Share

07

Kekasih yang telah mati bersama kekasihnya...

SENYUMAN si gadis lenyap dari bibir tatkala khabar yang kurang enak telah menusup masuk ke corong telinganya.

"Cikgu tak salah dengar, kan... Fio?"

Fio menunduk. Dia menjadi serba-salah.

"Fio?"

"Maafkan saya dan adik-adik yang lain, cikgu. Kami terpaksa berdiam diri. Kalau tak, Kak Shita ugut kami-"

"Dia ugut apa?" pintas Shida pantas.

Fio memejamkan matanya. Takut untuk bertentangan mata dengan penjaga terbaik mereka.

"Fio, cikgu tanya ni. Bagitahulah cikgu akan hal sebenarnya. Biar cikgu yang akan ambil tindakan."

Kelopak mata Fio terbuka dan dia perlahan-lahan melihat anak mata kepunyaan Shida.

"Darwisy... dia... dia dimasukkan ke Juvana."

"Apa?" Terkejut bukan kepalang Shida. Dada diusapnya lembut.

"Dia... tumbuk muka Kak Shita sampai berdarah jadi Kak Shita laporkan pada polis."

Dahi Shida bergaris.

"Sekejap. Ada yang tidak kena dekat sini. Setahu cikgu, Darwisy tu budak yang baik. Elok saja cikgu tengok perangai dia. Menurut kata. Jadi kenapa tiba-tiba dia jadi kasar macam tu pulak?"

"Err..." Fio bermain dengan jemarinya. Debaran ketakutan semakin terasa.

"Cakap betul-betul dengan cikgu, Fio. Apa sebenarnya yang dah berlaku semasa cikgu tak ada dalam mahligai ni, tiga hari lepas?"

"Err... ia berpunca daripada Dafi yang tak sengaja pecahkan pasu Kak Shita depan rumah ni, ha. Jadi Kak Shita mengamuk dan sebat Dafi dengan tali pinggang."

"Astaghfirullahaladzim. Shita ni betul-betul dah melampaulah. Tak apa, Fio. Biar cikgu cakap dengan dia."

"Tapi cikgu, kami semua takut dengan ugutan daripada Kak Shita..."

"Dia nak buat apa dengan kamu semua?" soal Shida yang cuba menahan amarahnya daripada meletus.

Air masin keluar dari liang pori-pori kulit Fio. Tubuhnya turut menggigil.

"Fio, cakap lekas. Dia nak buat apa dengan kamu semua?"

Remaja tersebut menoleh ke kiri dan kanan sebelum berbicara, "Akak Shita... dia... err... dia nak bakar kami semua hidup-hidup."

"Hah? Shita ni memang nak kena dengan cikgu. Dia fikir kamu semua ni daging ayam? Haish!"

Selepas Shida membebel seketika, dia berlalu pergi menuju ke kamar adiknya pula. Malang sekali, dia tidak menemukan si empunya gerangan di sana.

*****

MANGKUK kecil yang berada di bawah katil diambilnya dengan penuh berhati-hati.

'Sesuatu' yang terbuat daripada gulungan akar-akar kecil itu tampak bergerak-gerak.

Ia bernyawa.

"Kau lapar tak? Aku ada bawakan kau sirap darah ni, ha. Nah!"

Penutup botol kecil yang berisi cecair merah likat itu dia tuang sedikit demi sedikit ke atas 'sesuatu' tadi. Hal demikian menyebabkan ia bergerak semakin aktif.

Akarnya juga semakin panjang.

Shita tersenyum senang sebelum dia mendekatkan telinganya kepada 'sesuatu'. Ada perkara yang ia bisikkan.

Sebaik sahaja mendengar akan kata-kata si 'sesuatu', dia keluar dari kamar rahsia tersebut.

"Akak cari Shita?"

Shida menoleh ke kanan. Dia mengangguk.

"Ha'ah. Akak ada benda nak cakap dengan kamu."

"Benda apa tu, akak?"

Pang! Pijar terasa pipi kiri Shita. Tamparan tersebut tidak sempat dia elak.

"Akak ni dah kenapa? Tiba-tiba nak tampar Shita."

"Penampar akak tu tak seberapa mana kalau nak dibandingkan dengan kekerasan yang Shita dah buat pada budak-budak tu. Shita memang dah melampaulah-"

"Siapa yang bagitahu akak pasal benda ni? Mesti budak-budak tu yang mengadu dengan akak, kan? Huh, tak guna!" Shita laju memintas percakapan kakak kandungnya. Dia geram tika ini.

"Budak-budak tu semua tak salah. Yang bersalah dalam hal ni ialah Shita."

"Akak, akak tak tahu apa yang budak-budak tu dah buat semasa akak tak ada dekat sini. Mereka semua selalu sakitkan hati Shita, akak."

"Tapi biar macam mana sekali pun Shita sakit hati pada dia orang, jangan sampai pukul, sebat, tampar dan seksa dia orang dengan hukuman yang tak relevan-"

"Ah, pedulikan saja budak-budak tu. Dia orang tak penting pun pada Shita."

"Kamu betul-betul dah melampau, Shita. Arwah mak dan ayah tak pernah ajar Shita macam ni. Kenapa Shita macam orang yang tak ada perasaan sekarang?"

"Dahlah, akak. Shita nak sapu ubat di muka Shita ni. Akak apa tahu? Akak fikir Shitalah yang jahat dengan budak-budak tu. Padahal Shita-"

"Akak kenal Darwisy sesungguhnya. Dia budak lelaki yang baik, beradab dan mendengar kata. Cuma mungkin selama ni, dia dah banyak makan hati dengan Shita sampailah Shita dapat luka tu semua."

