Share

Wanitaku (Bahasa Malaysia)
Wanitaku (Bahasa Malaysia)
Author: Mina Aqilah

Bab 1

"Tak sedar diri! Ingat sikit taraf kau tu! Sekadar orang kampung, menggatal nak menikah dengan anak saudara aku!"

Pagi-pagi lagi Maya Ariana sudah menadah telinga mendengar amukan Mak Su Esah. Acap kali dia pekakkan telinga. Tapi, mengapa masih terasa pedih hatinya?

Maya menguntum senyuman. Dia menunduk tanda hormat. Maklumlah, wanita itu terlalu hebat untuk berjabat tangan dengannya yang biasa-biasa ini.

"Maaf, puan. Saya dah lambat nak ke kerja ni. Saya minta diri dulu ye," sopan dia menuturkan kata.

Tetapi tidak kepada Mak Su Esah. Berdesing telinganya mendengar. Serasa gadis itu menghinanya.

Pantas tudung Maya ditarik dari belakang. Terjerit Maya.

"Kau jangan nak tunjuk berlagak dengan aku. Sedar diri tu. Safwan bukannya nak sangat dengan kau! Perempuan macam kau ni, boleh cari dekat pasar malam!" Berbisa tiap patah perkataan masuk ke telinga Maya.

Maya membisukan diri. Dia membiarkan sahaja Mak Su Esah melepaskan amarahnya. Lama-lama pasti akan kebosanan.

"Cik Maya!"

Terhinjut bahu Maya. Mata langsung terkalih kepada pemanggil itu. Automatik, kedua belah keningnya terangkat.

"Encik Safwan. Dia panggil awak," dingin nada itu. 

Maya mengangguk sambil tersenyum. Pantas pekerja wanita itu mengalihkan wajah ke arah lain. Maya tahu benar yang semua pekerja di syarikat ini tidak menyukainya. Mungkin kerana dia tidak temu duga seperti mereka yang lain.

Inilah antara natijah yang harus dia tanggung. Tidak apa. Dia sudah lama bersedia dengan segala rintangan yang akan berlaku.

Sebelum masuk ke dalam, Maya sempat membetulkan tudung bawal berona hitam itu.Tegak dia berdiri menghadap Safwan yang berwajah serius itu.

"Ada apa encik panggil?" tanya Maya.

Safwan tersentak lalu mendongak memandang Maya sekilas. Kemudian, mata dihalakan semula ke komputer lalu membalas, "Malam ni mama ada jemput makan malam. Dengan keluarga saya. Di rumah saya." Sepatah-sepatah dia berkata.

Maya menelan air liur. Pahit rasanya. Keluarga Safwan? Bermakna dia perlu jumpa adik tunangnya? Atau lebih tepat musuh ketatnya!

"Tolong jangan tolak. Saya tak nak mama tahu yang kita ni kena tunang secara paksa. Bukan secara sukarela," lantas Safwan berkata sebelum Maya berbicara apa-apa.

Maya menaikkan kedua belah kening. Tahu benar lelaki itu. Boleh baca fikiran aku ke? Sempat dia menyoal diri sendiri. 

Ya, benar bicaranya. Tunang secara paksa. Tunang secara kebetulan. Tunang melalui ibu bapa. Dia rela, namun bersyarat. Lelaki itu hanya perlu memperkerjakannya. Dia mahukan duit. Cukup untuk menanggung dirinya yang serba tidak mewah ini.

"Awak tak nak keluar?" Sinis nada Safwan, mengejutkan dia yang termenung jauh. Terkebil-kebil matanya tapi dia akur jua. Malas nak panjangkan cerita. Tidak sedikit pun dia terasa dengan lelaki itu. 

Leka membuat kerja, sehingga Maya terlupa mengenai temu janji itu. Sesekali dia menguap. Sampai mengalir mata. Kerja yang bertimbun kelihatan tidak terluak langsung. Nampaknya, overtime lagilah dia.

