Share

05

Keseronokan yang hanya dirasai seketika cuma. Maka, selebihnya pula adalah derita nan menyeksa...

"CARI Fio, uncle dan bawa dia balik ke sini..."

"Eh, tapi kenapa pula Ezz? Dia kan ada dalam villa ni?"

"Bawa... dia... balik... uncle. Sebab... 'dia' bukanlah Fio..."

"Ha?" Uncle Riz terperanjat. Dia mengerti akan makna di sebalik ucapan itu.

"Cepat pergi cari Fio, uncle! Dia sedang dalam kesusahan."

"Baik. Kita akan pergi mencari Ezz bersama-sama tapi kita nak cari dia dekat mana? Sekarang ni kan dah lewat malam."

"Mungkin Fio masih berada di sana, uncle. Kita kena pergi selamatkan dia sebelum semuanya terlambat."

"Di sana? Maksud kamu, Ezz?"

"Mahligai Seri Pelangi..."

Lelaki tersebut lantas memapah si anak buahnya dengan berhati-hati dan bergegas menuju ke arah kenderaan empat rodanya.

Memang benar perasaannya sebelum ini - ada yang agak aneh dengan Fio.

Sebaik enjin kereta dihidupkan, mereka berdua keluar dari kawasan kediaman sebelum ia membelah kepekatan malam.

*****

TUBUH yang tergantung paksa di atas siling berdekatan dengan tangga itu sedang merasakan hambatan sebuah kesakitan. Jerit payah disuara lantangkan hanya seketika. Hal demikian kerana, nafasnya tersekat di kerongkongan.

Pilihan. Inilah kata putusnya sejak dia memeterai janji dengan si syaitan. Padah itulah yang mengheret diri Fio sehingga ke jurang maut.

"Kak... Shita..."

Sebaris nama itu kerap bertenggek di pohon fikirannya angkara kisah lampau.

Dusta. Gadis itu terpaksa berdusta demi menutupi sebuah kebohongan di sebalik lebarnya senyuman akan seseorang.

Darah di betis dan tangan kanannya semakin deras mengalir. Namun pada detik ke sekian, nyawa Fio melayang pergi dari jasad.

Beban dan akibat di atas segala perbuatannya, dia bawa sehingga ajal menjemput.

Lidah terjelir panjang. Mata pula terbeliak ke atas.

Akhir sebuah penyesalan yang berbalut penderitaan.

"KITA akan ke hospital dulu, Ezz."

"Tak nak. Kita kena teruskan juga perjalanan ke Mahligai Seri Pelangi tu."

"Tapi, Ezz. Kamu itu dah tak berdaya uncle tengok-"

"Pedulikan Ezz, uncle. Ezz masih boleh bertahan. Sekarang ni, keselamatan Fio lebih penting."

Uncle Riz menggeleng sebentar. Kesal dengan sikap si anak buah yang masih mengutamakan kepentingan orang lain berbanding dirinya.

Degil.

"Hmm. Baiklah. Tapi selepas semuanya dah selesai, kamu kena ceritakan pada uncle apa sebenarnya yang telah berlaku sewaktu uncle tak ada di villa, semalam. Okey?"

Ezz hanya mengangguk sebelum membuang pandang keluar tingkap kereta.

Tidak lama kemudian, mereka tiba juga di Mahligai Seri Pelangi itu.

Sebaik mereka berdua tiba di sana, tiada tanda-tanda bahawa tempat berkenaan dimasuki oleh sesiapa. Keadaannya masih seperti beberapa hari yang lalu sewaktu mereka menjemput Fio.

"Kita dah sampai." Uncle Riz keluar dari kereta selepas enjin kenderaan dia matikan.

Pintu pagar utama yang dibelit dengan rantai berkunci diperhatikan beberapa saat.

"Kita akan panjat pagar ni, Ezz." Begitu kata sang lelaki seraya berpaling.

Terperanjat dia akan ketiadaan figura Ezz di dalam kereta atau pun di sekitarnya.

Dirinya dilanda haru-biru.

"Ezz?" panggilnya lantang. Akan tetapi tiada juga sahutan balas.

Kelihatan dari luar pagar akan pintu mahligai berkenaan terbuka lebar dengan sendirinya. Tanpa berfikir panjang, Uncle Riz memanjat masuk ke dalam.

Dengan teragak-agak, pintu tersebut dihampiri.

"Ezz? Fio?" Dia menyeru nama dua individu itu sambil meninjau keadaan di sekeliling.

Sesusai kedua-dua kakinya menjejak ke dalam rumah, pintu tertutup serta-merta.

Dum! Dentuman kencang memecahkan keheningan malam. Uncle Riz telah mempersiap-siagakan dirinya untuk berdepan dengan pelbagai kemungkinan.

"Hehe..." Kedengaran tawa seorang wanita memenuhi corong telinga.

Bebola mata si lelaki berguling ke sana, ke mari.

"Siapa itu? Hei, keluarlah! Jangan nak main sembunyi-sembunyi pulak!" Tempelaknya itu menyebabkan sesuatu yang tidak dijangka malah terjadi.

Tempat tersebut bergegar dengan sendirinya sehingga lantai rumah meretak sedikit demi sedikit.

"Hahaha..." Sekali lagi tawa itu bergema. Ia lebih nyaring daripada yang sebelumnya.

"Tunjukkan diri kau depan akulah kalau kau berani!!"

Senyap. Suasana kembali sepi. Gegaran tadi juga telah pun reda.

Tiba-tiba, tubuh Uncle Riz terapung perlahan-lahan sebelum dirinya terhumban ke dinding.

"Argh!!" Belakang kepala lelaki itu berdarah.

Pandangan matanya turut berbalam-balam.

Sebelum kelopak mata Uncle Riz terkatup rapat, figura seorang wanita yang cukup dia kenali sedang berdiri sambil tersenyum manis kepadanya.

"Shida..." Terluncur nama itu dari bibir Uncle Riz.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status