Share

Bab 5

Matahari masih tidak kelihatan. Hanya cahaya merah mewarnai ufuk. Namun, dewan sekolah itu kecoh. Kecoh dengan kehilangan telefon pintar milik Wani dan dompet milik Ren dan juga Fikri. Kevin hanya mempersalahkan mereka kerana tersilap letak manakala Shiro dan Hendri berfikiran sama. Ya. Dua lelaki itu merasakan ada seseorang yang mencuri telefon serta dompet mereka. Sudah tentu ianya dalam kalangan mereka tetapi, siapa?

Sedang asyik mencari di serata tempat, bahkan di celah-celah kerusi yang dikumpulkan di tepi dewan, mereka tidak menjumpainya. Sudah tentu tidak kerana ianya berada pada tangan seseorang. Tetapi, masih tidak tahu siapakah orang yang sanggup melakukan hal sedemikian. Hara dan Fasha pula masih tidak sedarkan diri. Sedang nyenyak tidur di sebalik tirai pentas. Masih tidak mengetahui situasi yang sedang berlaku. Atau mungkin Fasha sudah mengetahuinya setelah mendengar sendiri jeritan Wani sebelum ini. Cuma dia tidak ingin masuk campur.

“Aku rasa lebih baik kita solat subuh dan bersihkan diri dulu. Lepas sarapan nanti, kita akan cari balik telefon dan dompet kalian tu,” cadang Shiro.

“Hey, tunggu sekejap! Kalau ya pun nak mandi, macam mana dengan pakaian?” soal Wani dengan lantang.

“Pakai jelah pakai yang kau pakai sekarang, apa yang susah?” balas Ren pula.

“Kalau lelaki, bolehlah! Aku ni perempuan! Tak boleh pakai baju yang sama. Kotor tahu tak?”

“Jadi, kau ingat lelaki ni pengotor ke? Dah tak ada baju, jangan banyak soal pula.”

“Aku rasa dalam koperasi sekolah ada jual baju sukan,” fikir Kevin.

“Bagus! Kalian pergi ambil baju sukan tu. Aku, Hara dan Fasha akan ke tandas. Jangan lupa letak di depan pintu tandas perempuan di tingkat bawah. Jangan salah letak pula. Terima kasih dan bye,” balas Wani sebelum berjalan pergi ke arah tirai dewan. 

“Baiklah, Shiro dan Hendri! Kalian berdua pergi ambil baju sukan tu, ya? Aku, Kevin dan Fikri nak pergi solat dulu. Jumpa di surau,” balas Ren. Tanpa sempat Shiro dan Hendri membuka kata, dia, Kevin dan juga Fikri sudah mengatur langkah ke surau.

Shiro menghembuskan nafas akur. Hanya mampu melihat rakan-rakannya berlalu pergi meninggalkan dia. Tidak sempat pula dia membalas kata. Hendri pula menggerakkan kepala tatkala Shiro memandang ke arahnya. Tanpa mengajak lelaki itu ke koperasi sekolah. Bukan pertama kali dia bersama dengan Hendri. 

Sebelum ini pun dia pernah bercakap dengan Hendri tentang isu dan masalah pelajar sekolah. Tetapi, hanya ketika itu sahaja. Pangkat Majlis Perwakilan Pelajar jauh lebih tinggi daripada kelab Pembimbing Rakan Sebaya. Hanya beberapa ketika sahaja mesyuarat antara mereka itu diadakan. Itu pun kalau ada kes ataupun masalah yang tidak boleh ditangani oleh kelab PRS. Maka Mjalis Perwakilan Pelajar akan campur tangan.

Koridor yang menempatkan koperasi sekolah itu gelap. Hanya cahaya lampu daripada koridor sebelah sahaja yang menerangi kaki lima tersebut. Kini, mereka berdiri di hadapan pintu koperasi sekolah. Pintu itu mempunyai gril yang dikunci dengan mangga. Bukan sahaja gril yang dikunci malah pintu juga. Sekali lagi Shiro menggembuskan nafas kesal.

“Nampaknya, kita kena ambil kunci daripada Abang Jad. Kena berjalan jauh pula,” kata Shiro. Baru sahaja ingin membuka langkah, Hendri menahan tangannya. Sebilah pisau lipat dikeluarkan dari dalam poket lelaki itu. Shiro pula terkejut.

“Tak perlu bersusah-payah membazir tenaga. Aku sudah biasa buka pintu berkunci di rumah aku. Jangan salah faham pula, aku cakap di rumah aku. Bukan pintu rumah orang lain,” cakap Hendri seraya cuba memecahkan membuka mangga dengan pisau lipatnya.

