Share

Tiga

~♥~Tatkala dendam menguasai diri, yang berteman pun boleh jadi saling berbunuhan...~♥~

PEKAN SERAI WANGI

Tahun 2021

RUMAH kedai tersebut amat sunyi lagikan sepi. Pada awal pagi sebegini, seorang lelaki yang berumur 47 tahun sedang duduk sambil membaca surat khabar di sebuah kamar. Walaupun dia berada di situ, tetapi fikirannya menerawang ke 'atmosfera' lain.

Ia menembusi kabus kenangan di masa lampau yang 'jaraknya' boleh dikatakan mencecah ribuan batu. Di kala itu, dia dan beberapa rakan sekerja yang lain sedang bergegas menuju ke sebuah pulau misteri.

"Kita kena beritahu pasukan keselamatan, Mior. Mereka sangat ramai berbanding dengan kelompok kita yang sekarang ini." Fateh mengutarakan usul apabila tempat yang bakal mereka tuju itu merupakan sebuah markas besar si anasir jahat.

"Buat masa ni, biarkan kita sahaja yang mengetahui akan aktiviti gelap mereka. Kalau kita laporkan kepada pihak penguasa negara dan seangkatannya, identiti kumpulan kita juga akan terancam."

"Tapi, Mior. Ini semua kerja gila. Yang aku tahu dari khabar berita semasa, tak pernah lagi orang yang datang ke sana akan pulang dengan selamat. Kau kena tahu itu, Mior."

"Betul cakap Fateh itu, Mior. Jangan disebabkan kau nak lunaskan dendam, banyak nyawa orang tergadai. Beringatlah sedikit." Oji mencelah pula.

"Tapi pasal Cobralah, pemimpin atasan dah pandang serong pada aku. Tahu tak? Itu semua disebabkan dia yang mempergunakan nama aku sewenang-wenangnya demi kerja jahat dia tu! Aku memang takkan pernah maafkan dia!"

"Mior..." Serentak Fateh dan Oji bersuara. Namun, mereka berdua terdiam sebaik Mior memberi arahan.

"Tingkatkan lagi kelajuan bot ini ke tahap yang maksima. Cepat kita sampai ke pulau tu, cepat juga aku nak tangkap dia!"

Mereka yang lain hanya mendengar. Manakala Fateh dan Oji menggelengkan kepala beberapa kali sambil mengeluh berat.

Tidak lama kemudian, kenderaan laut itu tiba juga di gigi pantai pulau.

Strategi yang telah disusun beberapa hari yang lalu telah dimulakan tanpa banyak bantahan.

"Kalau ada sesuatu yang berlaku dengan aku selepas ini, kau orang boleh gunakan Plan Reset."

Terbeliak mata rakan-rakannya apabila Mior tiba-tiba berbicara sedemikian rupa.

"Jangan jadi bodoh, Mior!"

" Tak, Oji. Aku cakap perkara yang betul. Gara-gara akulah, kau orang semua sanggup mempertaruhkan nyawa untuk ke sini. Jadi, aku akan bertanggungjawab atas semuanya. Maafkan silap dan salah aku. Aku pergi dulu..."

Selepas Mior berkata sebegitu, Glock Meyer 22 dikeluarkan dari belakang pinggang lantas dia berlari laju menuju ke sebuah perkampungan.

*****

BUNYI bingit muzik rancak menyapa ke gegendang telinga Mior yang bersembunyi di sebalik semak. Kelihatan sebuah tempat yang dibina seumpama pentas telah dibanjiri dengan simbahan cecair merah yang pekat.

Bebola matanya mencari sasaran utama di sekitar sana. Tetapi dia berhenti daripada berganjak tatkala mendengar akan sebuah perbualan yang tidak jauh dari situ.

"Ini, Cobralah. Tak ada sesiapa yang boleh tumpaskan aku. Sebab polis-polis tu semua, aku dah sumbat mulut dia orang dengan duit. Jadi, aku bebas melakukan apa saja dekat pulau ni. Termasuklah tamatkan riwayat orang-orang kampung di sini. Hahaha..."

Rahang Mior bergerak-gerak menahan luapan amarah. Ia menunggu masa sahaja untuk meletus. Patutlah pihak pertahanan negara seakan buta dan tuli akan badai onar yang sedang berlaku di Pulau Batu tersebut. Rupa-rupanya, otak mereka telah diprogramkan dengan jumlah angka di atas kertas!

Oleh sebab itu jugalah, si kepala penjahat dengan senang hatinya melandaikan bilangan jiwa yang menetap di situ.

'Tak guna!' Sempat dia memaki tanda tidak berpuas hati.