Bunyi berdehem mengejutkan dia. Pantas Maya berpaling ke belakang. Kosong. Bahu diangkat lalu dia menyambung kerjanya.

Sedar tak sedar sudah hampir larut malam. Boleh pula Maya berasa lapar. Perutnya tidak berhenti berbunyi. Perlahan dia mengeluh sebelum mengemas barang.

Langkah terhenti apabila melihat kelibat hitam. Semakin laju dia mengatur langkah. Seriau rasanya berlama di situ. Keluar sahaja dari pejabat, Maya segera mencari motorsikal miliknya. Masa tegang beginilah semua benda jadi hilang. Haih, malang sungguh nasib gadis bernama Maya ini...

"Maya Ariana!"

Pucat wajah Maya. Dia tidak menoleh. Sebaliknya, telinganya ditutup.

"Hei, ni sayalah! Safwan!" Pegun Maya sejenak tatkala tangannya ditarik. Tidak lama, dia melepaskan perlahan. 

"Ke.. Kenapa?" Gugup dia bertanya. Perasaan takut masih menyerbu di hati. Maya memang seorang yang penakut. Terutamanya bila keadaan gelap begini.

"You don't forget anything?" soal Safwan, sengaja.

Maya mengerutkan kening lalu menggeleng. "Rasanya saya dah ambil semua barang saya. Kenapa? Encik Safwan ada terjumpa barang saya tercicir mana-mana ke? Kutlah, tadi kan saya jalan laju sikit." Ikhlas dia menyoal.

"Are you serious, Maya Ariana?" Tetapi tidak pada lelaki berkulit sawo matang itu. Anginnya naik serta merta. Merah padam wajahnya memandang Maya.

Maya menggigit bibir. Serba salah dia dibuatnya.

"Kenapa ni encik? Saya ada buat salah apa-apa ke?" 

Safwan meraup wajah. Dia melepaskan keluhan. Berat kedengaran di telinga Maya.

"Our dinner!" Suaranya sedikit dinaikkan.

Maya ternganga. Dia pegun sejenak. Kepala ditunduk, malu menghadap wajah Safwan. Dia bermain dengan jari jemarinya. Cuba menutup rasa gementar.

"Maaf... Maaf Encik Safwan," bergetar suaranya. Menitik-nitik air mata Maya.

Kedengaran lelaki itu sekali lagi mengeluh. "Ayuhlah kita pergi. Daripada tak pergi langsung ke majlis tu," suaranya seakan memujuk.

Maya mengangguk. Dia membuntuti Safwan dari belakang menuju ke kereta berjenama mewah itu. Mercedes kau! Bila lagi nak naik? Sempat dia bermonolog di hati. Dalam duk kena marah tu.

°°°

RUMAH banglo yang indah itu direnung lama. Cantik. Pujinya sepatah. Pertama kali, Maya melihat rumah begini betul-betul di depan matanya. Biasanya dia melihat di majalah sahaja. Berangan seorang diri.

Untung betul dirinya. Dapat bernikah dengan orang kaya. Sekali pakej dengan rumah ni.

"Apa lagi yang awak tercegat depan tu? Jomlah masuk," panggil Safwan dengan suara yang ditekankan. Dah perempuan tu tak dengar. Terpaksalah dia menjerit.

Kelam kabut Maya mengikut. Mereka berdua tiba di taman belakang rumah Safwan. Kelihatan masih ramai manusia di situ. Itu bermaksud mereka masih belum terlambat.

"Ha, dah sampai dah Wan?" tegur Puan Sarah lalu menyambut anaknya. Maya segera menghulur tangan. Mesra sungguh mama Safwan. Teringat Maya dengan arwah ibu. Tenang hatinya melihat.

Nampaknya ibu mertua aku pun baik. Baguslah... Eh, bukan-bukan. Calon ibu mertua! Maya membetulkan ayatnya. 

Bukan Maya Ariana lah kalau tak berangan sampai ke langit ketujuh.

