Share

Bab 1

Author: Ash Akif
last update Last Updated: 2025-08-20 12:44:14

Langit diterangi sinar mentari yang membahang. Burung-burung terbang dengan riang menandakan bahawa hari ini adalah hari yang sesuai untuk semua keluar menjalani pekerjaan masing-masing. Di lorong kampung yang sempit, ramai orang lalu-lalang menuju ke destinasi masing-masing.

"Maaf, boleh hantar saya ke lokasi ni tak?" Seorang wanita berpakaian lusuh dengan rambut paras dada yang dibiarkan mengurai menunjukkan satu kertas kepada seorang lelaki yang berada di tempat duduk pemandu sebuah kereta.

Lelaki bertopi itu merenung tulisan yang tercatat pada kertas yang dipegang wanita tadi, sebelum menggelengkan kepala. "Jauh tempat ni, cik. Saya tak hantar sampai ke situ."

"Oh, ya ke?" Wanita yang kelihatan berusia lewat 20-an itu tampak terkejut dan kecewa mendengarkan kata-kata lelaki yang merupakan pemandu kereta sewa itu. Dia membelek alamat yang tercatat pada kertas di tangannya sekilas sebelum kembali memandang lelaki bermisai tadi.

"Err…kalau macam tu, biasanya orang pergi ke tempat ni guna apa ya?"

"Naik kapal atau perahu, cik. Ada kapal yang berhenti pada pesisir dekat bandar-bandar berhampiran. Bila kamu dah turun kapal, boleh lah cari kereta sewa untuk bawa ke alamat ni." Terang lelaki tadi sambil menunjuk kepada kertas yang dipegang oleh wanita itu.

"Tempat yang kamu nak pergi ni duduknya di bandar, kira-kira dua bandar daripada bandar yang kamu selalu pergi. Memang kena guna jalan laut lah."

" Begitu ke..." Wanita itu menganggukkan kepalanya perlahan-lahan, seperti keliru. Lelaki yang merupakan pemandu kereta sewa itu memandang wajah wanita tersebut, ada riak prihatin terpapar pada muka lelaki berusia lewat 50-an itu.

"Kenapa cik nak ke sana? Kalau dari yang saya lihat, cik nampaknya tak tahu pun tempat tu di mana? Bukan ke bahaya pergi jauh-jauh seorang diri?"

"Oh, sa…saya ada urusan sikit kat sana…" Wanita yang mengenakan skirt dan kasut lusuh warna coklat itu teragak-agak apabila melihat riak wajah lelaki yang tampak garang tetapi penuh keprihatinan itu. Dia menundukkan kepalanya.

"Semalam doktor tiba-tiba beritahu yang sakit ayah dah bertambah parah. Dia perlu gunakan ubat baru, dan ubat tu saya boleh dapatkan di lokasi yang saya tunjuk tadi."

Pemandu kereta sewa itu diam seketika, dia memerhatikan wanita yang berdiri di sisi keretanya itu. "Kamu…anak kepada Reiner, kan?"

Lelaki bertopi itu bersuara dengan perlahan, hampir tidak didengari oleh wanita berambut hitam gelap tadi. Wanita itu mengangkat mukanya dengan riak terkejut. "E…encik kenal ayah saya?"

Lelaki itu membuang pandang ke arah jalan yang sempit itu. Dia diam sejenak sebelum kembali berpaling ke arah wanita itu. "Ya, saya berkawan dengan ayah kamu dahulu. Dah lama saya tak jumpa dia."

"Ya ke? Kalau macam tu, encik datanglah melawat ayah. Dah lama ayah tak berjumpa dengan kawan-kawan dia. Pasti ayah akan gembira sangat. Cuma…" Perempuan berkulit sawo matang itu menundukkan kepala semula, kelihatan serba-salah.

"Ayah tak berapa sihat, jadi dia mungkin tak boleh berbual lama dengan encik."

Lelaki berambut coklat gelap itu sekali lagi diam. Dia kemudiannya membelek sesuatu yang berada di tempat duduk penumpang di sebelahnya. Selepas beberapa ketika, dia kembali berpaling sambil menghulurkan satu dompet kecil yang sudah lusuh keadaannya. "Ambil ni."

Perbuatan tiba-tiba lelaki itu membuatkan wanita tadi terdiam. "A…apa ni, encik?"

