Share

7

Usai makan malam, Megat Andri terus naik ke bilik. Dia tidak mahu melihat muka Adi Adham kerana masih marahkan pemuda itu. Ketika makan malam tadi juga dia menghabiskan makanannya secepat mungkin.

Dia membuka komputer riba dan memeriksa tugasan yang dihantar oleh pekerja-pekerjanya.

Tengku Rihanna juga menyusuli Megat Andri. Sudah beberapa hari dia tidak bercakap dengan Adi Adham kerana terasa hati dengan sikap melampau anaknya itu. Adi Adham telah menengkingnya pada tempoh hari.

Dia duduk di atas kerusi sambil menilik wajahnya di cermin.

Meskipun usianya sudah mencecah 50 tahun, wajahnya tidak melalui perubahan melampau. Kulitnya sihat dari jeragat dan tidak mempunyai kedutan kuat. Rahsianya ialah dia mengamalkan minum air suam sebaik bangun dari tidur dan membasuh muka menggunakan air kelapa. Amalan itu diajari oleh arwah emaknya dahulu.

"Kenapa awak masuk awal? Selalunya pukul sebelas baru naik?"soal Megat Andri sambil matanya masih memandang komputer riba.

"Saya malas nak duduk bawah lama-lama. Aafi pergi ke Terengganu dengan Marini. Shiren pulak dah masuk bilik. Saya bosan duduk di bawah, sebab itulah saya naik awal,"jawab Tengku Rihanna.

"Shiren pun dah naik? Kenapa?"tanya Megat Andri.

"Abang tak tahu ke yang dia sedang bergaduh dengan Adi? Adi tu makin melampau perangainya. Semakin dibiarkan semakin menjadi-jadi. Saya ingat bila dia dah kahwin, perangai kaki perempuan dia tu hilang. Tapi tak rupanya,"balas Tengku Rihanna.

"Entahlah. Saya malas nak kata apa tentang perangai dia." Megat Andri mengeluh kecil.

Tengku Rihanna bergerak ke arah almari pakaian. Dia mengambil sehelai baju yang disangkut di dalamnya. Dia tersenyum nipis. 

"Abang ingat lagi tak baju ni?" Tengku Rihanna mempamerkan baju mengandung bewarna ungu kepada Megat Andri.

Megat Andri melihat baju itu. Dia tersenyum.

"Mestilah ingat. Ini baju yang awak pakai semasa mengandungkan Adi. Saya belikan banyak baju untuk awak tapi cuma baju ni yang awak pakai,"ujar Megat Andri.

"Baju ni paling cantik. Saya rasa saya nak beri baju ni kepada Shiren. Biar dia pakai. Apa pendapat abang?"cadang Tengku Rihanna.

"Berilah. Saya tak kisah,"izin Megat Andri. Dia menyambung semula kerjanya.

Tengku Rihanna keluar dari bilik itu menuju ke bilik Shiren dan Adi Adham yang terletak searas dengan biliknya.

Sewaktu dia mahu mengetuk pintu bilik itu, Adi Adham keluar.

"Shiren dah tidur ke?"soal Tengku Rihanna. Senyuman tidak timbul di bibirnya. Mukanya serius.

"Dah,"jawab Adi Adham sepatah.

Tengku Rihanna menyerahkan baju itu kepada Adi Adham.

"Ini baju yang mama pakai semasa mengandungkan kamu. Kamu berilah kepada Shiren. Biar dia pakai,"kata Tengku Rihanna lalu balik semula ke biliknya.

Adi Adham merenung baju yang berada di tangannya. Perlahan-perlahan dia mengukir sebuah senyuman.

Dia akan menghadiahkan baju itu kepada perempuan yang mengandungkan anaknya. Untuk apa dia memberikan baju itu kepada Shiren? Perempuan itu tidak dapat memberinya zuriat.

Dia turun ke bawah sambil membawa baju itu. Dia hendak keluar berjumpa dengan Lan.

Shiren di dalam bilik masih belum tidur. Dia baru selesai mencuci muka di dalam tandas. Dia mencari kelibat Adi Adham di dalam bilik itu tetapi lelaki itu tiada.

Dia mengangkat bahu. Dia tidak kisah tentang lelaki itu. Dia duduk di atas katil dan membuka telefonnya.

Biar rasa ini membunuhku...

Biar rindu ini menghukumku...

Apa jua namun dia tahu...

Cintaku utuh bila di sampingmu...