Mata Shita mencerlung tajam terhadap si darah daging.

"Akak sepatutnya bela Shita bukan tambahkan lagi sakit hati ni."

"Oh, tahu pulak Shita sakit hati. Habis tu, Shita sebat Dafi sampai pengsan budak tu. Shita tak rasa bersalah?"

"Eh, akak-"

"Memang patut pun abang si Dafi tu tumbuk muka Shita. Itu pun mujurlah Darwisy tak belasah Shita. Kalau tak..."

Shida menjeling tajam adiknya sebelum menapak pergi. Tapi gadis itu berhenti melangkah tiba-tiba tanpa berpaling.

"Shita pergi kemas barang, sekarang. Malam ni jugak Shita keluar dari sini. Akak tak ada adik yang psiko dan sekejam Shita."

"SHIDA..." Serunya sekali lagi.

Sakit yang membebani diri semakin merayap ke seluruh batang tubuh si lelaki.

Sosok seorang perempuan yang berpakaian serba putih itu sedang menghampiri Riz.

Setapak demi setapak, namun ia ghaib apabila berjarak sejengkal daripadanya.

"Shida, jangan pergi!"

Riz berusaha menggapai kelibat tadi, tetapi tidak berguna. Ditambah lagi dengan pandangan matanya yang kian kabur, ia menyebabkan pergerakannya jua terbatas.

Mata Riz terpejam. Seminit kemudian, dia celik semula. Dia dihidangkan dengan pemandangan sekujur tubuh yang tidak bernyawa sedang tergantung di atas siling berdekatan tangga.

Gadis itu dia kenali.

"Fio!" Jeritannya tersekat-sekat melihat akan keadaan Fio yang amat mengerikan.

Tubuh gadis tersebut bersimbah dengan darah serta wajahnya kelihatan mengerikan.

Tiba-tiba, muncul seseorang di situ dengan senyuman sinis.

"Ezz, tolong uncle," pinta Riz.

"Hei. Siapa Ezz? Aku bukan Ezzlah." Wajah Ezz berubah menjadi wajah seseorang.

Ia telah mengakibatkan Riz ternganga kecil.

"Ka... kamu kan... Shita, adik kepada Shida."

"Jangan sebut nama perempuan tu depan akulah! Dia bukan kakak aku lagi sejak dia usir aku dari sini."

Riz tergamam. Pelbagai persoalan pula hinggap di benak.

"Shita, apa dah jadi dengan Shida dan mahligai ni?"

Shita berdiri di hadapan lelaki itu sambil berpeluk tubuh.

"Kenapa kau nak tahu pasal perempuan tu? Aku kan ada. Aku lebih cantik dan lebih baik daripada dia yang entah apa-apa tu."

"Sebab aku cintakan Shida bukannya kau, Shita-"

"Argh. Pergi mampuslah dengan cinta kau tu!" Shita mencengkam leher Riz dengan kuat.

Itu bukanlah kekuatan daripada tenaga wanita biasa. Akan tetapi, ia adalah 'sesuatu'.

"Ja... jangan kata... ka... kalau... kau yang... buat semuanya jadi mac... macam sekarang ni. Betul, kan?"

"Kikikikiki..." Hilai tawa yang nyaring bergema.

Bingit telinga Riz mendengarnya. Dia sedar, Shita di hadapannya itu bukanlah manusia lagi.

"Jadi... memang... betullah... kau-"

"Ya. Akulah yang bunuh semua penghuni Mahligai Seri Pelangi ni. Mula-mulanya, perempuan jahanam tu. Aku bunuh dia dan bagi 'peliharaan' aku makan sampai 'dia' kenyang."

Cekikkan dilepaskan. Shita berjalan sambil mengelilingi tubuh Riz.

"Aku bunuh dia supaya kau orang tak jadi kahwin dan akulah yang akan ganti tempat dia. Tapi kau!" Rambut Riz ditarik kuat pula sehingga lelaki tersebut menjerit kesakitan.

"Argh!!"

"Kau tetap tak pilih aku jadi isteri kau! Padahal aku lebih sayangkan dan lebih setia berbanding perempuan jahanam tu!"

Kepala Riz ditolak ke belakang sehingga dia terbaring di lantai pula. Darah yang sejak tadi mengalir, kian terasa deras.

"Kau langsung tak nampak aku, Riz. Kau selalu sibuk dengan perempuan tu. Ah, aku tak suka semuanya!"

"Tapi... kenapa... Shida... dan budak-budak tu... yang kena tanggung... akibatnya? Mereka semua... tak... bersalah."

"Bodoh! Dah terang-terang mereka semualah yang bersalah. Jadi tanggunglah akibatnya."

Keadaan Riz semakin lemah, dia membaca beberapa ayat suci al-quran dari dalam hati tanpa mempedulikan bebelan Shita.

"Kau nak tahu tak, Riz. Aku nak sangat sehidup semati dengan kau..."

Lelaki itu tidak memberi respon. Sakit yang tidak tertanggung membuatkan kelopak matanya terpejam rapat.

Terasa tapak tangan Shita membelai wajahnya lantas Riz mencelikkan mata.

Dia panik kerana dia dan 'gadis itu' telah berada di dalam sebuah peti aneh. Wajah Shita berubah menjadi buruk dan berbau bangkai.

Shita sempat membisikkan sesuatu kepadanya, "Shh. Kekasih yang telah mati bersama kekasihnya..."

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status