"Marilah makan Maya, Wan. Mama ingat dah tak datang. Nasib baik masih ada lagi lauk," pelawa Puan Sarah.

Maya mengangguk manakala tunangnya itu pula menggeleng.

"Wan dah kenyang. Makan sambil buat kerja. Leka-leka, tengok dah pukul 12 lebih. Maaflah ma, Wan lambat. Padahal nak sambut Izz," lembut Safwan bernada. 

Maya sedikit terkejut. Untuk pertama kalinya dia mendengar nada yang lembut sebegitu dari Safwan. Namun yang tak sedap hatinya, tatkala mendengar nama itu. Meremang bulu romanya.

"Awak pun dah kenyang dah kan, Maya?" soal Safwan. Dia memberi isyarat mata kepada Maya. Lantas gadis itu mengangguk.

"Haah, mak cik," dalihnya. Walhal dalam hati, berkepuk dia mengutuk tunangnya. 

Puan Sarah menguntum senyuman.

"Duduklah dulu. Mama ambilkan hidangan sampingan sahajalah. Dan Maya."

Maya mengangkat kening apabila diseru.

"Jangan panggil mama, mak cik, okey?" sambungnya sebelum berlalu.

Maya terkedu. Dalam masa yang sama dia gembira. Berpeluang juga dia memanggil seorang wanita dengan panggilan itu. Mama. Desisnya.

"Hah?" Pelik Safwan. Maya yang tidak perasan, hanya beriak biasa.

"Kita... tak nak duduk?" berhati-hati dia bertanya. Yelah. Tadi kan dah kena marah.

Safwan menoleh sekilas kepadanya sebelum membalas, "Kalau jadi lagi macam ni, jangan duk terhegeh-hegeh nak makan. Datang lewat, tak akan nak buat muka tak malu nak makan. Sudahlah. Ikut saya. Kita duduk sama-sama. Nanti kalau mereka tanya apa-apa, awak senyap sahaja okey?" Sejurus berkata begitu, dia berlalu.

Maya menunduk. Perasaan malu semakin menebal. Bingkas dia pergi ke arah Safwan. Melihat wajah berang itu cukup membuatnya kecut perut.

"Eh? Tunang Safwan ke? Kenapa selekeh semacam mak su tengok?" Selamba Mak Su Esah mengutuk. Sinis senyumnya melirik ke arah Maya.

Safwan mengangguk. Maya hanya memerhati. Dalam hati, dia berharap sangat Safwan membelanya. Masakan dia tidak kesah apabila tunangnya dihina depan-depan begini. Namun hampa.

"Tunang Safwan. Maya Ariana."

Hanya itu jawapan yang diberi lelaki itu. Entah kenapa dada Maya berasa sesak. Walhal Safwan tidak pernah pun membelanya selama ini. Namun, kenapa malam ini dia mahu lelaki itu melindunginya?

"Abang Wan ingat abang je ada tunang. Izz pun dah tunanglah."

Langsung berubah wajah Maya mendengar suara itu. Dia kaku seperti patung cendana.

"Tapi dibandingkan dengan tunang Abang Wan, tunang Izz lawa lagi kut. Yelah, orang yang setaraf dengan kita. Sekadar orang kampung, memang Izz tak naklah," selamba suara itu berkata sambil mata melirik ke arah Maya.

Maya menggigit bibir. Tangan digempalkan sekuat mungkin. Mata dihalakan kepada Safwan. Tiada tanda-tanda lelaki itu mahu membelanya. 

Dia memang bertolak ansur dengan orang yang lebih tua daripadanya. Tapi tidak kepada seterunya. Lelaki kurang ajar! Maya bangun dari kerusi. Dia mendongak memandang figura yang tinggi lampai itu.

"Encik Izz Adam." Ambik! Sekali dengan nama penuh aku sebut.

"Orang kampung tak semestinya pakai tudung. Orang kampung tak semestinya tak ada maruah, harga diri. Dan mungkin dalam khalayak Encik Izz ni ramai yang berasal dari kampung.