Lelaki itu merenung mata bundar berwarna hijau di hadapannya seketika, sebelum dia mengambil tangan wanita itu lalu meletakkan dompet kecil tadi di atasnya. "Simpan. Saya nak kamu beri ini kepada ayah kamu selepas kamu balik dari bandar nanti. Saya juga akan pergi melawat ayah kamu, tetapi dompet ni, saya tetap mahu kamu yang beri kepadanya."

Terdiam, wanita itu memandang lelaki bermisai itu dengan penuh tanda tanya. Perlahan-lahan, wanita berbibir kering itu menganggukkan kepala sambil tersenyum lembut. "Baik."

"Semua boleh bersedia di atas kapal! Kapal akan berlayar sekejap lagi!" Suara riuh-rendah memenuhi kawasan pelabuhan bersaiz kecil. Kapal-kapal yang berada di kawasan ini hanyalah kapal-kapal yang bersaiz sederhana kecil dan kecil serta kebanyakannya tidak menggunakan sistem enjin yang moden dan canggih.

"Maaf, boleh saya pergi ke alamat ni kalau naik kapal kalian?" Wanita berambut hitam tadi bertanya kepada seorang anak kapal.

Anak kapal yang sedang sibuk memunggah barang untuk dinaikkan ke atas kapal itu terdiam apabila disapa oleh wanita tersebut. Dia menjeling ke arah kertas yang ditunjukkan oleh perempuan berpakaian lusuh itu sekilas sebelum matanya merayap atas dan bawah tubuh perempuan tersebut. Satu sengih nipis terbentuk pada wajahnya. Lelaki itu lantas mengambil kertas daripada tangan perempuan tersebut. "Oh, kamu nak ke sini ke? Ya, kami ada berhenti untuk beli barang di sana."

"Kamu naiklah ke atas kapal. Kami akan beritahu apabila sudah sampai di sana nanti."

"Ya ke? Terima kasih ya encik." Wanita bertubuh kurus itu tersenyum gembira, dia mengambil kertas yang terkandung alamat dari tangan lelaki berkulit kesan terbakar dek bekerja bawah terik matahari itu.

Anak kapal itu menganggukkan kepala sambil tersenyum. Wanita tadi berpaling untuk naik ke atas kapal apabila seorang perempuan lain menghampiri anak kapal yang sama.

"Maaf, kapal ni boleh bawa saya jauh dari sini kan?"

Soalan tersebut menarik perhatian wanita berambut hitam itu. Sambil dia mendaki tangga menaiki kapal, dia memerhatikan perempuan berambut warna merah gelap yang bertanya tadi.

"Hoho, soalan apa ni? Cik nak pergi jauh dari sini? Lari dari rumah ke?" Lelaki tadi mengangkat sebelah keningnya dua kali sambil tersengih, tetapi wanita berambut panjang paras pinggang itu tidak menunjukkan sebarang reaksi sebagai tindak balas.

"Bukan urusan kau." Dingin. Suara wanita berambut merah itu cukup tegas seolah-olah mengarahkan lelaki tadi diam.

Anak kapal itu tersentak dengan kata-kata wanita tersebut, tetapi dia juga hanya bersahaja. Dia mengisyaratkan ke arah kapal dengan malas. "Naiklah."

Gadis berumur awal 20-an itu berpusing untuk menaiki kapal sebelum dia merasakan seperti dirinya sedang ditatap. Dia menjeling ke atas kapal. Matanya bertembung dengan anak mata hijau yang sedang memerhatikannya dengan penuh semangat. Namun, wanita pemilik mata hijau itu cepat-cepat berpaling dan berpusing sebaik pandangan mereka bertemu. Gadis berambut merah itu mengeluh perlahan.

Langit senja memancarkan sinar yang sangat indah di lautan nan luas itu. Sebuah kapal mewah dan besar sedang tenang di tengah-tengah lautan. Kapal tersebut tidak bergerak, kedudukannya tetap seolah-olah itulah tempatnya.

"Silakan minum." Seorang gadis berpakaian pelayan menundukkan kepalanya sesudah dia menghidangkan minuman di atas meja. Dengan santunnya gadis tersebut berjalan keluar daripada bilik, meninggalkan dua orang lelaki yang sedang duduk di meja tersebut.