Lagu nyanyian Erni Zakri muncul di dalam telefonnya menandakan ada seseorang menghubunginya. Tanpa berfikir panjang, dia terus menjawab panggilan yang dibuat oleh nombor tidak dikenalinya itu.

"Hello, siapa ni?"soalnya kepada pemanggil.

"Hello, Puan Shiren. Saya Uqasha. Saya telefon Puan Shiren sebab nak mintak suami Puan Shiren bertanggungjawab ke atas saya. Saya mengandung selepas tidur dengan Encik Adi!"kata perempuan yang bernama Uqasha itu.

"Kalau awak nak suruh dia bertanggungjawab, awak telefonlah dia. Awak telefon saya buat apa? Saya bukannya boleh buat apa pun,"balas Shiren.

"Saya nak saman Encik Adi! Saya nak beritahu semua orang yang Encik Adi tu kaki perempuan! Biar keluarga Megat Andri malu!" Perempuan itu membentak.

Shiren menarik nafas panjang.

Dia perlu memberi kata-kata rasional kepada perempuan itu. Dia berpendidikan. Kata-katanya juga mestilah menzahirkan tahap pendidikannya.

"Cik Uqasha, kalau awak nak saman Adi Adham, silakan. Saya tak halang. Kalau awak nak malukan keluarga Megat Andri, teruskan niat awak. Saya cuma menantu di dalam keluarga ni. Kalau jadi apa-apa, saya tak terlibat."

"Orang tak akan tanya saya tapi orang akan tanya awak. Adi Adham tu suami saya, tapi kenapa awak rela tidur dengan dia? Awak dibayar ke? Kalau awak beritahu orang tentang awak mengandungkan anak Adi Adham, itu bermaksud awak sedang menjatuhkan maruah awak sendiri. Orang akan memandang awak sebagai perempuan murah. Kalau awak rasa awak nak buat semua ni untuk mendapatkan duit, saya boleh beri awak duit,"bidas Shiren dengan kata-kata yang mendalam.

Uqasha seperti terdiam.

Shiren menilik kukunya. Kukunya sudah kasar. Dia akan pergi ke spa esok untuk mendapatkan rawatan kuku.

"Saya tak akan berdiam diri. Semua orang perlu tahu sikap Encik Adi yang sebenar!"ujar Uqasha lagi.

Shiren menggaru hidungnya. Uqasha bukanlah orang pertama yang membuat panggilan seperti ini kepadanya. Tujuan mereka adalah untuk mendapatkan duit.

"Macam nilah. Kalau awak nak Adi Adham bertanggungjawab, datanglah ke rumah kami. Kita berbincang,"kata Shiren.

Panggilan ditamatkan oleh Uqasha.

"Bodoh betul."

Shiren menyimpan telefonnya di dalam laci dan merebahkan badannya ke atas katil. Dia tidak lagi menunggu Adi Adham.

Jika dahulu dia tidak akan tidur selagi lelaki itu tidak masuk ke dalam bilik tetapi sekarang dia bukan lagi Shiren yang dahulu. Dia tidak akan membiarkan kebaikannya dipijak. Dia menutup mata.

TAMAN Zaryadye ialah taman yang sering dijadikan tempat bergambar oleh masyarakat Rusia. Ini adalah kali pertama Aqif Azka pergi ke situ bersama Sofea. Aqif Azka menghadiahkan sejambak bunga tulip merah kepada Sofea sebaik Sofea tiba.

Sofea sangat cantik dengan pakaiannya yang menutup aurat. Dia kekal dengan syiar Islam walaupun sudah bertahun-tahun tinggal di Rusia.

"Hai, Sofea. Ini bunga untuk awak,"ucap Aqif Azka sambil menguntum senyum.

"Terima kasih, Aqif." 

"Sama-sama."

Sofea menerima bunga itu dan mereka berjalan di sekitar taman itu.

Aqif Azka berdebar kuat kerana ini merupakan kali pertama dia keluar berduaan bersama seorang perempuan. Lebih-lebih lagi perempuan secantik Sofea.

Sesekali dia melirik wajah Sofea. Senyuman tidak lekang dari bibir perempuan itu. Sofea sangat murah dengan senyuman. Senyumannya cukup menenangkan hati Aqif Azka.

"Sofea, sebelum ni you pernah bercinta ke?"soal Aqif Azka.

Sofea menggeleng.

"What about you? Mesti you ada ramai fans di Malaysia. Betul tak?"tebak Sofea sambil menjongketkan keningnya.