“Dengan pisau lipat saja? Hebat juga kau. Aku ingatkan kau nak bunuh aku tadi.”

“Untuk apa aku bunuh kau? Kau tak layak dibunuh. Tapi, kalau kau layak dibunuh, aku akan buat.”

“Kau buat lawak?”

“Aku ni seorang yang serius.”

“Kata-kata kau mengingatkan aku pada seseorang.”

“Siapa?”

“Hara.”

“Ouh, gadis berwajah garang tu? Dia lebih kepada tsundere kalau kau tanya aku.”

“Tsun ... apa?” soal Shiro dengan bingung.

“Tsundere. Ianya kata dalam bahasa Jepun tapi sering digunakan dalam cerita Jepun. Ianya bermaksud seseorang yang serius, garang dan tegas tapi berhati lembut. Lebih kepada kasar di luar tapi dalam hati ada taman,” balas Hendri. Dia yang sudah berjaya memecahkan mangga, membuka gril. Kali ini, tombol pintu pula cuba dibukanya.

“Banyak juga kau tahu tentang Jepun.”

“Aku hanya layan cerita mereka. Cerita mereka tidaklah klise seperti drama Melayu. Aku lebih suka cerita yang psiko dan gelap. Di mana watak utama dia diterajui oleh seorang protagonis yang berhati kejam. Jarang kita dengar atau tonton sebuah cerita yang begitu. Selalunya, kebanyakan cerita diterajui oleh watak utama yang berjiwa pemaaf dan baik hati. Tapi, ianya tidak seperti realiti. Memang ada orang yang baik dalam dunia ni tapi mereka juga pernah terniat untuk jadi jahat walaupun mereka tidak melakukannya.”

“Banyak juga yang kau tahu tentang cerita. Aku hanya layan novel saja. Itupun novel-novel bukan fikyen. Lebih kepada ilmiah.”

“Kau patut layan cerita atau movie. Kadang-kadang ianya terkait dengan realiti dan kadang-kadang ianya lebih indah daripada realiti,” balas Hendri seraya memulas tombol pintu yang sudah berjaya dinyahkunci. 

Suis lampu di sebelah pintu masuk ditekan. Cahaya lampu menerangi ruangan koperasi yang penuh dengan barangan sekolah serta makanan yang disusun cantik di atas rak. Shiro melangkah ke arah rak yang disusun baju dan seluar sukan. Ianya masih berbalut dengan plastik. Saiz diperhati sebelum diambil. Dia hanya mengagak-agak saiz badan kawan-kawannya. Hendri yang berada di arah bertentangan pula sedang meneliti tarikh luput roti.

“Kalaulah semua barang yang kita ambil ni permuca kan bagus,” ujar Hendri memecahkan suasana sunyi.

“Bila keadaan kembali kepada asal, kita akan bayar,” balas Shiro tanpa menoleh.

“Kau yakin keadaan akan kembali kepada asal? Makusd aku, ke mana semua orang menghilang? Tempat seluas kampung pun tiada manusia. Mustahil mereka menghilang begitu sahaja. Tapi, ianya pelik. Kita tak temui sesiapa pun.”

“Aku anggap kabus ni seperti jerebu. Bila hujan nanti ianya akan hilang.”

“Mengarut. Kau tak rasa kabus gelap tu sebenarnya bukan kabus? Ianya panas, berbau dan membuatkan kepala kau pening sehingga hampir pengsan.”

“Itulah yang pelik. Aku pun tertanya-tanya apa yang terjadi kepada Yun. Gigitan pada kaki dia agak aneh. Ianya seperti gigitan manusia tapi ada ke manusia yang sanggup gigit kaki orang sampai sedalam tu?” soal Shiro pula.

“Bila dia sedar nanti, kau akan tahu. Sekarang ini, siapa yang kau agak yang sanggup curi telefon Wani dan dompet Ren dan Fikri?”

“Tak ada bukti dan suspek lagi untuk aku tuduh orang.”

“Aku tak salahkan kau. Tapi, aku sudah tahu siapa orangnya. Aku yakin tekaan aku tepat. Dia ialah orang yang sama yang ada kaitan dengan kes buli dan kecurian sekolah yang kecoh beberapa hari yang lepas,” yakin Hendri.

Shiro berpaling ke arah lelaki itu dengan roman hairan seraya bertanya, “siapa orangnya?”