"Ada sebarang balasan daripada mereka?" Lelaki berpakaian seragam bertanya sambil dia mencapai cawan berisi cecair berwarna merah pekat di hadapannya.

Matthew yang sedang duduk bertentangan dengan Zephyr turut mencapai cawan lalu menghirup airnya secara tenang. "Tidak. Rasanya…kita takkan dapat."

"Maksudnya mereka memang dah bertekad? Apa mereka tak terfikir yang keputusan mereka ni akan musnahkan semua yang kita dah usahakan selama ni?" Zephyr yang lengkap berseragam layaknya kapten kapal bersuara menahan amarah.

"Kau pun tahu, mereka tak peduli semua tu. Mereka hanya mengulang pendirian yang sama, iaitu-"

"Kita juga berhak, takde sebab untuk kita terus sembunyi." Matthew tidak sempat menghabiskan kata-katanya pabila dipotong seseorang . Seorang lelaki berambut hijau gelap sedang bersandar pada dinding di sisi tingkap sambil memandang dua lelaki yang sedang duduk di hadapannya itu.

Matthew terdiam. Dia memandang wajah lelaki itu seketika lalu menundukkan wajahnya yang tampak serba-salah. "Ya."

Zephyr memandang Matthew, sebelum dia kembali melihat ke arah lelaki berkulit putih yang sedang bersandar di dinding itu. "Kita tak boleh terus biarkan mereka macam ni."

"Kenapa?" Lelaki berambut hijau gelap itu membuat muka tidak faham.

"Mereka dah melampau. Dah macam-macam kerosakan. Kalau biar macam ni, semua akan curiga-"

"Itu…hak mereka." Sekali lagi, jejaki tampan berambut hijau itu memotong percakapan seseorang, kali ini giliran Zephyr.

Zephyr terdiam sejenak, lelaki bertubuh sasa itu menggertakkan gerahamnya. "Walaupun kita di air, mereka di darat, kita tak boleh biarkan mereka macam tu. Kau tak boleh terus bersikap begini!"

Zephyr bangkit dari duduknya, membuatkan Matthew terkejut dan turut bangun berdiri. Dada bidang Zephyr turun naik dengan laju apabila dia memandang lelaki yang masih tenang bersandar pada dinding kapal sambil berpeluk tubuh.

"Tunggu, bertenang. Kita akan selesaikan-"

"Selesaikan?!" Zephyr memintas kata-kata Matthew dengan suaranya yang lantang.

"Kalau dulu, ya, aku akan percaya bila korang cakap yang korang akan selesaikan. Tapi sekarang, aku tak kan sedikit pun ragu bahawa kita akan tetap macam ni! Sebab apa? Sebab dia ni. Dia sekarang cuma mahu duduk dan tengok semua benda berlaku, hanya sebab patah hati!" Lelaki berotot kekar berambut perak itu menunjuk-nunjukkan jari telunjuknya kepada lelaki berambut hijau.

Pemuda berambut hijau itu mengerutkan dahinya sambil bersuara dengan nada yang sengaja ditekan seperti memberi amaran. "Jangan melampau, Zephyr."

"Hah!" Zephyr tertawa sinis.

"Jangan melampau? Kalau tak, apa? Kau nak belasah aku? Kau takkan mampu menang dalam keadaan kau yang macam ni. Langsung tiada semangat!"

"Zephyr, berhenti." Matthew cuba untuk meredakan amarah lelaki yang dianggap seperti keluarga itu sebelum tiba-tiba sesuatu melayang melintasi dia dan mengguris sedikit lengan Zephyr.

"Ughh!!" Zephyr tiba-tiba melutut, tangannya memegang bahagian yang tergores tadi. Kesan goresan pada lengan Zephyr hanya sedikit, namun reaksi lelaki itu menunjukkan dia benar-benar kesakitan.

"Tak guna!" Zephyr menjegil ke arah lelaki berambut hijau tadi.

Matthew yang tergamam melihat ke arah benda yang melintasi mereka tadi. Sebilah pisau, kecil sahaja saiznya, terpacak pada kerusi di belakang Zephyr. Pisau tersebut berkilau dengan cantiknya.