"Kau jangan risaulah, Majid. Dengan kedudukan kau yang sekarang ni, takkan ada sesiapa yang boleh tumbangkan kau. Asalkan... kau tak cuba-cuba nak tikam aku dari belakang."

Majid. Sebaris nama yang baru Mior ketahui. Mungkin orang itu merupakan orang kanan terkuat bagi Cobra. Ya. Sebuah maklumat telah dia dapati. Kini, dia cuba merangka rencana untuk bersemuka serta menewaskan si musuh ketat.

Muncung senjata api disuakan kepada Cobra yang sedang membelakangi Mior.

Fiuh! Sebutir peluru dimuntahkan. Ia menghasilkan gema yang kuat di tengah-tengah kegelapan malam sebegitu.

"Argh!" Cobra terjerit kesakitan tatkala bahu kirinya ditembusi sebiji 'anak' pistol. Terlepas juga telefon pintar tadi sebelum lututnya menjunam jatuh ke lantai tanah.

"Lebih baik kau serah diri, Cobra!" Mior sudah memunculkan diri di hadapan suspek utamanya.

"Hahaha. Rupa-rupanya kau, Mior. Huh. Akhirnya, kau 'tembus' juga di markas aku ni. Hebat betul kau ni. Masih nekad macam dulu."

"Aku tak ada masa nak berbasa-basi dengan kau, Cobra. Sekarang ni, kau ikut dengan aku! Aku tak nak kau perdajalkan nama aku lagi untuk menutup kegiatan kotor kau ni! Kau fikir, aku akan terus biarkan kau bermaharajalela dekat sini? Hei, memang taklah!"

Tanpa Mior sedari, beberapa laras senapang patah telah diacukan kepadanya.

"Mior, Mior. Lain kali kalau nak serang hendap aku, kau kena fikir berjuta kali...'

Mior kebingungan. Cuba mengadaptasikan kata-kata Cobra seketika tadi. Namun, perlahan-lahan dia mengerti.

"Aku dah tak peduli pasal nyawa aku, Cobra. Aku akan buat apa saja asalkan kau meringkuk dalam penjara sana!"

"Tch... kau silap percaturanlah, Mior. Tapi aku nak nasihatkan kau jugalah. Kalau ada peluang besar untuk kau 'mencabut nyawa' orang lain, jangan kau sia-siakan peluang itu. Sebelum kau punya nyawa yang terbang sekarang!"

Sekaligus beberapa das tembakan meluru laju ke arah Mior.

Fiuh! Fiuh!

"Arghh!"

"Fateh!" Mior terperanjat dengan kehadiran salah seorang rakan sekerjanya yang sanggup menjadi tembok perisai buat dirinya daripada hujan peluru berkenaan.

Tetapi bukan dia sahaja, malah Oji dan yang lainnya turut bersama pertahankan mereka berdua.

"Mior, aku serahkan Plan Reset pada kau. Bawa budak tu dan tinggalkan pulau ni!"

Oji sempat meletakkan seorang bayi lelaki ke riba Mior.

"Kami dah pasangkan bom di sekitar pulau ni. Lari cepat, Mior!!"

Mior terpinga-pinga dengan rancangan berani mati para sahabatnya. Dalam keadaan yang berat hati, bayi tadi didukungnya seraya membuka langkah seribu.

Beberapa minit kemudian, sebuah ledakan telah pun bergempita.

Boom!

Mior meraup wajah apabila dia telah 'kembali' daripada kenangan silam pada tahun 2002 yang lalu. Masih tersemat di benaknya akan wajah bayi lelaki berkenaan.

Serta-merta bibirnya mengukirkan sebuah senyuman kebahagiaan.

'Dalam tak sedar, kau dah besar D...'

*****

"PENCURI!" jerit seorang wanita yang separuh umur apabila beg duitnya hilang.

Beberapa orang penduduk pekan yang lain cuba mengejar untuk menangkap si pelaku.

"Itu dia! Kita tangkap cepat!" jerit mereka serentak.

Tidak jauh dari situ, ada seorang remaja lelaki yang sedang bersarapan sambil berjalan. Setelah mendengar jeritan itu, sekeping roti disumbat paksa ke dalam mulutnya seraya memecut laju.

Dia tertarik untuk membantu.

Jikalau boleh, ingin sahaja dia terbang di waktu itu lantas menyambar suspek bak helang menangkap mangsanya.

Tidak lama kemudian, tubuhnya sudah mulai 'pancit'. Jadi dia kena berbuat sesuatu.

Jam tangan dikerling seketika, "Okey dah. Cukuplah 10 minit kita main kejar-kejar. Mari kita tamatkan permainan ini!"