"Maybe but I've ignored them. I payah nak jatuh cinta dengan mana-mana perempuan. I have trust issues dengan perempuan Malaysia. Kebanyakan mereka kaki kikis dan penipu,"jawab Aqif Azka.

"Jom kita duduk dulu,"ajak Aqif Azka apabila terlihat sebuah bangku disediakan di hadapan sana.

Mereka duduk di atas bangku itu sambil melihat orang lalu-lalang. Cuaca pada hari itu panas terik dan tidak menampakkan tanda-tanda hujan akan turun. Rancangan mereka pada hari itu pasti berjalan dengan lancar.

"You haus ke, Sofea? Wait a minute. I pergi beli air."

Belum sempat Sofea menjawab, Aqif Azka sudah menuju ke tempat jualan air berdekatan. Minuman itu dijual oleh orang Islam.

Sofea menggelengkan kepalanya sambil tersenyum senget. Aqif Azka sangat baik. Walaupun mereka baru berkenalan selama seminggu, tetapi dia dapat merasakan keserasian di dalam hubungan mereka.

Salah satu perkara yang menarik hatinya tentang Aqif Azka ialah wajah lelaki itu. Aqif Azka memiliki rupa paras yang tampan. 

Sofea memerhatikan Aqif Azka yang berurusan jual beli dengan peniaga minuman itu. Dia tergelak kecil kerana Aqif Azka menggunakan bahasa isyarat untuk membeli minuman. Lelaki itu tidak fasih berbahasa Rusia.

Selepas beberapa minit, Aqif Azka kembali kepadanya sambil membawa minuman yang telah siap dibeli.

Aqif Azka mengeluh panjang.

"Why?"tanya Sofea.

Dia minum minuman itu untuk menghilangkan dahaganya.

"Susah betul nak beli minuman. Sofea, you kena ajar I bahasa Rusia. I nak duduk kat sini dua tahun lagi. Macam mana nak survive kalau tak fasih bahasa mereka,"keluh Aqif Azka.

"Okey. I akan ajar you. At first I datang ke sini dulu, I sama macam you. I tak fluent bahasa Rusia dan tak faham sepatah apa pun yang mereka cakap. Tapi lama-lama I jadi faham sebab dah biasa dengan bahasa mereka,"ujar Sofea menceritakan perkara sama yang dialaminya lima tahun lalu.

Aqif Azka memandang ke hadapan.

Matanya menangkap seorang perempuan berwajah seiras Izza Ghadira. Dia seraya berdiri dan mendapatkan perempuan itu meninggalkan Sofea yang terpinga-pinga.

"Aqif!" 

Sofea ikut berdiri. Dia pelik dengan kelakuan Aqif Azka. Lelaki itu seakan mahu mengejar seseorang.

Aqif Azka melilau sekililingnya. Perempuan tadi sudah hilang.

Dia yakin dia tidak tersilap pandang. Tadi memang Izza Ghadira. Tetapi apa yang dilakukan oleh perempuan itu di Rusia? Dia tertanya-tanya.

Sofea menghampiri Aqif Azka. Wajah Aqif Azka jelas mempamerkan kebingungan.

"Aqif, are you okay? What's wrong? You kejar siapa?"soal Sofea.

Aqif Azka merenung lama muka Sofea.

Dia seharusnya melupakan Izza Ghadira. Di sini dia sudah menemui Sofea sebagai jodohnya. Dia harus berhenti memikirkan perempuan itu. 

"Aqif? Hey!"

Sofea memetik jarinya untuk menyedarkan Aqif Azka daripada mengelamun.

Aqif Azka tersentak lalu dia mengukir senyuman. Dia berlagak biasa.

"Jom kita pergi makan. I lapar."

Aqif Azka menunjuk ke arah gerai yang tidak jauh dari mereka.

"You nak makan apa?"tanya Sofea.

"Shawarma,"balas Aqif Azka sambil tersengih.

"Okey."

Ayesha menganggukkan kepalanya. 

Mereka bergerak ke gerai yang menjual shawarma. Kali ini Sofea yang membuat pesanan kerana Aqif Azka sudah pasrah dengan ketidakfasihannya menggunakan bahasa Rusia.

"Spasibo,"ucap Sofea ketika selesai berurusan dengan jurujual itu.

Aqif Azka kagum dengan Sofea.

"What's that?"soalnya.

"Terima kasih,"jawab Sofea.

"Kalau I love you, apa?"

Selamba Aqif Azka mengajukan soalan itu.

Sofea menguntum senyum.

"YA lyublyu vas."

"YA lyublyu vas, Sofea."

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status