Jejaka berambut hijau yang melemparkan pisau tersebut tidak bersuara. Dia seolah-olah langsung tidak peduli kepada Zephyr yang sedang mengerang apabila dia berjalan ke arah pintu bilik.

"Kau nak terus macam ni? Sampai bila? Kau sedar tak yang sikap kau boleh musnahkan segala impian ayah kau, harapan kau selama ni, hah?!"

Kata-kata Zephyr sepenuhnya tidak diendahkan. Lelaki berambut hijau itu berjalan keluar daripada bilik dengan bersahaja, menimbulkan rasa geram yang melampau dalam diri Zephyr membuatkan lelaki itu menjerit memanggil nama lelaki tersebut sekuat-kuatnya.

"Kaelen!!!"

Continue to read this book for free
Scan code to download App

Latest chapter

  • Lucian D'Ambrosio    Bab 12

    Martina merenung wajah wanita berambut ungu itu. Dia tidak berkata apa-apa, sengaja ingin memberikan ruang supaya perempuan muda itu meneruskan ucapannya. Perempuan beranak mata hitam itu menarik nafas dalam sejenak sebelum menyambung bicaranya. "Sebelum ni, hidup aku bebas. Aku boleh buat semua yang aku nak. Sejak terperangkap kat sini, aku…" Diam seketika, perempuan berambut ungu itu kelihatan seperti sedang memikirkan sesuatu. "…kita tak boleh nak buat apa-apa. Terkurung. Dikawal." Martina menundukkan kepala. Dia seperti dapat mengagak pengakhiran itu sejak daripada mereka semua dibawa ke kabin ini tanpa rela. Rasa terkurung dan terperangkap semasa di kapal penyeludup sebelum ni membuatkan tubuh Martina menggigil. Dia tidak mahu melalui perkara seperti itu lagi. "Kau tahu tak?" Soalan tiba-tiba dari mulut perempuan muda itu menarik Martina kembali ke ruang tersebut. Dia menumpukan sepenuh perhatian kepada gadis tersebut. "Sebaik kau menapak di kapal n

  • Lucian D'Ambrosio    Bab 11

    Suasana dalam ruang tersebut menjadi tegang sejenak. Sebaik bunyi tapak kaki kedengaran semakin jauh dari pintu, orang yang berada di meja dengan pantas menghampiri muka-muka yang baru dilihat itu. "Kau tak apa-apa?" Satu-satunya perempuan yang duduk di meja sejak dari tadi bertanya kepada Sycatt. Tetapi Sycatt tidak mampu menjawab, dia tercungap-cungap mengatur pernafasan. Verika di sisinya sangat risau, dia mengangkat muka dan memandang perempuan tadi dengan wajah penuh kerisauan. "Tepi." Suara garau seorang lelaki membuatkan semua orang membuka laluan secara automatik. Lelaki yang sejak tadi duduk sendirian di atas kerusi di bucu ruang tersebut menghampiri lalu mencangkung di sebelah Verika. Dalam detik yang singkat itu, Verika sempat memandang lelaki yang mengenakan baju-t hitam berlengan pendek di sisinya itu. Rambut coklat, matanya berkilau keemasan mampu memikat mana-mana mata yang memandang. Tubuh lelaki itu nampak tegap, urat pada lengan berotot itu terlih

  • Lucian D'Ambrosio    Bab 10

    Matahari sudah mula memancarkan cahaya di lautan nan luas itu. Indahnya tidak tergambar. Sebuah kapal mewah yang sangat besar terapung di permukaan air menambahkan lagi estetika dan kecantikan pemandangan tersebut. Seorang lelaki tinggi berjalan tenang melintasi satu demi satu bilik. Langkahan kakinya tidak tergesa-gesa tetapi agak cepat. Rambut berwarna hijau gelap itu beralun dengan cantiknya. "Kaelen." Satu suara yang sangat garau dan dalam menegur. Kaelen yang berpakaian kemeja putih dan seluar panjang hitam itu berpaling ke arah suara yang sangat dikenalinya. "Kau nak ke mana ni?" Zephyr yang berpakaian lengkap seperti kapten kapal berjalan menghampiri Kaelen. Pakaian seragam itu tidak mampu menyembunyikan tubuhnya yang besar dan kekar. Kaelen memerhatikan riak wajah Zephyr untuk sekejap sebelum menjawab. "Tengok Matthew uruskan budak-budak tu." "Tak perlu." Pantas Zephyr menjawab, tenang sahaja nadanya ketika dia menapak menghampiri Kaelen. Seb

