Share

08

Tidak semua misteri itu harus terpecahkan. Kadang kala, ia lebih baik kekal menjadi sesuatu yang misteri...

BUNGA kemboja putih ditaburnya seketika sebelum sejag air pula dia siram di atas tanah bertiang dua.

Setelah selesai, Darwisy termenung di tepi kubur arwah Dafi Arbain, adiknya.

Dia terkenang akan sepotong memorinya bersama dengan salah seorang penghuni Mahligai Seri Pelangi.

SETAHUN YANG LALU...

"Aku tahu bukan kau yang bunuh Iman, Fio."

Fio berpaling apabila suara seseorang kedengaran.

"Eh, Darwisy? Macam mana kau tahu aku ada dekat sini?"

Terkejut Fio dengan kemunculan budak lelaki yang sedang mengenakan hoddie coklatnya di Tanah Perkuburan Seri Pelangi itu.

Tidak lain dan tidak bukan, sudah pasti Darwisy melompat pagarlah ni.

Almaklumlah, hampir sebulan mereka berdua hanya berbalas W******p saja.

Darwisy selalu memantau keadaan Dafi dan teman-temannya yang lain daripada penceritaan Fio. Jadi ini merupakan pertama kalinya mereka bertemu kembali selepas lelaki tersebut bertukar bumbung tempat tinggal.

"Well, ini kan... Darwisy. Dengan bermodalkan anugerah kekacakannya ini, dia boleh melakukan apa sahaja. Hehe."

"Senget!" Fio spontan mengetuk kepala Darwisy.

Seketika mereka bergurau-senda.

Sudah agak lama mereka tidak menikmati rasanya gembira. Hampir sahaja perasaan itu terkambus lenyap dari dalam hati disebabkan penderitaan yang membelenggu setiap hari.

"Berhentilah menangis, Fio. Takut nanti muncul pulak hantu-hantu tu. Siap bawa geng lagi. Haha."

"Bertuah punya Darwisy! Mulut kau tak ada yang lebih longkang lagi ke?"

"Woah. Kau tahu pulak mulut aku ni rasa longkang, ya? Kau dah pernah rasa? Tapi kenapa aku tak pernah tahu atau kau dah curi first kiss aku? Hm?"

"Ya Allah, Darwisy! Kau memang nak kena dengan aku ni. Siaplah kau."

Budak lelaki itu mendepakan kedua tangannya.

"Darwisy kacak dah ready ni nak menerima hukuman daripada Akak Fioku yang pendek! Haha."

"Tak guna. Wei, dahlah. Aku nak balik. Nanti nenek sihir tu mengamuk, habis badan aku kena sebat lagi."

"Bukan nenek sihirlah tapi setan."

"Nama dia, Shita... Darwisy bukan setan."

"Eleh. Kau sendiri panggil dia dengan gelaran nenek sihir, boleh pulak."

"Em, okeylah. Aku balik dulu. Kau jaga diri dekat sana."

"Aku ni lelaki. Bab jaga diri, kau tak payahlah nak risau sangat. Aku okey. Kau yang sepatutnya kena jaga mental dan fizikal sebab kau tu duduk dalam sarang puntianak."

"Aish, Darwisy ni. Sudahlah!"

Mereka berdua berjalan keluar dari kawasan tanah perkuburan sebelum berpisah di persimpangan jalan.

TAMAT IMBAS KEMBALI

DARWISY menghela nafas. Dia berganjak dari situ seraya menuju ke sebuah lagi pusara lain.

Fiona Falisya Binti Farid Fitri. Nama yang tertera di batu nisan itu dia usap perlahan.

Dia juga melakukan hal yang sama seperti di kuburan adiknya.

"Tak sangka kau orang semua pergi tinggalkan aku sorang-sorang dekat sini, Fio. Habis tu sekarang, dengan siapa lagi aku nak berkawan?"

Pertanyaan itu sekali gus menjadi asbab terbitnya kristal-kristal jernih di kelopak matanya.

Dia terkilan dengan tragedi yang menimpa terhadap teman-temannya di Mahligai Seri Pelangi. Semua orang yang dia sayang, dipanggil pulang secara serentak.

Sedangkan dirinya di Juvana langsung tidak tahu apa-apa. Kalau bukan dia berkeras mengikut kata hati dan 'fly', sampai dia mati dia takkan pernah tahu akan sebuah hakikat yang memeritkan.

"Fio, aku ada benda nak cakap dengan kau. Dulu, aku nak cakap tapi aku malu..."

Senyap. Darwisy menunduk. Senyuman tawar dia ukir.

"Huh. Sebenarnya, aku... suka... kau..."

Dia kembali memandang tanda nama berkenaan seolah-olah sedang memandang wajah si kesayangan.

"Kenapalah bukan dari dulu lagi aku bagitahu kau pasal tu? Semasa kau masih ada dengan aku. Kenapa, ya?"

Sepi. Hanya bunyi cengkerik dan katak sahaja yang sudi 'mendendangkan' lagu alam.

Darwisy memejamkan matanya buat beberapa ketika. Wajah Fio yang sedang tersenyum manis bergayut di dahan fikiran.

"Tak apalah, Fio. Aku berdoa semoga kau, Dafi, Iman dan semua kawan-kawan kita yang lain akan ditempatkan dalam kalangan kekasih Allah. Aku balik dulu. InsyaAllah, aku datang ziarah lagi."

Bekas air dia capai seraya berjalan pulang.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status