*****

Matahari terang menyinari kawasan sekolah yang masih dikelilingi kabus gelap. Bagaikan bukan kabus biasa. Seperti yang Hendri katakan. Ianya tidak seperti kabus ataupun jerebu. Ianya semakin membesar dan merebak secara perlahan. Kini, jalan di hadapan sekolah sudah hampir ditutupi kabus gelap itu. Abang Jad yang berada di hadapan pintu masuk kawasan sekolah hanya mampu melihat. Melihat ke dalam kabus gelap. Walaupun dia tahu, tiada imej yang mampu ditangkap oleh matanya dari dalam kabus gelap itu.

Ini ialah hari pertama mereka ‘tinggal’ di sekolah. Bukan seperti hari-hari yang biasa mereka tempuhi. Selalunya, mereka akan ke kelas untuk mendengar dan memahami semua proses pembelajaran tetapi hari ini mereka hanya mampu memikirkan nasib diri. Namun, setelah bersarapan bersama di dewan, Hendri membuka mulut. Dia bangun. Dia sudah mengetahui orang yang sanggup mencuri telefon pintar Wani, serta dompet Ren dan juga Fikri.

Kini, dia menjadi perhatian.

“Kau sudah tahu siapa yang curi dompet aku? Cepat cakap siapa oranya! Dalam dompet aku tu ada gambar yang penting tahu tak? Aku tak kisah kalau dia nak ambil duit tapi gambar tu penting buat aku!”

“Gambar apa yang ada dalam dompet kau?” soal Wani.

“Kau tak perlu tahu!”

“Menyampah!”

“Betul apa yang Ren cakap, kalau dia nak duit ambil sajalah tapi dalam beg tu ada perkara-perkara yang lebih penting daripada duit. Aku tak faham kenapa dia sanggup curi,” sokong Fikri pula.

“Jadi, siapa orangnya?” soal Kevin.

“Dia yang paling senyap dalam kalangan kita. Suka menyendiri dan mengelak. Ianya Fasha.”

Semua orang terkejut dengan jawapan Hendri. Fasha pula memeluk beg galasnya seperti ketakutan. Bagaikan tidak percaya dengan jawapan Hendri. Bahkan, Shiro pula tidak mengesyaki bahawa Fasha sanggup melakukan hal itu. Namun, bagaimana Hendri mengetahui bahawa Fasha ialah pelakunya?

“Kau biar betul?” soal Shiro pula.

“Kau ada bukti?” tanya Hara.

“Aku tak tidur nyenyak semalam. Tapi, aku nampak susuk tubuh yang berjalan ke arah Ren dan Fikri yang sudah tidur mati. Dia ambil dompet mereka. Aku nampak dengan mata aku sendiri. Jadi, kau tak perlukan bukti. Tapi, kalau kau nak aku pastikan jawapan aku betul. Aku boleh tunjukkan semuanya!” 

Hendri berjalan ke arah Fasha. Gadis itu memeluk beg galas dengan wajah takut. Tanpa meminta, Hendri merampas beg galas yang dipeluk Fasha dengan kasar. Berkali-kali juga gadis itu merayu agar dikembalikan beg galasnya. Wani yang berada di sebelah Fasha hanya mampu melihat walaupun hatinya cuba menghalang. Dia sendiri ingin tahu kebenaran kata-kata Hendri.

Zip dibuka. Telefon pintar dan dompet milik Wani, Ren dan juga Fikri dikeluarkan sebelum ditunjukkan kepada semua orang. Fasha menundukkan wajah. Wani terkejut besar. Ren dan Fikri pula terkelu. Shiro dan Kevin bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihat mereka. Tidak pernah menyangka bahawa Fasha, gadis senyap itu sanggup melakukan hal sedemikian.

“Aku temankan kau, jaga kau sebab aku kesihankan kau tapi kau sanggup buat semua ni? Kenapa Fasha?” soal Wani dengan nada suara yang sayu.

“Tak sangka kau sanggup buat semua ni,” tambah Ren pula.

Fasha hanya mampu menutup telinga. Tangannya terketar-ketar. Nafasnya naik turun. Peluh membasahi tubuh. Trauma. Trauma dengan kata-kata orang sekeliling. Trauma itu menyerang dirinya kembali. Membuatkan tubuhnya kaku. Hatinya tidak mampu berbicara. Ianya tidak ubah seperti hari-hari biasa baginya. Kata-kata mereka bermain-main dalam minda. Bergema di segenap ruang. Fasha menutup telinga dengan lebih rapat. Namun, satu suara membuatkan dia membuka mata seluas-luasnya. Suara yang bermain-main di mindanya sehingga sekarang.

“Kau tidak patut ada di sini. Kau patut mati.”

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status