ayah. Alisa bodoh kerana membiarkan bisikan syaitan menyerap masuk ke halwa telinga Alisa. Alisa leka. 

Dulu duit merupakan segalanya bagi dia. Sekarang baru dia sedar akan natijahnya. Ibu dan ayah yang terpaksa menanggung bebannya sekali. Entah apalah cemuhan yang orang kampung lemparkan kepada mereka berdua. Maafkan Alisa....

Puas dia menangis dan puas juga dia memujuk hati kecilnya itu. Perut yang masih lagi rata diusap perlahan. Ya, tidak dinafikan bahawa ada satu lagi nyawa berharga di dalam rahimnya. Mahu menyesal bagaimana lagi? Semuanya sudah terlambat. Nasi sudahpun bertukar menjadi bubur.

Perlahan-lahan Alisa bangun dari duduknya. Kaki mula mengorak berlalu dari situ. Sugul sahaja wajahnya. Tidak ubah seperti mayat hidup sahaja kalau orang lain melihat dirinya sekarang ini.

Laungan adzan yang mula bergema menyentakkan Alisa. Terkedu sebentar dia dibuatnya. Air mata yang mula bertakung di tubir mata ditahan supaya tidak jatuh mengalir ke pipi. Bibir bawah diketap kuat menahan asakan rasa bersalah yang mula menyerbu diri.

Makin lama dia mendengar laungan adzan itu, semakin runtun hatinya. Kaki mula terasa lemah. Dia sudah jatuh terduduk sambil tangan kanannya menekan dada yang mula terasa perit. Ya Allah, dosanya bagaikan buih di lautan yang tidak terkira banyaknya. Masih adakah ruang taubat untuk insan sehina dia?

Alisa menguatkan diri untuk bangun semula. Tangan yang terketar-ketar jelas menunjukkan perasaannya saat itu. Dia takut, dia risau, resah, gelisah dan semua perasaan negatif mula timbul di dalam dirinya. 

Masjid yang tadinya bergema dengan laungan adzan dihampiri dengan jiwa yang luruh. Bolehkah orang seperti dia masuk ke rumah suci ini? 

Satu persatu kenderaan beroda dua mula memasuki ruang perkarangan masjid tersebut. Langit yang sudah mula bertukar muram hanya diendahkan. 

Blok batu yang berada tidak jauh dari masjid dihampiri. Perlahan-lahan punggung dilabuhkan di situ. Anak rambut yang melorot jatuh menutupi wajah disisir lembut ke belakang. Mata pula masih lagi merenung kawasan masjid yang sedikit sebanyak mula didatangi para jemaah. Ada yang datang dengan membonceng isteri. Malah ada yang datang beramai-ramai dengan hanya berjalan kaki.

Memang tidak dinafikan yang hatinya sungguh cemburu dengan mereka. Tapi, masih ada ruangkah untuknya di dalam sana?

"Dik?" 

Tersentak bahu Alisa apabila ada satu suara lembut yang menegurnya. Didongakkan wajahnya ke atas untuk melihat siapa gerangan yang menegurnya tadi. Wanita yang berkain batik bersama telekung putih sudahpun berdiri tegak disebelahnya saat ini.

Lantas Alisa bangun dari duduknya. Dia ingin lekas beredar dari situ. Risau kalau kehadirannya sekarang ini tidak menyenangkan semua para jemaah.

"Eh, adik nak pergi mana?" soal wanita itu.

Alisa terus mematikan langkahnya. Entah mengapa naluri hatinya kuat menyuruh agar dia berpaling memandang wajah wanita itu. Kemudian, perlahan-lahan kepala dipusing memandang wajah wanita yang sedang mananti dengan seraut senyuman di bibirnya.

Terketar-ketar bibir Alisa yang mahu memulakan bicara. Air mata yang bertakung sekali lagi cuba ditahan sehabis baik.

"sa...saya nak pe...pergi...." Alisa mati kata. Sebenarnya dirinya mahu sangat menjejakkan kaki ke rumah Allah itu. Tetapi, bila dikenang semula segala dosa-dosanya, terasa diri ini sungguh tidak layak. 

"Mari kita masuk ke dalam. Kita solat dulu." pelawa wanita itu. Terkedu Alisa mendengarnya. Benarkah ini? Tidak salahkah apa yang baru dia dengari tadi?

"Bo...boleh ke?" soal Alisa. 

"Boleh.... Tapi, adik kena pakai tudung dulu. Nak masuk masjid kena pakai pakaian yang sopan. Inikan rumah Allah." kata wanita itu seraya tangannya menyeluk ke dalam raga yang dibawa bersamanya tadi. Lalu dihulurkan sehelai tudung sarung berwarna coklat kepada Alisa.

Teragak-agak Alisa mahu menyambutnya. Terpana dia dengan kemuliaan hati wanita ini.

"Ini akak ada bawa tudung sarung lebih, pakailah. Akak bawa sebab ingat nak pakai balik nanti. Tapi, tak mengapa. Adik pakailah dulu. Nanti balik akak pakai telekung ini sahaja." jelas wanita itu.

Lambat-lambat Alisa mahu menyambut huluran dari wanita itu. Akhirnya pemberian itu bertukar tangan. Pantas Alisa menyarungkan tudung tadi di kepalanya. Perlahan-lahan senyuman diukir. Suka dia apabila dapat memakai tudung.

"Baru sopan begini. Mari kita masuk ke dalam." puji wanita itu bersama dengan senyuman manisnya.

"Te...terima kasih kak." balas Alisa bersama suara yang serak basah. Jelas kedengaran yang hatinya pilu sekarang ini.

"Sama-sama."

"Er...kak." panggil Alisa.

Wanita itu kemudian memalingkan muka memandang wajah Alisa di sebelah.

"Bo...boleh Alisa tahu nama akak siapa?" soal Alisa. Membuak-buak perasaan ingin tahunya itu. Jika ada peluang nanti, ingin dia balas jasa wanita ini.

"Hayati." jawab wanita itu. Manis sahaja senyumannya. Terpana Alisa dibuatnya.

"Kak Hayati?" soal Alisa sekali lagi.

"Kak Yati. Alisa boleh panggil akak, Kak Yati." 

Alisa terdiam. Bunyi iqamat yang bergema di dalam masjid menyentakkan mereka berdua.

"Lekas. Kita dah lambat ini." kata Hayati seraya menarik lengan Alisa untuk mengikutnya masuk ke dalam masjid. 

Di dalam masjid, saat yang lain sedang khusyuk menunaikan solat, Alisa berdiri tercegat sambil memerhati yang lain. Sesekali terlihat air mata jernih mula jatuh membasahi pipi. Di dalam hati hanya Allah yang tahu betapa dia mahu menunaikan solat fardhu ini. Tapi bagaimana caranya?

Alisa kemudian mengundurkan diri dan duduk bersandar pada dinding masjid. Dia menekur lantai dan sesekali memerhati para jemaah. Tidak lupa juga Kak Yati yang sedang khusyuk di dalam solatnya.

Berjurai air mata Alisa mengenangkan nasib diri. Teruk sangatkah dia? Ya Allah, luluh hatinya. Dia sungguh menyesal.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status