  • Lucian D'Ambrosio    Bab 9

    Sycatt berjalan perlahan-lahan. Dia berhenti di hadapan satu pintu sebelum teragak-agak menolak pintu tersebut. Di dalam ruang di sebalik pintu yang kelihatan mewah itu, kelihatan meja-meja berserta kerusi-kerusi yang telah tersusun dengan kemas. Di atas setiap meja juga sudah siap terhidang pelbagai makanan yang tampak mewah dan menyelerakan. Gelas-gelas berisi air minuman juga ada. Sycatt perlahan-lahan melangkah masuk ke ruang tersebut. Sebaik pintu ruang tersebut tertutup, barulah dia menyedari terdapat seorang lelaki sudah pun turut berada disitu. Lelaki berkulit pucat itu kelihatan sedang membelek-belek makanan yang berada di atas sebuah meja. Lelaki tampan berambut hitam disikat kemas itu berpaling ke arah Sycatt sebaik menyedari kehadiran perempuan tersebut. Mata berwarna merah lelaki itu merenung tepat ke arah mata Sycatt, menyebabkan perempuan tersebut entah kenapa berasa tidak tenang. Sycatt tanpa sedari melangkah setapak ke belakang sambil matanya dilarikan melih

  • Lucian D'Ambrosio    Bab 8

    Verika terpaku, dia seolah-olah terpukau dengan rupa lelaki yang sedang berdiri di hadapannya kini. Matanya tidak mampu berhenti memandang mata hijau lelaki itu yang berkilau indah. Meskipun warna rambut lelaki itu kelihatan agak aneh bagi Verika, tetapi ia hanya menyerlahkan lagi ketampanan lelaki bertubuh tinggi tersebut. Kaelen merenung tepat ke dalam mata Verika, wajahnya tenang sahaja. "Maaf, cik. Tapi sini kawasan larangan." Suara Kaelen menyedarkan Verika. Malu, Verika cepat-cepat menundukkan wajahnya. "Oh, y…ya ke? Maaf. Aku tak tahu." 'Aduh. Kenapa aku pergi tenung muka dia lama-lama macam tu?' Pipi Verika merah padam kerana tanpa sedar telah menatap wajah lelaki di hadapannya dengan agak lama. Kaelen masih merenung Verika yang sedang menundukkan kepala, sesuatu jelas sedang bermain di fikiran lelaki itu. Perlahan-lahan dia melepaskan lengan perempuan bermata hijau gelap itu. "Tak apa. Kau antara yang terselamat daripada kapal karam tadi ke?" Mendengar pertanya

  • Lucian D'Ambrosio    Bab 7

    Sunyi sahaja bilik yang sedang Verika diami. Wanita berambut hitam itu sedang berdiri di hadapan cermin. Dia kelihatan terpegun dengan pantulan dirinya sendiri di cermin itu. Verika berpusing berkali-kali, seolah-olah tidak puas melihat dirinya dalam persalinan yang disediakan oleh kapal tersebut. "Baju ni…nampak mahal." Verika bergumam, terpukau dengan pakaian yang berada pada tubuhnya kini. "Boleh ke aku pakai baju yang mahal macam ni?" Verika terpegun mengamati dirinya di cermin. Perlahan-lahan, perempuan itu tersenyum. Ketawa kecil, Verika mula berpusing-pusing di hadapan cermin itu seperti sedang menari. Senyuman yang terukir pada wajah Verika tampak penuh kegembiraan. Dan perkara yang membawa kepada senyuman itu sudah jelas merupakan persalinan di tubuhnya. Bagi wanita bertubuh tinggi itu, semua yang perlu dilaluinya sejak di keluar dari rumah untuk mendapatkan ubat ayahnya bukanlah apa-apa. Ini kerana, dibandingkan dengan semua kepayahan yang perlu ditempuhi, dia d

More Chapters
Explore and read good novels for free
Free access to a vast number of good novels on GoodNovel app. Download the books you like and read anywhere & anytime.
Read books for free on the app
SCAN CODE TO READ ON APP
DMCA.com Protection Status