Dia berbicara seorang diri sebelum memanjat sebuah pagar besi. Mahu atau tidak, dia kena mengerah sepenuh tenaga dengan semaksima yang mungkin.

Sebatang kayu dicapai lalu 'mengukur' kordinat di antara mereka. Setelah yakin akan kedudukan sasaran, benda alah tersebut dibalingnya sekuat hati.

Pak! Balingan tadi tepat mengena pada kaki figura yang bertopeng mulut itu.

"Argh!" Jeritan berbaur kesakitan telah bergema di kawasan perumahan berkenaan.

"Ha! Mencurilah lagi kalau kau nak aku patahkan kaki kau pulak. Huh! Ini pun dah cukup baik aku cuma baling kayu, tahu?"

Beberapa orang lelaki yang mengejar tadi menghentikan larian mereka, "Eh, budak ni kan..."

"Nah, pak cik. Beg duit mak cik tadi tu. Bye, semua. Saya pergi dulu!" Langkah besar serta laju diorak sambil bersiul-siul kecil. Tenang sedikit jiwanya apabila dapat menghulurkan sedikit bantuan.

Manakala pencuri tadi telah dibawa ke balai polis yang berdekatan.

"Budak itulah yang tangkap pencuri ni bukan kami," jelas seorang lelaki yang berumur 53 tahun.

"Budak?" Si pegawai polis tertanya-tanya. Automatik dahinya berlapis.

"Ha'ah. Budak yang selalu jual roti dan hantarkan susu segar setiap hari ke rumah-rumah kita tu. Kamu tak kenal dia?"

"Oh. Maksud kamu, si budak D itu?"

Mereka yang lain serentak mengangguk tanda mengiyakan.

*****

DIA mendendangkan lagu dengan suara yang perlahan seiring kakinya memijak satu-persatu anak tangga menuju ke tingkat atas. Kegirangan hatinya jelas terpancar.

"Selamat pagi Pak Cik Mior yang kusayangi!" sapa anak muda yang berumur 19 tahun itu dengan senyuman lebar.

"Pagilah... sangat."

D tampal sengihan panjang. Belakang kepala digaru beberapa ketika. Sedar akan khilafnya.

"Hmm... apa lagi alasan kamu balik lambat hari ni, D? Kamu tolong pekerja kontena tolak kapal besar pulak ke?" Mior bertanya dengan nada sarkastik.

Kerusi diterbalikkan oleh D sebelum duduk sambil menongkat kepala di penghadangnya, "Alah, pak cik. Tadi ada kecurianlah. Beg duit mak cik tua pulak tu. Kesian saya tengok. Jadi saya tolonglah. Hehe."

Surat khabar yang dibaca oleh Mior sebentar tadi dilipat semula lalu merenung tajam si anak angkat.

"Haih. Kamu ni, D. Jangan suka sangat masuk campur dengan hal orang lain. Tak habis lagi angan-angan kamu yang nak jadi superhero tu."

"Hurm... sampai hati pak cik cakap saya macam tu. Sepatutnya pak cik suburkanlah semangat anak angkat pak cik ni bukan membunuh segala rangka impiannya."

Mior menggulingkan bebola mata. Meluat.

"Ha. Pak cik nak bagitahu kamu ni. Pak cik akan keluar ke bandar untuk beberapa hari. Jadi kamu kena jaga rumah."

"Pulak. D tak boleh ikut ke, pak cik?"

"Tak boleh, D. Pak cik ada perkara nak diselesaikan."

"Alah. Tapi D bosanlah duduk dekat sini. Bukannya boleh buat apa pun," keluh D sayu.

"Kamu jangan nak mengada-ngada, D. Kamu jaga rumah dan kedai ni macam selalu. Bersihkan apa-apa yang kotor."

"Em... semua yang pak cik sebut tu, dah selalu D buat. Jadi dah tak mencabar lagi bagi D. Kalau boleh, D nak buat suatu kerja yang boleh mengopek isi otak D ni ha. Hehehe..."

Mior mengangkat punggung seraya berdiri di hadapan penyangkut pakaian. Setelah menyarungkan jaket labuh berwarna hitam ke tubuh, dia menghulurkan sesuatu kepada D.

"Kamu nak kerja, kan? Nah. Kamu hantar benda ni dekat alamat yang tertera tu. Jangan lama sangat dan jangan pulak kamu berani-berani nak melencong ke tempat lain. Kalau pak cik dapat tahu, siaplah kamu nanti," pesan Mior dengan nada yang tegas.

D mengangkat tangan kanan di tepi kepala tanda hormat, "Yes, sir!"

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status