Di kubur nanti, ada ke di batu nisan masing-masing? Ada ke tertera status encik? Izz Adam. Orang bandar. Ada? Tapikan encik. Saya rasa encik salah sebut tu. Saya rasa encik nak sebut orang miskin kan?

Tak sangkakan. Belajar sampai ke universiti. Tapi miskin dengan kampung pun tak pandai beza?" panjang lebar Maya menjawab. Tersungging senyum senget di bibir sebelum dia menyambung lagi.

"By the way, orang kampung ni juga yang dapat posisi Encik Izz kan? Posisi yang Encik Izz nak sangat tu?" Pedas sindirannya.

Berubah wajah Safwan. Mata dijegilkan. Namun langsung tidak diendahkan gadis itu. 

"Maya," bisiknya sedikit kuat. Dia perasan wajah adiknya sudah merah bak tomato. Lama-lama pasti akan meletus!

"Saya nak balik," ujar Maya lalu berlalu dari situ. Air mata yang ditahan mengalir jua. Tidak layakkah dia mendampingi lelaki bernama Safwan Imran? Hebat sangat ke mereka, sehingga menghinanya sebegini?

"Maya? Kenapa menangis ni?" Puan Sarah yang terserempak dengannya, menegur. Khuatir nadanya. Tangan Maya digenggam erat.

"Kenapa ni? Cuba beritahu mama. Maya lapar ke nak? Maaf lah mama lambat. Mama baru potong puding karamel ni. Mama buat sendiri tau!"

Maya melirik sekilas. Perlahan dia melurutkan tangannya. Hanya gelengan dibalas sebelum pergi.

Laju derap tapak kakinya menuju ke depan rumah. Mata Maya dikecilkan untuk melihat satu kelibat yang sedang menuju ke rumah ini.

Dia pantas menghampiri. Mulut ternganga luas. Terkejut raut wajahnya.

"Ayah? Apa ayah buat kat sini?" 

Encik Mokhtar tersenyum. Girang sekali dia.

"Mestilah nak jumpa anak ayah. Safwan ada telefon ayah tadi. Dia ajak ayah makan malam. Maya tahu tak dekat mana? Dalam rumah ke? Ayah tak sempat tanya pula," soalnya sambil menggaru-garu kepala.

Maya mengetap gigi. Tak guna punya lelaki! Sama sahaja seperti adiknya! Apa niatnya menjemput ayah? Nak suruh ayah tadah telinga, dengar segala hinaan mereka?

Pantas Maya mengawal riak wajah. Senyuman palsu ditayangkan sehabis mungkin. 

"Ala. Kenapa ayah datang lambat? Dah habis dah pun makan malam tu, yah," bohongnya.

Terkejut Encik Mokthar. Ketara riak bersalah pada wajahnya.

Itulah ayah. Bukan salahnya pun.

"Takpe ayah. Kita makan kat lainlah. Maya lapar," adu Maya, manja lalu menggamit lengan ayahnya kejap. Berkerut keningnya. Ayah dipandang silih berganti. 

Ayah semakin kurus. Perlahan dia bergumam sendiri.

"Aik? Kamu pun lewat?"

Maya mengangguk. "Haah. Maya ralit buat kerja. Tengok-tengok dah habis dah. Tak kesampaian lah hajat Maya nak makan ayam panggang!" Rungutnya pura-pura. Sejujurnya memang dia terkilan. Terliur betul dia melihat ayam panggang yang ditatang pelayan. 

"Kamu teringin ayam panggang? Kenapa tak kasi tahu ayah?" Langsung Encik Moktar bertanya.

Maya sekadar menyengih. Bergegas dia menarik lengan ayahnya pergi dari situ.

"Kita makan KFC, yah. Guna duit gaji Maya," katanya. 

Bersama dua beranak itu berjalan di bawah cahaya bulan. Dari jauh, terdapat seseorang memerhatikan mereka. Sayu pandangannya.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status