Share

06

Cinta menjurus kepada kebahagiaan. Dek kerana cinta demi si dia, semuanya sanggup diberikan.

Namun yang tersilapnya di sini adalah apabila cinta murni yang disuakan malah dibalas pula dengan racun tuba.

Natijahnya, pihak sebelah membungkus balas kesumat yang menghantui sehingga hidup si kesayangan... tamat.

BEBERAPA BULAN SEBELUMNYA...

"APAKAH benar kau sayangkan aku, Riz?" soal si gadis yang terdesak dengan sebuah kepastian.

Seperti selalunya, lelaki yang bernama Riz itu akan melebarkan senyumannya.

"Sudah tentu, sayang. Dalam hati Riz, hanya ada nama Shida seorang."

"Betul ni?" Shida masih ragu-ragu dengan pengakuan sang kekasih.

"Demi Allah, Shida saja di hati Riz. Eh, dahlah. Jangan cakap pasal ini lagi. Kita kan dah nak kahwin."

Senyuman kebahagiaan kelihatan melebar. Sepasang kekasih tersebut bakal menamatkan zaman bujang mereka masing-masing.

Hanya tinggal menanti sambil mengangka jari.

Di kejauhan, ada seseorang yang memerhatikan gelagat mereka berdua. Iri dan dengki tumbuh berakar di dalam hati.

'Aku takkan biarkan kau orang berdua bernikah! Aku akan hancurkan semuanya!'

MAHLIGAI SERI PELANGI

JERITAN tangisan milik anak-anak kecil itu bergema ke segemap penjuru rumah kebajikan tersebut.

"Kak Shita, jangan pukul Dafi lagi. Kami janji tak akan buat benda tu lagi!"

Dafi yang disebat teruk oleh penjaga mereka berkenaan, dirayu oleh teman-temannya agar dia menghentikan perbuatannya.

Habis berbirat belakang badan budak lelaki yang berumur 12 tahun itu. Hanya gara-gara, dia tidak sengaja memecahkan sebuah pasu bunga di halaman rumah.

Di kala itu, Fio, Iman, Mawar dan Darwisy, abang kepada Dafi tidak ada di sana. Mereka disuruh membeli barangan dapur di pasar berdekatan.

Pak! Libasan tali pinggang mendarat lagi di tempat yang sama. Dafi meraung menahan kepedihan.

"Aduh, kak. Sakit! Berhentilah, kak!"

"Siapa suruh kau pergi pecahkan pasu bunga kesayangan aku? Ha, mendapatlah kau 'suapan' tali pinggang ni. Sedap kan!"

"Akak, jangan. Sakit, kak! Dafi minta ampun!"

Faiz, Arif dan lain-lain berusaha memeluk kedua kaki Shita agar dia berhenti melibas lagi.

"Kau orang semua ni, memang menyusahkan akulah! Kenapalah kau orang semua tak mati saja! Aku muak tengok muka kau orang! Jahanam!"

Shita berlalu pergi masuk ke dalam biliknya selepas berkata sedemikian.

Anak-anak yatim berkenaan ditinggal begitu sahaja tanpa rasa peduli mahu pun kasihan.

*****

DUA buah plastik yang berisi barangan dapur terlepas daripada genggaman Darwisy.

"Ya Allah, Dafi!!" Si abang mendekati tubuh adiknya yang lebam di sana-sini.

Fio, Iman dan Mawar turut terperanjat sama sebaik masuk ke dalam mahligai.

"Faiz, Arif, apa dah jadi dengan Dafi?" soal Fio cemas.

"Kak Shita... pu... pukul dia... guna tali pinggang... sebab dia pecahkan pasu depan rumah." Faiz menjawab dengan gagap.

"Ya, Kak Fio. Padahal, Dafi tak sengaja." Arif pula menambah.

Darwisy yang berang setelah mendengar akan kenyataan itu, dia berjalan laju menuju ke bilik Shita.

Knock! Knock!

"Kau buka pintu ni sebelum aku pecahkan!" teriak Darwisy. Dia memang berdendam dengan penjaga mereka yang seorang itu.

Perempuan tersebut sangat keterlaluan. Hanya kerana hal sekecil kuman tapi hukumannya bukan main melampau. Langsung tidak setimpal.

"Oi, setan! Keluarlah!" Berubah sudah tutur kata remaja 16 tahun berkenaan. Dia cukup tertekan dengan keadaan yang seperti itu sejak dia menghuni Mahligai Seri Pelangi.

Ia tak ubah sebuah penjara neraka.

Nguek! Daun pintu terkuak sedikit.

Tidak menunggu masa yang lama, Darwisy menendang perut Shita.

Akibatnya, si penjaga terduduk di lantai sambil menjerit kesakitan.

"Sial punya budak!!" carutnya pula. Tiada langsung ciri-ciri ketimuran si gadis.

"Yang sial tu, kaulah! Kau tak layak jadi pengasuh kami kalau perangai kau mengalahkan setan!"

Darwisy menghampiri Shita yang teramat dia benci. Ingin sahaja dia meludahi wajah itu. Biar dia tahu rasa akan erti sebuah kehinaan.

"Kau orang semualah yang sial! Orang yang tak reti dek untung. Aku dah cukup layan kau orang dengan baik, tapi kau orang perdajalkan aku!"

"Hei, siapa yang perdajalkan siapa! Sejak aku dan Dafi dipindahkan ke sini, kami tak pernah bantah cakap kau dengan Kak Shida. Tapi kau yang seksa kami tiap-tiap hari-"

"Kau dan budak-budak yang lain tu yang tak berguna. Huh. Memang patut pun mak bapak kau orang mati sebab tak sanggup nak jaga anak setan macam kau orang-"

Buk! Penumbuk sulung hinggap di wajah Shita tanpa aba-aba.

Darwisy yang seolah-olah dirasuk dek makhluk halus itu terus sahaja menumbuk Shita tanpa rasa kasihan dan hormat terhadap seorang perempuan.

"Ya Allah, Darwisy! Berhenti!"

Iman cuba menghalang apabila keadaan semakin tidak terkendali.

"Cukup, Darwisy! Ingat Allah!" Jeritan Fio menyebabkan anak muda itu menghentikan tindakannya.

Seusai melihat banyaknya darah di tangan serta wajah Shita, barulah dia tersedar.

"Ya Allah, darah..."

*****

BEBERAPA buah kereta putih kepunyaan sang saka biru terparkir kemas di hadapan rumah kebajikan berkenaan.

Darwisy tidak henti-henti menatap tajam wajah manusia yang bertopengkan syaitan itu.

"Terima kasih di atas laporannya. Nanti Cik Shita boleh ikut dengan kami untuk memberi keterangan lanjut berkaitan dengan kes ini."

"Sudah pasti, Encik Ikmal. Saya sebagai mangsa keadaan, nak menuntut bela demi maruah dan keselamatan saya. Dah macam-macam saya korbankan untuk dia dan anak-anak yang lain ni tapi inilah yang saya dapat."

"Tak apa, cik. Cik bersabar dahulu. Kami akan selesaikan kes ini. Juvana saja tempat terbaiknya."

Darwisy dibawa masuk ke dalam perut kereta oleh seorang pegawai polis lelaki.

Sebelum kenderaan empat roda itu bertolak pergi, sempat dia mengumat-kamitkan sesuatu sambil merenung tajam sang penjaga.

'Sial!'

Senyuman yang terlorek sinis di bibir Shita terhapus serta-merta.

'Padan muka kau, Darwisy! Biar kau mampus di sana,' bisiknya lagi dengan perasaan yang sedikit girang.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status